Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-861: HUKUM MENGHASILKAN IMEJ ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA DENGAN AI

HUKUM_MENGHASILKAN_IMEJ_ORANG_YANG_TELAH_MENINGGAL_DUNIA_DENGAN_AI.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya mempunyai soalan adakah dibenarkan perbuatan menggunakan aplikasi 'generative AI' dalam menghasilkan kerja kreatif digital memaparkan wajah insan yang telah meninggal dunia sebagai salah satu jalan meluahkan rasa kesedihan dan rindu kepada insan tersayang?

Ringkasan Jawapan:

Hukum menghasilkan imej orang yang meninggal dunia menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital mengambil sama seperti hukum melukis gambar.

Hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab yang munasabah hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama. Namun penggunaan menghasilkan imej digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan. Selain itu, lukisan dan gambar yang tidak lengkap (hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja) iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala maka tiada bernyawa manusia dan haiwan tersebut maka hukumnya harus. Oleh itu, penghasilan imej digital orang yang telah meninggal dunia aplikasi “generative AI” adalah harus dengan syarat:

  1. Gambar yang dihasilkan bukanlah gambar yang sempurna seluruh anggota tubuh badan.
  2. Tidak mempamer aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan syarak.
  3. Tidak mengaibkan gambar si mati.
  4. Tidak menjadikan gambar orang yang telah meninggal dunia bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya.
  5. Tujuan gambar tersebut dibuat hanyalah untuk perkara-perkara kebaikan.

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan yang tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Penggunaan Kecerdasan Buatan (Ai) & Generative Ai dalam Karya Seni

Kecerdasan buatan atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat dunia dengan istilah Artificial Intelligence (Ai) telah memberi impak kepada dunia dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Kecerdasan buatan ini merupakan satu bentuk sistem komputer yang mampu meniru cara manusia berfikir sehingga merubah cara bekerja manusia dan landskap kehidupan manusia. Seiring dengan teknologi big data dan internet of things  (IoT), teknologi ini telah melahirkan Revolusi Perindustrian 4.0.

Salah satu bidang AI yang kebelakangan ini sedang mendapat tempat dalam kalangan para pencipta karya digital khususnya mereka yang bekerja dalam bidang grafik dan fotografi adalah Generative Artificial Intelligence (GenAI). Generative AI ialah salah satu cabang daripada AI yang digunakan untuk menghasilkan konten berdasarkan berbagai jenis input. Input dan output model AI ini dihasilkan dalam pelbagai bentuk dokumen seperti teks, gambar, suara, animasi, model 3D, atau jenis data lainnya. Teknologi generatif AI juga dikatakan mampu menghasilkan grafik digital yang berkualiti sehingga sukar dibezakan dengan karya asli dihasilkan manusia. Meskipun Generative AI membawa banyak manfaat ia telah mencetuskan cabaran dan isu etika dari segi hak cipta dan kepemilikan intelektual, boleh juga membuka ruang kepada penyalahgunaan dan penipuan maklumat atau imej[1].

Akhir-akhir ini timbul pelbagai aplikasi yang menggunakan teknologi Ai mampu menganimasikan foto orang yang telah meninggal dunia dimuat naik seolah-olah kelihatan hidup. Aplikasi ini kononnya sebagai alternatif bagi seseorang itu untuk ‘melepaskan’ rindu buat ahli keluarga mereka yang telah dijemput Ilahi. Namun, timbul persoalan dalam kalangan  masyarakat adakah dibenarkan dari sudut hukum penghasilan semula imej atau video mereka yang telah meninggal dunia menggunakan aplikasi tersebut?

 

Hukum Melukis Gambar Makhluk yang Bernyawa

Hukum melukis gambar makhluk yang tidak bernyawa seperti pokok-pokok atau gunung ganang adalah harus dan dalam hal ini tidak ada perselisihan di kalangan ulama. Adapun hukum melukis gambar makhluk yang hidup dan sempurna adalah haram menurut Majoriti ulama[2]. Hal berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat seraya diseru, ‘Hidupkan apa yang kalian buat.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Manusia yang paling pedih azabnya pada hari kiamat adalah orang yang berusaha menyaingi ciptaan Allah.”

