Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-862: HUKUM PEMBEDAHAN BAGI PESAKIT GINEKOMASTIA

HUKUM_PEMBEDAHAN_BAGI_PESAKIT_GINEKOMASTIA.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya adalah seorang lelaki yang menghidapi masalah ginekomastia, yang mana terdapat lebihan kalenjar pada bahagian payudara sehingga menyebabkan ia membesar. Masalah ini bukan berpunca semata-mata daripada lemak badan yang berlebihan bahkan boleh terjadi kepada lelaki yang mempunyai berat badan ideal. Persoalannya, adakah saya dibenarkan untuk melakukan pembedahan dan adakah ia dianggap sebagai mengubah ciptaan -Nya? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Hukum mengecilkan payudara bagi pesakit ginekomastia (pembesaran kelenjar pada payudara lelaki) adalah harus berdasarkan situasi berikut:

  1. Sekiranya pesakit ginekomastia tidak boleh sembuh secara semula jadi dalam tempoh beberapa bulan sehingga menyebabkan rasa sakitnya bertambah pada anggota berkenaan, maka dibenarkan melakukan pembedahan pengecilan bagi tujuan rawatan perubatan.
  2. Sekiranya payudara lelaki yang membesar itu tidak rasa sakit, maka harus memakan ubat oral terlebih dahulu. Namun, apabila ia tidak menunjukkan sebarang kesan positif, maka harus melakukan pembedahan bagi tujuan menghilangkan aib dan mengembalikan bentuk asal fizikal yang normal dan berciri - ciri kelelakian. Hal ini kerana ia merupakan satu keaiban pada lelaki apabila anggota badannya menyerupai wanita bahkan ejekan orang sekeliling berkemungkinan boleh menyebabkan masalah psikologi. Ia dikategorikan keaiban atau kecacatan yang muncul disebabkan masalah kesihatan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

GINEKOMASTIA

Menurut National Library of Medicine, ginekomastia merupakan satu keadaan pembesaran pada kelenjar payudara lelaki. Ia berlaku disebabkan faktor ketidak seimbangan hormon estrogen dan testosteron dalam badan. Keadaan ini merupakan permasalahan biasa yang berlaku dalam kalangan lelaki dan bukannya penyakit yang kritikal . Kebiasaannya ia berlaku kepada bayi yang baru lahir, kanak-kanak dan golongan tua. Namun, dalam sesetengah situasi ia juga boleh terjadi kepada golongan lelaki yang mempunyai berat badan yang ideal atas sebab-sebab yang tertentu seperti ketidak seimbangan hormon, pengambilan ubatan atau keadaan kesihatan.

Bagi kes yang lebih serius, payudara lelaki boleh membengkak dan membesar sehingga ia menyerupai payudara wanita, dan juga menyebabkan rasa sakit. Penyakit ginekomastia boleh sembuh secara semula jadi dalam tempoh beberapa bulan jika ketulan atau pembengkakan adalah kecil. Namun, sekiranya ia tidak boleh sembuh secara semula jadi dalam tempoh kurang daripada enam bulan dan payudara semakin membesar sehingga mengganggu aktiviti seharian, maka pesakit boleh mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan. Bentuk-bentuk rawatan yang diterima sama ada melalui pengambilan ubat oral atau pembedahan. Rawatan pembedahan pula diberikan apabila pengambilan ubat oral tidak menunjukkan sebarang kesan positif kepada pesakit[1].

MENGUBAH CIPTAAN BAGI TUJUAN RAWATAN

Secara asasnya, perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT adalah diharamkan apabila ia melibatkan perubahan yang kekal pada anggota badan dan tujuan pelaksanaannya adalah untuk kecantikan semata-mata. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang bertatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta bulu keningnya dicukur dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah”.

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, Imam al-Nawawi menyatakan dengan jelas bahawa pengharaman mengubah ciptaan-Nya berlaku sekiranya tujuan pelaksanaan itu hanya untuk memperoleh kecantikan diri semata-mata melainkan untuk tujuan rawatan kesakitan dan menutup aib[2].

