Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-58: HUKUM MENGHISAP SHISHA DAN SHISHA STICK

 

 

SOALAN

Apakah hukum menghisap shisha dan shisha stick?

 

JAWAPAN

 

Definisi Shisha

Menghisap Shisha merujuk kepada menghisap tembakau yang berperisa menggunakan peralatan paip air. Ia adalah satu kaedah tradisional untuk menghisap tembakau dan merupakan satu tradisi simbolik dalam kalangan budaya tertentu. Ia diberi nama shisha (paip air) bagi melambangkan  ciri alat tersebut; iaitu  asap dilalukan ke air sebelum ianya disedut. Shisha terdapat dalam berbagai bentuk dan dikenali dengan pelbagai nama bergantung kepada negara dan budaya.  Antaranya nama lain shisha adalah Hookah, Huqqa, Arghile, Narghile, Hubble Bubble, Goza, dan Boori.

Shisha datang dalam bentuk dan saiz, dan warna yang berbeza-beza. Struktur asas shisha terdiri daripada mangkuk, badan, hos, dan gromet. Terdapat pelbagai  jenis tembakau shisha. Tembakau jenis manis dan berperisa dipanggil moassel. Tembakau ini direndam dalam pekatan buah-buahan seperti anggur, strawberi, epal atau madu untuk mendapatkan rasa manis dan perisanya. Tembakau yang dinyalakan akan mengeluarkan aroma buah atau sirap yang dibakar.

Tembakau moasselis ini diletakkan dalam mangkuk yang ditutup dengan kerajang aluminium yang mempunyai lubang-lubang kecil. Seketul arang panas diletakkan atas kerajang aluminium tersebut untuk memanaskan tembakau. Asap yang terhasil akan disalurkan ke air (yang bertindak sebagai sebagai penapis). Akhirnya, gabungan wap air dan asap akan disedut melalui hos.

 

Hukum Menghisap Shisha

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang diadakan pada 17 Julai 2013 bersetuju memutuskan shisha adalah haram. Ianya telah difatwakan selepas mengambil kira kajian dan pembentangan dari pakar-pakar di Kementerian Kesihatan Malaysia beserta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang [1].

 

Fatwa & Pendapat Ulama’-Ulama’ Islam Terhadap Hukum Menghisap Shisha

  • Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah:

“Menghisap shisha dan segala jenis-jenisnya termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan kerana kedua-duanya mengandungi kemudaratan yang banyak. Pakar-pakar perubatan telah menjelaskan kesan-kesan buruk perkara tersebut. Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan ke atas orang Islam melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Oleh itu adalah wajib bagi mereka yang menghisap shisha supaya berhenti dan berwaspada daripada perbuatan tersebut.”

  • Sheikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaymeen rahimahullah:

Menghisap rokok adalah haram begitu juga dengan shisha. Telah sabit akan kemudaratannya melalui  kajian perubatan dan disebabkan kemudaratannya itu, maka hukumnya adalah haram.

  • Sheikh Dr. Nuh Ali Salman (Bekas Mufti Jordan) rahimahullah:

“…Dan telah diketahui pada zaman ini (setelah berlakunya pemodenan dalam bidang sains dan perubatan) bahawa rokok dan shisha adalah dari benda yang bahaya dan memudaratkan kerana mengandungi bahan-bahan kimia yang beracun. Ianya boleh menyebabkan berlakunya penyakit-penyakit kronik yang boleh membawa kepada kematian sama ada cepat ataupun lambat dan ini adalah kesepakatan dari kalangan doktor. Oleh itu, maka tidak boleh mengambil dan menghisapnya bahkan wajib untuk menjauhinya serta menjaga masyarakat dari kemudaratannya…” [2]