(Riwayat al-Bukhari)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata:

قال أصحابنا وغيرهم من العلماء: تصوير صورة الحيوان حرام شديد التحريم ، وهو من الكبائر ؛ لأنه متوعد عليه بهذا الوعيد الشديد المذكور فى الأحاديث ، وسواء صنعه بما يمتهن أو بغيره فصنعته حرام بكل حال ؛ لأن فيه مضاهاة لخلق الله تعالى،

Maksudnya: “Ulama besar mazhab Syafi’i (Ashab al-Syafi’i) dan lainnya berpandangan bahawa hukum melukis makhluk yang bernyawa adalah tersangat haram dan ia termasuk dalam dosa besar. Hal ini demikian kerana pelakunya diancam dengan ancaman keras yang disebutkan dalam beberapa hadis, sama ada dalam keadaan yang dihina atau selainnya maka hukumnya haram. Ia termasuk dalam bab cubaan untuk menyaingi ciptaan Allah SWT.[3]

Bahkan menurut ulama mazhab Syafi’i haram melukis makhluk yang hidup walaupun dalam bentuk yang tidak sempurna atau makhluk yang tidak pernah wujud seperti gambar manusia yang memiliki sayap[4]. Namun pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i iaitu pandangan Imam Abu Hamid al-Marwazi harus melukis gambar makhluk yang tidak wujud di alam nyata[5].

Manakala dalam mazhab Hanbali, jika gambar makhluk tersebut tidak sempurna, maka tidak haram untuk melukisnya. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah:

وإن قطع منه ما لا يبقى الحيوان بعد ذهابه، كصدره أو بطنه، أو جعل له رأس منفصل عن بدنه, لم يدخل تحت النهي، لأن الصورة لا تبقى بعد ذهابه، فهو كقطع الرأس.

Maksudnya: “Apabila dipotong bahagian yang makhluk tidak boleh hidup jika tidak ada bahagian itu, seperti: dadanya, perutnya atau menjadikan kepalanya terpisah daripada badannya, maka tidak termasuk dalam keharaman melukis. Hal ini demikian kerana gambar tidak ada setelah kehilangan bahagian tersebut, seperti dengan memotong kepalanya[6].”

Imam Ibn Abbas berkata:

الصُّورَةُ الرَّأْسُ، فَإِذَا قُطِعَ الرَّأْسُ فَلَيْسَ بِصُورَةٍ

Maksudnya: “Bahagian yang paling utama pada gambar adalah kepala, jika kepalanya dipotong, maka ia bukanlah gambar”

(Riwayat al-Baihaqi)

Di sisi mazhab Maliki pula berpandangan bahawa hukum melukis gambar yang sempurna bagi manusia dan haiwan adalah makruh[7]. Ini juga merupakan pendapat al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr as-Siddiq salah seorang daripada tujuh orang Fuqaha Madinah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani[8]. Perkara ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Talhah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَدْخُلُ المَلائِكَةُ بَيْتًا فيه صُورَةٌ. قالَ بُسْرٌ: فَمَرِضَ زَيْدُ بنُ خالِدٍ فَعُدْناهُ، فإذا نَحْنُ في بَيْتِهِ بسِتْرٍ فيه تَصاوِيرُ، فَقُلتُ لِعُبَيْدِ اللَّهِ الخَوْلانِيِّ: ألَمْ يُحَدِّثْنا في التَّصاوِيرِ؟ فقالَ: إنَّه قالَ: إلَّا رَقْمٌ في ثَوْبٍ، ألَا سَمِعْتَهُ؟ قُلتُ: لا. قالَ: بَلَى، قدْ ذَكَرَهُ.

Maksudnya: "Malaikat tidak memasuki rumah yang terdapat gambar. Kata Busr: Kemudian Zaid bin Khalid telah jatuh sakit, maka kami pergi melawatinya, kami dapati tirai bergambar di rumahnya, maka aku bertanya 'Ubaidullah al-Khaulani: Tidakkah dia menceritakan perihal gambar-gambar? Kata: Dia telah berkata: Kecuali lukisan pada kain, tidakkah kamu mendengarnya? Aku berkata: Tidak. Kata: Bahkan beliau telah menyebut demikian."

