Soalan:
Saya merancang untuk melakukan puasa Nabi Daud. Bolehkah pihak SS Datuk Mufti berikan panduan mengenai tatacara pelaksanaan ibadah ini?
Ringkasan Jawapan:
Puasa Nabi Daud adalah merujuk kepada amalan berpuasa Sunat selang sehari tanpa putus, iaitu dengan seseorang berpuasa pada hari pertama, kemudian berbuka pada hari kedua, kemudian berpuasa semula pada hari ketiga, dan begitulah seterusnya.
Amalan berpuasa seperti ini berterusan melainkan pada hari-hari atau keadaan-keadaan yang diharamkan seseorang berpuasa. Justeru, jika hari jadualnya berpuasa jatuh pada hari haram berpuasa, maka dia tetap diharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Huraian Jawapan:
Puasa adalah merupakan salah satu amalan yang sangat digalakkan. Kemuliaan amalan ini di sisi Allah SWT dapat difahami berdasarkan pelbagai hadis, antaranya hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW menyebutkan firman Allah:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ له، إلَّا الصِّيَامَ؛ فإنَّه لي، وأَنَا أجْزِي به
Terjemahan: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya. Melainkan puasa, maka ia adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Bahkan, amalan berpuasa ini merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam, iaitu kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan. Selain itu, terdapat juga kewajipan berpuasa disebabkan perkara-perkara lain seperti kewajipan berpuasa disebabkan kifarah dan nazar.
Selain daripada puasa wajib, amalan berpuasa ini juga turut digalakkan untuk dilakukan secara Sunat. Kita boleh berpuasa pada selain hari-hari yang dilarang, selagi mana kita mampu untuk berpuasa dan tidak membawa kepada apa-apa kemudaratan. Imam al-Nawawi menjelaskan mengenai hal ini seperti berikut:[1]
وَصَوْمُ الدَّهْرِ غَيْرِ الْعِيدِ وَالتَّشْرِيقِ مَكْرُوهٌ لِمَنْ خَافَ بِهِ ضَرَرًا أَوْ فَوْتَ حَقٍّ، وَمُسْتَحَبٌّ لِغَيْرِهِ.
Terjemahan: “Puasa sepanjang tahun selain daripada raya dan hari-hari Tasyriq adalah makruh sekiranya dikhuatiri akan berlaku kemudaratan atau terabai tanggungjawab. (puasa sepanjang tahun) digalakkan bagi selainnya (iaitu digalakkan bagi orang yang mampu)”.
Terdapat pelbagai bentuk puasa Sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk melakukannya, seperti puasa pada Hari Arafah, puasa hari-hari putih, puasa hari ‘Asyura dan sebagainya. Oleh kerana persoalan yang diajukan ini berfokus kepada “Puasa Nabi Daud”, maka penulisan ini akan cuba untuk memberikan perincian mengenai amalan ini. Puasa Nabi Daud ini bermaksud amalan puasa yang dilakukan setiap selang sehari, iaitu seseorang yang berpuasa pada hari pertama, kemudian tidak berpuasa pada hari esoknya, dan kemudian berpuasa semula pada hari berikutnya.
Kelebihan Puasa Nabi Daud
Puasa Nabi Daud adalah merupakan salah satu daripada puasa sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menggambarkan bahawa amalan ini sebagai sebaik-baik puasa. ‘Abdullah bin ‘Amru meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَصُمْ يَوْمًا وأَفْطِرْ يَوْمًا، وذلكَ صِيَامُ دَاوُدَ وهو أَعْدَلُ الصِّيَامِ قُلتُ إنِّي أُطِيقُ أَفْضَلَ منه يا رَسولَ اللَّهِ، قالَ: لا أَفْضَلَ مِن ذلكَ
Terjemahan: “Maka puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan itulah puasa Nabi Daud. Itulah puasa yang sederhana. Aku (‘Abdullah) berkata: “Aku mampu untuk lakukan lebih daripada itu” Sabda Baginda: “tiada yang lebih afdal daripada itu”. ”.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Amalan puasa Nabi Daud ini juga merupakan amalan berpuasa yang disukai oleh Allah SWT. Perkara ini disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru:
إنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إلى اللهِ، صِيَامُ دَاوُدَ، وَأَحَبَّ الصَّلَاةِ إلى اللهِ، صَلَاةُ دَاوُدَ عليه السَّلَام، كانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ، ويقومُ ثُلُثَهُ، وَيَنَامُ سُدُسَهُ، وَكانَ يَصُومُ يَوْمًا، وَيُفْطِرُ يَوْمًا.
