Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-907: BAHANA PENGHINAAN TERHADAP PEMIMPIN

BAHANA_PENGHINAAN_TERHADAP_PEMIMPIN.jpg

SOALAN

Penghinaan dengan cara membakar karikatur Perdana Menteri baru-baru ini telah mencetuskan persoalan besar dalam masyarakat mengenai batas tindakan yang wajar dalam menyuarakan ketidaksetujuan terhadap pemimpin. Sejauhmanakah kesan perbuatan seperti ini terhadap perpaduan dan kestabilan nasional?

RINGKASAN JAWAPAN

Budaya menghina pemimpin merupakan suatu gejala yang boleh menggugat usaha membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera. Oleh sebab itu, penting untuk menyuburkan budaya menghormati pemimpin negara sebagai asas kepada interaksi beradab dalam masyarakat. Prinsip menasihati pemimpin dalam Islam tidak dilakukan melalui tindakan yang bersifat memberontak atau mencemuh. Ini kerana pendekatan seperti itu tidak mencerminkan akhlak seorang rakyat yang benar-benar menginginkan kebaikan dan pembaikan dalam kepimpinan negara. Sebaliknya, membina hujah yang berteraskan dalil dan fakta merupakan bentuk nasihat yang makruf dan bertanggungjawab. Kestabilan negara pula termasuk dalam maqasid syariah yang tertinggi, yang menjadi asas penting untuk memacu kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.

Pembinaan negara maju adalah sebahagian daripada tujuan syariah dalam memakmurkan bumi dan ia merupakan satu bentuk jihad sivil yang perlu dipikul bersama oleh rakyat Malaysia. Sebagai natijahnya, menyumbang ke arah pengukuhan negara dari segenap sudut yang mampu adalah suatu tanggungjawab kolektif, agar tanah air ini terus berkembang dalam suasana aman, stabil dan diberkati.

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan

Dalam sesebuah negara yang berdaulat dan berteraskan nilai agama, hubungan antara rakyat dan pemimpin perlu dibina atas asas adab, hikmah dan tanggungjawab bersama. Islam mengiktiraf hak untuk menyuarakan pandangan serta menegur pemimpin apabila berlaku kekhilafan, namun segala bentuk teguran mestilah dilakukan secara berhemah, berpandukan dalil dan fakta serta disalurkan melalui cara yang menjaga maruah dan kesatuan ummah. Namun begitu, kekeliruan antara nasihat yang ikhlas dan tindakan menghina sering berlaku dalam masyarakat, sehingga wujud kecenderungan menjadikan cercaan terbuka sebagai simbol keberanian. Insiden penghinaan dengan cara membakar karikatur pemimpin baru-baru ini memperlihatkan bagaimana tindakan yang emosional boleh mengatasi pendekatan hikmah hingga mencetuskan ketegangan sosial yang tidak mendatangkan manfaat yang banyak.

Dari sudut pandang Islam, tindakan sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan akhlak dalam nasihat yang sebenar, bahkan menzahirkan ketandusan pendekatan yang lebih bijaksana. Dalam masa yang sama, pertembungan nilai turut berlaku apabila menganggap penghasilan karikatur sebagai kebebasan bersuara, sedangkan tindakan penghinaan dengan cara membakar pula dilihat sebagai sesuatu yang melampau dan tidak selari dengan nilai keterbukaan. Di sinilah pentingnya masyarakat Islam, khususnya di Malaysia memahami batas antara menasihati dengan merendahkan serta mengamalkan pendekatan yang seimbang dalam menyuarakan pandangan demi memelihara kehormatan, kestabilan dan maslahat negara secara keseluruhannya.

Mengharmonikan kefahaman antara nasihat dengan penghinaan terhadap pemimpin

Dalam suasana sosial hari ini, sering timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat antara erti nasihat yang dibenarkan dengan penghinaan yang dilarang terhadap pemimpin. Tidak kurang yang menganggap cercaan terbuka dan tindakan melampau sebagai manifestasi kebebasan bersuara. Hakikatnya, budaya menghina pemimpin secara terbuka merupakan fenomena membimbangkan yang boleh mengakibatkan keretakan sosial serta menjejaskan pembinaan negara yang sejahtera. Dalam kerangka Islam, menasihati pemimpin adalah satu tuntutan agama sepertimana sabda Nabi SAW:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat. Kami pun bertanya: Untuk siapa nasihat itu? Baginda menjawab: Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin kaum Muslimin dan orang awam mereka.”

(Riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, pelaksanaan nasihat terhadap pemimpin tidak seharusnya dilakukan dengan cara yang provokatif atau tidak berhemah. Sebaliknya, ia perlu disampaikan dengan pendekatan yang tertib, beradab dan berpandukan prinsip hikmah. Imam al-Nawawi menegaskan bahawa nasihat kepada pemimpin mestilah berteraskan sokongan kepada kebenaran, disampaikan dengan cara yang sopan dan penuh pertimbangan. Ia juga merangkumi usaha memperingatkan mereka terhadap perkara yang mungkin terlepas pandang serta menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang belum ditunaikan. Dalam masa yang sama, nasihat tersebut tidak boleh menjurus kepada perpecahan atau tindakan meremehkan legitimasi pemimpin, bahkan bertujuan untuk menyatukan hati masyarakat tanpa menafikan kedudukan mereka sebagai pemimpin yang sah.[1]

Teguran yang membawa manfaat ialah yang berteraskan dalil, fakta dan dilakukan melalui saluran sah serta tidak bertujuan menjatuhkan maruah. Inilah pendekatan yang dituntut dalam Islam iaitu teguran yang berpaksikan hikmah, membina dan bertujuan membawa islah (pembaikan) serta memelihara kesatuan ummah. Dalam masa yang sama, menyuburkan budaya menghormati pemimpin negara adalah kunci kepada interaksi beradab dalam sistem masyarakat yang berfungsi. Justifikasi daripada itu, usaha mengharmonikan kefahaman ini amat penting agar masyarakat dapat mengenali sempadan yang membezakan antara teguran yang ikhlas dengan perbuatan yang hanya menambah ketegangan serta menggugat kestabilan negara.

Kestabilan dan pembangunan negara sebagai tuntutan maqasid

Tindakan penghinaan seperti membakar karikatur pemimpin bukan sahaja tidak membawa kepada pembaikan iaitu islah, malah berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat dan merencatkan usaha memakmurkan negara. Syariah bukan sahaja menolak segala bentuk kerosakan iaitu fasad, tetapi turut menekankan pendekatan yang membina dan menyatukan. Dengan demikian, pembangunan negara yang maju dan berdaya saing menuntut kerjasama semua pihak melalui ilmu, amal dan tadbir urus yang baik. Menyumbang secara aktif kepada kemajuan negara adalah sebahagian daripada jihad moden yang mencerminkan kematangan dan kasih terhadap tanah air, berbanding tindakan emosional yang merobohkan asas kestabilan yang telah lama dibina.

Kestabilan dan pembangunan negara bukan sekadar keperluan pentadbiran moden, malah merupakan antara matlamat tertinggi yang ditekankan dalam Maqasid Syariah. Tanpa kestabilan, usaha untuk menjaga agama, nyawa, akal, harta dan maruah tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Malah, sejarah kenabian sendiri merakamkan bagaimana Nabi Ibrahim AS berdoa agar negerinya dikurniakan keamanan sebagai asas utama untuk kehidupan yang sejahtera dan pembangunan yang berterusan. Allah SWT merakamkan doa Nabi Ibrahim AS:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا بَلَدًا آمِنًا

Maksudnya: "Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman"

Surah al-Baqarah (126)

Doa Nabi Ibrahim AS ini tergolong dalam kalimah-kalimah kenabian yang padat dan menyeluruh maknanya (jawāmiʿ al-kalim). Ini kerana keamanan sesebuah negara termasuk jaringan sosial dan perhubungannya merupakan pemangkin kepada tercapainya seluruh aspek kebahagiaan hidup manusia. Keamanan memerlukan tertegaknya keadilan, kemuliaan, dan kemakmuran kerana tanpa tiga perkara ini, keamanan tidak dapat diwujudkan. Sebaliknya, keamanan akan membuka jalan kepada pembangunan, kesungguhan melakukan perkara yang bermanfaat dan penghasilan kekayaan. Oleh yang demikian, sekiranya tergugatnya keadilan, kemuliaan dan kemakmuran, maka akan tergugatlah keamanan. Jika keamanan tergugat, maka akan terganggu pula pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan ekonomi. Justeru itu, tujuan sebenar doa Nabi Ibrahim AS adalah untuk memudahkan penduduk menetap secara stabil di negeri itu serta memperkukuh segala prasarana yang diperlukan demi menjadikan negeri itu sebagai pusat penyebaran Islam.[2]

Sebarang tindakan yang berpotensi mengganggu keamanan negara, walaupun lahir daripada ketidaksetujuan terhadap pihak tertentu, sewajarnya perlu ditangani dengan penuh pertimbangan dan hikmah. Dalam neraca syariah, kestabilan negara merupakan salah satu tuntutan utama yang mesti dipelihara. Ini kerana daripadanya terpancar keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga agama, nyawa, akal, harta dan maruah secara teratur dan menyeluruh.