(Riwayat al-Bukhari)

Syeikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa hukum mengenai gambar makhluk bernyawa seperti manusia dan haiwan bergantung pada tujuan pembuatannya:

  1. Haram jika gambar tersebut dibuat untuk disembah selain Allah SWT, untuk menyucikannya, untuk menyaingi ciptaan Allah SWT, untuk menggambarkan para Nabi dan Malaikat atau gambar-gambar yang tidak menutup aurat.
  2. Tidak diharamkan jika gambar tersebut tidak dimaksudkan untuk tujuan yang terlarang dalam Islam[9].

Sebahagian ulama pula memberikan kelonggaran kepada gambar-gambar untuk tujuan maslahat seperti pendidikan dan lainnya. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA yang bermain dengan permainan berbentuk patung dan ia dibenarkan untuk melatih anak perempuan dalam mendidik anak di sisi jumhur ulama[10].

Berbalik kepada persoalan di atas, penghasilan imej orang yang meninggal dunia menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital sama seperti hukum melukis gambar[11].

Kesimpulan

i. Para ulama berselisih pandangan tentang hukum penghasilan imej. Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i hukum menghasilkan imej makhluk yang bernyawa adalah haram manakala sebahagian ulama kontemporari ada yang menyatakan tidak haram. Bagi yang menyatakan tidak haram antaranya Syeikh Yusuf al-Qaradawi, berpandangan bahawa imej atau gambar digital makhluk yang bernyawa seperti manusia dan haiwan tidak termasuk dalam larangan dalam hadis di atas. Ini kerana menurut beliau gambar yang diharamkan itu hanyalah gambar yang memiliki bayang-bayang seperti ukiran yang mempunyai 3 dimensi.

ii. Hukum menghasilkan imej orang yang meninggal dunia menggunakan teknologi Generative Ai, iaitu seseorang memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi untuk gambar yang dikehendaki kemudian menghasilkan imej digital mengambil sama seperti hukum melukis gambar.

iii. Hukum melukis gambar sama ada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia tanpa tujuan dan sebab yang munasabah menurut syarak hukumnya adalah haram menurut majoriti ulama. Namun penggunaan menghasilkan imej digital untuk tujuan kemaslahatan dan keperluan seperti tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan. Selain itu, lukisan dan gambar yang tidak lengkap (hanya menampilkan sebahagian anggota sahaja) iaitu jika dengan ketiadaan sebahagian anggota seperti kepala tersebut maka tiada bernyawa manusia dan haiwan tersebut maka hukumnya harus. Oleh itu, penghasilan imej digital orang yang telah meninggal dunia aplikasi “generative AI” adalah harus dengan syarat:

  1. Gambar yang dihasilkan bukanlah gambar yang sempurna seluruh anggota tubuh badan.
  2. Tidak mempamer aurat atau apa sahaja perkara yang bercanggah dengan syarak.
  3. Tidak mengaibkan gambar si mati.
  4. Tidak menjadikan gambar orang yang telah meninggal dunia bergerak-gerak kerana dikhuatiri ia akan menjatuhkan maruah atau memalukannya.
  5. Tujuan gambar tersebut dibuat hanyalah untuk perkara-perkara kebaikan.

iv. Kami menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menggunakan kecanggihan teknologi yang ada. Penggunaan teknologi yang tidak terkawal akan mendatangkan kesan yang tidak baik sama ada kepada individu, masyarakat mahupun negara.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Mengenali Dunia Generative Ai, diakses 22 Julai 2024 daripada pautan:http://www.idec.upm.edu.my/artikel/mengenali_dunia_generative_ai-78079

[2] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah (1467H) al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Kuwait: Dar al-Salasil, 12:110.

إِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ كَصِنَاعَةِ ذَوَاتِ الظِّل. وَهَذَا قَوْل جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ مِنَ الْحَنَفِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ، وَنُقِل عَنْ كَثِيرٍ مِنَ السَّلَفِ.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi (1392H) Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin Hajjaj, Beirut: Dar Ihya’ Thurast al-Arabiy, 14:81.

[4] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlisi Umairah (1995) Hasyiata Qalyubi wa Umairah, Beirut: Dar al-Fikr, 3:298.

