Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-131: AL-GHARIMIN DI DALAM ASNAF ZAKAT

 

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Gharimin di dalam asnaf zakat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mengenai asnaf zakat yang telah diperuntukkan oleh syara’ untuk diberikan kepada mereka zakat telah dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ 

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. 

(Al-Taubah: 60)

 

Melalui ayat di atas, telah jelaslah kepada kita siapakah mereka yang syara’ telah tetapkan agar zakat diberikan kepada mereka dan salah satu daripadanya adalah al-Gharimin iaitu orang yang berhutang.

 

Asnaf Al-Gharimin

Al-Gharimin adalah kata majmuk bagi gharim yang mana bermaksud orang yang berhutang. Manakala al-gharim pula adalah pemiutang. Asal bagi perkataan al-Gharm dari segi bahasa adalah al-Luzum iaitu sesuatu yang melazimkannya. Ini sepertimana firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا 

Maksudnya: Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".

(Al-Furqan: 65)

 

Begitulah azab neraka yang mana pasti melazimkan kebinasaan yang kekal. Dengan itu juga dinamakan dengan al-Gharim bagi mereka yang berhutang kerana hutang itu menjadi kelaziman keatasnya manakala al-Gharim (pemiutang) pula akan selalu melazimi al-Madin (penghutang) untuk menuntut hutangnya.

 

Pembahagian Asnaf al-Gharimin

Terdapat tiga (3) pembahagian al-Gharimin yang masyhur di sisi mazhab al-Syafi’e, iaitu:

  • Pertama: Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.

Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan untuk diberikan zakat kepada mereka yang berhutang bagi dirinya sendiri antaranya:

  1. Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya. Sekiranya dia berkemampuan untuk melangsaikan hutangnya, maka tidak diberikan zakat kepadanya.

Sekiranya dia memiliki harta yang hanya dapat menampung sebahagian daripada hutangnya, maka dia layak menerima bantuan zakat untuk menyelesaikan hutang yang berbaki.

Jika individu tersebut mampu membayar hutang setelah dia bekerja dan mampu bekerja, maka dia tetap layak menerima zakat untuk melangsaikan hutangnya kerana dia perlu menyelesaikannya dalam tempoh masa yang mendesak. Ini kerana untuk dia bekerja bagi mendapatkan harta untuk membayar hutang memerlukan tempoh masa yang lebih lama sedangkan keperluan sedia ada buat diri dan juga keluarganya perlu juga diutamakan disamping hutang yang terbeban.

Sifat kaya yang menjadi penghalang bagi kelayakan seseorang yang berhutang daripada menerima zakat adalah apabila dia memiliki wang untuk membayar hutang. Jika dia memiliki tanah, rumah, pakaian, perabot atau pinggan mangkuk tetapi dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar hutang, dia masih layak menerima zakat. Ini disebabkan dia masih memerlukan asset tersebut untuk meneruskan kehidupan seharian.

  1. Perlulah apa yang dihutangkannya itu adalah dalam perkara yang taat atau perkara yang dibolehkan dan bukannya berhutang di dalam perkara maksiat seperti arak dan zina.
  1. Perlulah hutang itu dalam keadaan semasa iaitu sedang berlaku atau telah sampai tempoh untuk dilunaskan. Sekiranya hutang itu ditangguhkan (boleh di bayar dalam masa yang lama) di sini terdapat tiga (3) pendapat mengenainya[1]:
  • Diberikan juga zakat meskipun hutang itu ditangguhkan. Ini berdasarkan dalil umum yang mengatakan bahawa golongan ini juga pada hakikatnya adalah         penghutang.
  • Tidak diberikan zakat kepadanya kerana ianya tidak diperlukan pada waktu tersebut.
  • Diberikan sekiranya tangguhan hutang itu masih berada pada tahun tersebut. Sekiranya tangguhan hutang itu memasuki tahun yang baru, maka tidak diberikan zakat kepada golongan ini.

 

  • Kedua: Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.

Mereka yang berhutang demi kemaslahatan yang lain adalah golongan yang dimuliakan kerana kesanggupannya untuk berhutang demi kemaslahatan yang lain. Ini sepertimana seseorang yang menjadi orang tengah dalam memperbaiki hubungan di antara dua kaum/kabilah yang bertelagah disebabkan harta ataupun darah (membayar diyat dsb.), maka dikeluarkan darinya harta sehinggakan dia terpaksa berhutang, maka golongan ini berhak juga mendapat zakat untuk menutup hutangnya.

