Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-902: HUKUM SOLAT DI ATAS KERUSI YANG ADA TEMPAT SUJUD

HUKUM_SOLAT_DI_ATAS_KERUSI_YANG_ADA_TEMPAT_SUJUD.jpg

Soalan:

Saya ada tengok satu video di internet, dalam tu ada orang solat atas kerusi yang siap ada tempat sujud. Boleh ke sebenarnya solat macam tu? Mohon penjelasan.

Ringkasan Jawapan:

Tidak wajib untuk menunaikan solat di atas kerusi yang dilengkapi dengan tempat sujud. Hal ini kerana, berdasarkan kerusi yang ditunjukkan dalam video tersebut, bahagian tempat duduknya berada lebih rendah daripada tempat sujud. Keadaan ini tidak menepati bentuk sujud yang sebenar, yang dalam istilah Arab disebut sebagai al-tankīs iaitu apabila kepala berada lebih rendah daripada punggung ketika sujud. Selain itu, saiz kerusi yang besar seperti itu juga berpotensi mengganggu keselesaan dan kelancaran solat berjemaah, terutamanya dalam ruang solat yang terhad.

Namun sekiranya seseorang menunaikan solat bersendirian dengan melaksanakan konsep al-tankīs maka tidaklah mengapa menggunakan kerusi yang diperbuat sedemikian kerana yang diperbuat sedemikian kerana menepati syarat sujud.

Huraian Jawapan:

Syariat Islam diturunkan oleh Allah SWT bersesuaian dengan kemampuan manusia. Setiap individu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah mengikut kadar keupayaan dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

Surah al-Taghabun (16)

Mengenai ayat ini Syeikh Muhammad Amin al-Syankiti mengatakan bahawa taklif (tanggungan kewajipan) adalah mengikut batas kemampuan. Perkara ini dijelaskan lagi oleh firman Allah SWT dalam ayat yang lain[1]:

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إلّا وُسْعَها

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya.”

Surah al-Baqarah (286)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dijaga kesempurnaannya agar solat itu sah serta diterima oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَاليَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ القَدَمَيْنِ وَلاَ نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud dengan tujuh tulang (anggota) iaitu dahi, serta Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangan pada hidungnya, kedua tapak tangan, kedua lutut dan hujung jari kedua kaki. Dan janganlah menahan pakaian dan rambut.”

(Riwayat al-Bukhari)

Secara asasnya bagi pesakit yang mampu solat berdiri dan mampu rukuk tetapi tidak mampu sujud, maka hendaklah dia sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada had kesempurnaan rukuk. Sekiranya tidak mampu, maka dia boleh sujud dalam bentuk rukuk. Perkara ini sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli:

ولو قدر المصلي على الركوع فقط كرره للسجود، ومن قدر على زيادة على أكمل الركوع تعينت تلك الزيادة للسجود لأن الفرق واجب بينهما على المتمكن ولو عجز عن السجود إلا أن يسجد بمقدم رأسه أو صدغه وكان بذلك أقرب إلى الأرض وجب، فإن عجزأومأ برأسه والسجود أخفض من الركوع

Maksudnya: “Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja maka dia perlu mengulangi rukuk untuk menggantikan sujud. Sesiapa yang mampu untuk melebihkan daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia melakukannya. Hal ini kerana wajib membezakan antara rukuk dan sujud bagi orang yang mampu untuk melakukannya walaupun dia tidak mampu untuk sujud. Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya atau dengan bahagian tepi wajah menjadikannya lebih rapat ke bumi maka wajib dia melakukannya. Jika dia tidak mampu maka boleh menggunakan isyarat dan sujud mestilah lebih rendah daripada rukuk[2].

Perbincangan ini telah pun kami jelaskan dalam artikel bertajuk: Irsyad Hukum Siri Ke-832: Had Sujud Ketika Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi[3].

