Soalan
Assalammualaikum, Saya ingin menjual cincin emas lama yang patah dan membeli cincin emas rekaan baru. Persoalannya bolehkah saya tukar emas baru dengan hanya menambah duit dan membayar menggunakan kad kredit? Benarkah perlu kepada dua akad urusniaga iaitu emas perlu dijual dahulu, setelah dapat hasil duit jualan, kemudian membeli emas baru dengan nilaian yang baru ? Mohon pencerahan Tuan S.S Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
- Hukum trade-in emas ( syiling, jongkong, dinar) adalah haram Hal ini kerana kaedah tersebut terdedah dengan unsur riba al-fadl disebabkan bayaran tambahan.
- Sementara pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh daripada pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut.
- Adapun trade-in emas perhiasan dibenarkan kerana ia tidak lagi dianggap mata wang sebagai sifat asal dan terkeluar daripada illah ribawi (sebab yang memungkinkan berlakunya riba) iaitu harga (al-thaman) berdasarkan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas.
- Justeru, boleh jual beli emas perhiasan secara (trade-in) seperti tukar emas lama dengan emas baru dan menambah duit tanpa melibatkan dua urusniaga. Hal ini kerana transaksinya bukan barang ribawi dan tidak terikat dengan syarat jual-beli item ribawi.
Namun, mereka yang ingin memilih pandangan jumhur yang berpendapat bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf untuk mengambil jalan berhati-hati dan selamat serta lebih warak, maka boleh menggunakan kaedah dengan melakukan transaksi emas baru dan emas lama menggunakan dua akad seperti berikut:
- Menjual emas perhiasan lama dan terima duit hasil jualan tersebut.
- Kemudian membeli emas perhiasan baru dengan membayar daripada hasil jualan emas perhiasan lama atau membeli emas perhiasan baru yang lagi mahal dengan menambah duit lain.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Emas merupakan salah satu daripada item ribawi, segala transaksi dan urusan jual beli mestilah berlandaskan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syarak agar tidak berlakunya riba. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW :
الذَّهبُ بالذَّهبِ والفضَّةُ بالفِضَّةِ والبُرُّ بالبُرِّ والشعِيرُ بالشعِيرِ والتمْرُ بالتمْرِ والمِلحُ بالمِلحِ مِثْلًا بِمِثْلٍ سوَاءً بِسَواءٍ يدًا بِيَدٍ، فإذَا اخْتَلَفَت هذهِ الأصْنَافُ ، فبيعوا كيفَ شئْتُمْ ، إذَا كانَ يدًا بِيَد
Maksudnya : “(Jual Beli) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, bali dengan bali, tamar dengan tamar, garam dengan garam, mesti sama banyak ( timbangan atau sukatan ) serta tangan ke tangan ( secara tunai dan saling menerima dalam satu majlis). Apabila berlainan jenis maka juallah mengikut apa yang kamu kehendak, selama ia dilakukan dari tangan ke tangan (secara langsung)”.
Riwayat Muslim (1587)
Riba boleh berlaku dalam aktiviti jual beli yang melibatkan enam barangan yang terdiri mata wang dan makanan seperti emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.[1] Ulama bersepakat bahawa diharamkan untuk jual beli emas dengan emas, perak dengan perak melainkan sama timbangan dan secara tunai dalam satu majlis.[2] Urusniaga barangan ribawi mesti mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan menurut hadis yang dikemukakan agar transaksi pertukaran dan jual beli tidak berlaku riba. Sekiranya memenuhi syarat tersebut , maka urusniaga sah dan bebas daripada riba.
Seterusnya, dalam hadis lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Nabi SAW bersabda :
فَمَنْ زَادَ، أَوِ اسْتَزَادَ، فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ.
Maksudnya : Sesiapa menambah atau meminta tambahan, maka dia terjebak dengan riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa riba.
