Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-882: KAEDAH MENGENAL PASTI WARNA KERUH, KUNING DAN PERANG YANG DIANGGAP HAID

KAEDAH_MENGENAL_PASTI_WARNA_KERUH_KUNING_DAN_PERANG_YANG_DIANGGAP_HAID.jpg

 

Soalan                  

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Saya pernah mendengar kenyataan yang menyatakan bahawa selagi keluar darah berwarna perang, maka tempoh haid dikira belum selesai. Persoalannya, adakah kenyataan yang diberikan adalah benar? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Warna perang, kuning serta keruh termasuk darah haid menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Namun, warna tersebut hanya akan dihukumkan sebagai haid apabila telah masuk pada tempoh kitaran haid sahaja (zaman imkan al-haid). Setelah melepasi tempoh minimum suci, maka ia memungkinkan masuk tempoh kitaran haid baharu (imkan al-haid) seperti ilustrasi berikut :

 

imkan_al-haid.jpeg

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Haid dari sudut bahasa ialah mengalir. Sementara pada sudut istilah ialah darah tabi‘i (semulajadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan setelah baligh ketika keadaan badannya sihat pada tempoh yang tertentu[1].

Warna darah haid ialah kehitaman, merah, perang, cecair kekuningan dan warna keruh seperti tanah atau air kotor serta berbau.[2]

Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i, cecair berwarna kuning dan keruh yang keluar pada tempoh haid (zaman imkan al-haid) adalah termasuk dalam kategori darah haid apabila ia dilihat pada tempoh sekurang-kurang haid (24 jam) serta tidak melepasi tempoh sebanyak-banyak haid (15 hari dan 15 malam).[3]

Berikut merupakan riwayat berkaitan warna kuning dianggap sebagai darah haid, sebagaimana riwayat Aisyah RA dalam al-Muwatta[4]:

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya:Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah RA dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Riwayat Malik (189)

Tambahan pula, majoriti ulama-ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa darah kuning dan keruh boleh dihukumkan sebagai haid sekiranya[5]:

  1. Darah keluar pada waktu kebiasaan haid.
  2. Darah keluar bukan pada waktu kebiasaan haid tetapi ia keluar pada waktu yang memungkinkan darah haid keluar.

Sementara itu, warna kuning atau keruh yang didapati bukan dalam tempoh haid atau selepas maksimum haid atau pada tempoh suci, maka ia tidak dianggap haid. Ini berdasarkan hadis Ummu A’tiyyah:

كنَّا لا نعدُّ الكَدرةَ والصُّفرةَ بعدَ الطهرِ شيئًا

Maksudnya: “Kami tidak menganggap darah yang keruh dan kekuningan yang keluar selepas tempoh suci itu darah haid”.

Riwayat Abu Daud (307)

Ibn Ruslan mensyarahkan hadis di atas, bahawa yang dimaksudkan adalah apabila darah kuning dan keruh keluar pada hari-hari selain haid maka ia tidak dianggap sebagai haid. Namun, apabila darah kuning dan keruh berlaku pada hari-hari haid maka ia dikira sebagai haid[6]. Pandangan tersebut selari dengan kebanyakan ulama . [7]

Seterusnya bagi menjelaskan lagi persoalan ini, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan tempoh suci antara dua haid. Tempoh paling minimum suci antara haid ialah 15 hari. Ini berdasarkan kajian (istiqra’) daripada Imam Syafi‘i.[8] Setelah melepasi tempoh minimum suci, maka ia memungkinkan masuk tempoh kitaran haid baharu (imkan al-haid) seperti ilustrasi berikut :

imkan_al-haid.jpeg

 

KESIMPULAN

Cecair darah yang berwarna sama ada perang, kuning atau keruh merupakan darah haid seandainya ia keluar pada waktu yang boleh dihukumkan sebagai haid. Jika keluarnya pada waktu yang tidak boleh dihukumkan sebagai haid, maka ia dianggap sebagai darah istihadah atau darah fasad.

Wallahu a'lam

        

Rujukan: 

[1] Al-Khatib As-Syirbini, Syamsuddin. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj ( Dar al-Kutub Ilmiyah. 1994). jld 1. Hlm 277.

وَهُوَ لُغَةً: السَّيَلَانُ وَشَرْعًا دَمُ جِبِلَّةٍ أَيْ تَقْتَضِيهِ الطِّبَاعُ السَّلِيمَةُ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ مَعْلُومَةٍ

[2] Ahmad Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfaz al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj (Beirut, Dar al-Ihya’ Turath, 1983) jld. 1 Hlm 402

تَعْرِفُ الْقُوَّةَ وَالضَّعْفَ بِاللَّوْنِ فَأَقْوَاهُ الْأَسْوَدُ وَمِنْهُ مَا فِيهِ خُطُوطُ سَوَادٍ فَالْأَحْمَرُ فَالْأَشْقَرُ فَالْأَصْفَرُ فَالْأَكْدَرُ وَبِالثَّخَانَةِ وَالرِّيحِ الْكَرِيهِ

[3] Al-Nawawi, Yahya bin Syarf. Minhaj al-Talibin wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 253.

رأت لسن الحيض أقله ولم يعبر أكثره فكله حيض والصفرة والكدرة حيض في الأصح

[4] Malik bin Anas. al-Muwatta’. Ed: Muhammad Mustafa al-A’zamiy. (t.p: Muassasah Zayid Ibn Sultan, 2004). Jld 2. Hlm 80.

[5] al-Imrani, Yahya bin abi al-Khair. al-Bayan fi Mazhab al-Syafi‘i. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2000). Jld 1. Hlm 350.

وهو قول أبي العباس، وأبي إسحاق، وأكثر أصحابنا : أن الصفرة والكدرة حيض في أيام العادة، وفي غيرها من الأيام التي يمكن أن تكون أيام الحيض؛ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ} [البقرة: 222].وهذا يتناول الصفرة، والكدرة.

[6] Ibn Ruslan, Ahmad bin Hussain. Syarh Sunan Abi Daud. (Fayoum: Dar al-Falah li al-Bahs Ilmi wa Tahqiq al-Turath, 2000). Jld 2. Hlm 550.

وهذا في غَير أيام الحَيض؛ إذ مَا حَصَل منهما في أيامِ الحَيض فهوَ مَعْدُود منَ الحَيض ودَاخِل تحت حكمه تابعٌ له

[7] al-Baghawi, al-Hussin Ibn Mas’ud. al-Tahzib fi al-Fiqh al-Imam al-Syafi‘i. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997). Jld 1. Hlm 458.

وذهب صاحب "التلخيص"،.. و كان يذهب أبو إسحاق، ثم رجع عنه: أنها لا تكون حيضاً في غير أيام العادة؛ وهو قول ابن المسيب، وعطاء، وأكثر الفقهاء؛ وبه قال الثوري والأوزاعي وأحمد؛   لما روي عن أم عطية قالت: كنا لا نعد الكدرة، والصفرة بعد الطهر شيئاً. فإن جعلناها حيضاً، فلا يشترط أن يتقدمها شيء من الدم القوي؛ كما في أيام العادة

[8] Syam al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj ( Bairut : Dar al-Fikr) Jld 1. Hlm 340.

الْمُصَنِّفِ أَقَلُّ الطُّهْرِ بَيْنَ الْحَيْضَتَيْنِ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا