Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 541 : HUKUM PENGIKLANAN BERUNSUR LUCAH

Ad

 

SOALAN

Assalamulaikum, saya ternampak iklan produk dipamerkan di billboard (papan iklan bersaiz gergasi) tepi jalan dan  lebuh raya yang mempunyai unsur lucah. Persoalannya, apakah  hukum pengiklanan yang terdapat unsur lucah bagi mempromosikan produk mereka. Antara   produk yang biasa menggunakan “tagline”  yang dikaitkan dengan seks ialah  produk kosmetik dan  jamu.   Mohon pencerahan S.S Mufti. Terima Kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

  • Mempromosikan produk menggunakan tagline yang berunsur lucah adalah haram. Bahkan, penglibatan wanita mahupun lelaki sebagai model pengiklanan yang berunsur seks turut dilarang bagi menjaga maruah mereka.
  • Pengharaman ini juga bertujuan untuk menutup pintu-pintu kemaksiatan dan ancaman fitnah berdasarkan kaedah Sadd al-Dzara’i.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat  tagline pengiklanan  menggunakan ayat penerangan berbaur lucah  untuk menunjukkan produk yang bersifat seksual  terbukti  berkesan dan mujarab. Strategi penyampaian iklan  dilihat tidak sopan  apabila menzahir ayat-ayat yang mengambarkan aset-aset pribadi wanita mahupun lelaki. Hal tersebut jelas tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia  selain bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Di samping itu, model wanita sering dipamerkan sebagai subjek pengiklanan tersebut.

Perintah Menjaga Kehormatan Dan Larangan Menzahirkan Aurat

Aurat adalah angggota badan yang tidak boleh dinampakkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (31/44).

Umat Islam disyariatkan untuk memelihara aurat dan menjaga maruah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا 

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya

Surah al-Nur (31)

Tafsiran ayat   وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ,   membawa maksud memelihara kehormatan dengan cara menutup aurat dan menjaga diri daripada perbuatan zina (Rujuk Tafsir al-Baidhawi 4/104).  Memelihara kehormatan daripada perlakuan keji atau memelihara  diri  daripada pandangan manusia  ( Rujuk  Tafsir al-Maraghi 18/98)

Ayat  وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ – terdapat maksud majaz mursal, iaitu  tempat  meletakkan perhiasan, seperti gelang tetapi yang dimaksudkan adalah tempatnya (tubuh badan). Ini bertujuan memberikan pengertian mubalaghah (penekanan lebih) pada perintah menutupi tubuh dan menjaga diri. [Rujuk Tafsir al-Munir 18/210]. Dapat difahami bahawa perintah  menjaga mata, menutup aurat dan memelihara kehormatan adalah langkah untuk menjauhi daripada kemaksiatan berlaku.

Kalimah يُبْدِينَ berasal daripada kalimah أبدى, bermaksud menzahirkan sesuatu. (Rujuk al-Mu’jam al-Wasit)

Perbuatan menceritakan atau memberitahu sesuatu perkara yang telah ditutup adalah sama seperti maksud mendedahkan atau menzahirkan. [Rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua]

Model yang dipamerkan dalam pengiklanan yang berbaur lucah  akan turut tercalar maruah kerana seolah  menzahirkan dan menceritakan aset peribadi yang bertujuan menunjukkan kesan penggunaan produk yang dipromosikan. Pengiklanan yang menggunakan  “tagline” penerangan berbaur lucah dengan  mengambarkan aset anggota  pribadi wanita  mahupun lelaki boleh mengundang kepada perkara - perkara maksiat dan membuka ruang kepada  membayangkan  anggota - angota aurat  mahupun  timbul keghairahan.

Segala wasilah  yang boleh menzahirkan gambaran atau bayangan  aurat tubuh badan  yang diceritakan kepada berlainan jantina adalah dilarang.  Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «‌لَا ‌تُبَاشِرُ ‌ المَرْأَةُ ‌المَرْأَةَ، ‌فَتَنْعَتَهَا ‌لِزَوْجِهَا ‌كَأَنَّهُ ‌يَنْظُرُ ‌إِلَيْهَا»

Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain kemudian menceritakan wanita lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.

Riwayat  al-Bukhari (5240)

Imam al-Qabisiy berkata ketika mensyarahkan hadis di atas:

هذا أصل لمالك في سد الذرائع فإن الحكمة في هذا النهي خشية أن يعجب الزوج الوصف المذكور فيفضي ذلك إلى تطليق الواصفة او الافتتان بالموصوفة

Maksudnya: (Hadis) Ini merupakan hujah bagi Imam Malik dalam sadd al-dzari’ah. Sesungguhnya hikmah pelarangan ini adalah dikhuatiri suami akan berasa takjub (tertarik) dengan sifat yang disebutkan (diceritakan oleh isterinya tentang wanita lain) maka ia akan menyebabkan suami menceraikan isterinya atau mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya oleh isteri tersebut. [Rujuk Fath al-Baari, 9/338]

Justeru, wanita mahupun lelaki dilarang yang menjadi subjek bagi pengiklanan  yang berbau lucah mahupun  seks. Hal tersebut sebagai langkah-langkah menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-Dzara’i). Bahkan, implikasi  pengiklanan  yang  menggunakan tagline lucah tersebut boleh merosakkan minda kanak-kanak dan dikhuatiri turut merosakkan masyarakat yang membawa ke lembah kemaksiatan.

Sementara itu,  antara syarat-syarat kelulusan lesen billboard  ialah visual yang mengiklankan minuman keras, rokok, gambar yang menjolok mata dan tata kelakuan yang kurang sopan mahupun berbentuk lucah tidak dibenarkan sama sekali dipamerkan.[1] Visual iklan papan hendaklah dirujuk dan  oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka bagi mendapatkan pengesahan[2]. Sementara, kesalahan mendirikan struktur tanpa kelulusan dibawah Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 dan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen dibawah Undang-Undang Kecil Iklan 1980 boleh dikenakan pada tiap-tiap hari kesalahan.[3]

KESIMPULAN

Konklusinya, setelah meneliti  hujah yang dibentangkan, mempromosikan produk dengan mempamerkan model dalam kalangan lelaki  mahupun perempuan  beserta tagline  berunsur lucah adalah haram. Hal ini kerana sebarang pengiklanan  melalui billboard, media massa  mahupun  pamphlet    yang terkandung tagline berunsur lucah  boleh mengundang   keghairahan kepada  setiap lapisan masyarakat.  Larangan tersebut untuk menutup pintu kerosakan yang lebih besar berdasarkan kaedah Sadd al-Dzara’i.  Justeru, pihak peniaga yang ingin melariskan  produk  jualan mahupun  perkhidmatan mereka perlu menitikberatkan   penjagaan maruah  dan  kehormatan selain berusaha menjauhi  perkara-perkara  yang boleh mengundang ke lembah kemaksiatan.

Akhir kalam, kami menegaskan agar para perniaga  memelihara nilai-nilai kesopanan dalam mengiklankan produk mereka.

 

[1] https://www.mps.gov.my/sites/default/files/primuscore_content_fetcher/downloads/lesen/lesen_2.pdf

[2] https://dbkk.sabah.gov.my/images/Lesen/Borangpermohonanleseniklan.pdf

[3] https://www.mbs.gov.my/index.php/ms/mbs/pusat-media/galeri/foto/operasi-penguatkuasaan-paparan-iklan-luar-billboard