Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 305 : HUKUM HAKAM BERSALAMAN DENGAN SANAK SAUDARA DI HARI RAYA

IRSYAD AL FATWA 305

Soalan:

Assalamu’alaikum Tuan Mufti, ketika berhari raya kebiasaannya sanak saudara akan berkumpul secara beramai-ramai di kampung contohnya. Bolehkah terangkan berkenaan dengan batasan aurat, pergaulan, dan hukum bersalaman sesama sanak saudara ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dari sudut bahasa, terdapat beberapa pengertian bagi perkataan mahram. Antaranya kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
  • Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Manakala dari sudut istilah para fuqaha’ mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114).

Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi S.A.W. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah S.W.T:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa’ (23)

Dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji (2/21) ada disebutkan berkenaan dengan sebab-sebab pengharaman yang selamanya. Iaitu tiga perkara berikut:

  • Kerabat (hubungan kekeluargaan).
  • Musaharah (perkahwinan).
  • Susuan.

Berdasarkan noktah di atas, kami kongsikan beberapa mahram bagi seorang lelaki yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mahram dari sudut kerabat, musaharah, dan juga susuan.

Pertama: Mahram Dari Sudut Kerabat

  1. Ibu kandung.
  2. Nenek (ibu kepada ibu).
  3. Nenek (ibu kepada bapa).
  4. Anak perempuan.
  5. Cucu perempuan (dari anak lelaki).
  6. Cucu perempuan (dari anak perempuan).
  7. Adik beradik perempuan seibu sebapa.
  8. Adik beradik perempuan seibu.
  9. Adik beradik perempuan sebapa.
  10. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki kandung (seibu sebapa).
  11. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki dari sebelah ayah atau ibu.

Iaitu anak-anak saudara perempuan @ anak perempuan kepada adik beradik lelaki atau perempuan kita.

Kedua: Mahram Dari Sudut Musaharah

  1. Isteri kepada bapa (ibu tiri). Begitu juga isteri kepada datuk dari sebelah bapa atau ibu.
  2. Isteri kepada anak lelaki (menantu perempuan). Begitu juga isteri kepada cucu lelaki dan ke bawah.
  3. Ibu kepada isteri (ibu mertua).

Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: Dan ibu kepada isteri-isteri kamu.

  1. Anak perempuan kepada isteri (anak tiri bagi isteri yang telah disetubuhi).

Ketiga: Mahram Disebabkan Susuan

  1. Ibu susuan.
  2. Adik beradik perempuan susuan.
  3. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sesusuan.
  4. Anak perempuan kepada adik beradik perempuan sesusuan.
  5. Anak susuan perempuan.
  6. Adik beradik susuan perempuan kepada ibu atau ayah. Iaitu ibu-ibu saudara susuan.

Kesemuanya ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: Dan ibu-ibu susuan kamu serta adik-beradik perempuan susuan kamu.

Surah Al-Nisa’ (23)

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: Diharamkan dari susuan apa yang diharamkan dari nasab.

Riwayat Ibn Majah (1937)

Manakala mahram bagi orang perempuan pula adalah seperti berikut:

  1. Bapa kandung dan ke atas seperti datuk dan moyang.
  2. Anak lelaki dan ke bawah seperti cucu dan cicit.
  3. Adik beradik lelaki.
  4. Bapa saudara dari sebelah ibu dan ke atas seperti datuk saudara.
  5. Bapa saudara dari sebelah bapa dan ke atas seperti datuk saudara
  6. Anak-anak saudara lelaki iaitu anak lelaki kepada adik beradik lelaki atau adik beradik perempuan dan ke bawah seperti cucu-cucu saudara lelaki.
  7. Bapa susuan.
  8. Adik beradik susuan yang lelaki.
  9. Bapa mertua.
  10. Menantu lelaki (suami kepada anak perempuan).

Implikasi mahram ini ada beberapa perkara iaitu:

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian bersamanya.

Berikut pula kami senaraikan beberapa individu yang bukan mahram bagi seorang lelaki:

  1. Isteri kepada bapa saudara.
  2. Sepupu perempuan.
  3. Kakak ipar (isteri kepada abang kandung).
  4. Adik ipar (perempuan).
  5. Anak angkat perempuan yang bukan anak susuan.

Manakala bagi seorang perempuan pula, yang bukan mahram mereka adalah seperti berikut:

  1. Suami kepada ibu saudara.
  2. Sepupu lelaki.
  3. Abang ipar (suami kepada kakak kandung).
  4. Adik ipar (lelaki).
  5. Anak angkat lelaki yang bukan anak susuan.

Implikasi bagi ketiadaan mahram (bukan mahram) ini pula adalah seperti berikut:

  • Tidak boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh berkahwin dengannya.
  • Tidak boleh berkhalwat dengannya.

Manakala implikasi mahram dari sudut batasan aurat pula, kami nyatakan bahawa pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka (adik beradik lelaki), atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Surah al-Nur (31)

Kata penulis kitab Asna al-Mathalib dalam feqh al-Syafi’eyyah:

وَعَوْرَةُ الْحُرَّةِ فِي الصَّلَاةِ وَعِنْدَ الْأَجْنَبِيِّ) وَلَوْ خَارِجَهَا (جَمِيعُ بَدَنِهَا إلَّا الْوَجْهَ، وَالْكَفَّيْنِ) ظَهْرًا وَبَطْنًا

Maksudnya: Aurat wanita yang merdeka di dalam solat dan juga di hadapan ajnabi (lelaki yang bukan mahram) demikian juga (aurat mereka) di luar solat adalah keseluruhan badan mereka melainkan muka dan dua tapak tangan zahir dan batin.

Rujuk Asna al-Mathalib (1/176)

Ini bererti wajib seorang perempuan itu menutup keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki lelaki bukan mahram dan tidak diwajibkan hal tersebut di hadapan mahram.

Manakala bagi lelaki pula, auratnya dengan perempuan bukan mahram adalah antara pusat hingga lutut. Tidak boleh untuk seorang perempuan itu melihat kepada aurat orang lelaki antara dua kawasan tersebut serta tidak boleh juga melihat kepada selain aurat lelaki tanpa sebarang sebab berdasarkan nas yang menyuruh supaya menundukkan pandangan kepada orang perempuan dan demikian juga orang lelaki.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami berpesan kepada semua agar kita dapat menyambut hari raya Aidil Fitri dengan penuh ketaatan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T dalam erti kata kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang Allah haramkan dan juga mengerjakan segala perintah Allah dalam kehidupan.

Perlu kami tekankan bahawa tidak bersalaman dengan bukan mahram dari kalangan sanak saudara bukanlah bermakna tidak ada keharmonian dan kerenggangan hubungan sesama keluarga. Bahkan keharmonian itu terbina dengan saling membantu, beramah mesra dan bertanya khabar di dalam musim-musim perayaan, bertukar juadah, di samping menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama menerusi pencerahan ini. Ameen.