Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-863: ADAKAH DIWAJIBKAN SESEORANG ITU UNTUK MENJAGA ANAK SAUDARANYA YANG KEMATIAN BAPA JIKA DIA MENOLAK BAHAGIANNYA DALAM HARTA PUSAKA

ADAKAH_DIWAJIBKAN_SESEORANG_ITU_UNTUK_MENJAGA_ANAK_SAUDARANYA_YANG_KEMATIAN_BAPA_JIKA_DIA_MENOLAK_BAHAGIANNYA_DALAM_HARTA_PUSAKA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Dato Mufti, saya ada satu persoalan, jika saya menolak harta faraid adik-beradik yang telah meninggal dunia, adakah saya boleh menolak tanggungjawab membesar dan menjaga anak-anak si mati?

Ringkasan Jawapan

Tanggungjawab penjagaan anak-anak si mati yang masih belum mampu menguruskan diri adalah satu kewajipan baginya jika ibu atau waris terdekat kepada kanak-kanak tersebut serta saudara-mara yang lain tidak mampu atau sudah tiada untuk menjaga mereka. Belanja dan tanggungan boleh diambil daripada harta kanak-kanak tersebut mengikut kadar yang diperlukan.

Manakala seseorang yang layak menerima harta faraid atau pusaka boleh melepaskan diri dengan tidak mengambil harta tersebut lalu diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Huraian Jawapan

Penjagaan kanak-kanak adalah kewajipan kedua ibu bapanya. Namun sekiranya keduanya berpisah atau meninggal dunia maka hukum menjaga dan mengasuh kanak-kanak yang masih belum mumaiyiz dan tidak berupaya menguruskan diri serta mendidiknya adalah fardu kifayah (kewajipan dipertanggungjawabkan kepada sebahagian individu) bagi ahli waris terdekat atau saudara-maranya. Perkara ini dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah seperti berikut:

الْحَضَانَةُ وَاجِبَةٌ شَرْعًا، لأِنَّ الْمَحْضُونَ قَدْ يَهْلِكُ، أَوْ يَتَضَرَّرُ بِتَرْكِ الْحِفْظِ، فَيَجِبُ حِفْظُهُ عَنِ الْهَلاَكِ، مُحْكِمُهَا الْوُجُوبُ الْعَيْنِيُّ إِذَا لَمْ يُوجَدْ إِلاَّ الْحَاضِنُ، أَوْ وُجِدَ وَلَكِنْ لَمْ يَقْبَل الصَّبِيُّ غَيْرَهُ، وَالْوُجُوبُ الْكِفَائِيُّ عِنْدَ تَعَدُّدِ الْحَاضِنِ

Maksudnya: “Penjagaan anak adalah wajib menurut syarak, ini kerana anak penjagaan boleh menjadi rosak binasa atau mendatangkan kemudaratan tanpa penjagaan. Oleh itu, anak itu wajib dijaga daripada kebinasaan. Hukum menjaganya adalah wajib aini (wajib ke atas individu) sekiranya tiada penjaga yang lain melainkan dirinya atau terdapat penjaga yang lain namun tidak mahu menjaganya. Manakala wajib kifayah jika terdapat ramai penjaga”.[1]

Menurut Imam Ibn Hajar, kanak-kanak yang mumaiyiz adalah mereka yang dapat membezakan sesuatu yang baik dan buruk. Secara kebiasaannya umur mereka di antara tujuh hingga lapan tahun.[2] Ini dapat difahami bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz adalah mereka yang tidak dapat menguruskan diri sendiri dan kebiasaannya mereka yang berumur bawah tujuh tahun.