(وَيَحْرُمُ تَصْوِيرُ حَيَوَانٍ) وَلَوْ عَلَى هَيْئَةٍ لَا يَعِيشُ مَعَهَا مَا لَا نَظِيرَ لَهُ كَمَا مَرَّ أَوْ مِنْ طِينٍ أَوْ مِنْ حَلَاوَةٍ،

[5] Abu Hassan Ali bin Muhammad al-Mawardi (1999) al-Hawi al-Kabir fi Fiqh Mazhab Imam al-Syafi’i, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 9:565.

وَالْوَجْهُ الثَّانِي: وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَامِدٍ الْمَرْوَزِيِّ لَا تَحْرُمُ؛ لِأَنَّهُ يَكُونُ بِالتَّزَاوِيقِ الْكَاذِبَةِ أَشْبَهَ مِنْهُ بِالصُّوَرِ الْحَيَوَانِيَّةِ، فَعَلَى الْوَجْهِ الْأَوَّلِ يَحْرُمُ عَلَيْهِ أَنْ يُصَوِّرَ وَجْهَ إِنْسَانٍ بِلَا بَدَنٍ وَعَلَى الْوَجْهِ الثَّانِي لَا يَحْرُمُ.

[6] Abu Muhammad Abdullah bin Ahmad (1997) al-Mughni, Riyadh: Dar Alam al-Kutub, 10:201.

[7] Syihab al-Din al-Nafrawi al-Azhar (1995) al-Fawakih al-Dawani ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, Beirut: Dar al-Fikr, 2:315.

قَالَ فِي الْمُدَوَّنَةِ: تُكْرَهُ التَّمَاثِيلُ الَّتِي فِي الْأَسِرَّةِ وَالْقِبَابِ وَالْمَنَابِرِ وَلَيْسَ كَالثِّيَابِ وَالْبُسُطِ الَّتِي تُمْتَهَنُ انْتَهَى،

[8] Ibn Hajar al-Asqalani (1390H) Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 10:388.

قلت المذهب المذكور نقله ابن أبي شيبة عن القاسم بن محمد بسند صحيح

[9] Yusuf al-Qaradawi (2007) al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, Qahirah: Maktabah Wahbah, 96-97

[10] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah (1467H) al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Kuwait: Dar al-Salasil, 12:113.

لَمْ نَجِدْ أَحَدًا مِنَ الْفُقَهَاءِ تَعَرَّضَ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا، عَدَا مَا ذَكَرُوهُ فِي لُعَبِ الأَْطْفَال: أَنَّ الْعِلَّةَ فِي اسْتِثْنَائِهَا مِنَ التَّحْرِيمِ الْعَامِّ هُوَ تَدْرِيبُ الْبَنَاتِ عَلَى تَرْبِيَةِ الأَْطْفَال كَمَا قَال جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ، أَوِ التَّدْرِيبُ وَاسْتِئْنَاسُ الأَْطْفَال وَزِيَادَةُ فَرَحِهِمْ لِمَصْلَحَةِ تَحْسِينِ النُّمُوِّ كَمَا قَال الْحَلِيمِيُّ، وَأَنَّ صِنَاعَةَ الصُّوَرِ أُبِيحَتْ لِهَذِهِ الْمَصْلَحَةِ، مَعَ قِيَامِ سَبَبِ التَّحْرِيمِ، وَهِيَ كَوْنُهَا تَمَاثِيل لِذَوَاتِ الأَْرْوَاحِ. وَالتَّصْوِيرُ بِقَصْدِ التَّعْلِيمِ وَالتَّدْرِيبِ نَحْوُهُمَا لاَ يَخْرُجُ عَنْ ذَلِكَ.

[11] Muhammad bin Ahmad bin Ali Wasil (1999) Ahkam al-Taswir fi al-Fiqhi al-Islami, Saudi: Dar al-Toibah, 363.

وحكم صناعة ما يسمى أفلام الكرتون كحكم صناعة الصور المنقوشة باليد ، متى كانت لذوات الأرواح ، سواء كانت منقوشة باليد كما هو معروف الآن ، أو كانت صناعة بالآلات الحديثة