Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-319 : ENGGAN SOLAT KERANA KERJA BERAT

if319 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.

Boleh tuan terangkan hukum solat bagi orang Islam? Sebab saya lihat hari ini ada orang yang tidak mengendahkan solat atas alasan kerja berat dan terlalu sibuk. Adakah terdapat pengecualian untuk tidak menunaikan solat? Mereka masih mengaku mereka Islam dan tahu solat itu wajib.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Solat

Solat daripada sudut Bahasa Arab bermaksud “berdoa dengan kebaikan”. Buktinya ialah firman Allah ﷻ:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah:103)

Berkata Imam Abu Jaafar al-Tahawi: "Allah Taala Dzikruhu berfirman kepada Nabinya Muhammad ﷺ: Wahai Muhammad… dan hendaklah engkau doakan mereka untuk mendapatkan keampunan terhadap dosa-dosa mereka, dan pohonlah keampunan untuk mereka agar terpelihara daripada dosa-dosa mereka.”

Rujuk Jami` al-Bayan (14/454)

Manakala daripada sudut istilah Syarak, solat bermaksud: “Himpunan perkataan dan perbuatan yang dimulakan dengan takbir (membesarkan Allah), dan diakhiri dengan taslim (memberi salam) dengan syarat-syarat tertentu.”

Istilah solat itu digunakan kerana unsur doa menyeluruh dalam solat maka dimutlakkan sebahagian ke atas keseluruhan.

 

Hukum Solat

Hukum solat adalah fardu ain. Ertinya, ia wajib ditunaikan oleh semua orang Islam, yang berakal, baligh, berada dalam keadaan suci (bukan haid).

Dalil hukumnya adalah wajib ialah seperti berikut:

  • Al-Quran

Firman Allah ﷻ:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Menurut al-Imam Abu al-Husain al-Subki bahawa ayat ini dalil ijab (mewajibkan) solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah ta`dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun daripada sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi belum mumayyiz, baligh dan berakal. Rujuk Bahrul Muhit (2/59) oleh Imam Badruddin al-Zarkasyi.

Firman-Nya lagi:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Firman-Nya lagi:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Perkataan “hunafa” dalam ayat di atas merujuk kepada orang-orang yang berada dalam keadaan istiqamah terhadap agama mereka, lalu Allah menyuruh mereka untuk beribadah kepadanya dengan ikhlas sebagai syarat ketika melaksanakan solat dan mengeluarkan zakat.

Rujuk al-Hawi al-Kabir (2/3) oleh Imam al-Mawardi

Firman-Nya lagi:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا اطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa: 103)

Firman Allah ﷻ lagi pada menerangkan waktu-waktu solat:

فَسُبْحَانَ اللَّـهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ ﴿١٧﴾ وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ ﴿١٨﴾

Maksudnya: “(Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh. Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.”

(Surah al-Rum: 17-18)

Menurut Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bertasbih dalam ayat di atas bermaksud solat. Manakala “semasa berada pada waktu malam” bermaksud solat fardhu Maghrib dan Isyak, kemudian solat fardhu Subuh sewaktu pagi, solat fardhu Asar pada waktu petang dan solat fardhu Zohor pada waktu gelincir tengahari.

Rujuk al-Umm oleh Imam al-Syafie (1/86) dan al-Bayan fi al-Madzhab al-Syafie (2/20) oleh Imam Abu al-Hussain al-Imrani.

  • Sunnah Rasulullah ﷺ

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah ﷺ:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dibina Islam atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadhan.”

Riwatat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami: “Dibina Islam ertinya diasaskan, dan penggunaan perkataan bina, seperti mana yang diletakkan dalam hadis, untuk merujuk kepada kepada perkara-perkara yang boleh dicerap secara fizikal (mahsusat), untuk memberi maksud kiasan. Hubungannya adalah persamaan. Islam itu disamakan dengan binaan yang hebat dan kukuh. Tiang-tiangnya siap dengan pasak-pasak yang teguh lagi kukuh untuk menampuk bangunan tersebut.”