Penutup

Tindakan penghinaan yang provokatif seperti membakar karikatur bukanlah jalan terbaik dalam menyuarakan ketidaksetujuan, bahkan ia tidak selari dengan prinsip syariah yang menekankan akhlak, hikmah dan tanggungjawab dalam berinteraksi dengan pemimpin. Sebagai warganegara yang beriman dan beretika, pendekatan yang lebih berhemah dan membina perlu diutamakan demi menjaga maruah, kestabilan dan keharmonian negara. Dalam masa yang sama, penting untuk menyuburkan budaya menghormati pemimpin negara agar semangat nasihat yang beradab dapat terus diperkasa dalam masyarakat. Sehubungan itu, komitmen membina negara yang kuat mestilah dilakukan dengan menyumbang secara positif, menyalurkan pandangan secara berhemah dan mengutamakan akhlak dalam tindakan. Inilah cerminan sebenar cinta kepada negara dan kefahaman mendalam terhadap maqasid syariah.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Yaḥyá ibn Sharafal-Nawawī, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim ibn al-Ḥajjāj, (Bayrūt: Dār Iḥyāʾ al-Turāth al-ʿArabī, t.t.), 2: 38. Teks asal:

وَأَمَّا النَّصِيحَةُ لِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ فَمُعَاوَنَتُهُمْ عَلَى الْحَقِّ وَطَاعَتُهُمْ فِيهِ وأمرهم به وتنبيهم وَتَذْكِيرُهُمْ بِرِفْقٍ وَلُطْفٍ وَإِعْلَامُهُمْ بِمَا غَفَلُوا عَنْهُ وَلَمْ يَبْلُغْهُمْ مِنْ حُقُوقِ الْمُسْلِمِينَ وَتَرْكُ الْخُرُوجِ عَلَيْهِمْ وَتَأَلُّفُ قُلُوبِ النَّاسِ لِطَاعَتِهِمْ

[2] Muḥammad al-Ṭāhir Ibn ʿĀshūr, al-Taḥrīr wa al-Tanwīr, Taḥrīr al-Maʿnā al-Sadīd wa-Tanwīr al-ʿAql al-Jadīd min Tafsīr al-Kitāb al-Majīd, (Tunis: al-Dār al-Tūnisiyyah li al-Nashr, 1984). 1: 715. Teks asal:

وَلَقَدْ كَانَتْ دَعْوَةُ إِبْرَاهِيمَ هَذِهِ مِنْ جَوَامِعِ كَلِمِ النُّبُوءَةِ فَإِنَّ أَمْنَ الْبِلَادِ وَالسُّبُلِ يَسْتَتْبِعُ جَمِيعَ خِصَالِ سَعَادَةِ الْحَيَاةِ وَيَقْتَضِي الْعَدْلَ وَالْعِزَّةَ وَالرَّخَاءَ إِذْ لَا أَمْنَ بِدُونِهَا، وَهُوَ يَسْتَتْبِعُ التَّعْمِيرَ وَالْإِقْبَالَ عَلَى مَا يَنْفَعُ وَالثَّرْوَةَ فَلَا يَخْتَلُّ الْأَمْنُ إِلَّا إِذَا اخْتَلَتِ الثَّلَاثَةُ الْأُوَلُ وَإِذَا اخْتَلَّ اخْتَلَّتِ الثَّلَاثَةُ الْأَخِيرَةُ، وَإِنَّمَا أَرَادَ بِذَلِكَ تَيْسِيرَ الْإِقَامَةِ فِيهِ عَلَى سُكَّانِهِ لِتَوْطِيدِ وَسَائِلِ مَا أَرَادَهُ لِذَلِكَ الْبَلَدِ مِنْ كَوْنِهِ مَنْبَعَ الْإِسْلَامِ.