Tambahan lagi, pengecualian terhadap pengharaman mengubah ciptaan-Nya bagi tujuan perubatan adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman Ibn Tarafah:

أَنَّ جَدَّهُ، عَرْفَجَةَ بْنَ أَسْعَدَ قُطِعَ أَنْفُهُ يَوْمَ الْكُلاَبِ فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ فَأَنْتَنَ عَلَيْهِ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَاتَّخَذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya datuknya Arfajah bin As’ad terpotong hidungnya ketika peperangan Kulab. Kemudian, beliau menggantikan dengan hidung yang diperbuat daripada perak namun hidung tersebut membusuk, maka Nabi SAW memerintahkan beliau untuk menggantikan hidungnya dengan emas.”

(Riwayat Abu Daud)

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti juga menyatakan bahawa pengharaman hanya disabitkan jika pembedahan tersebut bertujuan semata-mata untuk mencantikkan dan memperelokkan diri. Hal ini kerana, ia masih berada pada tahap untuk seseorang itu mendapatkan kesempurnaan dan kecantikan (tahsiniyyat). Namun, pengharaman ini adalah terkecuali apabila wujudnya keperluan dan maslahat individu untuk melakukannya sama ada ia berada pada tahap daruriyyat (keperluan mendesak) atau hajiyyat (menghindarkan kepayahan).[3]

Bagi menjawab isu pembedahan mengecilkan payudara lelaki, niat atau tujuan merupakan asas pertimbangan dalam penentuan hukum sama ada bermotifkan keperluan rawatan atau hanya mengikut hawa nafsu semata - mata.

PANDANGAN ULAMA KONTEMPORARI

Selain daripada faktor penyakit fizikal, lelaki yang memiliki payudara besar juga sering dikaitkan masalah kecacatan yang menimbulkan keaiban. Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti membahaskan aib atau kecacatan pada tubuh kepada dua kategori berikut:

1. Kecacatan semulajadi (bukan faktor luaran):

  • Kecacatan sejak lahir seperti sumbing bibir, melekat jari tangan atau kaki.
  • Kecacatan akibat daripada penyakit seperti masalah gusi kesan daripada jangkitan atau kusta.

2. Kecacatan serta -merta (faktor luaran) seperti retak muka akibat kemalangan atau melecur kulit akibat kemalangan.[4]

Selain itu, Dr. Soleh bin Muhammad al-Fawzan memperincikan pandangan berkenaan hukum lelaki memperelok dan mencantikkan payudara. Merujuk kepada persoalan, ia termasuk dalam kategori pembedahan mengecilkan payudara lelaki disebabkan terjadi pembengkakan dan pembesaran yang teruk, sehingga ia kelihatan seperti bentuk payudara wanita atau luar daripada kebiasaannya. Justeru, pembedahan seperti ini diharuskan oleh syarak atas sebab-sebab berikut [5]:

  1. Kebiasaan bagi lelaki adalah memiliki bentuk payudara yang kecil. Apabila berlaku sebaliknya, maka seseorang itu akan menjadi perhatian orang sekelilingnya bahkan mungkin menjadi bahan ejekan atau cemuhan. Keadaan ini akan menyebabkan pesakit tidak bergaul dengan masyarakat serta membataskan aktiviti sehariannya. Akibat daripada itu, pesakit ginekomastia juga berkemungkinan berhadapan dengan masalah psikologi. Walhal prinsip serta kaedah syarak telah menetapkan bahawa sebarang mudarat sama ada melibatkan fizikal atau mental perlu dihilangkan berdasarkan kaedah fiqh:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.”

  1. Pembedahan ini termasuk dalam kategori rawatan bagi menghilangkan aib dan tidak dianggap mengubah ciptaan semula jadi. Tujuan pembedahan juga adalah untuk mengembalikan anggota kepada bentuk asalnya. Lelaki yang menghidapi penyakit ginekomastia adalah tidak normal seperti kebiasaan kaum lelaki, maka perubahan jenis ini tidak termasuk dalam perubahan yang dilarang oleh syarak. Hal ini kerana, pengharaman hanya disabitkan jika pembedahan bersifat kekal yang mengubah ciptaan semula jadi.
  1. Keharusan untuk melakukan pembedahan diqiyaskan dengan hukum menghilangkan kecacatan pada anggota badan lain. Kedua-duanya berkongsi illah yang sama iaitu perubahan yang bertujuan untuk mengembalikan anggota kepada ciptaannya yang asal.