  • Sheikh Dr. Salih bin Fauzan juga berfatwa mengatakan rokok dan juga shisha termasuk di dalam perkara yang haram. Bahkan di dalam sebuah sesi soal jawab bersama beliau, ditanyakan soalan mengenai adakah dibolehkah menjual rokok dan shisha, maka jawab beliau ianya haram dan keuntungan darinya juga adalah haram [3]. 
  • Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid juga mengatakan bahawa rokok dan shisha adalah haram. Menurut beliau lagi, tidak ada bezanya antara rokok dan juga shisha dari segi kemudaratannya bahkan terdapat kajian yang mengatakan bahawa shisha lebih berbahaya dari rokok [4].
  • Majlis Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi juga sebulat suara mengatakan haram menghisap rokok dan shisha kerana ianya memudaratkan badan dan juga mengakibatkan pembaziran.

 

Alasan & Hujah Pengharaman

            Alasan serta hujah yang digunakan bagi pengharaman shisha adalah jelas melalui nas-nas syarak bersumberkan al-Quran dan Hadis Nabi SAW beserta kaedah fiqhiyyah. Ini bertujuan untuk menjaga lima asas maqasid syar’iyyah bagi manusia iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta.

  1. Dalil daripada al-Quran

Firman Allah SWT:

وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. (Surah al-Baqarah : 195)

            Islam tidak membenarkan penganutnya dengan sengaja mendedahkan diri mereka ke lembah kebinasaan. Shisha telah terbukti boleh merosakkan tubuh badan manusia. Oleh itu, umat Islam perlulah sedaya upaya untuk menjauhkan diri mereka dari terjerumus ke lembah kebinasaan ini.

Begitu juga dengan firman Allah SWT yang berbunyi:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمْ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), “Apakah yang dihalalkanbagi mereka?” Katakanlah, “Yang dihalalkan bagi kamu adalah yang baik-baik.” (Surah al-Maidah : 4)

dan firman Allah SWT lagi:

وَيُحِلُّ لَهُمْ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمْ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: Dan dia (Muhammad) yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka. (Surah al-A’raaf : 157)

Telah berkata Al-Maraghi: “Al-Khaba’ith ialah ada kaitannya dengan makanan iaitu makanan menurut perasaan yang sihat, tidak suka makan bangkai dan darah yang mencurah. Begitu juga ditolak oleh akal sihat kerana berbahaya bagi tubuh seperti daging babi, iaitu jika dimakan akan menimbulkan cacing tertentu, atau kerana membahayakan agamamu (iman), seperti sembelihan yang disembelih untuk mendekatkan diri (korban) kepada selain Allah SWT dengan cara yang bersifat penyembahan (ibadah). Adapun yang berkaita dengan harta, al-Khaba’ith, harta yang diperolehi dengan cara yang tidak benar seperti riba, rasuah, berlebih-lebih, mencuri, merampas dan lain-lain”.[5]

  1. Dalil daripada hadith Nabi SAW

لاَ ضَرَرَ ولاَ ضِرَارَ

Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”.

(Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

            Shisha terbukti boleh memudaratkan kesihatan manusia berdasarkan kenyataan dari pakar-pakar perubatan. Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Islam amat menjaga kemaslahatan sekalian manusia. Islam tidak membenarkan sesuatupun yang boleh memudaratkan ke atas diri sendiri serta orang lain.

  1. Kaedah Usul Fiqh

سد الذريعة

Menutup pintu kerosakkan”.

 

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.

Kemungkinan akan terhasilnya bahan perasa dari bahan terlarang seperti dadah menguatkan lagi alasan untuk mengharamkan shisha. Ianya sebagai langkah berjaga-jaga dengan menutup segala ruang agar shisha tidak dieksploitasi menjadi medium tersebarnya penggunaan dadah kepada rakyat Malaysia.

