Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-888: HUKUM PENGGUNAAN INHALER KETIKA SIANG RAMADAN 

APAKAH_HUKUM_PENGGUNAAN_INHALER_KETIKA_SIANG_RAMADAN .jpg

Mukadimah

Isu berkaitan penggunaan inhaler pada siang Ramadan merupakan isu kontemporari yang menjadi perselisihan pandangan di kalangan ulama moden. Sebahagiannya mengatakan bahawa ia membatalkan puasa manakala sebahagian lagi berpandangan ia tidak membatalkan puasa. Oleh itu dalam menanggapi isu ini, kami melihat bahawa ia perlu diperjelaskan kembali agar isu ini dapat difahami dengan baik.

Pendapat ulama kontemporari berkaitan inhaler:

Ulama kontemporari berbeza pandangan mengenai penggunaan inhaler pada siang Ramadan:

Pandangan Pertama: membatalkan puasa. Antara yang memilih pandangan ini ialah Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami[1], Dr. Muhammad Alfai, Syeikh Uthman Syubair, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli, Muhammad Ali al-Bar.

Di samping itu, terdapat beberapa badan fatwa yang juga bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan inhaler adalah membatalkan puasa sebagaimana yang diputuskan oleh Badan Fatwa Jordan (Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah):

أخذ البخاخ عن طريق الأنف أو الفم مفطر؛ لأن الدواء في هذه البخاخات يراد له الوصول إلى الرئتين، وهما من الجوف، فمن كان يستعمله في بعض الأيام يستعمله ويبقى ممسكاً ويقضي فيما بعد، ومن كان يستعمله كل يوم يستعمله ويبقى ممسكاً ويطعم عن كل يوم مسكيناً، وإطعام المسكين

Maksudnya: “Menggunakan inhaler sama ada melalui hidung ataupun mulut adalah membatalkan puasa. Hal ini kerana ubat yang ada pada inhaler diniatkan akan sampai kepada paru-paru dan ia termasuk dalam jauf (rongga). Oleh yang demikian, sesiapa yang menggunakannya pada sebahagian hari, maka dia boleh menggunakannya dan dia perlu terus menahan diri daripada makan dan minum di samping perlu menggantikan puasanya pada hari tersebut. Manakala orang yang menggunakannya pada setiap hari, maka dia hendaklah kekal menahan diri daripada makan dan minum serta memberi makan orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.[2]

Selain itu, Badan Fatwa Kuwait juga berpandangan bahawa penggunaan inhaler pada siang Ramadan hanya dibenarkan bagi orang yang memerlukan dan tidak ada ubat lain. Akan tetapi, ia tetap membatalkan puasa dan orang yang menggunakannya sama ada atas dasar keperluan atau tidak hendaklah menggantikan semula puasanya setelah Ramadan. Manakala bagi orang yang mengalami asma yang kritikal dan tidak ada harapan untuk sembuh, maka dia boleh membayar fidyah untuk hari-hari yang dia tidak berpuasa[3].

Pandangan ini juga selari dengan pandangan Darul Fatwa Islamic High Council Of Australia berdasarkan pandangan empat mazhab[4]. Malahan dalam Panduan Berpuasa bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan turut menyenaraikan inhaler bagi rawatan penyakit seperti lelah atau penyakit paru-paru kronik sebagai alat yang membatalkan puasa[5].

Pandangan kedua: Tidak membatalkan puasa. Ini merupakan pandangan tokoh-tokoh ulama seperti Syeikh Ibn Baz[6], Syeikh Ibn Uthaimin[7], Syeikh Abdullah bin Jibrin[8], Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam satu pandangannya[9] dan Syeikh Muhammad Haitham al-Khayyat[10] serta beberapa ulama yang lain.

