Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-886: HUKUM ISTERI MENUNTUT CERAI KERANA SUAMI DIPENJARA

HUKUM_ISTERI_MENUNTUT_CERAI_KERANA_SUAMI_DIPENJARA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Sekiranya seorang suami berada di penjara, maka siapakah yang bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Hukum isteri meminta cerai kerana suami dipenjara adalah dibenarkan di sisi syarak bahkan isteri berhak untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan atau membubarkan perkahwinan. Hal ini kerana, suami masih lagi dianggap hidup walaupun dia berada di dalam penjara bahkan isteri juga berhak menuntut nafkah sepanjang tempoh tersebut sekirannya suami berkemampuan. Selain itu, hujah pendapat yang membenarkan perceraian adalah kerana dikhuatiri isteri menderita akibat kemudaratan sepanjang tempoh pemenjaraan. Ulama Mazhab Maliki membenarkannya jika tempoh itu melebihi satu tahun bahkan suami juga dihukumkan seperti tiada dan ketiadaannya itu berlaku tanpa keuzuran. Walau bagaimanapun, sekiranya isteri mampu bersabar maka itu adalah lebih baik. Dinasihatkan juga pasangan merujuk kepada Mahkamah Syariah Negeri berkaitan urusan-urusan ini.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam kehidupan berumah tangga, perceraian merupakan perkara yang dibolehkan sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Isteri berhak menuntut perceraian apabila suami tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya. Meskipun begitu, ia bukanlah suatu perkara yang disukai oleh Allah s.w.t sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Thauban bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاَقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ ‏

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

(Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas berbentuk ancaman yang diberikan kepada isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada sebab-sebab yang mendorong untuk berbuat demikian. Hadis ini juga menyebut “haram baginya bau syurga” yang bermaksud bahawa wanita-wanita ini bukan sahaja tidak dapat menghidu bau syurga bahkan tidak akan memasukinya. Manakala kalimah “بأس” merujuk kepada alasan-alasan yang diambil kira oleh syarak seperti kesulitan dan penderitaan yang dihadapi oleh isteri sehingga memaksa dirinya untuk menuntut perceraian.[1]

Dalam mazhab Syafi’i, Imam Nawawi ada menyatakan hukum perihal suami yang meninggalkan isterinya atau berada jauh daripadanya. Sekiranya berita atau perkhabaran tentang suami masih lagi diketahui, maka pernikahan itu tetap berterusan. Hakim berkuasa untuk memerintahkan nafkah isteri diberi menggunakan harta milik suami jika harta tersebut berada di tempat tinggal isterinya. Namun, sekiranya suami tidak mempunyai harta di tempat tinggal isterinya, maka hakim itu berhak membuat tuntutan nafkah isteri kepada hakim negeri suaminya[2].

Manakala, dalam mazhab Maliki ada dijelaskan bahawa isteri boleh menuntut perceraian sekiranya suami dipenjara. al-Dusuqi menyatakan ketiadaan suami sepanjang tempoh pemenjaraan boleh memberi mudarat kepada isteri dan dibimbangi isteri itu akan terjerumus ke dalam penzinaan sekalipun suami tidak berniat untuk berbuat sedemikian. Tempoh ketiadaan suami mestilah dalam suatu tempoh yang lama sekitar satu tahun atau lebih daripada itu.[3]

Pendapat yang sama disebutkan dalam Fatawa al-Kubra bahawa kemudaratan yang menimpa isteri disebabkan meninggalkan hubungan kelamin atau ketiadaan nafkah membolehkan isteri menuntut fasakh. Dalam hal ini, syarak tidak mengambil kira sama ada suami mempunyai niat ataupun tidak, atau sama ada suami berkemampuan ataupun tidak. Justeru, hukum ini terpakai dalam permasalahan isteri kepada tawanan perang, suami yang dipenjarakan, suami yang hilang atau seumpama dengannya.[4]

Selain itu, Ibn Qudamah juga menjelaskan berkenaan situasi suami yang tidak berkemampuan atau tidak berkeupayaan untuk memberikan nafkah kepada isteri. Dalam isu ini, isteri mempunyai pilihan sama ada bersabar dan meneruskan pernikahan atau menuntut perceraian. Sekiranya isteri membuat tuntutan perceraian maka hakim mempunyai hak untuk memutuskan pernikahan.[5]

Tambahan lagi, menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303, dalam Seksyen 52 pada membicarakan berkenaan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh:

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syara' adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu -

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;[6]

