Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-852: HUKUM MEMAKAN JANIN HAIWAN SEMBELIHAN

APAKAH_HUKUM_MEMAKAN_JANIN_HAIWAN_SEMBELIHAN.jpg

                                                     

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, Adakah janin daripada haiwan yang disembelih halal untuk dimakan? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti

Ringkasan Jawapan

Hukum memakan janin yang ditemui daripada sembelihan ibunya perlu dilihat kepada beberapa situasi. Jika ia ditemui dalam keadaan sudah mati, maka sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya. Daging itu halal dimakan meskipun belum kelihatan bulu-bulunya. Namun, sekiranya janin ditemui dalam keadaan masih hidup (hayat mustaqirrah), maka ia wajib disembelih seperti biasa.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara umumnya, penyembelihan binatang darat merupakan salah satu daripada syarat-syarat yang boleh menghalalkan dagingnya untuk dimakan. Berdasarkan Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).”

Surah al-Ma’idah (3)

Imam al-Tabari mentafsirkan kalimah (إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ) iaitu binatang yang sempat disucikan dengan cara sembelihan yang telah ditetapkan hukumnya oleh Allah SWT, bagi menjadikan haiwan tersebut suci dan halal dimakan.[1]

Para ulama berselisih pandangan berkenaan hukum memakan janin yang didapati daripada haiwan yang disembelih. Perbezaan itu berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ذَكاةُ الجَنينِ ذَكاةُ أُمِّه

Maksudnya: “Sembelihan janin adalah sembelihan ibunya.”

(Riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa janin daripada sembelihan haiwan yang halal dimakan adalah halal (boleh dimakan dan bukan bangkai) sekalipun ia ditemui dalam keadaan sudah mati. Ini juga merupakan pandangan daripada kalangan sahabat, tabi’in serta ulama-ulama terkemudian. Walau bagaimanapun, Imam Abu Hanifah dan Imam Zufar berpandangan sebaliknya yang mana mereka menyatakan bahawa janin itu haram dimakan melainkan ia keluar dalam keadaan hidup dan kemudiannya disembelih.[2]

Selain itu, Imam Malik berpendapat berkenaan hukum janin yang keluar dalam keadaan mati dan beliau membezakannya mengikut beberapa situasi. Sekiranya janin keluar dalam keadaan telah sempurna ciptaannya dan bulu-bulunya telah kelihatan, maka hukum sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya dan dagingnya halal dimakan. Adapun sekiranya janin keluar dalam keadaan belum sempurna ciptaannya dan bulu-bulu juga masih belum kelihatan, maka hukumnya haram dimakan. [3]

Walau bagaimanapun, Sheikh Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa dalam mazhab Syafi’i tidak disyaratkan keharusan itu dengan tumbuhnya bulu-bulu pada janin tersebut. Hal ini kerana janin dianggap seperti sebahagian daripada anggota badan ibunya sebagaimana anggota-anggota lain, dan sekiranya janin itu haram dengan sembelihan ibunya maka secara tidak langsung akan sabit pengharaman menyembelih binatang hamil.[4]

Ibn Munzir menambah lagi, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan ulama berpegang pada pendapat yang mengharuskannya serta tidak mendapati mana-mana ulama yang berbeza pandangan berkenaan hal ini melainkan pendapat Imam Abu Hanifah yang berkata, “penyembelihan satu nyawa tidak akan menjadi hukum penyembelihan dua nyawa”.[5]

Kesimpulan

Menurut mazhab Syafi’i hukum janin yang ditemui daripada sembelihan ibunya perlu dilihat kepada beberapa situasi. Jika ia ditemui dalam keadaan sudah mati, maka sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya. Justeru janin itu halal dimakan meskipun janin itu kelihatan sudah sempurna bentuknya seperti bulu sudah mula tumbuh. Namun, sekiranya janin ditemui dalam keadaan masih hidup (hayat mustaqirrah), maka ia wajib disembelih seperti biasa.

Wallahu a'lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Tabari, Muhammad Ibn Jarir. Tafsir al-Tabari Jami’ al-Bayan. (Mekkah: Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.t). jld 9. Hlm 502.

قال أبو جعفر: يعني جل ثناؤه بقوله:"إلا ما ذكَّيتم"، إلا ما طهرتموه بالذبح الذي جعله الله طهورًا.

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). Jld 9. Hlm 128.

مَذْهَبُنَا أَنَّ الْحَيَوَانَ الْمَأْكُولَ إذَا ذُكِّيَ فَخَرَجَ مِنْ جَوْفِهِ جَنِينٌ مَيِّتٌ حَلَّ وَبِهِ قَالَ الْعُلَمَاءُ كَافَّةً مِنْ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِنْ عُلَمَاءِ الامصار إلا أبا حنيفة وزفر فقال لَا يَحِلُّ حَتَّى يَخْرُجَ حَيًّا فَيُذَكَّى.

[3] Ibid

وَقَالَ مالك من خَرَجَ مَيِّتًا تَامَّ الْخَلْقِ وَتَمَّ شَعْرُهُ فَحَلَالٌ بِذَكَاةِ الْأُمِّ وَإِنْ لَمْ يُتِمَّ وَلَمْ يَنْبُتْ شَعْرُهُ فَحَرَامٌ

[4] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. Al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t). Jld 2. Hlm 581.

فَلَو وجد جَنِين مَيتا أَو عيشه عَيْش مَذْبُوح سَوَاء أشعر أم لَا فِي بطن مذكاة سَوَاء أَكَانَت ذكاتها بذبحها أَو إرْسَال سهم أَو نَحْو كلب عَلَيْهَا لحَدِيث ذَكَاة الْجَنِين ذَكَاة أمه أَي ذكاتها الَّتِي أحلتها أحلته تبعا لَهَا وَلِأَنَّهُ جُزْء من أَجْزَائِهَا وذكاتها ذَكَاة لجَمِيع أَجْزَائِهَا وَلِأَنَّهُ لَو لم يحل بِذَكَاة أمه لحرم ذكاتها مَعَ ظُهُور الْحمل كَمَا لَا تقتل الْحَامِل قودا

[5] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H). Jld 9. Hlm 128.

قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ كَانَ النَّاسُ عَلَى إبَاحَتِهِ لَا نَعْلَمُ أَحَدًا خَالَفَ مَا قَالُوهُ إلَى أَنْ جَاءَ أَبُو حَنِيفَةَ فَحَرَّمَهُ وَقَالَ ذَكَاةُ نَفْسٍ لَا تَكُونُ ذَكَاةَ نَفْسَيْنِ.