Ini juga merupakan pandangan yang telah dipilih oleh badan-badan yang berautoriti seperti Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah):

بعد دراسةِ دار الإفتاء المصرية لواقعِ عملِ بخاخات الربو وشدة احتياج مرضى الجهاز التنفسي لها، والاستماعِ إلى الخبراء المتخصصين ارتأت أنَّ استخدام المريض بخاخات الربو أثناء الصيام لا يؤثر في صحة صومه؛ لأنَّ الهواء المستنشَق مِن خلالها إنما هو هواء ضروري للنفس عند حصول نوبة المرض، ولا يضر اختلاط الدواء به؛ لأنه صار بعد امتزاجه به -أي: بالهواء المستنشَق- مِن جنس عناصره اللازمة لحصول المقصود منه بإعادة عملية تنفس مريض الربو لحالتها الطبيعية، إضافة إلى أنه داخل في المعفوَّات التي نصَّ الفقهاء على أنها لا تفسد الصوم؛ كاستنشاق الصائم لـ"غبار الطريق"، و"غربلة الدقيق"، و"دخان الحريق"، و"حبوب اللقاح"، و"ما تحمله الرياح"، ومثله ممّا لا يُستَطاعُ الامتناع منه ولا يمكن التحرز عنه ممّا يمتزج بالهواء ولا يتميز عنه.

Maksudnya: “Setelah Dar al-Ifta’ al-Misriyyah melakukan penyelidikan berkaitan inhaler dan keperluan golongan yang mengalami masalah pernafasan serta mendengar pandangan daripada pakar-pakar yang berkaitan, mereka telah membuat keputusan bahawa penggunaan inhaler ketika siang Ramadan tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana udara yang disedut itu merupakan udara yang diperlukan oleh manusia untuk bernafas ketika datangnya sakit. Meskipun ia bercampur dengan ubat, ia tetap tidak memudaratkan puasanya kerana apabila ia bercampur dengan pernafasan orang yang menyedutnya maka ia termasuk dalam bentuk pernafasan bagi mengembalikan pernafasan orang yang memiliki penyakit asma kepada sedia kala. Tambahan pula, ia boleh dikategorikan sebagai suatu yang tidak membatalkan puasa sebagaimana debu jalanan, ayakan tepung, asap kebakaran, debunga dan apa-apa yang ditiup oleh angin. Demikian juga apa-apa yang tidak boleh untuk dielak atau dipisahkan disebabkan ia bercampur dengan udara[11]

Selain itu, Badan Fatwa Saudi (al-Lajnah al-Daimah li al-Buhus al-Ilmiyyah wa al-Ifta’) juga berpendapat bahawa inhaler tidak membatalkan puasa kerana ia bukan termasuk dalam kategori makanan atau minuman yang menganggap bahawa mengqiaskan perkara ini dengan makan dan minum adalah tidak tepat, kerana tiada bukti yang menunjukkan bahawa sesuatu yang sampai ke otak atau tubuh atau yang masuk melalui mana-mana lubang atau sampai ke dalam perut adalah membatalkan puasa. Oleh kerana tiada dalil syarak yang menyatakan bahawa salah satu daripada ciri-ciri ini menjadi asas untuk menghukum puasa seseorang batal, maka keputusan berdasarkan hal ini secara syarak adalah sah.[12].

Nadwah al-Fiqhiyyah al-Tibbiyyah kali yang ke-9 bertajuk “Pandangan Islam Berkaitan Permasalahan Perubatan” yang diadakan di Dar al-Baida’, Morocco pada 14-17 Jun 1997 memutuskan bahawa kebanyakan ahli persidangan bersetuju inhaler tidak membatalkan puasa[13].

Pandangan mazhab Syafi’i mengenai inhaler:

Ulama mazhab Syafi’i menjelaskan bahawa perkara yang membatalkan puasa ialah sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar sekalipun ia kecil seumpama biji bijan. Manakala sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata seperti bau, sejuk dan panas, maka ia tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa[14]. Begitu juga dalam mazhab Syafi’i, asap yang memiliki bau wangi tidaklah membatalkan puasa sekalipun dia sengaja membuka mulutnya. Namun ulama mazhab Syafi’i mensyaratkan bahawa jirimnya itu mestilah tidak terpisah daripadanya[15].

Walau bagaimanapun, ulama mazhab Syafi’i ketika membincangkan berkenaan hukum menghisap rokok ketika siang Ramadan, mereka mengkategorikan asap rokok sebagai jirim (عين) kerana ia memiliki kesan yang boleh dilihat pada bahagian dalam batang rokok. Selain itu, rokok juga membatalkan puasa disebabkan ia merupakan perbuatan seorang individu yang memasukkan sesuatu yang memiliki jirim ke dalam rongga[16].

Hal ini berbeza dengan seseorang yang berjalan kemudian termasuk debu tanah ke dalam mulut atau mana-mana rongganya. Oleh itu, dakwaan yang mengatakan mazhab Syafi’i membenarkan perbuatan menyedut asap secara mutlak adalah tidak tepat. Syeikh al-Bujairami menjelaskan bahawa asap yang dimaafkan ialah asap yang tidak memiliki apa-apa jirim. Beliau berkata dalam Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-Khatib:

ومنه دخان لا عين فيه كالبخور، بخلاف ما فيه عين كالدخان المشهور الان

Maksudnya: “Antara yang tidak membatalkan puasa juga ialah asap yang tidak memiliki jirim seperti asap. Hal ini berbeza dengan asap yang memiliki jirim seperti asap rokok.[17]

Oleh itu, di sisi mazhab Syafi’i, apa sahaja benda yang memiliki jirim dan ia masuk ke dalam rongga iaitu melepasi makhraj huruf “ح” dan “خ”, maka ia membatalkan puasa[18]. Apabila dilihat pada komposisi inhaler, ia terdiri daripada tiga komposisi iaitu air, gas oksigen dan bahan yang boleh membantu untuk pernafasan. Kebanyakan komposisi itu ialah air dan diikuti dengan oksigen[19]. Hal ini jelas menunjukkan bahawa inhaler memiliki kandungan jirim yang boleh membatalkan puasa.

Dalam resolusi Bahsul Masail yang diadakan oleh pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada 14 April 2022, resolusi bersetuju bahawa; “Hukum penggunaan inhaler ketika berpuasa adalah diharuskan jika terdapat keperluan. Namun, ia tetap membatalkan puasa dan wajib menggantikannya. Bagi mereka yang tidak ada harapan sembuh, maka menurut pendapat yang paling kuat, mereka hanya perlu membayar fidyah sahaja tanpa perlu menggantikan puasa tersebut.”

Keringanan yang diberikan kepada pesakit di sisi mazhab Syafi’i

Dalam mazhab Syafi’i, terdapat beberapa keringanan yang diberikan kepada orang yang sakit ketika berpuasa pada bulan Ramadan. Sebagai contoh, rongga bagi telinga di sisi mazhab Syafi’i dikira dari ruang selepas tulang tengkorak kepala. Oleh itu, memasukkan sesuatu atau apa-apa ubat melalui rongga tersebut adalah membatalkan puasa. Namun, dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin, ada disebutkan bahawa jika seseorang mengalami sakit di telinga yang tidak mampu tertahan melainkan dengan meletakkan ubat ke dalam telinga sehingga boleh melegakan kesakitan tersebut, maka puasanya tidak batal kerana dia menggunakannya atas alasan darurat[20]. Dalam hal ini Syeikh Abdul Rahman al-Ba’lawi berkata:

ابتلى بوجع في أذنه لا يتحمل معه السكون إلا بوضع دواء يستعمل في دهن أو قطن وتحقق التخفيف أو زوال الألم به، بأن عرف من نفسه أو أخبره طبيب جاز ذلك وصح صومه للضرورة،

Maksudnya: “Dia diuji dengan rasa sakit dalam telinganya, rasa sakit yang tidak dapat ditahan melainkan dengan menggunakan ubat yang disapu pada kulit atau kapas, dan terbukti bahawa ubat tersebut dapat mengurangkan atau menghilangkan kesakitan, sama ada dia mengetahui sendiri atau diberitahu oleh doktor, maka hal itu dibenarkan dan puasanya sah kerana keperluan (darurat).”

