Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-761: PERSOALAN SAIZ TUDUNG

PERSOALAN SAIZ TUDUNG

 

SOALAN                    

Assalammualaikum. Suami saya perli saya pakai tudung labuh, dia kata malu dengan kawan-kawan. Katanya tudung bidang 45 memadai menutupi aurat tanpa perlu memakai tudung labuh bidang 60. Persoalanya, adakah saya perlu mempertahankan dengan memakai tudung labuh dalam keadaan suami yang tidak reda atau ikut kata suami dengan pakai tudung bidang 45 kerana masih batas menjaga aurat? Adakah wajib ikut arahan suami agar meninggalkan amalan yang lebih warak? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan tudung ialah mematuhi kehendak syarak.  Apabila tudung saiz 45 digayakan dengan cara labuh menutupi dada dan tidak nipis (jarang), maka ia masih dalam kerangka menepati tuntutan syarak. Oleh itu, situasi soalan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan isteri menggayakan tudung yang menepati kehendak syarak tidak kira saiz bidang 60 mahupun 45 pada masa sama mengikut kehendak suaminya pada perkara kebaikan.  Hal ini memakai tudung saiz 45 yang menutupi dada dan tidak nipis, maka ia sudah cukup menepati syarak. Bahkan, sekiranya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus mahupun sunat maka  ia menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi  dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat. Namun memakai tudung saiz 60 lebih sopan, warak dan terpuji. Sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan memelihara hak kedua-dua pasangan.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Keluasan Berpakaian

Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus dalam menggayakan pakaian sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan mengikut kehendak syarak.  Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk memakai pakaian yang menutup aurat bersandarkan firman-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ‎﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya”

Surah Al-A’raf (26)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa. Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (daruriyyah) untuk menutup aurat. Manakala “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat).  Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara kiasan (majazi) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas[1]

Parameter menutup aurat dengan sempurna bagi wanita ialah keseluruhan anggota kecuali muka dan kedua tapak tangan. Perintah menutup aurat bagi kaum wanita berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ

Maksudnya :dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

Surah an-Nur 31

Ibn Abbas memberi makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka dan dua tapak tangan. Ini merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan majoriti ulama. [2]

Perkataan {وَلْيَضْرِبْنَ} yang membawa maksud “hendaklah mereka memakai” menunjukkan suruhan  perbuatan   atau perintah wajib. Khumur"الخمر"    kata jamak bagi " الخِمَار "iaitu tudung wanita yang menutup kepala wanita. Sementara, tafsiran   جُيُوبِهِنَّۖ ialah menutup sehingga kawasan dada wanita. [3]

Antara kriteria menutup aurat dengan sempurna  ialah tidak memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit. Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab menyatakan wajib penutup aurat itu dengan suatu yang tidak menunjukkan sifat warna kulit seperti kain yang tebal, kulit atau kertas. Sekiranya tipis, maka ia tidak menepati syarat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat. [4]

Merujuk pada situasi soalan yang diajukan, peranan suami dalam mendidik  kepada perkara makruf dan isteri wajib mentaatinya. Hal ini berdasarkan dalil-dalil berikut :

Firman Allah SWT,

ِ ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”

 al-Nisa’ (34)

Suami berperanan mendidik isteri agar bersama - sama menunaikan segala kewajiban dan menghalang mereka daripada melakukan perkara maksiat.[5]

Sementara, tanggungjawab isteri pula mentaati perintah suami pada perkara yang makruf selagi dalam kerangka syarak, Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis bahawa  Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya:Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.

Riwayat Ibn Hibban (4163)

Setiap ketaatan itu mestilah pada perkara yang tidak bertentangan dengan syarak  sebagaimana sandaran hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Thalib  bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا طَاعَةَ في مَعْصِيَةٍ، إنَّما الطَّاعَةُ في المَعروفِ.

Maksudnya : “Janganlah kamu mentaati perkara – perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan itu adalah hanya pada perkara yang makruf (kebaikan)”.

Riwayat Sahih Muslim 7257

Yang dimaksudkan makruf ialah bukan perkara mungkar mahupun maksiat. Perkara makruf termasuklah ketaatan yang wajib, sunat dan harus di sisis syarak. Bahkan seandainya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus, maka  menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi  dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat. [6]

Seterusnya maksud warak ialah sikap berhati-hati untuk menjauhi sesuatu perkara syubhah kerana takut terjerumus kepada perkara haram dan juga berusaha melazimi amalan-amalan terpuji. [7] Oleh itu,  selagi melaksanakan  kebaikan dan menjauhi  perkara haram, maka ia dalam  kerangka makruf.

