Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-864: ISU BERKAITAN PENGKATEGORIAN KAFIR HARBI

ISU_BERKAITAN_PENGKATEGORIAN_KAFIR_HARBI.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan, siapakah sebenarnya dikategorikan sebagai kafir harbi dalam konteks zaman kita sekarang?

Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Istilah kafir harbi adalah dirujuk kepada golongan orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada orang Islam dan merupakan golongan yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas mereka. Label ini tidak boleh untuk ditujukan kepada mana-mana warganegara bukan Islam di sesebuah negara yang menghormati perlembagaannya dan mematuhi undang-undangnya.

Dalam konteks zaman sekarang, antara golongan yang termasuk kategori kafir harbi ialah Zionis yang telah membunuh umat Islam dan merampas dan mengusir rakyat Palestin daripada tempat kediaman dan tanah air mereka.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Istilah kafir harbi merupakan satu istilah yang telah digunakan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Ia merupakan salah satu kategori kafir yang dibahagikan para ulama, di samping kategori-kategori yang lain seperti kafir musta’min, kafir mua’hid dan kafir zimmi. Secara definisinya, golongan kafir harbi ialah golongan bukan Islam yang memerangi umat Islam tiada perjanjian damai dengan mereka. Hal ini seperti yang disebutkan dalam al-Mausuʽah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa:

أهل الحرب أو الحربيون: هم غير المسلمين الذين لم يدخلوا في عقد الذمة، ولا يتمتعون بأمان المسلمين ولا عهدهم.

Maksudnya: Ahli peperangan atau golongan al-harbiyyun ialah golongan bukan Islam yang tidak termasuk dalam jaminan perlindungan, serta mereka tidak menikmati keamanan yang diberikan oleh kaum muslimin dan perjanjian dengan mereka.[1]

Asas kepada pembahagian golongan kafir kepada kategori ini adalah berdasarkan pandangan para ulama antara Dar al-Islam (negara Islam) dan Dar al-Harb atau al-Kufr (negara kufur). Dalam hal ini, penentuan sama ada sesuatu negara itu negara al-harb ataupun tidak merupakan suatu perkara ijtihad daripada para ulama. Menurut Syeikh ʽAtiyyah Saqr, asas kepada penentuan ini ialah keamanan seorang muslim untuk melaksanakan agama mereka. Oleh itu, apabila seseorang muslim dapat mengamalkan agamanya dengan aman di sesebuah negara, maka negara tersebut ialah Dar al-Islam. Berkaitan perkara ini, beliau menjelaskan:

أن تقسيم البلاد إلى دار كفر وإسلام أمر اجتهادى من واقع الحال فى زمان الأئمة المجتهدين ، وليس هناك نص فيه من قرآن أو سنة . والمحققون من العلماء قالوا : إن مدار الحكم على بلد بأنه بلد إسلام أو بلد حرب هو الأمن على الدين. حتى لو عاش المسلم فى بلد ليس له دين أو دينه غير دين الإسلام ، ومارس شعائر دينه بحرية فهو فى دار إسلام ، بمعنى أنه لا تجب عليه الهجرة منها . وذكر المرحوم الشيخ محمد أبو زهرة فى رسالة عن نظرية الحرب فى الإسلام " ص 38" رأيين للفقهاء فى دار الإسلام ودار الحرب. ثم اختار رأى أبى حنيفة وهو: أن مدار الحكم هو أمن المسلم، فإن كان اَمنا بوصف كونه مسلما فالدار دار إسلام وإلا فهى دار حرب. وقال : إنه الأقرب إلى معنى الإسلام ، ويوافق الأصل فى فكرة الحروب الإسلامية وأنها لدفع الاعتداء.

Maksudnya: Sesungguhnya pembahagian negara kepada negara kufur dan Islam adalah perkara ijtihadi berdasarkan realiti semasa pada zaman para imam mujtahid tersebut berijtihad. Ini kerana tidak terdapat sebarang nas sama ada daripada al-Quran atau al-Sunnah. Golongan muhaqqiqin dalam kalangan ulama mengatakan: Sesungguhnya asas kepada menghukum sesebuah negara itu negara Islam atau negara perang adalah keamanan untuk mengamalkan agama, iaitu sehingga seseorang muslim itu tinggal dalam sebuah negara yang tiada agama atau agamanya selain Islam, namun dia masih dapat mengamalkan syiar agamanya dengan bebas maka ia adalah negara Islam, bermakna dia tidak wajib untuk berhijrah keluar darinya. Al-Marhum Syeikh Muhammad Abu Zahrah menyebutkan bahawa terdapat dua pandangan di sisi fuqaha berkenaan Dar al-Islam dan Dar al-Kufr. Kemudian beliau memilih pandangan Abu Hanifah yang mengatakan sandaran hukum adalah kepada keamanan seseorang muslim. Sekiranya dia aman dengan sifatnya sebagai seorang muslim, maka negara tersebut adalah Dar al-Islam, jika tidak maka ia Dar al-Harb. Beliau (Abu Zahrah) berkata: Ia lebih dekat kepada makna Islam dan menepati asas kepada falsafah peperangan dalam Islam iaitu untuk mengelakkan serangan. (Rujuk Fatawa al-Azhar, 10/119)  

Oleh yang demikian, berdasarkan pernyataan di atas, jika seseorang muslim berada di suatu negara yang tidak melarang dan menghalang mereka daripada mengamalkan agamanya, maka ia bukanlah dikategorikan sebagai Dar al-Harb. Justeru, orang bukan Islam itu tidak termasuk dalam kategori kafir harbi, namun dia termasuk dalam salah satu kategori kafir yang dijaga keamanan dan keselamatannya, sama ada musta’min, mu’ahid atau zimmi.

Dalam hal ini, Islam tidak melarang umat Islam melakukan kebaikan dan persahabatan dengan orang bukan Islam selain daripada golongan kafir harbi. Hal ini dapat dilihat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW. Antaranya firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ‎﴿٩﴾

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Bahkan Islam juga melarang kita daripada menganggu dan menyakiti, apatah lagi membunuh golongan kafir yang tidak termasuk daripada golongan kafir harbi. Nabi SAW pernah bersabda:

مَنْ قَتَلَ قَتِيلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya: Sesiapa yang membunuh seseorang dalam kalangan ahli zimmah, maka dia tidak dapat mencium bau haruman syurga, yang maka haruman itu sudah pun dapat dihidu dari jarak perjalanan 40 tahun.

(Riwayat al-Nasaie)

Selain daripada itu, terdapat konsep yang disebutkan sebagai kewarganegaraan (muwathanah) iaitu apabila seseorang yang hidup di sesebuah negara dengan menghormati perlembangaan dan mengikuti undang-undangnya serta memberi sumbangan yang baik kepada masyarakatnya, maka dia dikira sebagai seorang warganegara (muwatin) yang dilindungi hak peribadi dan keselamatannya. Kami telah mengulas hal ini dalam artikel yang lain, sila rujuk Bayan Linnas Siri Ke-155: Konsep Fiqh Al-Ta’ayush: Isu Di Malaysia Dan Penyelesaiannya.

Kesimpulan

Dalam konteks di Malaysia, setiap warganegaranya daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi. Hal ini kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri yang telah ditetapkan oleh para ulama. Selain itu, melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ini akan membawa implikasi yang buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu merupakan satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan. Adapun jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusirkan mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Mausuʽah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kementerian Waqaf Kuwait, Kuwait: 2006), jld. 7, hlm. 104.