Kesimpulan

Hukum isteri meminta cerai kerana suami dipenjara adalah dibenarkan di sisi syarak bahkan isteri berhak untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan atau membubarkan perkahwinan. Hal ini kerana, suami masih lagi dianggap hidup walaupun dia berada di dalam penjara bahkan isteri juga berhak menuntut nafkah sepanjang tempoh tersebut sekirannya suami berkemampuan. Selain itu, hujah pendapat yang membenarkan perceraian adalah kerana dikhuatiri isteri menderita akibat kemudaratan sepanjang tempoh pemenjaraan. Ulama Mazhab Maliki membenarkannya jika tempoh itu melebihi satu tahun bahkan suami juga dihukumkan seperti tiada dan ketiadaannya itu berlaku tanpa keuzuran. Walau bagaimanapun, sekiranya isteri mampu bersabar maka itu adalah lebih baik. Dinasihatkan juga pasangan merujuk kepada Mahkamah Syariah Negeri berkaitan urusan-urusan ini.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] al-San’ani, Muhammad bin Ismail. Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir. (Riyadh: Maktabah Dar al-Salam, 2011). Jld 4. Hlm 421.

(أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير بأس) العباس الشدة وكلمة "ما" زائدة أي من غير شدة تلجئها إلى طلب ذلك قال ابن حجر: الأحاديث الواردة في ترهيب المرأة من طلب طلاق زوجها محمولة على ما إذا لم يكن سبب يقتضي ذلك. (فحرام عليها رائحة الجنة) كناية عن عدم دخولها لا أنها تدخلها ولا تجد الرائحة

[2] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Raudhah al-Thalibin wa Umdah al-Muftin. (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 1991). Jld 8. Hlm 400.

الْغَائِبُ عَنْ زَوْجَتِهِ، إِنْ لَمْ يَنْقَطِعْ خَبَرُهُ، فَنِكَاحُهُ مُسْتَمِرٌّ، وَيُنْفِقُ عَلَيْهَا الْحَاكِمُ مِنْ مَالِهِ إِنْ كَانَ فِي بَلَدِ الزَّوْجَةِ مَالٌ، فَإِنْ لَمْ يَكُنْ كَتَبَ إِلَى حَاكِمِ بَلَدِهِ لِيُطَالِبَهُ بِحَقِّهَا

[3] Al-Dusuqi, Muhammad bin Ahmad. Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir. (t.p: Dar al-Fikr, t.t). Jld 2. Hlm 431.

(وَإِنْ غَائِبًا) وَلَا مَفْهُومَ لِقَوْلِهِ: ضَرَرًا بَلْ إذَا تَضَرَّرَتْ هِيَ مِنْ تَرْكِ الْوَطْءِ طُلِّقَ عَلَيْهِ بِالِاجْتِهَادِ، وَلَوْ لَمْ يَقْصِدْ الضَّرَرَ ……لَكِنَّ الْغَائِبَ لَا بُدَّ مِنْ طُولِ غَيْبَتِهِ سَنَةً فَأَكْثَرَ

[4] Ibn Taimiyyah, Ahmad bin Abdul Halim. Fatawa al-Kubra li Ibn Taimiyyah. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1987). Jld 5. Hlm 481.

وحصول الضرر للزوجة بترك الوطء مقتضٍ للفسخ بكل حالٍ سواءٌ كان بقصدٍ من الزوج أو بغير قصدٍ ولو مع قدرته وعجزه؛ كالنفقة، وأولى للفسخ بتعذره في الإيلاء إجماعًا، وعلى هذا فالقول في امرأة الأسير والمحبوس ونحوهما ممن تعذر انتفاع امرأته به إذا طلبت فرقته كالقول في امرأة المفقود بالإجماع

[5] Ibn Qudamah, Abdullah bin Ahmad. al-Mughni li Ibn Qudamah. (Qaherah: Maktabah al-Qaherah, 1979). Jld 8. Hlm 208.

(فَإِذَا مَنَعَهَا، وَلَمْ تَجِدْ مَا تَأْخُذُهُ، وَاخْتَارَتْ فِرَاقَهُ، فَرَّقَ الْحَاكِمُ بَيْنَهُمَا) وَجُمْلَتُهُ أَنَّ الرَّجُلَ إذَا مَنَعَ امْرَأَتَهُ النَّفَقَةَ، لِعُسْرَتِهِ، وَعَدَمِ مَا يُنْفِقُهُ، فَالْمَرْأَةُ مُخَيَّرَةٌ بَيْنَ الصَّبْرِ عَلَيْهِ، وَبَيْنَ فِرَاقِهِ.

[6] https://www.peguamsyarie.com.my/akta-undang-undang-keluarga-islam-wilayah-wilayahpersekutuan-1984-akta-303/