Soalan:
Assalamualaikum wbt,
Saya ingin mendapatkan sedikit nasihat berkenaan istihadah, haid dan solat. Untuk makluman ustaz, saya telah mengalami istihadah dan telah rujuk kepada doktor pakar. Didapati saya memiliki fibroid dan telah menjalani pembedahan pada 10 April yang lalu. Namun begitu, sehingga hari ini (24 April) darah masih keluar tetapi hanya pada waktu pagi sahaja. Jika ini berterusan sepanjang bulan Mei pula, bagaimana saya nak menentukan sama ada darah yang keluar masih istihadah atau haid? Ini kerana saya amat bimbang jika saya melakukan sebarang kesalahan apabila hendak solat nanti. Kedua, jika darah berhenti keluar selepas dalam tempoh beberapa hari, dan kemudian keluar balik darah lagi, adakah ini darah haid?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Definisi Fibroid
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, fibroid bermaksud: “sejenis ketumbuhan yang tidak mengakibatkan barah (benigna).” Kami menganggap bahawa pesakit yang bertanya memiliki fibroid di bahagian abdomen sehingga mengeluarkan darah yang tidak diketahui haid atau bukan.
Definisi Darah Haid dan Istihadah
Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji memerikan istilah haid sebagai:
حيض في اللغة: السيلان. يقال حاض الوادي إذا سال. وفي الشرع: دم جبلة ـ أي خلقة وطبيعة ـ تقتضيه الطباع السليمة يخرج من أقصى رحم المرأة بعد بلوغها على سبيل الصحة، في أوقات معلومة.
Maksudnya: “Erti haidh pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haidh pada syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”
Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77)
Berdasarkan takrif di atas, difahami bahawa darah haid itu ialah darah yang keluar pada waktu yang normal dan dalam keadaan sihat. Justeru, darah yang keluar bukan pada waktu kebiasaan yang normal dan akibat penyakit adalah bukan darah haid, dan dianggap sebagai darah fasad atau darah istihadah. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, darah istihadah didefinisikan sebagai:
دم علة ومرض يخرج من عرق من أدنى الرحم يقال له العاذل
Maksudnya: “Darah Istihadhah ialah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-‘Azil (العاذل).”
Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/79)
Hukum Darah Istihadah dan Dalil-Dalil
Darah ini membatalkan wudhu’ tetapi tidak mewajibkan mandi, bahkan wajib bersolat dan berpuasa. Perempuan yang istihadhah hendaklah membasuh darah istihadhahnya dan memakai kain lampin, berwudhu’ setiap kali solat fardhu, dan bersolat.
Ini berdasarkan hadisaripada Aisyah R.Anha katanya, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW dan bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang di datangi darah istihadhah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak perlu, kerana darah itu ialah darah penyakit, bukannya darah haidh. Ketika kedatangan haidh tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”
Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)
Berkenaan sifat darah istihadah, terdapat hadis daripada daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ
Maksudnya: “Jika darah haidh, ia adalah darah yang dikenali kehitam-hitaman. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika sebaliknya maka berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah daripada urat (darah penyakit) .”
Riwayat Abu Daud (286)
Difahami daripada hadis ini, bahawa sekiranya seorang wanita itu pandai membezakan warna darah, maka darah yang kuat itu adalah darah haid manakala darah yang lemah itu adalah darah istihadah.
Syarat-Syarat Tamyiz (Membezakan Sifat Darah)
Berikut kami nyatakan syarat-syarat tamyiz, apabila wanita terbabit melihat perbezaan sifat darah yang keluar daripada farajnya:
- Darah yang kuat keluar tidak kurang daripada sekurang-kurang tempoh haid; sehari dan semalam.
- Darah yang kuat keluar tidak lebih daripada sepanjang-panjang tempoh haid; 15 hari 15 malam.
- Darah yang lemah keluar tidak kurang daripada sepanjang-panjang tempoh haid; 15 hari 15 malam.
- Darah yang lemah keluar berterusan dan tidak putus (tanpa naqa’ atau berselang dengan darah kuat)
Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hal. 168)
Sekiranya salah satu daripada syarat ini tidak dipenuhi, maka hendaklah mengikut adat kebiasaannya.
Hukum darah yang keluar selepas pembedahan fibroid
Kami cenderung untuk menyatakan bahawa apabila darah yang keluar adalah kerana pembedahan fibroid dan di luar waktu kebiasaan haid, yakni adat haid, maka darah itu dianggap sebagai darah istihadah. Manakala, jika darah itu keluar pada waktu biasa datang haid, maka darah itu adalah darah haid.
Dalam kitab Tuhfah al-A`izza’ (hal. 991-992) menyebut:
“Apabila darah yang keluar atau turun sesudah menggunakan ubat/alat tersebut ialah darah yang biasa (yang diketahui) pada adat kebiasaan bagi wanita tersebut, maka ia dihukumkan sebagai darah haid dengan syarat tidak melebihi daripada tempoh sebanyak-banyak haid. Adapun jika melebihi tempoh tersebut, maka ia tidak dikira sebagai darah haid kerana ia hanya keluar disebabkan ubat tersebut. Oleh itu ia dihukumkan sebagai darah istihadah. Justeru darah tersebut adalah kadar tempoh adatnya daripada permulaan darah dan bakinya dihukum sebagai suci (yakni waktu suci dan darah itu adalah darah istihadah).”
Wallahua`lam.