Terjemahan: “Sesungguhnya puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud. Sebaik-baik Solat di sisi Allah ialah Solat Nabi Daud AS. Baginda tidur separuh malam, kemudian bangun pada sepertiganya, kemudian tidur dulu seperenamnya. Baginda berpuasa sehari, dan berbuka sehari.”.
(Riwayat al-Bukhari, 1131)
Sungguh pun orang yang mampu boleh berpuasa sepanjang tahun (kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa) seperti yang telah dijelaskan di awal tadi, namun puasa Nabi Daud ini tetap dikira lebih baik daripada seseorang yang melakukan puasa sepanjang tahun. Imam al-Khaṭīb al-Shirbiniy menyatakan:[2]
وَعِبَارَةُ الْجُمْهُورِ أَنَّهُ لَا يُكْرَهُ فِي هَذِهِ الْحَالَةِ وَمَعَ اسْتِحْبَابِهِ فَصَوْمُ يَوْمٍ وَفِطْرُ يَوْمٍ أَفْضَلُ مِنْهُ
Terjemahan: “(berdasarkan) teks majoriti fuqaha, tidak dihukumkan makruh pada keadaan ini. Walaupun sunat berpuasa (sepanjang tahun), namun (berterusan) puasa sehari dan berbuka sehari adalah lebih afdal daripadanya”.
Hukum-Hukum Berkaitan “Puasa Nabi Daud”
Hukum melaksanakan ibadah puasa Nabi Daud ialah Sunat, selagi seseorang itu mampu untuk melaksanakan ibadah ini, dan tidak menyebabkan apa-apa kewajipannya terganggu.
Apabila seseorang melakukan puasa Nabi Daud, sekiranya hari dia berbuka puasa itu jatuh pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Isnin dan hari Khamis, maka lebih afdal baginya untuk meneruskan puasa dan berbuka secara berselang-seli tanpa mengambil kira hari-hari yang disunatkan berpuasa. Shaykh al-Jamal menjelaskan mengenai hal ini seperti berikut:[3]
مَنْ فَعَلَهُ فَوَافَقَ فِطْرَهُ يَوْمًا سُنَّ صَوْمُهُ كَالِاثْنَيْنِ، وَالْخَمِيسِ، وَالْبِيضِ يَكُونُ فِطْرُهُ فِيهِ أَفْضَلُ لِيَتِمَّ لَهُ صَوْمُ يَوْمٍ وَفِطْرُ يَوْمٍ
Terjemahan: “Sesiapa yang melakukannya (puasa Nabi Daud) dan bertepatan hari berbukanya dengan hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Isnin, Khamis, hari-hari putih; maka lebih afdal baginya untuk berbuka pada hari tersebut supaya sempurna baginya (turutan) puasa sehari dan berbuka sehari”.
Imam al-Qalyubi turut menjelaskan hal yang sama, bahkan beliau menyatakan bahawa sekiranya hari berbuka puasa itu jatuh pada hari ‘Arafah sekali pun, maka yang lebih baik bagi orang yang melakukan puasa Nabi Daud untuk meneruskan amalan puasa berselang-seli antara hari puasa dan hari berpuasa. Kata Imam al-Qalyubi:[4]
لَوْ وَافَقَ يَوْمُ فِطْرِهِ يَوْمَ خَمِيسٍ أَوْ عَرَفَةَ فَفِطْرُهُ فِيهِ أَفْضَلُ لِيَتِمَّ لَهُ ذَلِكَ
Terjemahan: “Sekiranya hari berbuka puasanya jatuh pada hari Khamis atau hari Arafah; maka lebih afdal baginya untuk berbuka pada hari tersebut”.
Begitu juga sekiranya seseorang itu melakukan puasa Nabi Daud, dan kebetulan hari puasanya itu jatuh pada hari-hari yang dimakruhkan berpuasa, maka dalam keadaan ini dia disunatkan meneruskan berpuasa pada hari tersebut. Hal ini demikian kerana, puasanya pada ketika itu telah menjadi satu adat kebiasaannya, dan tidak dianggap sebagai sengaja mengkhusus hari-hari yang makruh tersebut untuk berpuasa. Perkara ini dapat difahami daripada huraian Imam al-Nawawi seperti berikut:[5]
يُكْرَهُ إِفْرَادُ يَوْمِ الْجُمُعَةِ بِالصَّوْمِ إِلَّا أَنْ يُوَافِقَ عَادَةً لَهُ فَإِنْ وَصَلَهُ بِيَوْمٍ قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَهُ أَوْ وَافَقَ عَادَةً لَهُ بِأَنْ نَذَرَ أَنْ يَصُومَ يَوْمَ شِفَاءِ مَرِيضِهِ أَبَدًا فَوَافَقَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ لَمْ يُكْرَهْ
Terjemahan: “Dimakruhkan untuk mengasingkan puasa pada hari Jumaat sahaja, melainkan jika bertepatan dengan kebiasaannya. Maka sekiranya dia menyambung puasanya dengan sehari sebelum atau sehari selepasnya, atau bertepatan dengan kebiasaannya seperti seperti seorang yang bernazar untuk berpuasa pada hari kesembuhannya dari sakit, maka berbetulan hari tersebut dengan hari Jumaat; justeru tidak dimakruhkan (untuk berpuasa).”.
Manakala sekiranya hari puasa seseorang yang melakukan Puasa Nabi Daud ini jatuh pada hari-hari yang diharamkan berpuasa, maka dia mestilah meninggalkan puasa pada hari-hari yang tersebut. Begitu juga golongan wanita yang berada dalam keadaan haid, walaupun dia sememangnya melakukan puasa Nabi Daud, namun dia hendaklah tidak berpuasa pada hari-hari yang dia berada dalam keadaan haid.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
Puasa Nabi Daud bermaksud amalan berpuasa pada setiap selang sehari, dan berterusan keadaan ini sehingga ke hari-hari yang lain.
Sekiranya hari puasanya itu berlaku pada hari haram berpuasa, maka seseorang itu mestilah meninggalkan puasa pada hari tersebut. Manakala sekiranya hari berpuasa itu jatuh pada hari-hari yang makruh berpuasa, maka pada ketika itu dia boleh berpuasa tanpa makruh.
Hukum puasa Nabi Daud ini ialah sunat bagi mereka yang mampu untuk melaksanakannya dan pelaksanaannya tidak mengakibatkan kewajipan lain terganggu.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (2005), Minhāj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: Dār al-Fikr, 79.
[2] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2:186.
[3] Sulayman bin ‘Umar bin Manṣūr al-‘Ujayli, “Futuḥāt al-Wahhāb bi Tawḍīḥ Sharḥ Manhaj al-Ṭullāb (Ḥāshiyah al-Jamal)”. Beirut: Dar al-Fikr, 2:351.
[4] Aḥmad Salāmah al-Qalyūbi (1995), Ḥāshiyah ‘alā Sharḥ al-Minhāj, Beirut: Dār al-Fikr, 2:94.
[5] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (1392H), al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabiy, 8:19.