Riwayat Muslim
Menurut Imam al-Nawawi, pertukaran yang melibatkan jenis yang sama seperti pertukaran emas dengan emas, maka tidak boleh berlaku tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga(tafadhul)[3] Urusniaga tersebut adalah haram dan diklasifikasikan sebagai riba al-Fadl.
Riba al-Fadl ( Bayaran tambahan)
Riba al-Fadl iaitu menjual nilaian wang dengan wang serta terdapat penambahan atau makanan dengan makanan beserta penambahan. Urusan jual beli tersebut berunsur riba dengan barangan yang sama dan disertakan dengan bayaran tambahan salah satu daripada keduanya. Riba al-Fadl diharamkan kerana ia wasilah kepada riba al-Nasiah ( penangguhan).[4] Oleh itu, wang tambahan dalam urusniaga item ribawi tersebut adalah riba. Larangan riba al-Fadl berdasarkan hadis Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَبِيعُوا الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ ، وَلَا تَبِيعُوا الْوَرِقَ بِالْوَرِقِ ، إِلَّا مِثْلًا بِمِثْلٍ ، وَلَا تُشِفُّوا بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ
Maksudnya: “Janganlah kalian menjual beli emas dengan emas atau perak dengan perak kecuali jika sama berat, dan janganlah kalian melebihkan antara satu dengan yang lain”.
Riwayat Muslim
Justeru, cara untuk mengelakkan terlibat riba disebabkan penambahan duit ketika transaksi adalah dengan melakukan dua urusniaga.
Panduan Tukar Beli Emas ( Trade-in)
Kaedah tukar beli emas yang bebas unsur riba ketika melakukan trade in emas lama dengan emas baru melalui dua akad (dua urusniaga) seperti berikut:
- Menjual emas lama dan terima duit hasil jualan emas.
- Kemudian membeli emas baru dengan membayar daripada hasil jualan emas lama atau membeli emas baru yang lagi mahal dengan menambah duit lain.
Panduan tersebut berdasarkan hadis yang diajar oleh Nabi SAW daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A berkata
جَاءَ بِلاَلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : «مِنْ أَيْنَ هَذَا؟»، قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيٌّ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ، لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِهِ
Maksudnya: “Bilal datang kepada Nabi SAW dengan membawa tamar barni, lalu Nabi bertanya kepadanya: “Dari manakah tamar ini ?”. Bilal menjawab : “Kami mempunyai tamar yang buruk, lalu kami menjualnya (menukarkannya) dua gantang dengan satu gantang tamar barni, agar kami dapat memberi makan kepada Nabi saw”. Lalu Nabi SAW bersabda pada saat itu: “Aduh, aduh, itulah riba, itulah riba. janganlah engkau melakukan ini, akan tetapi jika engkau ingin membeli (kurma yang terbaik) maka juallah kurmamu dengan jualan yang lain, kemudian belilah kurma yang terbaik dengan hasil jualanmu itu."
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam isu trade-in emas perhiasan atau emas yang ditempa, perkara yang perlu diperhalusi ialah adakah barang kemas (perhiasan) termasuk dalam item ribawi atau tidak? Justeru, terdapat beberapa pandangan fuqaha mazhab dalam menentukan sama ada emas perhiasan termasuk dalam item ribawi mahupun sebaliknya.
- Menurut jumhur[5] dalam kalangan mazhab Syafie[6], Maliki dan Hanbali emas dan perak adalah item ribawi walaupun perhiasan.
