Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-865: TEMPOH SUCI ANTARA HAID DAN NIFAS

TEMPOH_SUCI_ANTARA_HAID_DAN_NIFAS.jpg

 

Soalan 

Assalamualaikum, Semasa saya mengandung dan hampir bersalin darah saya keluar berterusan sehingga saya mengalami nifas, Apakah status darah   yang tiada pemisah dengan nifas?

Ringkasan Jawapan

  1. Darah yang keluar semasa dalam tempoh hamil dihukumkan sebagai haid sekiranya ia mencukupi 24 jam menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Namun, sekiranya darah yang keluar tidak mencukupi 24 jam, maka ia dianggap darah penyakit (fasad) seperti hukum istihadah.
  2. Sementara itu, darah yang keluar kerana sakit bersalin (dam al-talaq) dihukumkan darah penyakit (fasad). Adapun sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid yang keluar sebelumnya maka darah itu dihukumkan sebagai haid.
  3. Tiada tempoh minimum suci yang memisahkan antara haid ketika hamil dan nifas selepas bersalin kerana dalam keadaan tertentu antara keduanya boleh bersambung.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Status Darah ketika Hamil

Fuqaha Syafi’i menyatakan status hukum darah yang keluar ketika hamil ialah haid sebagaimana dijelaskan dalam kitab Hasyiyah al-Bujairimi:

وَالْأَظْهَرُ أَنَّ دَمَ الْحَامِلِ حَيْضٌ

Pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafie (al-azhar) menyatakan bahawa darah yang keluar ketika hamil adalah darah haid”[1]

Darah tersebut akan dihukum haid apabila  mencukupi syarat tempoh minimum haid iaitu sehari semalam bersamaan 24 jam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam. [2] Namun, sekiranya darah itu tidak mencukupi 24 jam, maka status darah dianggap rosak (fasad) seperti hukum istihadah. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Ramli dalam karyanya:

وَلَا نِفَاسَ لِتَقَدُّمِهِ عَلَى خُرُوجِ الْوَلَدِ بَلْ هُوَ دَمُ فَسَادٍ إلَّا أَنْ يَتَّصِلَ بِحَيْضِهَا الْمُتَقَدِّمِ فَإِنَّهُ يَكُونُ حَيْضًا

Maksudnya: “Tidak dikira nifas apabila keluar darah sebelum kelahiran anak, bahkan ia dikira darah penyakit (fasad) melainkan darah itu bersambung dengan haidnya yang lalu, maka ia dihukumkan darah haid”,[3]

Sementara itu, darah yang keluar ketika hampir bersalin kerana kesakitan untuk melahirkan (dam al-talaq) turut dihukumkan sebagai darah penyakit (fasad). Darah tersebut dikenali sebagai (dam al-talaq) mestilah dengan syarat merasai kesakitan hendak bersalin berdasarkan definisi dalam Kitab al-Nibras:

دم الطلق هو الدم الذي ينشأ عن الولادة لإزعاج من الجنين أو غيره، وحكمه .. أنه دم فساد وإن زاد عن يوم وليلة ما لم يتصل بحيض زاد عن يوم وليلة، فإن اتصل بحيض زائد عن يوم وليلة فهو حيض

Maksudnya: Darah yang keluar (dam al-talaq) disebabkan (merasai kesakitan) bersalin bagi melahirkan janin atau seumpamanya dihukum sebagai status darah penyakit (fasad) meskipun melebihi sehari semalam selagi mana tidak bersambung dengan minimum haid 24 jam. Namun, apabila darah sakit hendak bersalin (dam al-talaq) itu bersambung dengan darah haid yang telah cukup 24 jam, maka ia dihukumkan sebagai darah haid. [4]

Berikut gambar rajah dam talaq yang dihukumkan sebagai istihadah

Gambar 1- Dam talaq yang dihukumkan istihadah

 

Haid_1.jpg

 

Justeru, wanita hamil yang keluar darah (dam talaq) hendaklah meneruskan ibadah seperti wanita yang suci dan mengambil hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwuduk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Fatimah binti Abu Hubaisy datang menemui Rasulullah SAW dan berkata:

يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, aku ialah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi SAW: “Janganlah kamu meninggalkan solat, istihadah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila darah tersebut berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.[5]

(Riwayat al-Bukhari)

Adapun wanita hamil yang pada awalnya keluar darah yang mencukupi tempoh minimum haid kemudian baru disusuli rasa sakit hendak bersalin, maka darah tersebut dihukumkan haid. Berikut gambar rajah dam talaq yang dihukumkan haid.

