
SOALAN
Assalamualaikum, Mufti. Apakah hukum isteri meminta upah atau hadiah kerana melahirkan anak? Dah menjadi satu trend dan menjadi beban tambahan untuk suami dengan nak tanggung kos-kos lain lagi. Mohon pencerahan.
RINGKASAN JAWAPAN
Tidak wajib bagi suami memberi upah (bayaran) kepada isteri kerana melahirkan anak bukan satu tugas isteri yang wajib dibayar, bahkan ia termasuk dalam tanggungjawab seorang isteri dan amanah seorang ibu dalam hubungan berkeluarga.
Walau tidak diwajibkan menurut hukum syarak, menghargai isteri yang berkorban jiwa dan raga untuk melahirkan zuriat adalah amalan yang sangat terpuji. Penghargaan itu bukan sekadar dalam bentuk wang atau harta, bahkan lebih bermakna jika disertai dengan sifat ihsan, kata-kata lembut, serta layanan penuh kasih sayang daripada suami sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran anak. Wallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat
Tanggungjawab Ibu Melahirkan Anak
Anak adalah antara nikmat dalam kehidupan berumah tangga dan merupakan amanah daripada Allah kepada suami dan isteri. Kehamilan atau kelahiran merupakan salah satu sunnatullah dalam proses kejadian manusia. Maklum diketahui bahawa yang melahirkan manusia adalah wanita yang digelar ibu sebagaimana yang disebutkan dalam banyak ayat al-Quran antaranya:
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ
Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”
Surah al-Ahqaf (15)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menerangkan dalam tafsirnya[1]:
"Dan dalam ayat ini terdapat isyarat bahawa hak seorang ibu adalah lebih utama daripada hak seorang bapa, kerana ibu mengandungkannya dengan kepayahan, melahirkannya juga dengan kepayahan, menyusukannya, memeluk dan memeliharanya dengan penuh keletihan dan kesabaran. Sedangkan bapa tidak mengambil bahagian dalam mana-mana hal tersebut, walaupun dia penat dalam mencari rezeki dan memberi nafkah. Oleh sebab itu, hadis-hadis Nabi SAW menegaskan kewajipan berbakti kepada ibu, bahkan meletakkan kedudukan ibu tiga kali lebih utama daripada kedudukan bapa."
Maka jelaslah melahirkan anak adalah tanggungjawab seorang isteri. Manakala tanggungjawab seorang suami pula adalah memberi nafkah berdasarkan firman Allah SWT:
وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya”
Surah al-Baqarah (233)
Makna ayat ini menunjukkan bahawa tanggungjawab utama suami adalah memberi nafkah, bukan membayar upah atas kelahiran anak. Ulama menggariskan beberapa keperluan wajib yang dianggap sebagai nafkah kepada isteri adalah seperti berikut:
وَالْحُقُوقُ الْوَاجِبَةُ بِالزَّوْجِيَّةِ سَبْعَةٌ: الطَّعَامُ، وَالْإِدَامُ، وَالْكِسْوَةُ، وَآلَةُ التَّنْظِيفِ، وَمَتَاعُ الْبَيْتِ، وَالسُّكْنَى، وَخَادِمٌ إنْ كَانَتْ مِمَّنْ تُخْدَمُ
Maksudnya: Terdapat tujuh hak-hak yang wajib disebabkan perkahwinan iaitu makanan, lauk pauk, pakaian, alat kebersihan diri, perkakasan dapur, tempat tinggal dan pembantu (jika isteri pada kebiasaannya mempunyai pembantu di rumah keluarganya).[2]
Begitu juga kewajipan suami membiayai kos rawatan ubat-ubatan untuk melahirkan anak serta menyediakan makanan berkhasiat dan sihat untuk isteri sepanjang tempoh isteri berehat selepas proses kelahiran anak.[3]
Justeru itu, tiada bayaran atau pemberian wajib kepada isteri atas sebab melahirkan anak melainkan suami hendaklah melaksanakan pemberian nafkah sebagaimana yang telah diwajibkan menurut hukum syarak.
Ihsan Suami Terhadap Isteri
Walaupun tidak wajib upah dari segi hukum syarak, menghargai isteri yang berkorban nyawa untuk melahirkan anak adalah amat digalakkan. Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang baik dalam semua perkara, termasuklah juga dalam hal berkaitan hubungan antara suami isteri. Baginda SAW bersabda dalam hadis berikut:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang terbaik terhadap isteriku.
Riwayat Ibn Majah
Antara contoh bentuk penghargaan suami kepada isteri atas sebab melahirkan anak adalah memberi layanan istimewa semasa isteri sepanjang tempoh kehamilan dan proses melahirkan, menyediakan ruang berehat yang baik dan selesa serta memberi sokongan emosi dan fizikal sepanjang proses-proses sukar dan berat yang dialami oleh isteri.
Oleh yang demikian, walaupun tiada kewajiban hukum, suami yang menghargai pengorbanan isteri akan tetap memberi sesuatu yang termampu sebagai tanda kasih dan penghormatan.
Kesimpulan
Tidak wajib bagi suami memberi upah (bayaran) kepada isteri kerana melahirkan anak kerana melahirkan anak bukan satu tugas isteri yang wajib dibayar, bahkan ia termasuk dalam tanggungjawab seorang isteri dan amanah seorang ibu dalam hubungan berkeluarga.
Menghargai isteri yang berkorban jiwa dan raga untuk melahirkan zuriat Meskipun tidak diwajibkan menurut hukum syarak adalah amalan yang sangat terpuji. Penghargaan itu bukan sekadar dalam bentuk wang atau harta, bahkan lebih bermakna jika disertai dengan sifat ihsan, kata-kata lembut, serta layanan penuh kasih sayang daripada suami sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran anak.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] Wahbah al-Zuhaili. Al-Tafsir al-Munir. (Beirut: Dar al-Fikr, 1991). 26/33.
وفي هذه الآية إشارة إلى أن حق الأم آكد من حق الأب، لأنها حملته بمشقة ووضعته بمشقة، وأرضعته وحضنته، وعنيت به بتعب وصبر، ولم يشاركها الأب في شيء من ذلك، وإن تعب في الكسب والإنفاق، لذا جاءت الأحاديث النبوية تؤكد بر الأم، وتقدّمه بمراتب ثلاث على مرتبة الأب
[2] Al-Khatib al-Syirbini. Mughni al-Muhtaj ila Syarh Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). 5/151.
[3] Ibid. 5/159.
(وَ) يَجِبُ (لَهَا) عَلَيْهِ (طَعَامُ أَيَّامِ الْمَرَضِ وَأُدْمُهَا) ؛ لِأَنَّهَا مَحْبُوسَةٌ عَلَيْهِ، وَلَهَا صَرْفُهُ فِي الدَّوَاءِ وَنَحْوِهِ.