- Ibn Rusyd menyatakan: “Ulama berbeza pendapat dalam bab pembuatan (san’ah) yang pada asalnya dilarang disebabkan berlaku riba seperti roti tukar roti. Sementara Abu Hanifah berkata: Tidak mengapa berlaku pertambahan atau sama timbangan kerana ia telah terkeluar daripada item ribawi dengan sebab pembuatan (san’ah)”.[7]
- Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa harus menjual emas dan perak yang ditempa yang sama jenis tanpa syarat sama timbangan atau terdapat penambahan pada pembuatan (pertukangan) sama ada secara tunai atau tertangguh yang bukan bertujuan untuk dijadikan nilai harga (thaman). Perhiasan yang telah keluar dari sifat asal (iaitu sebagai wang) kerana faktor pembuatan atau pertukangan maka ia bukan item ribawi.[8] Beliau turut berpendapat bahawa perhiasan dibolehkan dan tidak termasuk dalam item ribawi kerana ia telah ditempa (pembuatan), maka ia termasuk dalam jenis pakaian dan barangan (sil’ah) bukan daripada jenis harga (al-thaman).[9]
Merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan:
“Syarat-syarat khusus jual beli emas yang bercirikan item ribawi khas bagi emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi”.[10]
Berkenaan kaedah pembayaran melalui kad kredit adalah dibenarkan berdasarkan kenyataan keputusan Muzakarah mengenai Parameter Pelaburan Emas :
“Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan. Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.”[11]
Penutup
Kesimpulannya, emas (dinar, jongkong, syiling emas) sebagai pertukaran mata wang termasuk dalam kategori barangan ribawi. Sementara, emas perhiasan atau emas yang ditempa tidak lagi dianggap sebagai wang pertukaran maka ia terkeluar daripada illah item ribawi. Justeru, urusniaga emas perhiasan secara trade-in adalah dibenarkan berdasarkan sebahagian pandangan fuqaha yang menyatakan emas perhiasan bukan item ribawi. Maka, pandangan tersebut dipilih untuk diaplikasikan dalam transaksi emas perhiasan tanpa terikat dengan syarat-syarat jual beli yang bercirikan item ribawi.
Namun, mereka yang ingin memilih pandangan jumhur yang berpendapat bahawa barang perhiasan emas termasuk dalam kategori item ribawi dan ingin keluar daripada khilaf untuk mengambil jalan berhati-hati dan selamat serta lebih warak, maka boleh menggunakan kaedah dengan melakukan transaksi emas baru dan emas lama menggunakan dua akad seperti berikut:
1. Menjual emas perhiasan lama dan terima duit hasil jualan tersebut.
2. Kemudian membeli emas perhiasan baru dengan membayar daripada hasil jualan emas perhiasan lama atau membeli emas perhiasan baru yang lagi mahal dengan menambah duit lain.
Wallahu’alam
Rujukan:
[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’e, 1413H) Jld. 6 Hlm. 66
يجري الربا في الأموال الستة التالية، وهي: الذهب، والفضة، والقمح، والشعير، والتمر، والملح
[2] Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Kaherah, Dar al-Hadis) Jld. 3 Hlm. 211
أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَنَّ بَيْعَ الذَّهَبِ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ بِالْفِضَّةِ لَا يَجُوزُ إِلَّا مِثْلًا بِمِثْلٍ، يَدًا بِيَدٍ
[3]Abu Zakaria mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzzab (Dar al-fikr) Jld. 10 Hlm. 83
تحريم التفاضل في الجنس الواحد قال أصحابنا لا يجوز بيع الذهب بالذهب متفاضلا ولا الفضة بالفضة كذلك سواء كانا مصوغين أو تبرين أو عينين أو أحدهما مصوغا والآخر تبرا أو عينا أو جيدين أو رديئين أو أحدهما جيدا والآخر رديئا أو كيف كان وهو مذهب الأوزاعي وأبي حنيفة وأحمد وأكثر العلماء وعلى ذلك مضى السلف والخلف
[4] Muhammad bin Ibrahim al-Tuwaijiri, Mausu’ah al-Fiqh al- Islami (Bait al-Afkar al-Dauliyyah, 1430H) Jld. 3 Hlm. 478
ربا الفضل: وهو بيع النقود بالنقود مع الزيادة، أو الطعام بالطعام مع الزيادة. فهو بيع ربوي بمثله مع زيادة في أحد المثلين. وربا الفضل محرم؛ لأنه وسيلة إلى ربا النسيئة، بل هو رباً حقيقي
[5] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiy, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-kuwaitiyyah. (Misr: Dar al-Salasul, 1993M) Jld. 28 Hlm. 102
ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى عَدَمِ اعْتِبَارِ الصِّيَاغَةِ فِي بَيْعِ الذَّهَبِ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ بِالْفِضَّةِ، فَيُشْتَرَطُ فِي جَوَازِ بَيْعِهَا التَّمَاثُل فِي وَزْنِ الْمَصُوغِ فَيَجِبُ أَنْ يُسَاوِيَ الْمَصُوغُ غَيْرَ الْمَصُوغِ فِي الْوَزْنِ.