Rujuk al-Fath al-Mubin (189)

Daripada Muadz bin Jabal RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Tunjang segala urusan adalah Islam dan tiangnya adalah solat.”

Riwayat al-Tirmidzi dalam Sunan-nya (no. 2616) dengan sanad yang hasan (baik).

Oleh itu Imam al-Haramain al-Juwaini berkata:

الصلاة عماد الدين فمن ترك الصلاة فقد هَدم الدين

Maksudnya: “Solat itu adalah tiang agama maka barangsiapa yang meninggalkan solat, nescaya dia telah meruntuhkan agama.”

Rujuk Nihayah al-Matlab (2/5)

Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa tatkala Rasulullah ﷺ menghantar Muadz bin Jabal ke Yaman, baginda berpesan kepada beliau:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى، فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau akan bertemu dengan kaum daripada golongan Ahli Kitab, maka jadilah seawal-awal perkara yang engkau serukan kepada mereka ialah untuk mentauhidkan Allah, maka jika mereka telah mengetahuinya, lalu khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah menfardhukan ke atas mereka lima waktu solat pada waktu siang dan malam mereka.”

Riwayat al-Bukhari (7372)

  • Ijmak

Umat Islam seluruh zaman dan tempat telah bersepakat bahawa solat pada lima waktu sehari dan semalam adalah wajib, sehingga ia termasuk dalam urusan agama yang al-ma`lum min al-din bi al-dorurah (perkara agama yang diketahui secara mudah). Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/297) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini.

 

Syarat-Syarat Wajib Solat

Solat lima waktu sehari semalam sekalipun adalah fardhu ain, namun ia terikat dengan empat syarat wajib mengikut kepada keadaan manusia itu sendiri:

  • Islam

Justeru ia tidak wajib ke atas orang bukan Islam yang asal (bukan murtad) di dunia, justeru tidak wajib menuntut mereka solat kerana tidak sah solat melainkan oleh orang Islam. Namun orang bukan Islam akan dituntut untuk bertanggungjawab terhadap solat di akhirat dan mereka akan diseksa kerana meninggalkan, lantaran mereka mencuaikan tanggungjawab untuk memeluk Islam semasa di dunia dan melakukan solat.

Dalil kepada kenyataan di atas ialah firman Allah ﷻ:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ﴿٤٣﴾ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ ﴿٤٤﴾ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ ﴿٤٥﴾ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ ﴿٤٦﴾ حَتَّىٰ أَتَانَا الْيَقِينُ ﴿٤٧﴾

Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; "Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, "Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini".

(Surah al-Muddatstsir : 42-47)

Manakala untuk orang yang murtad, maka hukum wajib solat ke atasnya tidak terangkat kerana kemurtadannya, bahkan dia wajib menqadhakan semua solat-solat yang dia tinggal semasa dia murtad setelah dia kembali kepada Islam, sebagai hukuman berat atas kesalahan dia murtad. Adapun solatnya sebelum murtad itu tidak wajib diqadha’kan. Dalilnya adalah firman Allah ﷻ:

وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat”

(Surah al-Baqarah: 217)

Kata ulama, ayat ini memperkaitkan rosak binasa amalan itu dengan dua syarat; murtad dan mati dengan amalan, maka amalan yang dikaitkan dengan dua syarat itu tidak akan binasa hanya sebab berlaku salah satu daripada dua syarat. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/153) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.

Adapun orang bukan Islam yang memeluk Islam, dia tidak perlu mengqadha’kan solat-solat yang dia tidak lakukan sewaktu kafir dahulu kerana itu akan menakutkannya untuk masuk Islam, bahkan Imam al-Nawawi berkata dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/4) bahawa amalan kebajikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam sebelum memeluk Islam akan dianggap sebagai amalan yang diganjarkan pahala di akhirat kelak.