Walau bagaimanapun, pembedahan ini hanya diharuskan sekiranya pembesaran pada payudara adalah jelas dan ketara sehingga memberi kesukaran. Pesakit mestilah mendapatkan nasihat dan konsultasi daripada pakar perubatan sebelum mendapatkan rawatan. Prosedur pembedahan juga mestilah tidak mendatangkan bahaya dan mudarat kepada pesakit.[6]

FATWA-FATWA BERKAITAN

  1. Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi (Lajnah al-Daimah)[7]

Hukum pembedahan membuang benjolan pada payudara lelaki adalah dibenarkan jika diyakini secara pasti bahawa kadar kejayaan pembedahan adalah tinggi tanpa sebarang risiko. Hal ini bagi menjawab persoalan apabila terdapat benjolan pada payudara seorang remaja lelaki, maka dia menanggung kesakitan itu selain dirinya juga berasa malu ketika berada di khalayak ramai. Oleh itu, pakar perubatan memberi saranan bahawa benjolan itu boleh dikeluarkan dengan mudah melalui pembedahan plastik.

  1. Akademi Fiqh Islam Antarabangsa[8]

Berdasarkan resolusi yang dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami (Akademi Fiqh Islam Antarabangsa) di Putrajaya pada 9-14 Julai 2007 telah memutuskan bahawa   pembedahan kosmetik dibenarkan bagi tujuan mengembalikan fungsi asal dan bentuk semula jadi anggota badan serta memperbaiki kecacatan. Oleh itu, keputusan menyatakan bahawa memperbaiki kecacatan kesan daripada penyakit dan lain-lain adalah dibenarkan. contohnya, mengembalikan bentuk payudara secara keseluruhannya jika ia pernah dikeluarkan, atau sebahagiannya jika saiznya yang begitu besar atau kecil boleh membawa kepada penyakit. Keputusan ini termasuk dalam senarai parameter umum yang membenarkan operasi pembedahan plastik yang melibatkan proses mengubahsuai bentuk tubuh. Saranan kepada pakar perubatan agar mematuhi peraturan pembedahan agar ia selari dengan syarak. Pakar perubatan mestilah memahami ketetapan undang-undang dan amalan perubatan terutamanya berkenaan dengan pembedahan plastik.

Kesimpulan

Hukum mengecilkan payudara lelaki perlu diperincikan kepada beberapa situasi:

  1. Pesakit ginekomastia yang tidak mampu sembuh secara semula jadi dan menyebabkan kesakitannya bertambah, maka pembedahan adalah dibenarkan kerana ia bertujuan rawatan perubatan.
  2. Pesakit ginekomastia yang tidak mampu sembuh secara semula jadi, tidak berasa kesakitan tetapi pembesaran pada payudara semakin parah, maka dia harus hukumnya memakan ubat oral terlebih dahulu. Sekiranya masih tidak sembuh, maka harus melakukan pembedahan untuk menghilangkan aib serta mengembalikan bentuk asal dan ciri-ciri kelelakiannya.

Wallahu a'lam

Rujukan:

[1] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279105/

[2] al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1392H). Jld 14. Hlm 107.

وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس

[3] Muhammad Mukhtar al-Syanqiti. Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattabah ‘alaiha. (Jeddah: Maktabah al-Sahabah, 1994). Hlm 186.

فبين -رحمه الله- أن المحرم ما كان المقصود منه التجميل والزيادة في الحسن، وأما ما وجدت فيه الحاجة الداعية إلى فعله فإنه لا يشمله النهي والتحريم. والجواز فيها مبني على وجود الحاجة الداعية إلى فعلها، وهي إما أن تبلغ مقام الضروريات كما في الجراحة العلاجية الضرورية، وجراحة الولادة الضرورية. وإما أن تبلغ مقام الحاجيات كما في الجراحة العلاجية الحاجية، وجراحة الولادة الحاجية، وجراحة التشريح لغرض تعليم الطب، وجراحة الكشف والفحص الطبي، وجراحة التجميل الحاجية.

[4] Muhammad Mukhtar al-Syanqiti. Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah wa al-Athar al-Mutarattabah ‘alaiha. (Jeddah: Maktabah al-Sahabah, 1994). Hlm 183.

