Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA KE-32: CARA MANDI JUNUB BAGI PESAKIT YANG SENTIASA BERHADAS

SOALAN:

NYATAKAN CARA MANDI JUNUB BAGI PESAKIT YANG SENTIASA BERHADAS

 

JAWAPAN:

            Pesakit yang sentiasa berhadas biasanya perlu memakai Colostomy Bag atau Continous Bladder Drainage.

            Colostomy Bag ialah sejenis getah yang dipasang kepada pesakit yang tidak boleh buang air besar secara normal. Continous Bladder Drainage pula ialah sejenis alat getah yang dipasang kepada pesakit yang tidak boleh kencing kerana tersumbat saluran kencing.

            Penggunaan air oleh pesakit seumpama ini tidaklah memudaratkan badannya, malah boleh menukar kedua beg getah tersebut setiap kali ia penuh. Dalam kes ini pesakit terlibat dikira termasuk dalam golongan pesakit yang boleh menggunakan air ketika mandi seperti juga orang yang sihat yang boleh menggunakan air.

Untuk melakukan mandi junub pesakit perlu:

  • Menanggalkan atau membuka beg plastik yang telah berisi air kencing/najis. Bagi pesakit yang memakai Colostomy Bag, dia hendaklah membersihkan tempat keluar najis di perut. Kemudian menggantikannya dengan beg plastic yang baru atau guna yang lama sekiranya boleh dibersihkan.
  • Berwuduk seperti biasa sebagaimana disunatkan sebelum mandi junub.
  • Mandi dengan menjiruskan keseluruhan badan.

 

Dengan mandi ini dia boleh menunaikan solat. Jika semasa menunaikan solat itu najis terkeluar, pesakit terlibat boleh terus melakukan solat kerana najis yang keluar itu dimaafkan kerana kesukaran dan darurat. Solat pesakit berkenaan dikira sah dan tidak perlu diulang apabila sembuh.

Walaupun pesakit yang terlibat dengan pemakaian kedua-dua jenis alat ini boleh mandi itu tidak memudaratkannya namun kekerapannya berulang alik ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat menimbulkan kesukaran kepadanya. Persoalannya bolehkah pesakit ini menghimpunkan di antara dua solat sekaligus di dalam satu waktu?

Sebenarnya hukum menghimpunkan dua solat bagi pesakit yang berada di dalam situasi ini adalah harus. Ia diharuskan oleh Imam Ahmad, al-QadiHusain, al-Khattabi dan juga al-Mutawalli al-Nawawi, dalil keharusan menghimpunkan solat kepada jenis ini adalah kuat.

      Ada dua pendekatan yang boleh digunakan pesakit untuk menghimpunkan dua solat:

  • Menghimpunkan di dalam waktu yang pertama atau kedua (jama’ takdim dan juga ta’khir).
  • Menghimpunkan solat di dalam bentuk suri (gambaran lahirnya sahaja) iaitu menunaikan solat yang pertamapada akhir waktu dan yang kedua pada awal waktu.

            Solat yang boleh dijamakkan ialah solat Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Selain daripada itu, tidak boleh dijamakkan. Solat qasar tidak boleh, sebaliknya yang kita bincangkan ialah boleh menjamakkan solat dalam situasi darurat di atas.