Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-844: HUKUM MEMAKSA ORANG LAIN MELUTUT UNTUK MEMINTA MAAF

HUKUM MEMAKSA ORANG LAIN MELUTUT UNTUK MEMINTA MAAF

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk. Saya ingin bertanya, apakah hukumnya memaksa orang lain melutut untuk membuat permohonan maaf ? Adakah perbuatan ini dibenarkan dalam Islam ? Mohon pencerahan Datuk. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Perbuatan memaksa orang lain melutut untuk membuat permohonan maaf adalah dilarang dalam Islam kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT ke atas hamba-Nya apabila semua manusia dibangkitkan pada hari akhirat. Secara asasnya, perbuatan saling bermaafan antara satu sama lain merupakan amalan yang amat dituntut dalam Islam. Namun, ia mestilah dilakukan dalam kerangka yang harmoni dan mendamaikan tanpa perlu menyakiti hati dan menghina mana-mana pihak. Sebarang nasihat dan teguran juga boleh dilakukan secara tegas dan berhemah tanpa perlu memalukan pihak-pihak tertentu.

Sementara itu, perbuatan merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati adalah dibenarkan selagi mana ia tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga menyerupai perbuatan menyembah sesuatu selain daripada Allah SWT.

 

Huraian Jawapan:

Perbuatan melutut (kneel) boleh difahami sebagai postur tubuh seseorang yang menunduk atau merendahkan badannya sambil disokong oleh salah satu atau kedua-dua belah lutut yang diletakkan di atas tanah[1]. Lazimnya, perbuatan melutut ini dilakukan dalam kerangka keagamaan ataupun kebudayaan setempat yang menjadi simbol untuk memberi penghormatan, penyerahan, penyembahan, pengabdian dan sebagainya.

Dari segi sejarah ketamadunan manusia, perbuatan melutut telah menjadi sinonim sejak dari zaman tamadun purba lagi dan dilihat sebagai salah satu bentuk penyerahan dan penghormatan oleh seorang hamba abdi kepada tuannya[2]. Dalam konteks keagamaan, setiap agama memiliki tafsiran tersendiri terhadap perbuatan melutut[3]. Contohnya, postur melutut yang membawa maksud penyerahan kepada Allah SWT dalam agama Islam adalah berbeza dengan agama-agama yang lain.

Dalam syariat Islam, perbuatan melutut yang membawa maksud pengabdian dan penyembahan kepada Allah SWT (الإنحناء) terhasil menerusi pergerakan dalam solat seperti rukuk, sujud, iftirasy (duduk antara dua sujud) dan ketika berdoa. Dengan perkataan yang lain, perbuatan ini hanya dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT sahaja. Bahkan setiap manusia akan melutut apabila dihimpunkan di hadapan-Nya pada hari akhirat. Allah SWT berfirman:

وَتَرَىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً ۚ

Maksudnya: “Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan)”.

(Surah al-Jathiyah: 28)

Melalui ayat di atas, Allah SWT telah menggambarkan perihal manusia pada hari akhirat kelak dan semua makhluk pada hari itu menanti hitungan amal dan pembalasan mereka dalam keadaan berlutut.[4] Oleh itu, jelas bahawa perihal melutut yang selayaknya hanya di antara makhluk dengan tuhannya.  

Melihat situasi berdasarkan persoalan seperti di atas, perbuatan melutut yang dimaksudkan adalah lebih cenderung kepada suatu bentuk paksaan terhadap orang lain agar merasakan dirinya lebih rendah, hina dan bersalah. Manakala pihak yang memaksa itu pula mahu mendapatkan kemuliaan dan ketinggian daripada orang lain.

