Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-871: ADAKAH HUKUM SENAMAN PILATES SAMA SEPERTI YOGA

ADAKAH_HUKUM_SENAMAN_PILATES_SAMA_SEPERTI_YOGA.jpg

Soalan:

Senaman yoga adalah haram tapi hari ini ramai orang melayu Islam yang ikut senaman pilates yang ada ciri-ciri macam yoga, bagaimana hukumnya mohon pencerahan?

Ringkasan Jawapan:

Hukum melakukan senaman Pilates adalah diharuskan selagi mana senaman tersebut dilakukan di kawasan yang tertutup dan tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan. Umat Islam hendaklah menjauhi senaman yang mengandungi unsur keagamaan seperti Yoga. Umat Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap apa sahaja jenis senaman yang mengandungi upacara atau bacaan-bacaan tertentu yang bercanggah dengan hukum syarak.

 

Huraian Jawapan

Menurut Dr Rozmey, Pilates adalah senaman yang dicipta khusus untuk regangan dan menyeimbangkan badan. Pilates adalah latihan yang sistematik melalui pergerakan tertentu dan corak pernafasan[1]. Pilates pertama kali dibangunkan sekitar abad ke-20 oleh seorang atlet veteran Jerman bernama Joseph Pilates[2]. Walaupun pergerakannya mungkin kelihatan sama, yoga dan Pilates adalah dua perkara yang berbeza kerana Pilates adalah versi yoga yang lebih moden. Antara yang dikatakan merupakan kelebihan Pilates adalah:

  • Menguatkan otot.
  • Meningkatkan kestabilan tubuh.
  • Mencantikkan bentuk tubuh.
  • Meringankan sakit pinggang.
  • Menurunkan berat badan.
  • Menajamkan fokus.[3]

Yoga pula ialah berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud mengawal, menyambung, menyatu[4]. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat yoga bermaksud sistem falsafah hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran[5]. Yoga adalah salah satu dari enam falsafah hindu dan tujuannya ialah menyatukan diri dengan tuhan melalui pergerakan yoga[6].

Menurut kitab asal yoga bertajuk Bhagavad Gita, manusia berada dalam keadaan penderitaan dan kesedihan adalah disebabkan hubungannya dengan tuhan yang menjadi longgar dan untuk memperbaiki hubungan tersebut dianjurkan untuk melakukan yoga. Selain itu yoga juga terdiri daripada beberapa kaedah iaitu: Karma Yoga (Tindakan), Raja Yoga (meditasi), Bhakti Yoga (Pegabdian) dan Jnana Yoga (Pengetahuan)[7].

Berdasarkan keterangan ini jelaslah bahawa yoga memiliki kaitan yang rapat dengan agama Hindu. Oleh itu umat Islam diharamkan untuk menyertainya sebagaimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 berpandangan dan berpendapat bahawa:

“senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim. Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam diingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. Seperti yang sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

1. Kepercayaan atau keyakinan di hati

2. Menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah

3. Perbuatan Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan Yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis[8].”

Pandangan yang sama juga turut dipersetujui serta diwartakan oleh beberapa buah negeri seperti:

1.     Wilayah Persekutuan[9]

2.     Selangor[10]

3.     Pinang[11]

4.     Perak[12]

5.     Kedah.[13]

Islam melarang umatnya menyerupai agama lain sama ada dalam pertuturan, perbuatan atau pakaian. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Imam al-San’ani menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru apa-apa yang khusus bagi orang yang fasiq, kafir atau ahli bidaah seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka maka dia adalah daripada kalangan mereka[14].

Imam al-Hafiz Ibn Kathir pula menyatakan bahawa: Hadis ini menunjukkan larangan yang keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita[15].

Walau bagaimanapun larangan menyerupai orang kafir tersebut adalah pada perkara yang khusus untuk mereka dan menjadi syiar mereka. Apabila perkara itu tidak lagi menjadi syiar kepada sesuatu kaum atau agama, maka ia termasuk dalam perkara yang diharuskan oleh syarak. Dalam hal ini, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam membincangkan tentang keharusan memakai sejenis pakaian yang disebut taylasan yang tidak lagi menjadi syiar kaum Yahudi beliau menyatakan:

وَإِنَّمَا يَصْلُحُ الِاسْتِدْلَالُ بِقِصَّةِ الْيَهُودِ فِي الْوَقْتِ الَّذِي تَكُونُ الطَّيَالِسَةُ مِنْ شِعَارِهِمْ وَقَدِ ارْتَفَعَ ذَلِكَ فِي هَذِهِ الْأَزْمِنَةِ فَصَارَ دَاخِلًا فِي عُمُوم الْمُبَاح

Maksudnya: Sesungguhnya sesuai untuk menjadikan kisah Yahudi tersebut sebagai dalil (keharusan memakai taylasan), pada masa ketika tayalisah (sejenis pakaian) yang menjadi syiar mereka pada satu ketika dahulu, telah tidak lagi sedemikian pada zaman ini. Maka, ia termasuk dalam perkara umum yang diharuskan syarak[16].

Dr. Samiah Abdullah Bukhari dalam kajiannya telah meletakkan beberapa garis panduan berkaitan tasyabbuh (menyerupai) orang kafir.