Begitu juga bagi mereka yang yang berhutang demi kemaslahatan orang ramai seperti mengasaskan rumah anak yatim, hospital awam, membina masjid dan juga amal-amal kebajikan yang lain sehingga manfaatnya mengalir kepada orang awam. Maka diberikan zakat berdasarkan apa yang dihutangkan olehnya untuk menutup hutang tersebut meskipun dia seorang yang kaya seperti pendapat sebahagian al-Syafi’eyyah[2].

 

  • Ketiga: Individu yang menjamin orang yang berhutang.

Penjamin tersebut layak menerima zakat daripada asnaf al-Gharimin dengan syarat:

  • Penjamin dan orang berhutang yang dijamin berada dalam keadaan tidak mampu melangsaikan hutang. Penjamin layak menerima zakat untuk menyelesaikan hutang tersebut.
  • Jika penjamin tidak mampu untuk membayar hutang, manakala orang berhutang yang dijamin mampu, maka penjamin layak menerima zakat jika dia menjamin tanpa kebenaran orang yang berhutang.
  • Jika penjamin mampu membayar hutang, manakala orang berhutang yang dijamin tidak mampu membayarnya, maka orang berhutang itu sahaja yang layak menerima zakat untuk membayar hutang tersebut.

 

Ini berdasarkan hadith daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang mana menyebutkan:

تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ ‏"‏ أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا ‏"

Maksudnya: “Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya : ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’. Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”

Riwayat Muslim (1044) & Abu Daud (1640)

 

Adakah mereka yang ditimpa bencana alam layak menerima zakat di bawah asnaf al-Gharimin?

Menjawab persoalan ini, pihak kami melalui artikel Irsyad al-Fatwa ke-14 telah mengeluarkan hukum untuk diberikan zakat kepada mangsa bencana alam bersandarkan pendapat Mujahid yang berpandangan bahawa golongan al-Gharimin termasuk didalamnya ialah seseorang yang hartanya rosak kerana banjir, terbakar dan seseorang yang mempunyai ahli keluarga tetapi tidak dia tidak memiliki harta lalu dia berhutang untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya.

Berdasarkan hadith Qabisah yang dikemukakan sebelum ini, di dalam syarah hadith tersebut, Syeikh al-‘Azim al-Abadi menyatakan: “Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun al-Ma’bud 3/36]

Beberapa ulama’ telah memberi fatwa antaranya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata : “Aku khususkan yang mengenai sifat al-gharimin bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan. [Fiqh al-Zakat, 2/623]

Begitu juga dengan Dr. Husamuddin bin Musa ‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan  hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini.

 

Syarat-Syarat Hutang Yang Dibenarkan Bantuan Zakat

Di Wilayah Persekutuan, pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menggariskan syarat khusus bagi jenis-jenis hutang yang dibenarkan untuk menerima banuan zakat seperti berikut:

  1. Hutang bagi pembiayaan keperluan asasi:
  • Makanan
  • Perubatan
  • Pendidikan
  • Perlindungan
  • Pakaian
  • Pengangkutan

      2. Hutang perniagaan (mengikut jenis dan keutamaan)

      3. Keutamaan bantuan menyelesaikan hutang adalah kepada golongan fakir, miskin dan muallaf.

 

Kesimpulan

Definisi al-Gharimin dibahaskan secara terperinci oleh para ulama’ silam dan juga kontemporari. Boleh kami simpulkan di sini bahawa golongan al-Gharimin yang berhak mendapatkan zakat beserta syarat-syarat yang ditetapkan itu terdapat beberapa kategori, iaitu:

  1. Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.
  2. Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.
  3. Individu yang menjamin orang yang berhutang.
  4. Individu yang ditimpa bencana yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan sebagainya.

Semoga dengan sedikit pencerahan mengenai asnaf al-Gharimin ini dapat memberikan maklumat buat masyarakat Islam khususnya, agar lebih peka terhadap golongan ini di samping memartabatkan juga institusi zakat di negeri masing-masing. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

4 Oktober 2016 bersamaan 3 Muharam 1438 H

 

 

[1] Lihat al-Imam al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 6/208.

[2] Berpendapat sebahagian al-Syafi’eyyah bahawa kepada mereka yang berhutang kerana membina sesuatu, menebus tawanan perang atau membekalkan kemudahan kepada tetamu, diberikan kepada mereka meskipun kaya jikalau kayanya itu dengan pemilikan hartanah dan bukannya dengan wang. [Lihat al-Raudhah al-Tolibin oleh al-Imam al-Nawawi, 2/319]