Hak penjagaan kanak-kanak yang belum mumaiyiz setelah ketiadaan ibu atau neneknya diutamakan kepada ahli waris atau saudara-maranya yang perempuan. Kemudian jika saudara-mara perempuan tiada maka bapa atau datuknya yang bertanggungjawab. Jika kedua-duanya tiada, tanggungjawab tersebut beralih kepada saudara-mara lelaki untuk menjaga kanak-kanak tersebut termasuklah bapa saudara.[3]

Dari sudut belanja tanggungan kanak-kanak tersebut, penjaga boleh mengambil daripada hartanya mengikut keperluan dan sekiranya tiada maka belanja tersebut boleh dituntut kepada ahli keluarga yang diwajibkan ke atas kanak-kanak tersebut untuk diberi nafkah iaitu bapa, datuk dan ke atas.[4] Menurut al-Khatib al-Syirbini:

وَمُؤْنَةُ الْحَضَانَةِ فِي مَالِ الْمَحْضُونِ، فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ مَالٌ فَعَلَى مَنْ تَلْزَمُهُ نَفَقَتُهُ؛ لِأَنَّهَا مِنْ أَسْبَابِ الْكِفَايَةِ كَالنَّفَقَةِ

Maksudnya: “Belanja penjagaan kanak-kanak boleh diambil daripada harta anak jagaan. Sekiranya anak jagaan tersebut tiada harta, maka boleh diambil ke atas mereka yang wajib menafkahinya. Hal ini kerana memberi belanja penjagaan salah satu keperluan sebagaimana nafkah”.[5]

Sekiranya masih lagi tidak mampu untuk menanggung belanja, maka penjaga perlu memohon bantuan daripada pihak Pengurusan Zakat atau Baitulmal Negeri. Hal ini kerana anak jagaan tersebut boleh dikategorikan sebagai asnaf fakir dan miskin yang berhak menerima bantuan daripada zakat dan baitulmal.[6]

Manakala berkaitan hukum bagi seseorang yang layak menerima harta faraid atau harta pusaka, adakah dia boleh melepaskan diri dengan tidak mengambil harta tersebut. Kemudian bahagiannya itu diberi kepada sesiapa yang dikehendakinya? Dalam hal ini, menurut Dr. Wahbah Zuhaili ahli waris boleh menarik diri daripada menerima bahagian harta pusakanya sama ada dengan menerima sesuatu balasan atau tidak. Begitu juga ahli waris boleh memberi harta tersebut kepada sesiapa yang dikehendakinya. [7] Hukum ahli waris yang melepaskan diri dalam apa jua keadaan dengan tidak menerima bahagian harta pusaka tersebut adalah diharuskan menurut mazhab al-Syafi’i, Hanafi dan Maliki.[8]

Kesimpulan

Tanggungjawab penjagaan anak-anak si mati yang masih belum mampu menguruskan diri adalah satu kewajipan baginya jika ibu atau waris terdekat kepada kanak-kanak tersebut serta saudara-mara yang lain tidak mampu atau sudah tiada untuk menjaga mereka. Belanja dan tanggungan boleh diambil daripada harta kanak-kanak tersebut mengikut kadar yang diperlukan.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (al-Wizarah, 1427h) Jld. 17 hlm. 300)

[2] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj. (t.t.: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1415) Jld. 5 Hlm. 198

(وَالْمُمَيِّزُ) الصَّادِقُ بِالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى (إنْ افْتَرَقَ أَبَوَاهُ) مِنْ النِّكَاحِ وَصَلُحَا لِلْحَضَانَةِ، وَلَوْ فَضَلَ أَحَدُهُمَا الْآخَرَ دِينًا أَوْ مَالًا أَوْ مَحَبَّةً (كَانَ عِنْدَ مَنْ اخْتَارَ مِنْهُمَا) لِأَنَّهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - «خَيَّرَ غُلَامًا بَيْنَ أَبِيهِ وَأُمِّهِ» ، رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ، وَالْغُلَامَةُ كَالْغُلَامِ فِي الِانْتِسَابِ، وَلِأَنَّ الْقَصْدَ بِالْكَفَالَةِ الْحِفْظُ لِلْوَلَدِ، وَالْمُمَيِّزُ أَعْرَفُ بِحَظِّهِ فَيُرْجَعُ إلَيْهِ، وَسِنُّ التَّمْيِيزِ غَالِبًا سَبْعُ سِنِينَ أَوْ ثَمَانٍ تَقْرِيبًا، وَقَدْ يَتَقَدَّمُ عَلَى السَّبْعِ وَقَدْ يَتَأَخَّرُ عَنْ الثَّمَانِ

