Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-375: HUKUM MENJAWAB PANGGILAN IBU KETIKA SOLAT SUNAT

SOLAT IBU PANGGIL.JPG

 

Soalan:

Benarkah jika ibu memanggil kita ketika sedang solat sunat, kita diwajibkan berhenti dan menyahut panggilan ibu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pertamanya, perlu dinyatakan bahawa para ulama bersepakat tidak boleh untuk seseorang itu membatalkan solat fardhunya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T:

وَلا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.

Surah Muhammad (33)

Berdasarkan ayat di atas, seseorang itu dilarang untuk membatalkan amalannya sama ada melakukan perbuatan yang boleh membatalkan seluruh amalan soleh iaitu murtad, ataupun seseorang yang telah mengerjakan sesuatu ibadah seperti puasa dan solat fardhu membatalkannya iaitu memberhentikannya dengan sengaja tanpa ada sebarang sebab yang munasabah di sisi syarak.

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, ayat di atas bermaksud adalah haram membatalkan amalan fardhu sahaja; adapun bagi ibadah sunat, diharuskan untuk membatalkannya berdasarkan hadith:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيرُ نَفْسِهِ ، إِنْ شَاءَ صَامَ ، وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.

Dan dalam lafaz yang lain menyebut: أَمِينُ نَفْسِهِ

Jami’ al-Tirmizi (732)

Tambah Imam Ibn Hajar lagi, jika membatalkan amalan-amalan sunat ini tanpa keuzuran atau keperluan seperti membatalkan puasa untuk melayani tetamu, maka hukumnya ialah makruh. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj 14/94)

 

Membatalkan solat kerana menyahut panggilan ibu bapa

Dalam isu ini, terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad SAW menyampaikan kisah berkenaan Juraij:

كَانَ جُرَيْجٌ يَتَعَبَّدُ فِي صَوْمَعَةٍ فَجَاءَتْ أُمُّهُ ‏.‏ قَالَ حُمَيْدٌ فَوَصَفَ لَنَا أَبُو رَافِعٍ صِفَةَ أَبِي هُرَيْرَةَ لِصِفَةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أُمَّهُ حِينَ دَعَتْهُ كَيْفَ جَعَلَتْ كَفَّهَا فَوْقَ حَاجِبِهَا ثُمَّ رَفَعَتْ رَأْسَهَا إِلَيْهِ تَدْعُوهُ فَقَالَتْ يَا جُرَيْجُ أَنَا أُمُّكَ كَلِّمْنِي ‏.‏

فَصَادَفَتْهُ يُصَلِّي فَقَالَ اللَّهُمَّ أُمِّي وَصَلاَتِي ‏.‏ فَاخْتَارَ صَلاَتَهُ فَرَجَعَتْ ثُمَّ عَادَتْ فِي الثَّانِيَةِ فَقَالَتْ يَا جُرَيْجُ أَنَا أُمُّكَ فَكَلِّمْنِي ‏.‏ قَالَ اللَّهُمَّ أُمِّي وَصَلاَتِي ‏.‏ فَاخْتَارَ صَلاَتَهُ فَقَالَتِ اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا جُرَيْجٌ وَهُوَ ابْنِي وَإِنِّي كَلَّمْتُهُ فَأَبَى أَنْ يُكَلِّمَنِي اللَّهُمَّ فَلاَ تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ الْمُومِسَاتِ ‏.‏ قَالَ وَلَوْ دَعَتْ عَلَيْهِ أَنْ يُفْتَنَ لَفُتِنَ

Maksudnya: Juraij adalah seorang yang sangat kuat beribadat di satu ruang khusus untuk ibadat, dan suatu hari ibunya datang ketika dia sedang solat. Humaid (perawi hadith ini) berkata Abu Rafi’ menggayakan gaya ibu Juraij tersebut seperti yang ditunjukkan oleh Abu Hurairah yang digayakan oleh Rasullah SAW sendiri, dimana ibu Juraij ketika memanggil anaknya dengan meletakkan tapan tangan pada keningnya dan mengangkat kepalanya seraya memanggil: “Wahai Juraij, ini ibumu, bercakaplah denganku.”

Ibunya mendapati Juraij sedang solat, dan Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang khusyuk dalam solat”. Dia memilih untuk terus solat, lalu ibunya pulang dan datang pada kali kedua dan berkata: “Wahai Juraij, ini ibumu, bercakaplah denganku.” Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang khusyuk dalam solat”. Dia memilih untuk terus solat

Ibunya berkata: Ya Allah, Juraij anakku ini, aku berhajat ingin bercakap dengannya tapi dia enggan. Ya Allah, jangan Kamu matikannya hinggalah dia berjumpa (digoda oleh) pelacur; jika sekiaranya ibunya mendoakan balasan buruk ke atas Juraij, nescaya dia akan ditimpa balasan buruk tersebut..

Sahih Muslim (2550)

Sambungan hadith ini menceritakan di mana doa ibunya dimakbulkan, dan Nabi Muhammad SAW tidak mengingkari doa ibu tersebut dan memperakuinya.