  • Baligh

Menurut Syeikh Salim al-Hadhrami dalam Matan Safinah al-Naja alamat baligh itu ada tiga:

  1. Sempurna umurnya 15 tahun (Qamariyyah) bagi lelaki dan perempuan;
  2. Bermimpi (keluar mani) bagi lelaki dan perempuan bagi yang umur 9 tahun ke atas;
  3. Kedatangan haid bagi perempuan yang umur 9 tahun ke atas;

Sebahagian ulama menambah bagi perempuan jika dia mengandung. Rujuk al-Mu`tamad (1/154).

Justeru, kanak-kanak dan bayi tidak diwajibkan solat, tetapi wajib diajar untuk solat pada umur 7 tahun dan dihukum dengan seumpama rotan pada umur 10 tahun jika enggan. Dalilnya adalah hadis Ali bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena (tidak dicatitkan sebagai dosa) daripada tiga golongan; daripada orang yang tidur sehingga dia sedar, daripada bayi sehingga dia bermimpi (baligh), dan daripada orang gila sehingga dia kembali beraqal.”

Riwayat Abu Daud (4403). Hadis ini dihukumkan sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim.

Daripada Amr bin Syuaib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ

Maksudnya: “Suruhlah anak-anak kalian untuk menunaikan solat pada umur tujuh tahun dan hendaklah pukul mereka jika merekan enggan pada umur 10 tahun.”

Riwayat Abu Dawud (no.495). Hadis ini dihasankan oleh al-Tirmidzi.

Seseorang kanak-kanak yang baligh semasa beribadah, contohnya cukup umur, maka solatnya itu sah dan tidak perlu dibatalkan atau diqadha’kan. Ruju al-Mu`tamad (Ibid).

  • Berakal

Justeru orang yang gila dan pitam tidak diwajibkan solat, dan tidak wajib mengqadha’kannya apabila mereka sedar, melainkan hanya sunat sahaja. Ini berdasarkan hadis Ali yang telah disebutkan sebelum ini.

Manakala bagi orang yang tidur, maka wajib dilaksanakan setelah sedar. Dalilnya ialah hadis Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلَاةِ، أَوْ غَفَلَ عَنْهَا، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللهَ يَقُولُ: {أَقِمِ الصَّلَاةِ لِذِكْرِي}

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian tidur sehingga meninggalkan solat, atau dia terlalai (atau terlupa) daripada melaksanakannya, maka hendaklah dia solat apabila dia mengingatinya kerana Allah berfirman: “Hendaklah didirikan solat untuk mengingati aku.”

Riwayat Muslim (no.684). Rujuk juga Surah Toha: 14.

Adapun orang yang meninggalkan solat kerana mabuk minum arak, atau mengambil dadah tanpa ada keperluan seumpama sakit, maka wajib ke atas mereka untuk mengqadha’kannya dengan segera, dan mereka berdosa kerana meninggalkan solat dan hilang akal sehingga meninggalkan solat.

  • Suci

Suci di sini bermaksud suci daripada haid dan nifas. Justeru, orang perempuan yang kedatangan haid dan nifas tidak wajib solat, dan tidak wajib mengqadha’kannya setelah suci. Dalilnya ialah hadis daripada Aisyah R.Anha:

كُنَّا نَحِيضُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَا نَقْضِي، وَلَا نُؤْمَرُ بِالْقَضَاءِ

Maksudnya: “Kami pernah didatangi haid sewaktu hidup Bersama Rasulullah ﷺ tetapi kami tidak pernah qadha’ dan kami tidak disuruh untuk qadha’.”

Riwayat Abu Daud (no. 262). Hadis yang sama makna turut dikeluarkan oleh al-Bukhari (no. 321).

Bahkan makruh tidak ada pahala bagi orang wanita yang mengqadha’kan solat mereka atas sebab haid kerana bertentangan dengan sunnah. Rujuk al-Mu`tamad (1/156).

