Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-811: HUKUM MEMBALAS WHATSAPP KETIKA KHUTBAH

HUKUM_MEMBALAS_WHATSAPP_KETIKA_KHUTBAH.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum saya ingin bertanya apakah hukum membalas whatsapp ketika khatib sedang berkhutbah? Kadang-kadang saya hanya membuka handphone untuk tempoh waktu yang sekejap bagi menghilangkan mengantuk. Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan:

Hukum mendengar khutbah adalah sunat namun jika seseorang berbual atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menganggu tumpuan mendengar khutbah maka hukumnya adalah makruh dan menghilangkan pahala Jumaat. Termasuk dalam perkara yang menghilangkan tumpuan mendengar khutbah ialah bermain telefon seperti whatsapp atau lainnya. Dalam hadis Nabi SAW menganjurkan untuk mengubah tempat duduk atau mungkin jika kawasan tersebut terlalu sempit dia boleh mengubah cara duduk kerana pergerakan boleh membantu untuk menghilangkan rasa mengantuk.

Huraian Jawapan:

Menurut mazhab Syafi’i setiap jemaah disunatkan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib[1] berdasarkan firman Allah SWT:

‏ وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ‎﴿٢٠٤﴾

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

Hal ini berdasarkan pandangan yang mengatakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan khutbah dan disebutkan mendengar al-Quran kerana dalam khutbah juga turut dibacakan ayat-ayat al-Quran. Suruhan perintah dalam ayat ini fahami dengan makna suruhan berdasarkan hukum sunat[2].

Di samping suruhan untuk mendengar khutbah orang ramai juga dilarang untuk bercakap dan berzikir. Namun harus difahami bahawa larangan untuk berzikir ini ialah bagi orang yang dapat mendengarkan khutbah. Adapun jika dia tidak mendengarkan khutbah dengan sebab jauh atau lainnya maka sunat untuk dia berzikir dengan perlahan dan tidak bercakap-cakap[3].

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏.‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ ‏

Maksudnya: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diam!” ketika imam sedang berkhutbah (pada hari Jumaat), maka sesungguhnya kamu telah lagha.”

(Riwayat al-Bukhari)

Manakala dalam hadis yang lain Nabi SAW melarang untuk bermain-main dengan batu kecil ketika khutbah. Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika menerangkan makna hadis ini berkata bahawa hadis ini menunjukkan larangan untuk bermain dengan batu atau lainnya ketika sedang khutbah. Setiap orang hendaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Dimaksudkan dengan lagha di sini ialah sesuatu perbuatan yang tercela dan tertolak[4].

Dapat difahami dari keterangan di atas bahawa Nabi SAW melarang dari melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu tumpuan untuk mendengar khutbah. Antara bentuk ganguan tersebut ialah dengan membalas whatsapp atau lainnya ketika sedang mendengar khutbah. Manakala dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW memerintahkan untuk mengubah tempat duduk ketika dalam keadaan mengantuk. Sabda Nabi SAW:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِ

Maksudnya:Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.”

(Riwayat Abu Daud)

Sekalipun jika difahami dari hadis ini seolah-olah Nabi SAW membenarkan untuk melakukan sesuatu pergerakan yang boleh menghilangkan rasa mengantuk namun harus difahami bahawa perbuatan bermain telefon atau lainnya tidak boleh dikiaskan dengan berpindah tempat duduk bahkan yang lebih dekat bermain telefon lebih hampir hukumnya dengan bermain batu kecil yang menyebabkan seseorang itu tidak fokus mendengar khutbah seperti yang disabdakan Nabi SAW.

Kesimpulannya, hukum mendengar khutbah adalah sunat namun jika seseorang berbual atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menganggu tumpuan mendengar khutbah maka hukumnya adalah makruh dan menghilangkan pahala Jumaat. Termasuk dalam perkara yang menghilangkan tumpuan mendengar khutbah ialah bermain telefon seperti whatsapp atau lainnya sekalipun untuk tujuan menghilangkan rasa mengantuk. Dalam hadis Nabi SAW menganjurkan untuk mengubah tempat duduk atau mungkin jika kawasan tersebut terlalu sempit dia boleh mengubah cara duduk kerana pergerakan boleh membantu untuk menghilangkan mengantuk.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Imam al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri, Beirut: Dar al-Minhaj (2016), jld. 1, hlm. 321.

ويسن لهم أن يقبلوا عليه مستمعين لقوله تعالى (‏ وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَ) بناء على أنها نزلت في الخطبة وسميت قرأنا لاشتمالها عليه والأمر في الأية محمول على الندب.

[2] Ibid.

[3] Syeikh Said Ba’asyin, Busyral Karim, Beirut: Dar al-Fikr (2012), jld. 3, hlm. 336-337.

وبترك الكلام دون الذكر لغيره) أي لغير السامع لنحو بعد بل يشتغل بقراءة أو ذكر سرا بحيث لا يشوش على أحد بخلاف الكلام فمكروه

[4] Imam al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, Beirut: Dar a-Ihya al-Turast al-Arabiy (1392H), jld. 6, hlm. 147.

فيه النهى عن مس الحصا وغيره من أنواع العبث في حالة الخطبة وفيه إشارة إلى إقبال القلب والجوارح على الخطبة والمراد باللغو هنا الباطل المذموم المردود وقد سبق بيانه قريبا