Manakala bagi pesakit buasir yang memasukkan kembali rembung (dubur) yang terkeluar daripada duburnya dengan menggunakan jari adalah tidak membatalkan puasa kerana darurat. Alasan yang diberikan juga ialah kerana orang yang terkena penyakit buasir akan kekal untuk tempoh yang lama dan ia sudah tentu menyukarkan[21]. Imam al-Ramli berkata:

وَلَوْ خَرَجَتْ مُقْعَدَةُ الْمَبْسُورِ ثُمَّ عَادَتْ لَمْ يُفْطِرْ، وَكَذَا إنْ أَعَادَهَا عَلَى الْأَصَحِّ لِاضْطِرَارِهِ إلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya keluar rembung (dubur), kemudian ia masuk kembali, maka ia tidak membatalkan puasa. Begitu juga hukumnya sekiranya dia memasukkannya dengan sendiri. Hal ini berdasarkan pendapat yang asah kerana keperluan (darurat) yang ada padanya.”

Ulama mazhab Syafi’i juga mengqiaskan hal ini dengan orang yang mengalami pendarahan gusi sehingga menyebabkan dia terpaksa untuk menelan darah tersebut, maka ia juga tidak dikira membatalkan puasa[22]. Imam al-Ramli berkata:

(وَلَوْ عَمَّتْ بَلْوَى شَخْصٍ بِدَمِي لِثَتِهِ بِحَيْثُ يَجْرِي دَائِمًا أَوْ غَالِبًا) سُومِحَ بِمَا يَشُقُّ الِاحْتِرَازُ عَنْهُ، وَيَكْفِي بَصْقُهُ وَيُعْفَى عَنْ أَثَرِهِ وَلَا سَبِيلَ إلَى تَكْلِيفِهِ غَسْلَهُ جَمِيعَ نَهَارِهِ، إذْ الْفَرْضُ أَنَّهُ يَجْرِي دَائِمًا أَوْ يَتَرَشَّحُ، وَرُبَّمَا إذَا غَسَلَهُ زَادَ جَرَيَانُهُ كَذَا قَالَهُ الْأَذْرَعِيُّ 

Maksudnya: “Jika seseorang itu sering mengalami masalah pendarahan gusi yang mana ia sentiasa mengalir atau pada kebanyakan masa, maka dia diberikan keringanan terhadap apa yang sukar bagi dirinya itu. Cukup dengan meludah darahnya dan dia dimaafkan dari kesan daripadanya. Tidak wajar untuk memberinya bebanan untuk mencuci darah tersebut sepanjang siang hari, kerana pada asasnya ia mengalir secara berterusan atau menitis. Mungkin juga jika dia mencucinya, ia akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir. Begitulah yang dinyatakan oleh al-Azra'i.”

Berkenaan dengan isu penggunaan inhaler ketika siang Ramadan, sebahagian ulama mutakhir mazhab Syafi’i menyamakan isu inhaler dengan keringanan-keringanan yang dinyatakan oleh ulama mazhab Syafi’i di atas. Syeikh Dr. Zain bin Muhammad al-Idrus berkata:

فهل يمكن نجعل مسألتنا من جملة ما يضطر إليه مرضى الربو؟ وهم في حاجة ومشقة لا تطاق، فنرخص لهم استخدامه ونصحح صومهم ولا نأمرهم بالقضاء، وبالنظر إلى قواعد الشرعية في رفع الحرج لا تأباه، والاحتياط لا يخفى فضله لمن استطاع

Maksudnya: “Adakah mungkin kita menjadikan perbincangan ini juga sebagai salah satu perkara yang diperlukan oleh pesakit asma? Mereka berada dalam keadaan yang sangat memerlukan dan kesusahan yang tidak tertanggung, maka kita memberi kelonggaran kepada mereka untuk menggunakannya dan menganggap sah puasa mereka tanpa menyuruh mereka menggantikannya semula. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip syarak dalam menghilangkan kesulitan, namun berwaspada dalam hal ini adalah perkara yang sangat baik bagi sesiapa yang mampu[23].”