Terdapat perbincangan dalam kalangan fuqaha mengenai hukum menunduk atau melutut kepada orang lain. Antaranya seperti fatwa daripada Imam al-Nawawi bahawa hukumnya adalah makruh yang ditegah kepada umat Islam untuk melakukannya[5]. Berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ، الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ، أَيَنْحَنِي لَهُ، قَالَ: لَا. قَالَ: أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ، قَالَ: لَا. قَالَ: أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ، قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, seorang lelaki bertemu saudaranya atau sahabatnya lalu menundukkan badannya, Nabi SAW berkata: tidak boleh. Bolehkah dia berpelukan dan bercium? Baginda berkata: tidak boleh. Beliau berkata lagi, bolehkah kita berjabat tangan dengannya? Baginda menjawab: boleh”.

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Oleh yang demikian, perbuatan memaksa orang untuk meminta maaf dalam keadaan melutut dan menundukkan badan atau kepala adalah dilarang kerana ia bertentangan dengan konsep bermaaf-maafan sesama manusia. Tambahan lagi, perbuatan sedemikian juga mencerminkan satu penghinaan terhadap si pemohon maaf dalam masa yang sama boleh menjatuhkan maruahnya. Sabda Rasulullah SAW:

سِبَابُ اَلْمُسْلِمِ فُسُوْقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Maksudnya:Menghina orang Islam itu fasik, manakala membunuhnya pula adalah kafir.”

Riwayat Muslim (116)

Selain itu, perbuatan tersebut juga bercanggah dengan tuntutan syarak supaya memberi kemaafan dengan berlapang dada sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya :

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nur :22)

Walau bagaimanapun, perbuatan merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati dalam kalangan masyarakat seperti ulama, orang soleh, ibu bapa, guru dan seumpamanya adalah dibenarkan dalam Islam. Namun begitu, ia mestilah dilakukan dalam keadaan yang terhormat sehingga tidak menyerupai perbuatan seolah-olah ingin menyembah atau mengagungkan sesuatu melebihi Allah SWT.

 

Kesimpulan:

i.          Perbuatan memaksa orang lain melutut untuk membuat permohonan maaf adalah dilarang dalam Islam kerana ia merupakan hak mutlak Allah SWT ke atas hamba-Nya apabila semua manusia dibangkitkan pada hari akhirat. Secara asasnya, perbuatan saling bermaafan antara satu sama lain merupakan amalan yang amat dituntut dalam Islam. Namun, ia mestilah dilakukan dalam kerangka yang harmoni dan mendamaikan tanpa perlu menyakiti hati dan menghina mana-mana pihak. Sebarang nasihat dan teguran juga boleh dilakukan secara tegas dan berhemah tanpa perlu memalukan pihak-pihak tertentu.

ii.         Sementara itu, perbuatan merendahkan sedikit tubuh mengikut sesetengah adat masyarakat setempat sebagai tanda memuliakan golongan yang dihormati adalah dibenarkan selagi mana ia tidak dilakukan secara berlebih-lebihan hingga menyerupai perbuatan menyembah sesuatu selain daripada Allah SWT.

Wallahua’lam.

 

Rujukan 

[1] Cambridge Dictionary. “Kneel,” May 1, 2024. https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/kneel#.

[2] Mistry, Pritti. “Taking the Knee Origins in Mesopotamia - Research,” September 7, 2023. https://www.bbc.com/news/uk-england-humber-66732411.

[3] Benfayed, Rida, David Hamilton, Matthew Moran, A. H. R. W. Simpson, and Deborah Macdonald. "Interpretation of kneeling." Orthop Muscular Syst 6, no. 240 (2017): 2161-0533.

[4] al-Maraghi, Ahmad bin Mustafa, Tafsir al-Maraghi. (Ed:1, Syarikat Maktabah wa Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1946) Jld 25, hlm 161.

ذكر من أهوال هذا اليوم أن كل أمة تجثو على ركبها وتجلس جلسة المخاصم بين يدى الحاكم ينتظر القضاء  

[5] Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Fatawa al-Nawawi (Beirut:Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, 1996), 69.

٥ - مسألة: الانحناء الذي يفعله الناسُ بعضُهم لبعض -كما هو معتاد لكثير من الناس- ما حكمه؟ وهل جاء فيه شيء عن النبي صلى الله عليه وآله وسلم وعن أصحابه؟.

الجواب: هو مكروه كراهةً شديدة،