Persoalan yang timbul ialah apakah hukum sujud di atas kerusi yang mempunyai tempat khas untuk sujud. Bagi menjawab persoalan ini, perlu difahami terlebih dahulu bahawa menurut mazhab al-Syafi’i, sekiranya seseorang masih mampu sujud di atas sesuatu seperti batal atau kerusi dengan syarat kedudukan punggungnya lebih tinggi daripada kepalanya (al-tankīs) maka dia wajib melakukannya. Namun, jika keadaan sujud tersebut tidak menepati bentuk sujud yang sebenar, seperti apabila kepala berada lebih tinggi daripada punggung, maka dia tidak dituntut untuk melakukannya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam Ibrahim al-Baijuri:

فإن أمكنه السجود على نحو وسادة يضعها تحت جبهته مع التنكيس لزمه لحصول هيئة السجود بذلك وإن كان بلا تنكيس لم يلزمه السجود عليها لفوات هيئة السجود بل يكفيه ما أمكنه من الانحناء

Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu mampu sujud di atas sesuatu seperti bantal yang diletakkan di bawah dahinya berserta tankīs maka wajib dia melakukannya kerana ia dapat menghasilkan bentuk sujud. Namun sekiranya demikian itu berlaku tanpa mendapat tankīs, maka tidak wajib sujud di atas bantal kerana bentuk sujud tidak sempurna. Sebaliknya memadai baginya menundukkan sekadar yang termampu[4].”

Jika diteliti video yang tular, dapat dilihat bahawa tempat sujud pada kerusi tersebut berada lebih tinggi daripada tempat duduk. Oleh itu, tidak diwajibkan untuk sujud di atas kerusi sedemikian kerana ia tidak menepati bentuk sujud yang sebenar. Malah, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyifatkan sujud dalam keadaan seperti ini sebagai satu perbuatan yang sia-sia[5].

Kesimpulannya, tidak wajib untuk menunaikan solat di atas kerusi yang dilengkapi dengan tempat sujud. Hal ini kerana, berdasarkan kerusi yang ditunjukkan dalam video tersebut, bahagian tempat duduknya berada lebih rendah daripada tempat sujud. Keadaan ini tidak menepati bentuk sujud yang sebenar yang dalam istilah Arab disebut sebagai al-tankīs iaitu kepala berada lebih rendah daripada punggung ketika sujud. Selain itu, saiz kerusi yang besar seperti itu juga berpotensi mengganggu keselesaan dan kelancaran solat berjemaah, terutamanya dalam ruang solat yang terhad.

Namun sekiranya seseorang menunaikan solat bersendirian dengan melaksanakan konsep al-tankīs maka tidaklah mengapa menggunakan kerusi yang diperbuat sedemikian kerana yang diperbuat sedemikian kerana menepati syarat sujud.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad Amin al-Syanqiti, Adwa’ al-Bayan,

يُفْهَمُ مِنهُ أنَّ التَّكْلِيفَ في حُدُودِ الِاسْتِطاعَةِ، ويُبَيِّنُهُ قَوْلُهُ تَعالى: ﴿لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إلّا وُسْعَها﴾ [البقرة: ٢٨٦]

[2] Syams al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1984),1:469.

[3] Lihat: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5869-irsyad-hukum-siri-ke-832-had-sujud-ketika-solat-secara-duduk-di-atas-kerusi#_ftn5

[4] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri `Ala Syarh Ibn Qasim, (Qaherah: Dar al-Hadis, 2013), 1:348.

[5] Ibn Hajar al-Haitami, al-Minhaj al-Qawim, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2000), 93.

ﻭﻟﻮ ﻋﺠﺰ ﻋﻦ ﻭﺿﻊ ﺟﺒﻬﺘﻪ ﺇﻻ ﻋﻠﻰ ﻧﺤﻮ ﻭﺳﺎﺩﺓ ﻓﺈﻥ ﺣﺼﻞ اﻟﺘﻨﻜﻴﺲ ﻟﺰﻣﻪ ﻭﺿﻊ ﺫﻟﻚ ﻟﻴﺴﺠﺪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺇﻻ ﻓﻼ ﺇﺫ ﻻ ﻓﺎﺋﺪﺓ ﻓﻴﻪ.