[6] Zakariya al-Anshari, Asna Mathalib fi Syarh Raudah at-Thalib (Dar al-Kitab al-islamiy) Jld. 2 Hlm. 22
(إنَّمَا يَحْرُمُ) الرِّبَا (فِي الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ) وَلَوْ حُلِيًّا وَإِنَاءً وَتِبْرًا
[7] Ibn Rusd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Kaherah, Dar al-Hadis) Jld. 3 Hlm. 157
وَاخْتَلَفُوا مِنْ هَذَا الْبَابِ فِيمَا تَدْخُلُهُ الصَّنْعَةُ مِمَّا أَصْلُهُ مَنْعُ الرِّبَا فِيهِ مِثْلُ الْخُبْزِ بِالْخُبْزِ، فَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ: لَا بَأْسَ بِبَيْعِ ذَلِكَ مُتَفَاضِلًا، وَمُتَمَاثِلًا، لِأَنَّهُ قَدْ خَرَجَ بِالصَّنْعَةِ عَنِ الْجِنْسِ الَّذِي فِيهِ الرِّبَا،
[8] Ibn Taymiyyah, al-Fatawa al-Kubra li Ibn Taymiyyah, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1408) Jld. 5 Hlm. 391
وَيَجُوزُ بَيْعُ الْمَصُوغِ مِنْ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ بِجِنْسِهِ مِنْ غَيْرِ اشْتِرَاطِ التَّمَاثُلِ، وَيُجْعَلُ الزَّائِدُ فِي مُقَابَلَةِ الصِّيغَةِ لَيْسَ بِرِبًا وَلَا بِجِنْسٍ بِنَفْسِهِ، فَيُبَاعُ خُبْزٌ بِهَرِيسَةٍ وَزَيْتٌ بِزَيْتُونٍ، وَسِمْسِمٌ بِشَيْرَجٍ
[9] Ibn Taymiyyah, Tafsir Ayat Asykalat (Riyad, Maktabah al-Rusyd, 1417) Jld. 2 Hlm. 623-624
وجمهور العلماء يقولون هو لم يدخل في ذلك الحلية المباحة بل لا زكاة فيها فكذلك الحلية المباحة لم تدخل في نصوص الربا فإنها بالصيغة المباحة صارت من جنس الثياب والسلع لا من جنس الأثمان فلهذا لم يجب فيها زكاة الدنانير والدراهم ولا يحرم بيعها بالدنانير والدراهم. ومما يبين ذلك أن الناس كانوا على عهد النبي صلى الله عليه وسلم يتخذون الحيلة وكن النساء يلبسن الحلية وقد أمرهن النبي صلى الله عليه وسلم يوم العيد أن يتصدقن وقال إنكن أكثر أهل النار فجعلت المرأة تلقي حليها وذلك مثل الخواتيم والقلائد. ومعلوم أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يعطي ذلك الفقراء والمساكين وكانوا يبيعون
[10] Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10283
[11] Rujuk: http://e-muamalat.islam.gov.my/ms/bahan-ilmiah/fatwa-muamalat/113-parameter-pelaburan-emas