Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 537 : SEPUTAR ISU BISNES "LIKE & SHARE" : JAUHILAH URUSNIAGA YANG MENJANJIKAN KEUNTUNGAN DENGAN CARA MUDAH

Hukum Like Share

SOALAN :

Assalamualaikum wbt, S.S. Dr. Mufti. Apakah hukumnya kita menyertai bisnes Like & Share seperti ISharefans ? Mohon penjelasan Dr, terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN :

Bisnes Like & Share seperti ISharefans mempunyai elemen-elemen yang tidak patuh syariah iaitu Gharar (ketidakpastian) dan Ghisy (penipuan dan manipulasi). Oleh yang demikian hukumnya adalah haram dan umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan skim pelaburan seperti ini.  Selain itu, umat Islam turut disarankan untuk mengambil pendekatan seperti al-tabayyun (meneliti) dan al-ihtiyat (berhati-hati) sebelum menyertai mana-mana skim yang menawarkan keuntungan dengan cara yang mudah. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kerosakan terhadap harta milik umat Islam sehingga boleh menjejaskan ekonomi dengan lebih teruk mereka di kemudian hari.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dari segi perjalanan aktiviti bisnes “Like & Share” ini, pada mulanya, kesemua peserta yang berdaftar akan dikelaskan pada tahap permulaan yang diistilahkan sebagai “Ordinary” atau “Normal”. Pada peringkat ini, mereka hanya diberikan sebanyak 1 hingga 3 buah task sahaja dalam tempoh sehari. Tugas yang diberi ialah melakukan “like dan share“ di laman Tik Tok atau You Tube. Manakala kadar upah yang diberikan pula adalah RM 1 bagi setiap “task” (kerja). Hal ini bermaksud, pulangan yang bakal diperoleh peserta yang berada pada “level” ini adalah dalam lingkungan RM 3 sehari. Keuntungan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun peserta. Seterusnya, jika para peserta ingin mendapatkan lebih banyak “task” dan kadar pulangan, mereka dikenakan syarat untuk membayar sebanyak RM 100 – RM 9000 kepada pihak syarikat. Dalam maksud yang lain, telah berlaku urusniaga yang melibatkan pertukaran di antara kedua-dua belah pihak.

Pada awalnya, aktiviti ini mendapat sambutan yang positif apabila operasi perniagaan mereka dilihat berjalan dengan lancar. Dari aspek pembahagian “task” dan bayaran “withdrawal” (upah), kesemua peserta seolah-olah berpuas hati dengan sistem tersebut. Malah, ada dalam kalangan mereka yang berjaya mendapat pulangan sehingga mencecah 4-5 angka dalam sebulan. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan agenda sebenar di sebalik aktiviti ini telah berjaya dibongkarkan. Semakin ramai peserta yang membuat aduan berkenaan kelewatan pembayaran upah oleh pihak syarikat. Sesetengah mereka juga mendakwa pihak syarikat bersikap tidak profesional apabila tidak menjawab panggilan yang dibuat oleh para peserta.  

Jika diimbas kembali beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini, sememangnya ramai individu yang telah menjadi mangsa penipuan skim-skim yang menawarkan keuntungan dengan cara yang mudah. Hal ini kerana, dalam menjayakan agenda ini, lazimnya pihak pengendali akan mengaburi mata orang ramai dengan mengguna pakai istilah seperti perniagaan ataupun pelaburan. Rentetan daripada itu, rata-rata individu beranggapan ia adalah suatu alternatif yang bakal menguntungkan diri mereka. Walhal, matlamat sebenarnya hanyalah bertujuan mengaut keuntungan dengan mengumpul sebanyak mungkin wang yang telah dilabur ataupun dibayar oleh para peserta.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan daripada berlakunya pengulangan kejadian yang sama pada masa akan datang, pihak kami berasa terpanggil untuk memberikan penjelasan kepada umum sebagai panduan sebelum melaburkan wang dalam mana-mana skim perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan pulangan dengan cara yang mudah.  

Merujuk kepada isu bisnes “Like & Share” ini, meskipun dari sudut akadnya dilihat memenuhi rukun-rukun yang ditetapkan kerana ia boleh dianggap sebagai ju’alah ataupun upah, namun pada masa yang sama pihak kami turut mendapati terdapat kecacatan yang menjejaskan urusniaga. Hal ini kerana, terdapat beberapa unsur di dalamnya yang boleh membawa kepada justifikasi hukum yang lebih cenderung kepada haram, antaranya adalah :-

1)       Wujud elemen Gharar

Lazimnya, setiap syarikat yang menjalankan perniagaan sudah pasti akan mendedahkan identiti sebenar mereka kepada umum. Hal ini bagi membuktikan ketelusan dan keteraturan mereka dalam menawarkan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, setelah menyemak beberapa laman sesawang kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam aktiviti “Like & Share” ini, terdapat keraguan yang jelas apabila mereka tidak melampirkan bersama butiran kakitangan yang terlibat. Perkara ini dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada umum dan mempunyai motif yang tersendiri.

