Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-692: HUKUM MENDAPAT KERJA MENGGUNAKAN KABEL ATAU KRONI

 

 

IF692

 

 

 

Soalan

Assalamualaikum. Boleh saya tahu apa hukum dapat kerja menggunakan ‘kabel’ atau ‘kroni’? Jika ada satu syarikat yang mahu cari pekerja dan salah seorang daripada calon yang ditemuduga berjaya dapat kerja tersebut tetapi dengan bantuan ‘kabel’ atau orang yang rapat dia dalam syarikat tersebut, tidakkah menafikan hak yang lain? Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wrt. wbt. Berkenaan isu dapat kerja menggunakan kabel atau kroni ini boleh dilihat dari segi perspektif yang berbeza. Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti dari sudut seorang majikan memilih pekerja atas dasar telah mengenali pekerja tersebut yang datang daripada keluarga yang miskin dan pada masa yang sama mempunyai nilai kompetensi dan kelayakan yang bersesuaian. Perspektif yang kedua pula adalah melalui sogokan, rasuah atau atas dasar kenal semata-mata seperti ahli keluarga atau sahabat karib tanpa sebarang nilai kompetensi atau kelayakan. Maka inilah contoh yang buruk dan haram dilakukan kerana ia telah menzalimi mereka yang berhak.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Isu kabel atau favouritism[1] sudah menjadi budaya di dalam masyarakat kita lebih-lebih lagi di dalam dunia pekerjaan. Konsep menggunakan kabel atau kroni untuk mendapatkan pekerjaan boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Firman Allah SWT:

مَّن يَشْفَعْ شَفَٰعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُۥ نَصِيبٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن يَشْفَعْ شَفَٰعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌ مِّنْهَا ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ مُّقِيتًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

 Surah al-Nisa’ (85)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan syafaat atau pertolongan terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk. Syafaat yang baik (حَسَنَةً)seperti mengambil berat hak-hak seorang Muslim dengan cara menghindarkannya daripada bahaya, atau mendorongnya ke arah kebaikan dengan niat ikhlas demi Allah SWT serta tidak mengambil sogokan atau rasuah. Maka pertolongan seperti ini adalah diharuskan kecuali menolong orang untuk meringankan hukuman hadd atau melanggar hak orang lain.[2]

Syafaat atau pertolongan yang buruk (سَيِّئَةً) pula adalah berlawanan dengan syafaat yang baik. Antara contoh sekarang adalah seperti orang tengah atau pertolongan dalam perkara keburukan dengan cara menyogok menggunakan wang dan harta, untuk menafikan hak orang lain atau mengambil harta orang lain.[3]

[Lihat Tafsir al-Munir: 5/183]

 

Berdasarkan huraian tafsir di atas, kita dapat mengenal pasti bahawa pertolongan boleh dibahagikan kepada dua perspektif. Perspektif yang pertama adalah melalui cara yang dibenarkan seperti meminta tolong rakan-rakan untuk memudahkan urusan kehidupan tanpa menafikan hak orang lain. Contohnya, seorang majikan memilih pekerja atas dasar ingin membantu pekerja tersebut yang datang daripada keluarga yang miskin.

Perspektif yang kedua pula adalah melalui cara yang buruk dan haram. Islam melarang menggunakan ‘kabel’ dengan cara membayar sejumlah wang atau harta kepada orang lain dengan niat untuk mendapatkan sesuatu. Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي الْحُكْمِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam membuat keputusan berkenaan sesuatu perkara.”

Riwayat Tirmizi (1336)

Imam al-San’ani dalam syarah Bulughul Maram menerangkan bahawa Islam melarang dan melaknat orang yang memberi serta menerima rasuah dalam memutuskan sesuatu keputusan. Perkataan (الرَّاشِي) juga boleh diertikan dengan orang tengah yang menjalankan urusan rasuah sama ada dia mengambil sedikit daripada hasil rasuah tersebut ataupun tidak.[4]

[Lihat Subulus Salam: 4/230]

 

Muhammad Soleh al-Munajjid pula menghuraikan dengan teliti berkenaan hukum mendapatkan sesuatu pekerjaan menggunakan ‘kabel’. Beliau mengatakan jika pertolongan oleh seseorang dalam syarikat itu mengakibatkan lucutnya hak orang yang lebih layak dari segi kompetensi serta keupayaan untuk menjalankan tugas dengan cekap, maka pertolongan itu adalah haram hukumnya. Ia adalah ketidakadilan kepada mereka yang lebih layak, serta ketidakadilan yang dilakukan oleh autoriti kerana menghalang keupayaan orang lain untuk berkhidmat dengan cekap, tidak membantu mereka untuk membina potensi diri, dan menjadi satu kehinaan kepada negara dan rakyat. Keadaan ini akan membuatkan orang berhasad dengki, bersangka buruk dan merosakkan masyarakat secara tidak langsung. Ada pun jika tidak melanggar hak orang lain, maka ianya tidak mengapa dan dituntut di dalam Islam.[5]

[Lihat Mauqi’ al-Islam Sual wa Jawab: 5/6394]

 

Mari kita bersama-sama renungi sepotong hadis Nabi SAW:

‏"‏ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ‏"‏. قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ".