وإذا نظرنا إلى العيوب التي توجد في الجسم فإننا نجدها على قسمين.القسم الأول: عيوب خلقية: وهي عيوب ناشئة في الجسم من سبب فيه لا من سبب خارج عنه، فيشمل ذلك ضربين من العيوب وهما الضرب الأول: العيوب الخلقية التي ولد بها الإنسان. الضرب الثاني: العيوب الناشئة من الآفات المرضية التي تصيب الجسم. فمن أمثلة الضرب الأول العيوب التالية:(١) الشق في الشفة العليا "الشفة المفلوجة" (٢) التصاق أصابع اليدين، والرجلين . ومن أمثلة الضرب الثاني العيوب التالية: (١) انحسار اللثة بسبب الالتهابات المختلفة .(٢) أورام الحويضة والحالب السليمة .(٣) عيوب صيوان الأذن الناشئة عن الزهري والجذام، والسل (٤). القسم الثاني: عيوب مكتسبة "طارئة": وهي العيوب الناشئة بسبب من خارج الجسم كما في العيوب والتشوهات الناشئة من الحوادث والحروق.ومن أمثلتها ما يلي: (١) كسور الوجه الشديدة التي تقع بسبب حوادث السير (٢) تشوه الجلد بسبب الحروق

[5] Soleh bin Muhamad al-Fawzan, al-Jirahah al-Tajmiliyyah. (Riyadh: Dar al-Tadmuriyyah, 2008). Hlm 274

أن المعتاد كون ثدي الرجل صغيراً، فإذا كان كبيراً فإن ذلك يجعله لافتاً للأنظار، وربما كان موضعاً للسخرية والتندّر، وفي ذلك ضرر نفسي بالرجل قد يتسبب في عدم اختلاطه بغيره وعدم ممارسته لما يفيد جسمه من رياضة كالسباحة ونحوها ؛ وقد تقرر أن الضرر يُزال، وهذا يشمل ـ كما سبق - الضرر الجسدي والنفسي. ب - أن كبر ثدي الرجل خِلْقة غير معهودة، وفي تصغير ثديه علاج لهذا العيب وإزالة لهذا التشوّه ولا يُراد من الجراحة تغيير خلق الله تعالى؛ ، بل يراد منها إعادة الخلقة إلى أصلها خاصة أن التضخّم قد يكون طارئاً لا خَلقياً، وقد تقدم أن التغيير المحرم إحداث تغيير دائم في خلقة معهودة . ج - القياس على إزالة التشوّهات التي تصيب الجسم، فكما يجوز إزالتها لإعادة الخِلْقة إلى أصلها، فكذا يجوز إزالة الثدي المتضخم عند الرجل ؛ لأنه تشوّه في جسمه وليس شيئاً معتاداً في مثله.

[6] Ibid. Hlm 275.

إلا أن جواز إجراء هذه الجراحة ينبغي تقييده بألا يكون في العملية ضرر، وأن يكون في الثديين تضخّم ظاهر يتسبب في الحرج لصاحبه؛ إذ ليس كل تضخّم يسير مبرراً لإجراء العملية الجراحية، وعادةً ما مناقشة ذلك الطبيب قبل اتخاذ قرار بإجراء العملية

[7]https://al-fatawa.com/fatwa

الفتوى رقم ( 6158 )

س: أنا شاب أبلغ من العمر ثماني عشرة سنة، وقبل أربع سنوات حدث لي بروز في الثديين، وكان مصاحبا لذلك البروز بعض الألم، وبعد فترة زال الألم والحمد لله وبقي البروز على حاله، وبروز الثديين هذا واضح حتى من تحت الملابس، وقد سألت الطبيب المختص عن ذلك فقال: إنه يمكن إزالة هذا البروز بسهولة، وذلك عن طريق عملية جراحية تجميلية، فهل يجوز إجراء مثل هذه العملية؟ علمًا أن هذا البروز يسبب لي الإحراج أمام الآخرين.

ج: يجوز لك إجـراء عملية التجميل لإزالة هـذا البروز إذا غلب على الظن نجاح العملية ولم ينشأ ضرر يزيد على فائـدتها أو يساويه. وبالله التوفيق، وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم.

[8] https://iifa-aifi.org/ar/2283.html

أن تحقق الجراحة مصلحة معتبرة شرعًا، كإعادة الوظيفة وإصلاح العيب وإعادة الخلقة إلى أصلها.

إصلاح العيوب الطارئة (المكتسبة) من آثار الحروق والحوادث والأمراض وغيرها، مثل: زراعة الجلد وترقيعه، وإعادة تشكيل الثدي كليًا حالة استئصاله، أو جزئيًا إذا كان حجمه من الكبر أو الصغر بحيث يؤدي إلى حالة مرضية، وزراعة الشعر حالة سقوطه خاصة للمرأة