 

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, jelas kepada kita bahawa alasan terlalu sibuk dengan pekerjaan berat bukanlah justifikasi untuk meninggalkan solat. Syariat Islam memberikan rukhsah yang pelbagai untuk memudahkan orang agar solat; seperti solat dalam keadaan duduk dan isyarat, menjamakkan solat kerana keuzuran, solat dalam keadaan takut yang tidak perlu menghadap kiblat, solat menghormati waktu, dan lain-lain. Justeru, seseorang itu apabila dia beriman kepada Allah ﷻ dan Hari Akhirat, nescaya dia tidak akan mencari jalan meninggalkan solat, sebaliknya menggunakan akal yang Allah ﷻ kurniakan untuk mencari jalan melaksanakan dalam keadaan apa sekalipun.

Akhirnya, kami sebutkan beberapan ancaman dan peringatan terhadapa orang yang meninggalkan solat tanpa keuzuran cukup banyak. Memadailah kami sebutkan di sini sebagai peringatan kepada kita semua.

  • Dimasukkan ke dalam Neraka Saqar

Firman Allah ﷻ:

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ﴿٤٣﴾ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ ﴿٤٤﴾ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ ﴿٤٥﴾ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ ﴿٤٦﴾ حَتَّىٰ أَتَانَا الْيَقِينُ ﴿٤٧﴾

Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; "Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; "Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; "Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, "Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini".

(Surah al-Muddatstsir : 42-47)

Siksaan dalam Neraka Saqar itu amat mengerikan. Allah ﷻ menerangkannya seperti dalam firman-Nya:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا سَقَرُ ﴿٢٧﴾ لَا تُبْقِي وَلَا تَذَرُ ﴿٢٨﴾ لَوَّاحَةٌ لِّلْبَشَرِ ﴿٢٩﴾ عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ ﴿٣٠﴾

Maksudnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat)."

(Surah al-Muddatstsir : 27-30)

  • Layak dihukum mati oleh pemerintah

Seseorang Muslim yang meninggalkan solat kerana malas atau main-main, bukan kerana keuzuran adalah berdosa besar tanpa syak. Hendaklah pemerintah mengarahkannya untuk solat dan mengqadha’kan solat-solat yang luput, serta bertaubat daripada dosanya meninggalkan solat. Jika dia enggan untuk bertaubat, maka dia boleh dihukum dengan seumpama hukuman mati dan nyawanya tidak lagi dipelihara dalam Hukum Syarak. Dalilnya ialah hadis Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahasa sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah, menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Apabila mereka melaksanakan demikian itu maka terpeliharalah nyawa mereka daripada aku, dan harta mereka, melainkan kerana hak Islam (yakni Hukum Syarak), dan perhitungan amalan mereka ada pada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (25)

Jika orang yang meninggalkan solat itu dihukum mati, maka dia tidak dikafirkan, justeru dia hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan diperkuburan orang Islam dan harta pusaka dibahagikan kepada para warisnya yang Islam. Rujuk al-Mu`tamad (1/157).

  • Hampir kepada kufur dan syirik

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya antara seorang individu dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (82)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/17) bahawa orang yang meninggalkan solat itu berkongsi dengan orang kafir, atau murtad, pada sebahagian hukum iaitu diwajibkan untuk membunuh mereka, serta terdapat kemungkinan mereka meninggalkan solat kerana menentang hukum atau mengingkari kewajipannya, atau sengaja menghina serta merendah-rendahkannya.

  • Hidup dalam keadaan malang dan sempit

Firman Allah ﷻ:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

(Surah Toha: 124)

Firman-Nya:

مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ

Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.”

(Surah al-Nisa’: 79)

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa diriwayatkan Rasulullah ﷺ bersabda:

الشُّؤْمُ سُوءُ الْخُلُقِ

Maksudnya: “Kesialan itu pada buruknya akhlak.”

Riwayat Ahmad (24547)

Berkata Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lataif al-Ma’arif (ms.110): ‘Setiap masa yang disibukkan oleh seorang hamba dengan maksiat kepada Allah, maka ia sememangnya malang. Pada hakikatnya sial dan malang itu ialah maksiat kepada Allah Taala.”