Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 428 : TEMPOH ‘IDDAH BAGI WANITA YANG KEGUGURAN

IF428

Soalan:

Saya seorang wanita yang baru kematian suami dan sedang hamil 4bulan. Baru-baru ini saya telah mengalami keguguran. Bagaimanakah dengan tempoh ‘iddah saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ ۚ وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ

أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak ada haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu ‘iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya”.

(Surah Al-Talaq: 4)

DEFINISI ‘IDDAH DAN KEGUGURAN

‘Iddah ialah kata nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang wanita untuk menunggu, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85). Manakala keguguran ialah  janin yang keluar dari perut ibunya dalam keadaan mati sebelum cukup tempoh masanya.” (Rujuk: Nihayah al-Zain, 1/156).

‘IDDAH BAGI WANITA YANG HAMIL

Para ulama’ mengatakan ‘iddah bagi wanita yang hamil ialah dengan melahirkan anak berdasarkan ayat al-quran yang telah disebutkan sebelum ini. Berbalik kepada persoalan di atas, bagaimana pula mengenai tempoh ‘iddah bagi wanita yang mengalami keguguran.

Para ulama’ berbeza pandangan pandangan mengenai ‘iddah wanita yang keguguran mengikut fasa perkembangan janin iaitu fasa ‘alaqah dan mudghah. ‘Alaqah ialah mani yang menempel pada rahim wanita dan berubah menjadi segumpal darah iaitu tempohnya tidak kurang 40 hari yang dikira dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan. Manakala mudhghoh iaitu segumpal darah yang berubah menjadi segumpal daging iaitu tempohnya tidak kurang 80 hari yang dikira dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan.

Disi mazhab Syafie, para ulama’ mengatakan tempoh ‘iddah wanita yang mengandung berakhir setelah keluarnya janin dalam kandungan yang sudah berbentuk manusia (iaitu memiliki kepala, tangan, kaki, mata, telinga dan mulut) samada dalam keadaan hidup atau mati.

Berkata Imam Khatib Al-Syarbini: “Dan berakhirnya ‘iddah apabila keluarnya janin sekalipun sudah meninggal dunia berdasarkan keumuman ayat al-quran sebelum ini. Dan tidak diiktibar habisnya ‘iddah dengan keluarnya janin dalam bentuk alaqah kerana ia adalah air mani yang menempel pada dinding rahim dan kemudiannya berubah menjadi segumpal darah, maka jika janin yang keluar berupa ‘alaqah, maka wanita tersebut tidak diiktibar hamil kerana ia masih berupa gumpalan darah dan dihukum selesai ‘iddahnya dengan keluarnya mudhghoh iaitu segumpal darah yang berubah menjadi segumpal daging.” Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 5/85). 

Berkata Imam al-Ramli: Dan berakhirnya ‘iddah apabila keluarnya janin sekalipun sudah meninggal dunia, dan bukannya dalam keadaan ‘alaqah kerana ianya bukan dinamakan kandungan dan tidak dapat dipastikan bahawa ianya adalah awal kejadian manusia. Adapun berakhirnya ‘iddah sekiranya keluar janin dalam keadaan mudghah sekalipun rupa kandungan itu samar (jika telah disahkan oleh para bidan atau pakar perubatan) atau sekiranya rupa kandungan itu jelas kelihatan berbentuk manusia (iaitu memiliki kepala, tangan, kaki, mata, telinga dan mulut) atau sekiranya tidak kelihatan rupanya tetapi disahkan oleh bidan atau pakar perubatan bahawa ianya adalah kandungan yang sebenar kerana hal tersebut telah mencapai matlamat bara’ah al-rahim (bersihnya rahim dari kandungan)”. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 7/134).

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan sekiranya seorang wanita itu melahirkan kandungan yang sudah berbentuk manusia, maka berakhirlah ‘iddahnya, dan sekiranya yang keluar itu janin dalam bentuk mudghah dan tidak kelihatan rupa manusia dan bersaksi empat orang bidan bahawa janin tersebut ialah awal kejadian manusia (kandungan yang sebenar), maka terdapat dua pandangan dalam hal ini, dan salah satunya mengatakan bahawa hal tersebut boleh menggugurkan ‘iddah”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 18/124).

