Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 508 : ADAKAH BOLEH BAGI WANITA YANG SEDANG HAID TURUT SERTA MENYEMBELIH BINATANG?

IF 508

Soalan :

Assalamualaikum ustaz.  Moga musibah yang sedang menimpa kita ini segera diangkat. Saya ada satu soalan. Adakah wanita yang sedang haid dibolehkan untuk menyembelih lembu atau kambing?. Saya dengar yang wanita dalam keadaan haid tidak dibolehkan untuk menyembelih takut kotor pada dagingnya nanti.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sembelihan ada salah satu cara untuk menjadikan haiwan-haiwan halal dimakan dagingnya. Haram hukumnya memakan daging binatang tanpa disembelih terlebih dahulu kerana pada ketika ia tidak disembelih dianggap sebagai bangkai. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّـهِ بِه

Maksudnya : “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah…”

(Surah Al-Maidah : 3)

Yang dinamakan sebagai sembelihan yang sah adalah ketika mana terputusnya halkum dan urat mariyy.Sheikh Zakariyya Al-Ansari menyebut :

فالذبح الشامل للنحر، وقتل غير المقدور عليه بما يأتي قطع حلقوم وهو مجرى النفس ومرئ وهو مجرى الطعام من حيوان مقدور

Maksudnya : “Sembelihan itu termasuklah Al-Nahr dan membunuh haiwan yang tidak boleh dimatikan dengan cara yang biasa adalah memutuskan halqum iaitu saluran pernafasan dan juga memutuskan urat mariyy iaitu saluran makanan bagi haiwan.” (Rujuk Fath Al-Wahhab Syarh Minhaj Al-Tullab, 2/333)

Para ulama juga mensyaratkan agar sembelihan itu dilakukan oleh orang muslim. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya : “…Kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)…”

(Surah Al-Maidah : 3)

Ayat ini pada asasnya ditujukan kepada muslim.Imam Al-Nawawi menyebut :

الاول الذابح والعاقر يشترط كونه مسلما أو كتابيا

Maksudnya : “Syarat sembelihan yang pertama adalah orang yang menyembelih  disyaratkan agar dari kalangan orang Muslim atau ahli kitab.” (Rujuk Raudhah Al-Talibin, 2/505).

Sheikh Zakariyya Al-Ansari menyebut :

الْأَوَّلُ الذَّابِحُ أَوْ الصَّائِدُ وَشَرْطُهُ مُسْلِمٌ أَوْ كِتَابِيٌّ يُنَاكَحُ أَهْلُ مِلَّتِهِ أَيْ يَحِلُّ لَنَا مُنَاكَحَتُهُمْ

Maksudnya : “Rukun pertama sembelihan atau buruan adalah seorang penyembelih dan syaratnya ialah mesti seorang muslim atau ahli kitab yang halal untuk kita nikahi.” (Rujuk Asna Al-Matalib Syarh Raudh Al-Talib, 7/65).

Sheikh Taqiyuddin Al-Husaini Al-Hisni menyebut :

يعتبر في الذابح لحل الذبيحة إما كونه مسلما أو كتابيا

Maksudnya : “Disyaratkan bagi seorang penyembelih agar sembelihannya halal dimakan adalah mesti dari kalangan orang muslim atau ahli kitab

Bagi penyembelih pula tidak disyaratkan sama ada lelaki atau perempuan. Asalkan sembelihan tersebut memenuhi syarat utama iaitu putus halkum dan urat mariyy maka sah sembelihan tersebut. Kami telah mengulas berkenaan hukum sembelihan wanita adakah sah atau tidak dalam ruangan Irsyad Al-Fatwa siri ke 277[1]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, wanita yang sedang haid dibolehkan menyembelih lembu atau haiwan-haiwan yang lain. Bahkan sah sembelihan mereka. Ini berdasarkan hadis Riwayat Ka’ab Bin Malik. Beliau berkata :

أَنَّ امْرَأَةً ذَبَحَتْ شَاةً بِحَجَرٍ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَأَمَرَ بِأَكْلِهَا

Maksudnya :”Seorang wanita menyembelih seekor kambing. Kemudian ditanya kepada Rasulullah SAW tentang sembelihan tersebut. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan untuk makan sembelihan yang dilakukan wanita tersebut.”

                                                    Riwayat Al-Bukhari (5504)

Imam Al-Nawawi menyebut :

تحل ذبيحة المرأة بلا خلاف لحديث كعب بن مالك المذكور في الكتاب وذكاة الرجل أفضل من ذكاتها لما ذكره المصنف وسواء كانت المرأة حرة أو أمة طاهرا أو حائضا أو نفساء مسلمة أو كتابية فذبيحتها في كل هذه الاحوال حلال

Maksudnya : “Halal sembelihan wanita tanpa khilaf lagi berdasarkan hadis Ka’ab Bin Malik yang telah disebutkan  dan sembelihan lelaki lebih baik dari sembelihan wanita seperti mana yang disebutkan oleh pengarang (Imam Al-Syirazi) sama ada wanita tersebut merdeka atau hamba atau dalam keadaan haid atau nifas. Sama ada Muslimah atau ahli kitab maka sembelihan mereka dalam semua keadaan tersebut adalah halal.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/76).

Beliau juga menukilkan pandangan Ibnu Munzir di mana beliau mengatakan bahawa berlakunya ijmak berkenaan halalnya hukum sembelihan orang yang berjunub apatahlagi wanita yang haid atau nifas. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/77).

Kesimpulannya, sembelihan wanita yang sedang haid adalah sah. Yang paling penting dia adalah seorang muslimah dan mesti memenuhi syarat sembelihan yang utama seperti terputusnya halkum dan urat mariyy. Jika ini dipenuhi maka sembelihan itu adalah sah tidak kiralah wanita itu dalam keadaan haid, nifas atau sebagainya.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik di dalam agama. Wallahu’alam.

 

[1] Rujuk pautan https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2902-irsyad-al-fatwa-277-hukum-sembelihan-wanita-2