Seperkara lain yang perlu diberi perhatian, tiada satu kajian saintifik pun menunjukkan ia sebagai penyembuh penyakit dan ubat yang mujarab. Bahkan, kenyataan yang dinukilkan lebih bersifat dakwaan serta andaian semata-mata. Menurut laman web MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, bahaya menghisap shisha adalah sama dengan bahaya menghisap rokok. Produk tembakau samada dalam bentuk shisha atau rokok serta apa jua bentuk yang lain mengandungi nikotin yang mana nikotin ini boleh menyebabkan ketagihan. Pada setiap sesi menghisap shisha, anda menelan 100 hingga 200 kali ganda lebih asap dan sehingga 1.7 kali ganda nikotin berbanding menghisap sebatang rokok. Air yang dianggap sebagai penapis tidak dapat menapis semua bahan kimia penyebab kanser.[6] 

 

Kemunculan Shisha Stick/Pen

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan penggunaan shisha stick di kalangan pelajar sekolah. Kemunculan dan penggunaan shisha stick hingga menjadi trend dalam kalangan pelajar  dan golongan muda jelas mengundang keresahan dan kebimbangan ibu bapa yang khuatir kemungkinan produk itu mengandungi dadah yang boleh merosakkan kesihatan mereka.

Setakat ini apa yang diketahui ialah shisha stick mengandungi tiga bahan utama iaitu propilena glikol, glycerin dan air serta perasa buah-buahan yang biasanya ditemui dalam industri pembuatan makanan. Kajian selanjutnya perlulah dilakukan oleh pakar bagi mengesahkan kandungan sebenar, serta memastikan sama ada shisha stick itu turut mengandungi unsur seperti tar dan nikotin dalam bentuk cecair yang boleh menyebabkan ketagihan, menjejaskan kesihatan, malah membawa kematian.

Jika merujuk kepada kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap shisha, akhbar Britain pada tahun 2013 menyatakan bahawa kadar asap yang disedut dalam sesi shisha selama satu jam menyamai menghisap 100 hingga 200 batang rokok. Sementara kajian di Royal Universiti di Arab Saudi pula melaporkan bahawa pakar negara itu menemui 142 bahan kimia dalam asap shisha. Di sini, jelaslah bahawa prinsip mencegah lebih baik dari merawat perlu dilaksanakan.

 

Hukum Menghisap Shisha Stick

            Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, maka telah jelaslah bahawa menghisap shisha stick ini juga haram hukumnya. Kewajaran pengharaman shisha stick ini dapat kita lihat dari beberapa aspek, antaranya:

  • Mudaratnya yang sama seperti menghisap shisha biasa.
  • Sebagai Sad al-Zari’ah (menutup pintu kerosakan).

Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid juga mengeluarkan pendapat mengharamkan penggunaan shisha stick di dalam laman web beliau.[7]

 

Penutup

Shisha mahupun shisha stick termasuk dalam perkara buruk yang memudaratkan manusia. Justeru, shisha adalah haram dengan dalil yang kuat melalui al-Quran dan hadith. Kita memohon kepada Allah SWT memberi petunjuk kepada umat Islam mengenai apa yang baik dan yang dapat menyelamatkan mereka. Juga, memohon agar Allah melindungi mereka daripada perkara-perkara yang memudaratkan mereka di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik tempat memohon.

            Kami juga telah menerima banyak maklumat dari timur tengah dan juga ramai pakar yang kemudaratan shisha telah diperakui, justeru sudah sampai masa pengharaman shisha agar budaya ketagih yang tidak sihat ini dapat dibendung dalam masyarakat Malaysia.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

4 Zulkaedah 1436 bersamaan 19 Ogos 2015

 

_______________________________________________________________________________________

[1] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-shisha-menurut-pandangan-syarak

[2] http://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=652#.VdKyXfmqqko

[3] http://www.alfawzan.af.org.sa/node/13611

[4] http://islamqa.info/en/127312

[5] Al-Maraghi, Ahmad Mustafa. 1946. Tafsir al-Maraghi (Cet. 1). Mesir: Maktabah Al-Halabi. Juzuk 9. m/s 82-83.

[6] http://www.myhealth.gov.my/index.php/remaja/perubahan-tingkah-laku/shisha

[7] http://islamqa.info/en/201512