Gambar 3- Dam talaq yang dihukumkan haid kerana bersambung dengan darah yang mencukupi syarat haid (sebelumnya)

 

Haid_2.jpg

 

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tidak dianggap darah itu sebagai (dam al-thalaq) sebelum bersalin atau keluar darah semasa melahirkan anak melainkan terdapat petanda darah tersebut keluar selepas merasai kesakitan untuk melahirkan anak. [6] Adapun darah sakit hendak bersalin (dam al-talaq) itu bersambung dengan darah yang mencukupi syarat haid maka ia dihukumkan haid.

Sehubungan itu, penting untuk menentukan status darah sama ada darah penyakit (fasad), darah haid mahupun darah sakit bersalin (dam al-talaq) yang keluar ketika hamil kerana melibatkan hukum -hakam dalam pelaksanaan ibadah.

Tempoh Suci Antara Haid Dan Nifas

Darah haid ketika hamil boleh bersambung sehingga bersalin tanpa ada tempoh masa suci antara haid dan nifas. [7] Sebagai contoh, wanita hamil melihat darahnya keluar melebihi minimum tempoh haid sehari semalam, kemudian wanita tersebut bersalin dan keluar darah nifas tanpa ada tempoh suci antara haid dan nifas.

Berikut Jadual Situasi Tempoh Suci Antara Nifas dan Haid:

 

Haid_3.jpg

 

Kesimpulan

i- Darah yang keluar semasa dalam tempoh hamil dihukumkan sebagai haid sekiranya ia mencukupi 24 jam menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Namun, sekiranya darah yang keluar tidak mencukupi 24 jam, maka ia dianggap darah penyakit (fasad) seperti hukum istihadah.

ii- Sementara itu, darah yang keluar kerana sakit bersalin (dam al-talaq) dihukumkan darah penyakit(fasad). Adapun sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid yang keluar sebelumnya maka darah itu dihukumkan sebagai haid.

iii- Tiada tempoh minimum suci yang memisahkan antara haid ketika hamil dan nifas selepas bersalin kerana dalam keadaan tertentu antara keduanya boleh bersambung.

[1] al-Bujairimi . Tuhfah al-Khatib ‘ala Syarh al-Khatib;Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib ( Dar al-Fikr,1995)   1/338

[2] Al-Ramli, Syamsuddin, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut: Dar al-Fikr, 1984) Jld 1, Hlmn 355

(وَالْأَظْهَرُ أَنَّ دَمَ الْحَامِلِ) حَيْضٌ إذَا تَوَفَّرَتْ شُرُوطُهُ وَإِنْ تَعَقَّبَهُ الطَّلْقُ لِعُمُومِ الْأَدِلَّةِ لِخَبَرِ «دَمُ الْحَيْضِ أَسْوَدُ يُعْرَفُ»

[3] Ibid (1/ 323)

وَالنِّفَاسُ: الدَّمُ الْخَارِجُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ مِنْ الْحَمْلِ، فَخَرَجَ بِذَلِكَ دَمُ الطَّلْقِ، وَالْخَارِجُ مَعَ الْوَلَدِ فَلَيْسَ بِحَيْضٍ لِكَوْنِهِ مِنْ آثَارِ الْوِلَادَةِ، وَلَا نِفَاسَ لِتَقَدُّمِهِ عَلَى خُرُوجِ الْوَلَدِ بَلْ هُوَ دَمُ فَسَادٍ إلَّا أَنْ يَتَّصِلَ بِحَيْضِهَا الْمُتَقَدِّمِ فَإِنَّهُ يَكُونُ حَيْضًا.

[4] Ahmad bin Salleh, Nibras Fi Ahkam al-Haid Fi Istihadah Wa al-Nifas (Hadramaut: Maktabah Tarim al-Hadithah,2014) m/s12

[5] Abu Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), 1/91.

[6] Abdul Rahman Ali Irfan, Dawabith Fanni Ar riadah Fi Ahkam Haid wa An-Nifas wa Al-Istihadah,
(Yaman : Dar al-Salah,2017) 36

[7] Al-Syirbini, Syamuddin Muhammad bin Ahmad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1, Hlm 293.

(وَالْأَظْهَرُ) الْجَدِيدُ (أَنَّ دَمَ الْحَامِلِ) حَيْضٌ وَإِنْ وَلَدَتْ مُتَّصِلًا بِآخِرِهِ بِلَا تَخَلُّلِ نَقَاءٍ لِإِطْلَاقِ الْآيَةِ السَّابِقَةِ وَالْأَخْبَارِ،