SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang perbuatan kita sengaja menunjukkan kita sedang memegang anjing dan berbangga dapat melakukannya dengan mempamerkannya di media sosial. Apakah hukum bagi perbuatan seperti ini?
RINGKASAN JAWAPAN
Hukum memelihara anjing dengan tujuan dan sebab yang dibenarkan syarak seperti untuk beburu, menjaga rumah dan kebun tanaman adalah diharuskan. Namun begitu, perbuatan mempamerkan dengan bangga menyentuh anjing adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima kerana menimbulkan fitnah kepada diri, negara dan masyarakat. Lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie yang berpandangan bahawa anjing termasuk daripada haiwan najis mughallazah. Selain itu, masyarakat Islam di Malaysia juga agak sensitif terhadap anjing dari sudut hukum kenajisannya tersebut. Oleh yang demikian, setiap individu perlu menghormati sensitiviti agama dan tidak menimbulkan perbuatan provokatif yang menganggu keharmonian.
Waallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Isu hukum berkaitan anjing dan status kenajisannya sentiasa menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia. Terdapat beberapa golongan yang memandang remeh dan enteng perkara ini dengan menyangka apabila diharuskan untuk membela anjing, maka mereka juga boleh untuk mempamerkan perbuatan menyentuh anjing dengan sesuka hati di media sosial.
Bagi menjawab persoalan ini, secara asasnya sememangnya anjing ialah haiwan yang termasuk najis berat (mughallazah). Namun bukanlah istilah najis mughallazah itu bermakna anjing itu hina dan boleh dihinakan. Anjing juga termasuk haiwan yang perlu berlaku ihsan dan tidak boleh dizalimi seperti yang sabit dalam hadis Nabi SAW yang agung bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan ke atas semua perkara. Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik. Jika sekiranya kamu menyembilah, maka perelokkanlah sembelihan tersebut. Tajamkanlah alat sembelihan dan rehatkanlah haiwan sembelihan tersebut.
(Riwayat Muslim)
Namun begitu, ihsan kepada binatang tidak sepatutnya membawa kepada membenarkan perkara yang dihukum haram oleh para ulama seperti menyentuh atau memegang haiwan yang tergolong sebagai najis mughallazah. Sepertimana yang dimaklumi bahawa hukum kenajisan anjing adalah satu perkara khilaf dalam kalangan ulama. Terdapat mazhab dan beberapa pandangan ulama yang lain mengatakan bahawa anjing bukan daripada najis mughallazah. Walau bagaimanapun, di sisi mazhab al-Syafie secara jelas menyatakan bahawa anjing adalah termasuk daripada najis berat yang wajib untuk dibasuh dengan tujuh kali basuhan, satu daripadanya dengan air bercampur tanah. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa:
وقد اختلف العلماء في ولوغ الكلب فمذهبنا أنه ينجس ما ولغ فيه ويجب غسل إنائه سبع مرات إحداهن بالتراب وبهذا قال أكثر العلماء.
Maksudnya: Para ulama telah berselisih pandangan berkaitan status jilatan anjing. Mazhab kami (al-Shafi‘i) bahawa apa yang dijilat olehnya adalah bernajis dan wajib untuk membasuh bekasnya dengan tujuh kali basuhan satu daripadanya dengan air bercampur tanah. Ini juga pandangan kebanyakan para ulama’.[1]
Oleh yang demikian, menyentuh anjing yang merupakan najis mughallazah dengan tanpa keperluan dan tujuan juga adalah haram kerana sengaja menyentuh najis dan mengotorkan diri dengannya. Imam Zakaria al-Ansari menyebutkan dalam kitab Asna al-Mathalib dengan berkata:
وَقُلْنَا يَحْرُمُ التَّضَمُّخُ بِالنَّجَاسَةِ عَبَثًا
Maksudnya: Pandangan kami (mazhab al-Shafi’i) adalah haram untuk sengaja mengotorkan diri dengan najis dengan tanpa sebarang tujuan.[2]
Selain daripada itu, hukum membela anjing tanpa keperluan juga adalah haram kecuali dalam perkara yang dibenarkan syarak seperti untuk memburu, menjaga binatang ternakan atau kebun tanaman. Bahkan membela anjing dengan tanpa keperluan yang dibenarkan syarak ini juga akan mengurangkan pahala pemiliknya pada setiap hari sebanyak dua qirath. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ وَلَا أرْضٍ، فَإنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ
Maksudnya: Sesiapa yang memelihara anjing bukan untuk tujuan pemburuan, sebagai penjaga binatang ternakan atau penjaga kebun, maka pahalanya akan berkurang sebanyak dua qirath pada setiap hari.
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan pernyataan di atas, jika terdapat keperluan yang dibenarkan syarak, maka hukumnya adalah harus untuk memelihara anjing. Walau bagaimanapun, dalam isu berkaitan memegang anjing yang dipelihara tersebut dan berbangga dengan mempamerkannya di media-media sosial ialah satu isu yang berbeza. Perbuatan tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh diterima untuk dinormalisasikan atau dijadikan sesuatu yang biasa. Hal ini setiap individu perlu untuk menghormati pandangan umum yang diterima dan digunapakai di sesuatu tempat. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan:
العادة محكمة
Maksudnya: Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.
Oleh yang demikian, perlu difahami bahawa pengamalan Islam di Malaysia yang berteraskan kepada mazhab al-Syafie, maka pandangan ini sepatutnya dipegang dan diterima oleh semua umat Islam. Di samping itu, umat Islam sendiri hendaklah menghindari sebarang perbuatan yang akan menimbulkan fitnah dan persepsi negatif terhadap diri, masyarakat dan agama. Selain itu, setiap anggota masyarakat juga perlu untuk menghormati sensitiviti agama dan kaum di Malaysia dan tidak sengaja untuk menimbulkan provokasi yang tidak perlu yang akan menggugat keharmonian.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hukum memelihara anjing dengan tujuan dan sebab yang dibenarkan syarak seperti untuk beburu, menjaga rumah dan kebun tanaman adalah diharuskan. Namun begitu, perbuatan mempamerkan dengan bangga menyentuh anjing adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima kerana menimbulkan fitnah kepada diri, negara dan masyarakat. Lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang berpegang kepada mazhab al-Syafie yang berpandangan bahawa anjing termasuk daripada haiwan najis mughallazah. Selain itu, masyarakat Islam di Malaysia juga agak sensitif terhadap anjing dari sudut hukum kenajisannya tersebut. Oleh yang demikian, setiap individu perlu menghormati sensitiviti agama dan tidak menimbulkan perbuatan provokatif yang menganggu keharmonian.
WaAllahu a’lam.
Rujukan:
[1] Al-Nawawi, Yahya ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Tiba‘ah al-Muniriah, 1347H), jld. 2, hlmn. 580.
[2] Al-Ansari, Zakaria ibn Muhammad, Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh al-Thalib, (Kaherah: Dar al-Kitab al-Islami, t.t), jld. 1, hlmn. 49.