Pada masa yang sama, ia menunjukkan tiada individu khusus yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang kesilapan sehingga mendatangkan kerugian yang besar kepada para peserta yang terlibat. Oleh itu, bentuk perniagaan sebegini mengandungi elemen Gharar ataupun ketidakpastian yang ditegah oleh syarak daripada menyertainya. Dibimbangi motif utama pelaksanaan aktiviti perniagaan ini adalah bertujuan mengaut keuntungan dengan cara mewujudkan tipu daya kepada peserta yang terlibat dengannya. Justeru, larangan daripada menzalimi harta orang lain dengan cara yang salah ini telah dijelaskan menerusi firman Allah S.W.T :-

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya : “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.”

Surah Al-Baqarah (188)

Selain itu, Rasulullah S.A.W juga melarang keras sebarang bentuk urusniaga yang memiliki ciri-ciri ketidakpastian ini. Hal ini kerana ia berupaya mendedahkan seseorang itu kepada situasi yang memudaratkan. Sabda Rasulullah S.A.W :-

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya : “Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W melarang jual beli melempar batu dan jual beli sesuatu yang tidak pasti.”

                                                              Riwayat Muslim (1513)

Justeru, berdasarkan dalil-dalil di atas, sewajarnya kita sebagai umat Islam mempunyai sikap yang berwaspada terutamanya dengan menjauhi urusniaga dengan syarikat-syarikat yang diragui dari sudut latar belakang organisasi mereka. Antara parameter yang dapat dijadikan sebagai ukuran dalam mengenal pasti sama ada sesebuah syarikat itu diyakini ataupun tidak adalah dengan merujuk kepada badan-badan berautoriti seperti pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain. Ketiadaan dalam senarai badan-badan tersebut memberikan isyarat bahawa terdapat keraguan yang besar dari sudut operasi mereka.

2)       Wujud Elemen Manipulasi & Penipuan (al-Ghisy)

Selain daripada unsur gharar, bisnes “Like & Share” yang dipraktiskan oleh beberapa buah syarikat ini juga mengandungi elemen lain seperti al-Ghisy (penipuan). Berdasarkan operasi aktiviti ini, para peserta diminta untuk membuat pembayaran dengan jumlah tertentu bagi mendapatkan akses kerja yang lebih banyak. Dengan itu, peserta yang membayar jumlah yang lebih tinggi berpotensi untuk mendapat pulangan yang boleh mencecah hingga ribuan ringgit dalam tempoh sebulan.

Walau bagaimanapun, timbul kemusykilan apabila pembayaran wang daripada para peserta tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun milik syarikat. Sebaliknya, ia disalurkan kepada akaun peribadi milik perseorangan. Situasi sebegini secara tidak langsung mempamerkan salah satu bentuk manipulasi kepada peserta yang terlibat. Sebarang perbuatan yang jelas terarah kepada penipuan adalah bercanggah dengan firman Allah SWT yang memerintahkan manusia agar sentiasa menegakkan keadilan serta menjauhi penindasan ke atas manusia yang lain. Firman Allah taala :

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Surah al-Nahl (90)

Bahkan, larangan ini juga telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa baginda bersabda :

مَن غشَّ فلَيسَ منّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menipu, maka dia bukanlah dari golongan kami.”

Riwayat al-Tirmidzi (1315)

Kewujudan elemen seperti penipuan dan penindasan ini secara tidak langsung menyalahi kaedah fiqh yang menekankan soal keadilan dalam melakukan akad :

الأَصْلُ فِيْ جَمِيعِ العُقُوْدِ العَدْلُ

Maksudnya: “Asas di dalam setiap akad adalah keadilan.”   

(Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/7)

Kesimpulan

Konklusinya, pihak kami menyarankan kepada umat Islam di negara ini untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang mempunyai elemen-elemen seperti Gharar dan Ghisy sebagaimana yang terdapat dalam bisnes Like & Share yang dibincangkan di atas. Selain itu, umat Islam turut disarankan untuk mengambil pendekatan seperti al-tabayyun (meneliti) dan al-ihtiyat (berhati-hati) sebelum membuat sebarang pelaburan terhadap mana-mana skim yang menjanjikan keuntungan dengan cara yang mudah. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kerosakan terhadap harta milik umat Islam sehingga boleh menjejaskan ekonomi dengan lebih teruk mereka di kemudian hari. Usaha pencegahan ini sekaligus bertepatan dengan kaedah :

دَرْءُ المَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ المَصَالِحِ

Maksudnya : Menolak kerosakan itu lebih diutamakan berbanding dengan mencapai kebaikan.

Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan rezeki yang baik kepada kita semua khususnya dalam mendepani cabaran getir kehidupan ketika ini.

Wallahu a’lam.