Maksudnya: “Apakah kamu tahu siapakah itu golongan yang muflis?” Mereka berkata orang yang muflis itu ialah orang yang tidak mempunyai dirham dan harta. Lantas Rasulullah SAW berkata: “Sesungguhnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang di akhirat kelak dia akan datang bersama dengan amalan solat, puasa dan zakat (kebajikan), tetapi disebabkan dia mencela orang lain, menfitnah, memakan harta orang lain dengan cara yang haram, menumpahkan darah sesama manusia, maka pahala amalannya akan berpindah kepada sesiapa yang dizalimi olehnya. Dan jika pahala amalan baiknya tidak cukup untuk menebus dosanya, maka dosa-dosanya itu akan dikira sebagai amalannya lantas dimasukkan ke dalam neraka”.

Riwayat Muslim (2581)

Imam Nawawi melalui hadis ini menjelaskan mengenai akibat orang yang menzalimi dan melanggar hak orang yang lain. Pelaku dosa tersebut akan dibinasakan oleh Allah SWT dengan teruknya sehinggakan dia tidak mempunyai apa-apa. Maka amalan baiknya akan diambil oleh orang yang berhutang (dizalimi) kepadanya, dan jika amalan baiknya sudah sikit maka akan diisi dengan amalan kejahatannya pula lalu dimasukkan ke dalam api neraka. Ini adalah balasan bagi orang-orang yang melanggar batas hak orang yang lain.[6]

[Lihat al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim: 16/ 105]

 

Kesimpulan

Berdasar kepada penjelasan di atas maka kami simpulkan terdapat dua jenis ‘kabel’ iaitu yang pertama yang dibuat atas dasar telah saling mengenali dan bertujuan membantu pada masa yang sama individu berkenaan mempunyai kompetensi yang bersesuaian. Maka ‘pertolongan’ yang sebegini adalah harus dan dibenarkan. Sementara kategori yang kedua iaitulah ‘pertolongan’ dengan cara sogokan atau apa-apa bentuk favouritisme atas dasar ahli keluarga atau sahabat karib yang tidak berasaskan kompetensi. Maka inilah jenis yang diharamkan kerana ia menzalimi hak orang lain dan boleh menyemai budaya kerja tidak sihat dan pelbagai kemudharatan yang lain.

Rujukan

Wahbah al-Zuhaili. Tafsir al-Munir. 2003. Darul Fikri Damsyiq

Muhammad Ismail al-San’ani. Subulus Salam Syarh Bulughul Maram. Beirut.

Muhammad Soleh Munajjid. Kitab Mauqi’ al-Islam Sual wa Jawab (e-kitab). 2009

Wahbah al-Zuhaili. Al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim li Imam Nawawi. 1994. Darul Khair Beirut.

 

[1] Menurut Cambridge Dictionary, favouritism bermaksud sokongan yang berat sebelah dan tidak adil kepada seseorang atau sesuatu kelompok, terutamanya oleh golongan yang berautoriti

[2] فالشفاعة نوعان: حسنة وسيئة، أما الشفاعة الحسنة: فهي التي روعي بها حق مسلم، ودفع بها عنه شر، أو جلب إليه خير، وابتغي بها وجه الله، ولم تؤخذ عليها رشوة، وكانت في أمر جائز، لا في حدّ من حدود الله، ولا في حق من الحقوق

[3] والشفاعة السيئة: ما كانت بخلاف ذلك. والشائع الآن الوساطات والشفاعات السيئة المصحوبة بالمادة والرشاوى، لتضييع الحقوق، والاستيلاء على مال الغير

[4]الراشي من يعطي الذي يعينه على الباطل والمرتشي الآخذ في الحكم. وزاد أحمد والرائش هو الذي يمشي بينهما وهو السفير بين الدافع والآخذ وإن لم يأخذ على سفارته أجرا فإن أخذ فهو أبلغ.

[5] إذا ترتب على توسط من شفع لك في الوظيفة حرمان من هو أولى وأحق بالتعيين فيها من جهة الكفاية العلمية التي تتعلق بها والقدرة على تحمل أعبائها والنهوض بأعمالها مع الدقة في ذلك فالشفاعة محرمة؛ لأنها ظلم لمن هو أحق بها وظلم لأولي الأمر وذلك بحرمانهم من عمل الأكفأ وخدمته لهم ومعونته إياهم على النهوض بمرفق من مرافق الحياة، واعتداء على الأمة بحرمانها ممن ينجز أعمالها ويقوم بشئونها في هذا الجانب على خير حال، ثم هي مع ذلك تولد الضغائن وظنون السوء، ومفسدة للمجتمع، وإذا لم يترتب على الوساطة ضياع حق لأحد أو نقصانه فهي جائزة بل مرغب فيها شرعاً ويُؤجر عليها الشفيع

[6] هو الهالك الهلاك التام، والمعدوم الإعدام المقطع، فتؤخذ حسناته لغرمائه، فإذا فرغت حسناته أخذ من سيئاتهم، فوضع عليه، ثم ألقي في النار فتمت خسارته وهلاكه وإفلاسه.