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) Jld. 4 Hlm. 192-193

مَن أحقّ بالحضانة بعد الأم؟ إذا لم توجد أم الطفل، أو وجدت، ولكنها رفضت أن تحضنه، كان الحق في الحضانة لمن بعد الأُم، وكانت الأفضلية لأم الأم. والمقصود بها: جدّة تدلي إلى الطفل بأنثى، تقدّم القربى، فالقربى. ثم لأم الأب. ثم أُمهاتها، تقدم القربى فالقربى. ثم للأخت الشقيقة. ثم للأخت من الأب. ثم للأخت من الأم. ثم الخالة. ثم العمّة. ثم بنات الأخ، ثم بنات الأُخت.

فيقدم: الأب، ثم الجد، وإن علا. ثم الأخ الشقيق، ثم الأخ لأب، ثم ابن الأخ الشقيق، فابن الأخ لأب، ثم العمّ الشقيق، ثم العم لأب. ثم ابن العم الشقيق، ثم ابن العم لأب. وإنما قدّم الأقرب فالأقرب في حق الحضانة، لأن الأقرب أوفر شفقة على الغالب من الأبعد، وأكثر حرصاً على حق الرعاية، وحُسن التربية؛ ومصلحة الصغار.

[4] Ibid. Jld. 4 Hlm. 170

يجب على الوالد ـ وإن علا ـ نفقة ولده، وإن سفل .فالأب مكلف بالإنفاق ـ على اختلاف أنواع النفقة ـ على أولاده ذكوراً وإناثاً، فإن لم يكن لهم أب، كلَّف بالإنفاق عليهم الجد أبو الأب القريب، ثم الذي يليه

[5] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj. (t.t.: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1415) Jld. 5 hlm. 191)

[6] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syfie. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) jld. 2 hlm. 60

المستحقون للزكاة: لقد ذكر الله تعالى المستحقين الذين تصرف إليهم الزكاة بقوله: {إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاء وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللهِ وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ} التوبة/60 وإليك بيان هذه الأصناف: 1ـ الفقراء: جمع فقير، وهو: من لا مال له يقع موقعاً من كفاية مطعماً وملبساً ومسكناً، كمن يحتاج إلى عشرة فلا يقدر إلى على ثلاثة. 2ـ المساكين: جمع مسكين، وهو: من له شيء يسد مسداً من حاجته، ويقع موقعاً من كفايته، ولكنه لا يكفيه. كمن يحتاج إلى عشرة مثلاً فلا يجد إلى ثمانية. ويعطى هؤلاء ومن قبلهم كفاية العمر الغالب على الأصح.

[7] Dr. Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr, t.tp.) Jld. 10 Hlm. 7915)

هو أن يتصالح الورثة على إخراج بعضهم من الميراث، في مقابل شيء معلوم من التركة أو من غيرها. وهو عقد معاوضة، أحد بدليه نصيب الوارث في التركة، والبدل الآخر هو المال المعلوم الذي يدفع للوارث المخرج .وهذا العقد جائز عند التراضي، فإذا تم تملك الوارث العوض المعلوم الذي أعطيه، وزال ملكه عن نصيبه في التركة إلى بقية الورثة الذي اصطلح معهم.

[8] Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (al-Wizarah, 1427h) Jld.3 Hlm. 73

حُكْمُهُ: أَنَّهُ جَائِزٌ عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ وَالْمَالِكِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ فِي جَمِيعِ الأْحْوَال.