Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa Ke-23: Penerima 2/3 Harta Pusaka Serta Syarat-Syaratnya

Siapakah yang berhak menerima 2/3 pusaka serta syarat-syaratnya?

 

Jawapan:

Suka saya nyatakan di sini berdasarkan buku yang kami karyakan iaitu Pengurusan Harta dan Pusaka dalam Fiqh Syafie, terbitan IBFIM iaitu:

Penerima Dua Pertiga (2/3) dan Syarat-Syaratnya

Terdapat empat bahagian pewaris yang layak untuk menerima dua pertiga (2/3) pusaka dan masing-masing tertakluk kepada syarat-syarat tersendiri:

  • Dua Orang atau Lebih Anak Perempuan kepada si Mati

Bagi memperoleh dua pertiga (2/3) pusaka, mereka perlu memenuhi syarat iaitu tidak wujud bersama-sama mereka asabah iaitu anak lelaki si mati. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ

Maksudnya: Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. 

(Surah al-Nisa’: 11)

Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:

قَضَى النَّبِي صَلىَّ الله عَلَيْهِ وَسَلَّم لِبِنْتَي سَعْدٍ بِالثُّلُثَيْنِ مِنْ تَرِكَةِ أَبِيْهِمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menetapkan sebanyak dua pertiga (2/3) daripada pusaka Saad untuk dua orang anak perempuannya.”

Riwayat al-Tirmizi (2093) dalam al-Faraidh, dan al-Hakim (4/334)

 

  • Dua Orang atau Lebih Anak Perempuan kepada Anak Lelaki si Mati

Mereka memperolehi dua pertiga (2/3) dengan dua syarat berikut:

  1. Tiada asabah bersama mereka.
  2. Si mati tidak mempunyai anak sama ada lelaki mahupun perempuan.

Dalil mereka menerima dua pertiga (2/3) ialah qias dengan anak-anak perempuan. Ataupun mereka ini termasuk dalam kata nama “anak perempuan”. Ini berdasarkan bahawa kata nama ini digunakan pada makna hakiki dan simbolik.

  • Dua Orang atau Lebih Saudara Perempuan Seibu Sebapa

Golongan ini menerima dua pertiga (2/3) pusaka jika memenuhi tiga syarat berikut:

  1. Tiada asabah bersama mereka iaitu saudara lelaki.
  2. Tidak wujud furu’ waris si mati sama ada lelaki atau perempuan.
  3. Tidak wujud asal waris si mati sama ada bapa atau datuk. 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ

Maksudnya: Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. 

(Surah al-Nisa’: 176)

  • Dua Orang atau Lebih Saudara Perempuan Sebapa

Mereka menerima dua pertiga (2/3) pusaka dengan empat syarat. Tiga daripadanya sama seperti syarat saudara perempuan seibu sebapa. Syarat keempat ialah tidak wujud saudara seibu sebapa kepada si mati sama ada lelaki (akh al-Shaqiq) atau perempuan (ukht al-Shaqiqah).

Dalilnya ialah ijmak ulama. Menurut ijmak ulama, ayat al-Quran yang disebutkan di atas merangkumi saudara perempuan seibu sebapa (ukht al-Shaqiqah) dan saudara perempuan sebapa (ukht li al-Abb). Tetapi tidak termasuk saudara perempuan seibu (al-Ukht li al-Umm). Jabir bin Abdullah RA berkata:

مَرِضْتُ، فَأَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَجَدَنِي قَدْ أُغْمِيَ عَلَيَّ فَأَتَى وَمَعَهُ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَهُمَا مَاشِيَانِ فَتَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَبَّ عَلَيَّ مِنْ وَضُوئِهِ فَأَفَقْتُ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ أَقْضِي فِي مَالِي أَوْ كَيْفَ أَصْنَعُ فِي مَالِي فَلَمْ يُجِبْنِي شَيْئًا وَكَانَ لَهُ تِسْعُ أَخَوَاتٍ

Maksudnya: “Aku ditimpa sakit, lalu Nabi SAW datang menziarahi. Baginda mendapati aku sedang pengsan. Abu Bakar dan Umar pun datang bersama Baginda tetapi mereka berdua berjalan kaki. Lalu Rasulullah SAW berwuduk dan menjirusku dengan air wuduknya itu. Lantas aku tersedar daripada pengsan lalu bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara yang sepatutnya aku membelanjakan hartaku? Atau apakah yang patut aku lakukan pada hartaku? Baginda tidak menjawab. Jabir mempunyai sembilan orang saudara perempuan.”

Riwayat al-Tirmizi (2098)

Akhirnya turunlah ayat al-Quran yang berkaitan dengan pusaka:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Nisa’: 176)

Jabir RA berkata: Ayat ini turun berkenaan kes yang berlaku ke atasku. Imam al-Rahabi pula menyebut dalam madah syairnya:

Dua pertiga adalah untuk anak-anak perempuan (al-Banat)

Iaitu yang lebih daripada seorang, dengarlah.

Juga untuk anak-anak perempuan kepada anak lelaki (banat al-Ibn)

Hendaklah kamu fahami kata-kataku ini baik-baik.

Begitu juga untuk dua saudara perempuan atau lebih,

Orang merdeka dan hamba memberi fatwa tentangnya.

Demikian jika mereka adalah saudara seibu sebapa,

Atau sebapa sahaja, amalkanlah nescaya kamu benar.

Marilah sama-sama kita mempelajari ilmu faraid dan memutuskan sebarang isu berkaitan pusaka mengikut apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya agar kita sentiasa menepati kehendak syariat Islamiyah.