Berkata Imam al-Nawawi: “Dan sekurang-kurang tempoh ‘iddah bagi perempuan yang mengandung ialah tidak kurang 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan hingga sempurna keguguran. Hal ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك 

Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari)….”

Hadis riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

(Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 18/124).

Terdapat di dalam Fatwa Dar al-Ifta' al-Misriyah: “Sekiranya janin yang gugur itu kelihatan rupa manusia sekalipun dalam keadaan samar, seperti nampak tangan, kaki, kuku dan sebagainya maka darah yang keluar itu dihukumkan nifas dan hal tersebut menggugurkan ‘iddah wanita tersebut. Adapun sekiranya janin tersebut tidak kelihatan rupa manusia seperti janin yang keluar dalam keadaan mudghah tetapi tidak kelihatan rupa manusia, atau keluar dalam bentuk ‘alaqah atau mani, maka keadaan ini tidak menggugurkan ‘iddah, dan darah yang keluar tersebut tidak dihukumkan nifas, dan ke atasnya (wanita tersebut) untuk ber’iddah sebagaimana ‘iddah yang kebiasaan iaitu tiga kali suci”. (Rujuk: Fatawa Dar al-Ifta' al-Misriyah, 2/99).

Disebut di dalam Garis Panduan Ber`iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bahawa:

‘Iddah wanita yang sedang mengandung ialah sehingga melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar. (Rujuk: http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/124-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami).

Justeru, ‘iddah bagi wanita mengandung yang mengalami keguguran berakhir sekiranya janin yang keluar dalam bentuk mudghah (segumpal daging) dan kelihatan rupanya secara jelas atau samar (mempunyai kepala, tangan, kuku dan sebagainya) atau tidak kelihatan rupanya tetapi dengan syarat semua keadaan ini mestilah mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa ianya adalah kandungan yang sebenar. Sekiranya janin yang keluar dalam bentuk ‘alaqah maka ia dianggap sebagai gumpalan darah dan bukannya kandungan yang sebenar. Oleh itu ketika berlaku keguguran yang tidak dianggap sebagai kandungan yang sebenar maka wanita itu akan mengambil hukum wanita yang tidak hamil berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut ‘al-aslu bara’ah al-zimmah' iaitu keadaan asal seorang wanita itu bebas dari tanggungan atau kosongnya rahim. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 5/79). Justeru keadaan ini (‘alaqah) tidak menggugurkan hukum ‘iddah dan wajib bagi wanita tersebut ber’iddah menurut kebiasaan seperti wanita lain.

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Proses kejadian manusia adalah melalui beberapa fasa di antaranya nutfah, alaqah, mudghah. ‘Alaqah ialah mani yang menempel di rahim wanita dan berubah menjadi segumpal darah iaitu tempohnya selepas 40 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan. Manakala mudghah ialah segumpal darah yang berubah menjadi segumpal daging iaitu tempohnya selepas 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan.
  • ‘Iddah bagi wanita yang mengandung dan mengalami keguguran berakhir apabila gugurnya kandungan dalam bentuk mudghah (segumpal daging) iaitu selepas 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan hingga sempurna keguguran dengan syarat hal tersebut mestilah disahkan oleh pakar perubatan bahawa ia adalah kandungan yang sebenar.
  • Adapun janin yang keluar dalam bentuk ‘alaqah (segumpal darah) iaitu kurang daripada 80 hari dari waktu kemungkinan berlakunya persetubuhan hingga sempurna keguguran maka hal tersebut dianggap sebagai darah (segumpal darah) dan tidak dianggap sebagai kandungan yang sebenar. Maka, ia tidak menggugurkan ‘iddah dan wajib ke atasnya ber’iddah seperti wanita lain iaitu tiga kali suci bagi wanita yang diceraikan suami atau empat bulan sepuluh hari bagi wanita yang kematian suami. Wallahu a’lam.

Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.