Oleh yang demikian, sekiranya isteri tersebut menuruti perintah suaminya dengan memakai tudung saiz bidang 45 dengan gaya yang menutupi dada dan tidak nipis, maka seseorang isteri dianggap melakukan perkara yang menepati syarak kerana mentaati suami pada perkara makruf.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan:

[1] Ibn Kathir.1999.  Tafsir al-Quran al-Azim, Dar Taiybah li Nasyar Tauzi’. J: 3 P: 400).

العورات -وهي السوآت (1) وَالرِّيَاشُ وَالرِّيشُ: هُوَ مَا يُتَجَمَّلُ بِهِ ظَاهِرًا، فَالْأَوَّلُ مِنَ الضَّرُورِيَّاتِ، وَالرِّيشُ مِنَ التَّكَمُّلَاتِ وَالزِّيَادَاتِ

ابْنِ عَبَّاسٍ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: {وَلِبَاسُ التَّقْوَى} ] (1) الْعَمَلُ الصَّالِحُ.

[2] Ibid J:6 P: 45

وَيُحْتَمَلُ أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ وَمَنْ تَابَعَهُ أَرَادُوا تَفْسِيرَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا بِالْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ، وَهَذَا هُوَ الْمَشْهُورُ عِنْدَ الْجُمْهُورِ،

[3]Al-Qurtubi, Syamsuddin.   1964. Al-Jami’ Li Ahkam, Tafsir al-Qurtubi, Qaherah: Dar al-Kitab al-Misriyah J: 12 P: 230

وَ" يَضْرِبْنَ" فِي مَوْضِعِ جَزْمٍ بِالْأَمْرِ،

الْخُمُرُ: جَمْعُ الْخِمَارِ، وَهُوَ مَا تُغَطِّي بِهِ رَأْسَهَا، وَمِنْهُ اخْتَمَرَتِ الْمَرْأَةُ وَتَخَمَّرَتْ،

وَالْجُيُوبُ: جَمْعُ الْجَيْبِ، جُيُوبِهِنَّ" أَيْ عَلَى صُدُورِهِنَّ، يَعْنِي عَلَى مَوَاضِعِ جُيُوبِهِنَّ..

[4] Al-Syirazi, Abu Ishak Ibrahim. t.th. al-Muhadzzab  fi Fiqh Imam al-Syafie, Dar al-Kitab Ilmiyah J:1 P125

ويجب ستر العورة بما لا يصف البشرة من ثوب صفيق أو جلد أو ورق فإن ستر بما يظهر

منه لون البشرة من ثوب رقيق لم يجز لأن الستر لا يحصل بذلك

[5] Al-Thabari, Abu Jaafar. 2000m. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Muassasah al-Risalah. J: 8 P:290

قال أبو جعفر: يعني بقوله جل ثناؤه: (1) "الرجال قوّامون على النساء"، الرجال أهل قيام على نسائهم، في تأديبهن والأخذ على أيديهن فيما يجب عليهن لله ولأنفسهم

Al-Sa’di. Abd Rahman. 2000m. Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan.

{قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ} أي: قوامون عليهن بإلزامهن بحقوق الله تعالى، من المحافظة على فرائضه وكفهن عن المفاسد،

[6] Abi ‘Abbas al-Qurtubi. 1996m. Al-Mufhim Li Ma Asykala Min Talkhis Kitab Muslim. Bayrut Dar Kalam Damsyik al-Tayb, J:4 P: 41

يعنى بالمعروف هنا: ما ليس بمنكرٍ ولا معصية فتدخل فيه الطاعات الواجبة والمندوب إليها والأمور الجائزة شرعًا، فلو أمر بجائزِ

 لصارت طاعته فيه واجبة، ولما حَلَّتْ مخالفتُه. -

[7] Al-Jurjani. Ali bin Muhammad. 1983. al-Ta’rifat. Bayrut: Dar al-Kitab Ilmiyah.  P: 252

 الورع: هو اجتناب الشبهات خوفًا من الوقوع في المحرمات، وقيل: هي ملازمة الأعمال الجميلة.