Selain itu, Syeikh Abdullah bin Mahfuz al-Haddad menjelaskan berkenaan hukum penggunaan inhaler dalam fatwanya:

إن الفخاخ التخاخ يوضع فيه دواء سائل ولكنه مع الاستعمال يخرج ما يشبه الهواء ولهذا فإن الصائم إذا اضطر إلى استعماله فعليه أن يتحفظ أن يبلغ شيئا من العين بل يتحفظ بها في الفم ثم يبصقها وما يحسه في حلقه إنما هم من أثر الدواء لا من عينه فلا يضر إن شاء الله وخصوصا لأولائك الذين ابتلاهم الله بهذا المرض بحيث يغلب عليهم فلا يجدون انفكاكا

أما من يأتيه نادرا فالأولى له أن يقضي احتياطا أما المبتلى الذي يكثر فيه ذلك فإذا حافظ بقدر الإمكان فصومه صحيح ولا يكلف القضاء فإن أراد الاحتياط فليخرج الفدية عن هذه الأيام مع تمسكه بالصيام ولا نأمره بالإفطار

Maksudnya: “Inhaler yang digunakan memiliki kandungan ubat namun apabila keluar ia akan mirip dengan udara. Oleh itu, bagi orang yang berpuasa yang terpaksa menggunakannya, maka dia hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan daripada tertelan apa-apa jirim daripadanya. Manakala jika dia hanya merasakan kesan-kesan ubat di tekak, maka ia tidak mengapa kerana ia bukan jirim khususnya bagi orang yang mengalami penyakit athma yang kronik. Namun bagi orang yang jarang menggunakan inhaler, maka sebaiknya dia menggantikan puasa pada hari tersebut sebagai langkah berhati-hati. Adapun bagi orang yang sering mengalaminya dan dia juga telah berusaha semampu mungkin menjaga dirinya daripada tertelan jirim ketika menggunakan inhaler tersebut, maka puasanya sah dan dia tidak perlu menggantikan puasanya. Sekiranya dia ingin mengambil langkah berhati-hati, maka dia boleh mengeluarkan fidyah untuk hari tersebut dan tetap berpuasa. Kami juga tidak memaksanya untuk berbuka .”

Kesimpulan

Hukum menggunakan inhaler ketika siang Ramadan jika melibatkan serangan asma yang terlalu ringan dan tidak mencapai tahap darurat maka pengambilan inhaler membatalkan puasa. Hal ini selari dengan pandangan yang dipilih dalam buku Panduan Berpuasa bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Menurut ulama mutakhirin mazhab Syafi’i, jika dalam keadaan darurat seperti serangan asma yang berat atau kronik maka pengambilan inhaler tidak membatalkan puasa. Namun untuk langkah lebih berhati-hati dia boleh mengeluarkan fidyah untuk hari-hari yang dia menggunakan inhaler.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami, Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami bertajuk: al-Muftirat, 10:616.

[2] Dar al-Ifta al-Urduniyyah, Rujuk: https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=1389#.ZC7ZqexBw-R

[3] Hai’ah al-‘Ammah li al-Syu’un al-Islamiyah wa al-Awqaf (t.t.). “Penggunaan Inhaler bagi Orang yang Berpuasa.” diakses pada 17 April 2023, https://eftaa.awqaf.gov.kw/ar/

[4] Darul fatwa Islamic High Council Of Australia, Lihat: https://www.darulfatwa.org.au/ar/

[5] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, Selangor: OMR Press (2009), hlm. 7.

[6] Abd al-Aziz Ibn Baz, Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawi’ah, (Saudi: Idarah al-Buhus al-Ilmiyyah wa al-Ifta’, t.t) 15:265.

[7] Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Majmuk Fatawa wa Rasail Ibn Uthaimin, (Saudi: Dar al-Watan, 1438H) 19:209-210.