  1. Menyerupai orang kafir tidak berlaku melainkan dengan niat untuk meniru mereka.
  2. Diharamkan untuk menyerupai orang kafir pada perkara yang berkaitan akidah.
  3. Umat Islam juga diharamkan untuk meniru orang kafir dalam bab ibadat.
  4. Larangan menyerupai orang kafir hanyalah pada pakaian dan kelakuan yang khusus untuk mereka.
  5. Apa-apa perkara yang diharamkan oleh nas maka hukumnya adalah haram sekalipun ia dilakukan bukan dengan niat untuk meniru orang kafir.
  6. Semata-mata orang kafir melakukan sesuatu perkara tidak bermakna orang Islam tidak boleh melakukannya.
  7. Mengambil ilmu daripada orang kafir tidak ada kaitan dengan larangan menyerupai orang kafir[17].

Apabila melihat kepada penjelasan di atas hukum senaman Pilates adalah harus kerana ia tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain. Tambahan pula Pilates dikatakan mempunyai pelbagai kebaikan dan ia adalah salah satu bentuk senaman.   Ini berdasarkan kaedah fiqh:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illah (sebab) nya ketika ia ada dan tiada.

Jabatan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) ketika ditanya berkenaan senaman yang menyerupai yoga mereka menjawab:

“Bahawa gerakan senaman semata-mata yang bermanfaat untuk kesihatan tubuh atau sebahagian anggota badan, tidak haram tetapi ia tidak dinamakan yoga. Apa-apa yang disandarkan kepada yoga semestinya dikaitkan dengan konsep ‘guru’ (mursyid), konsep cakra (titik-titik pusat) dan konsep ‘energi’ (tenaga tertinggi), semuanya ini konsep-konsep yang berkaitan dengan berhala dan kesyirikan[18].” 

Kesimpulannya, hukum melakukan senaman Pilates adalah diharuskan selagi mana senaman tersebut dilakukan di kawasan yang tertutup dan tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan. Umat Islam hendaklah menjauhi senaman yang mengandungi unsur keagamaan seperti Yoga. Umat Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap apa sahaja jenis senaman yang mengandungi upacara atau bacaan-bacaan tertentu yang bercanggah dengan hukum syarak.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Ketahui Senaman Pilates, dikemaskini pada 10 April 2010, diakses pada 22 Disember 2023, https://drrozmey.wordpress.com/2010/04/10/ketahui-senaman-pilates/

[2] Apakah Manfaat Rutin Melakukan Senaman, diakses pada 22 Disember 2023, https://www.shinkotoni-central-blog.com/articles/informasi-kesehatan/apa-manfaat-rutin-melakukan-senam-pilates.html

[3] Sari, Nisa Mutia, dikemaskini pada 27 Mei 2023, Diakses pada 6.10.2023.https://www.liputan6.com/hot/read/5294481/7-manfaat-senam-pilates-bantu-perbaiki-postur-tubuh?page=8

[4] Mohd Aizam bin Mas’od, Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia (Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2013), 464.

[5] Kamus Dewan, ed. ke-4 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005).

[6] Haridas Chaudhuri. (1965), Integral Yoga, London: Theosophical Pub. House, hlm. 21.

[7] Eli Zulaicha, “Yoga Dalam Bhagavadgita”. Jurnal Yoga Dan Kesehatan. 2. 2 (2020), 20-32.

[8] Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15330

[9] Rujuk: https://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/56a4f2f0256f10aa219b8676eca1bb52

[10] Rujuk: https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/fatwa-senaman-yoga-dikalangan-umat-islam/

[11]Rujuk:https://mufti.penang.gov.my/index.php/2014-11-12-02-48-39/fatwa/warta/386-fatwa-mengenai-kedudukan-senaman-yoga-bagi-umat-islam-8-oktober-2009/file?fbclid=IwAR2YMyeh7XrI-eSbjqG9rj2ePrDjh2W_W49TijERiAHCNYjn5EA4r62Tcg0

[12] Rujuk: https://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/warta_kerajaan/yoga.pdf

[13] Rujuk: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12094

[14] Muhammad bin Ismail al-Sana’ani. (1997). Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Kaherah: Dar al-Hadis, jld. 4, hlm. 646.

والحديثُ دالٌّ على أن منْ تشبَّه بالفسَّاقِ كانَ منْهم، أو بالكفارِ أو بالمبتدِعَةِ في أيِّ شيءٍ كان ممَّا يختصون بهِ منْ ملبوسٍ أو مركوبٍ أو هيئةٍ، 

[15] Ismail bin Umar, Ibn Kathir. (1419H). Tafsir al-Quran al-Azim, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, jld. 1, hlm. 374.

فَفِيهِ دَلَالَةٌ عَلَى النَّهْيِ الشَّدِيدِ وَالتَّهْدِيدِ وَالْوَعِيدِ، عَلَى التَّشَبُّهِ بِالْكُفَّارِ فِي أَقْوَالِهِمْ وَأَفْعَالِهِمْ، وَلِبَاسِهِمْ وَأَعْيَادِهِمْ، وَعِبَادَاتِهِمْ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ أُمُورِهِمُ التِي لم تشرع لنا ولا نُقَرر عَلَيْهَا.

[16] Ibn Hajar al-Asaqalani. (1390H). Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, jld. 10, hlm. 275.

[17] Dr. Samiah Abdullah Bukhari, “Dhawabith al-Tasyabbuh al-Manhiy ‘Anhu”, Dirasah Ulum Syariah wa al-Qanun, 44, 1 (2017) 34-35

[18] Dr Syauqi Allam. (2020). Al-Ahkam al-Muta’aliqah bi al-Riyadhah wa al-Ala’ab, Mesir: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, hlm. 146.