Imam al-Nawawi memasukkan hadith ini di bawah bab “Mendahulukan Berbuat Baik kepada Ibu Bapa Berbanding Solat Sunat dan Ibadat Sunat yang Lain. Menurut beliau, para ulama berpandangan perkara yang sepatutnya dilakukan Juraij ialah menyahut seruan ibunya, kerana solat tersebut ialah sunat, dan meneruskan solat sunat hukumnya sunat bukannya wajib; adapun menyahut panggilan ibu dan berbuat baik kepadanya ialah wajib, manakala derhaka kepadanya haram. Dia juga sebenarnya boleh meringkaskan solat dan segera menyahut panggilan ibunya, kemudian kembali solat. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 16/105)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula, adalah diharuskan untuk membatalkan solat secara mutlak, samada solat sunat atau fardhu untuk menyahut panggilan ibu, dan ini merupakan salah satu pandangan dalam mazhab Syafi’e. Namun yang lebih tepat disisi para ulama Syafi’iyyah ialah jika sedang solat sunat, dan diyakini jika ibu bapa akan berkecil hati jika tidak disahut, maka wajib menyahut panggilannya dalam keadaan tersebut.

Sementara para ulama mazhab Maliki pula menyatakan menjawab panggilan ibu bapa ketika solat sunat adalah lebih afdhal berbanding meneruskan solat tersebut, dan Qadhi Abu al-Walid Ibn Rusyd menyatakan hukum ini hanya khusus kepada ibu sahaja, bukannya bapa, dan ini juga pandangan yang dinukilkan Makhul bin Abu Muslim, salah seorang ulama tabi’in.(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 6/482-483)

Namun di sana terdapat juga sudut pandang yang menarik dalam mazhab Hanafi, antaranya jika ibu atau bapa memanggil anaknya sedangkan dia tahu anaknya sedang solat, maka anaknya tidak boleh menyahut; ini kerana perbuatan memanggil anak sedangkan diketahui dia sedang solat merupakan satu bentuk maksiat, dan kaedah agama menyatakan tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat. Adapun jika ibu bapa memanggil dalam keadaan tidak tahu, maka hendaklah anak menyahutnya berdasarkan kisah Juraij di atas. (Rujuk Radd al-Muhtar wa Hasyiah Ibn Abdin 1/478)

Berdasarkan hadith Juraij dan nas para ulama mazhab Syafi’e, Hanafi serta Maliki di atas, kami simpulkan bahawa hukum menyahut panggilan ibu bapa ketika solat sunat perlu diperhalusi dan dilihat kepada keadaan dan konteks.

Jika dia dibimbangi ibu bapa berkecil hati atau marah, hendaklah dia menyahut panggilan mereka. Adapun sekiranya panggilan tersebut bukan pada perkara yang mustahak, atau diyakini kedua ibu bapa tidak akan marah dan berkecil hati jika panggilan mereka tidak dijawab, maka solat sunat hendaklah diteruskan seperti biasa dan segera menyahut panggilan mereka setelah selesai solat.

Sementara pandangan Makhul dan Ibn Rusyd yang mengkhususkan hukum keharusan membatalkan solat untuk menyahut panggilan ibu sahaja, dan tidak untuk panggilan bapa juga menurut hemat kami ada sandaran yang kukuh, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ يُوصِيكُمْ بِأُمَّهَاتِكُمْ، ثُمَّ يُوصِيكُمْ بِأُمَّهَاتِكُمْ، ثُمَّ يُوصِيكُمْ بِآبَائِكُمْ، ثُمَّ يُوصِيكُمْ بِالأَقْرَبِ فَالأَقْرَبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT berwasiat untuk kamu berbuat baik kepada ibumu, kemudian kepada ibumu, kemudian kepada bapamu, dan kemudian kepada kaum kerabat yang terdekat.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (60)

Begitu juga dengan hadith riwayat Abu Hurairah RA, dimana ada sahabat yang bertanya kepada siapa dia paling perlu berbuat baik:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَبَرُّ قَالَ ‏"‏ أُمَّكَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏"‏ أُمَّكَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏"‏ أَبَاكَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏"‏ الأَدْنَى فَالأَدْنَى

Maksudnya: Wahai Rasulullah, siapa yang perlu aku berbuat baik padanya? Rasulullah menjawab “Ibumu”. Dia bertanya kemudian siapa? Rasulullah menjawab “Ibumu”. Dia bertanya kemudian siapa? Rasulullah menjawab “Bapamu”. Dia bertanya kemudian siapa? “Kaum kerabat dan sanak-saudara yang terdekat.

Sunan Abi Dawud (3140), Jami’ Tirmizi (1897) dan Sunan Ibn Majah (3658)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa adalah haram membatalkan solat fardhu untuk menyahut panggilan ibu bapa berdasarkan keumuman dalil al-Quran yang melarang kita membatalkan amalan fardhu, kecuali jika panggilan tersebut adalah dalam keadaan darurat dan memerlukan, seperti meminta tolong kerana terjatuh, urusan kecemasan dan seumpamanya.

Adapun ketika solat sunat, adalah wajib bagi seorang anak untuk menyahut panggilan ibu bapanya jika diyakini kedua mereka akan merasa marah atau berkecil hati jika panggilan tidak bersahut, wajib juga ibu bapa tidak mengetahui si anak sedang solat sunat, dan wajib juga menyahut jika dalam keadaan memerlukan.

Jika panggilan tersebut bukan perkara mustahak, atau diyakini kedua ibu bapa tidak akan marah dan berkecil hati, maka solat sunat hendaklah diteruskan seperti biasa dan segera menyahut panggilan mereka setelah selesai solat.

Wallahu a’lam.