[8] Abdullah bin Abdul Rahman Jibrin, Muftirat al-Saum al-Hadisah, Lihat: http://cms.ibn-jebreen.com/fatwa/home/view/10183#.ZC7Pt-xBw-Q

[9] Muhammad Abu Zahrah, Fatawa, (Dimasyq: Dar al-Qalam, 2006), 253.

[10] Muhammad Haitham al-Khayyat, Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami bertajuk: al-Muftirat fi Dhau’ al-Tibb al-Hadis, jld. 10, hlm. 775.

[11] Syeikh Syauqi Ibrahim Allam, Hukum menggunakan inhaler di siang Ramadan bagi pesakit, No: 6794, https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18348

[12] Majallah al-Buhus al-Islamiyyah, jld. 14, hlm. 118.

السؤال: - يوجد دواء مع المرضى بمرض الربو يأخذونه بطريقة الاستنشاق فهل يفطرون باستعماله أم لا؟

الجواب: - دواء الربو الذي يستعمله المريض استنشاقا يصل إلى الرئتين عن طريق القصبة الهوائية لا إلى المعدة. فليس أكلا ولا شربا ولا شبيها بهما، وإنما هو شبيه بما يقطر في الإحليل وما تداوى به المؤمومة والجائفة وبالكحل والحقنة الشرجية ونحوها من كل ما يصل إلى الدماغ أو البدن من غير الفم أو الأنف،... ومن لم يحكم بفساد الصوم بذلك كشيخ الإسلام ابن تيمية رحمه الله ومن وافقه لم ير قياس هذه الأمور على الأكل والشرب صحيحا فإنه يس في الأدلة ما يقتضي أن المفطر هو كل ما كان واصلا إلى الدماغ أو البدن، أو ما كان داخلا من منفذ أو واصلا إلى الجوف، وحيث لم يقم دليل شرعي على جعل وصف من هذه الأوصاف مناطا للحكم بفطر الصائم، صلح تعليق الحكم به شرعا، وجعل ذلك في معنى ما يصل إلى الحلق أو المعدة من الماء بسبب المبالغة في استنشاقه غير صحيح أيضا لوجود الفارق فإن الماء يغذي، فإن وصل إلى الحلق أو المعدة أفسد الصوم، سواء كان بمجرد المضمضة أو الاستنشاق دون المبالغة ولم ينه عن ذلك، فكون الفم طريقا وصف طردي لا تأثير له، فإذا وصل الماء ونحوه من الأنف كان له حكم وصوله من الفم، ثم هو يستعمل طريقا للتغذية في بعض الأحيان، فكان هو والفم سواء، 

[13] Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali:

أولًاالأمور الآتية لا تعتبر من المفطرات:

1- قطرة العين، أو قطرة الأذن، أو غسول الأذن، أو قطرة الأنف، أو بخاخ الأنف، إذا اجتنب ابتلاع ما نفذ إلى الحلق.

[14] Syeikh Muhammad al-Zuhalli, al-Muktamad,

والمقصود بالعين: أي شيئ تراه العين، ولو كان صغيرا كسمسمة، ولو كانت لا تؤكل عادة كحصاة وخيط، بخلاف الأثر كالريح بالشم، وحرارة الماء وبرودته بالذوق فلا يؤثر،

[15] Abu Bakar al-Dimyati, I’anah al-Talibin ala Hill Alfaz Fath al-Mui’n, (Beirut: Dar al-Fikr, 1997) 2:258.

وصول الدخان الذي فيه رائحة البخور وغيره إذا لم يعلم انفصال عين فيه إلى الجوف لا يفطر به، وإن تعمد فتح فيه لأجل ذلك، وهو ظاهر

[16] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983) 3:400.

وَمِنْ الْعَيْنِ الدُّخَانُ الْمَشْهُورُ وَهُوَ الْمُسَمَّى بِالتُّتُن وَمِثْلُهُ التُّنْبَاكُ فَيُفْطِرُ بِهِ الصَّائِمُ؛ لِأَنَّ لَهُ أَثَرًا يُحَسُّ كَمَا يُشَاهَدُ فِي بَاطِنِ الْعُودِ شَيْخُنَا.. وَيُفْطِرُ الصَّائِمُ بِشُرْبِ التُّنْبَاكِ؛ لِأَنَّهُ بِفِعْلِ فَاعِلٍ يَتَوَلَّدُ مِنْهُ لَا أَثَرٌ وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ الشَّيْخُ عَلِيُّ بْنُ الْجَمَّالِ الْمَكِّيُّ وَغَيْرُهُ كَالْبِرْمَاوِيِّ عَلَى الْغَزِّيِّ وَالشَّيْخُ الْعَلَّامَةُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَعِيدٍ بَاقُشَيْرٍ وَغَيْرُهُمْ اهـ.

[17] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairami, Tuhfah al-Habib ala Syarh al-Khatib, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 2:378.

[18] Sulaiman bin Umar al-Jamal, Hasyiah Jamal ala al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, t.t) 2:316

فِي حَدِّ ظَاهِرِ فَمٍ أَيْ فِي حَدِّهِ الْأَخِيرِ وَأَوَّلُ الظَّاهِرِ مِنْ الشَّفَتَيْنِ وَآخِرُهُ مَخْرَجُ الْخَاءِ أَوْ الْحَاءِ فَالْمُرَادُ الْحَدُّ الْأَخِيرُ

[19] Syeikh al-Ilfi, Mufattirat al-Saim fi Dhau’ al-Mustajaddat al-Tibbiyah, (Majallah al-Hikmah, bil 14, 1418H) 2:26.

وتحتوي على ثلاثة أشياء:

الأول: الماء

الثاني: غاز الأكسجين

الثالث: المواد التي يقصد أن تصل إلى الجهاز التنفسي

فالعبوة هذه تحتوي على هذه الأمور الثلاثة النسبة الكبرى فيها للماء والباقي على الأكسجين

[20] Abdul Rahman al-Ba’lawi, Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhis Fatawa Ba’d al-A’immah min Ulama al-Mutakhirin, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2016), 139.

[21] Syamsudin al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), 3:169.

[22] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 2:157.

قَالَ الْأَذْرَعِيُّ: وَلَا يَبْعُدُ أَنْ يُقَالَ مَنْ عَمَّتْ بَلْوَاهُ بِدَمِ لِثَتِهِ بِحَيْثُ يَجْرِي دَائِمًا أَوْ غَالِبًا أَنَّهُ يُسَامَحُ بِمَا يَشُقُّ الِاحْتِرَازُ مِنْهُ، وَيَكْفِي بَصْقُهُ الدَّمَ، وَيُعْفَى عَنْ أَثَرِهِ اهـ. وَهَذَا لَا بَأْسَ بِهِ.

[23] Zain bin Muhammad al-Idrus Ba’lawi, Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, (Mesir: Dar al-Talib al-Azhari, 2012), 68.

[24] Abdullah bin Mahfuz bin al-Haddad, Fatawa Ramadan, (Yaman: Dar Hadramaut, 2011), 92.

إن الفخاخ التخاخ يوضع فيه دواء سائل ولكنه مع الاستعمال يخرج ما يشبه الهواء ولهذا فإن الصائم إذا اضطر إلى استعماله فعليه أن يتحفظ أن يبلغ شيئا من العين بل يتحفظ بها في الفم ثم يبصقها وما يحسه في حلقه إنما هم من أثر الدواء لا من عينه فلا يضر إن شاء الله وخصوصا لأولائك الذين ابتلاهم الله بهذا المرض بحيث يغلب عليهم فلا يجدون انفكاكا

أما من يأتيه نادرا فالأولى له أن يقضي احتياطا أما المبتلى الذي يكثر فيه ذلك فإذا حافظ بقدر الإمكان فصومه صحيح ولا يكلف القضاء فإن أراد الاحتياط فليخرج الفدية عن هذه الأيام مع تمسكه بالصيام ولا نأمره بالإفطار