Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-959: PANDANGAN BAGI ISU PENGURUSAN JENAZAH DI MALAYSIA

PANDANGAN_BAGI_ISU_PENGURUSAN_JENAZAH_DI_MALAYSIA.jpg

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Apakah pandangan SS Mufti berkaitan isu pengurusan jenazah orang Islam yang berlaku baru-baru ini sehingga terbit dakwaan bahawa pengurusan tersebut terpaksa dilewatkan atas sebab-sebab pengurusan, kos dan sebagainya? Mohon pandangan SS Mufti

Ringkasan Jawapan

Pengurusan jenazah yang terbaik merupakan tanggungjawab utama ahli keluarga dan waris. Umat Islam sewajarnya mengelakkan sebarang perbalahan dalam melaksanakan urusan berkaitan kewajipan fardu kifayah ini. Dalam situasi begini, prinsip mengutamakan perkara yang paling penting (fiqh awlawiyat) perlulah dipraktikkan agar pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan harmoni dan lancar. Ahli waris juga perlu cakna dengan proses pengurusan jenazah di tempat masing-masing dan merujuk kepada pihak berautoriti dalam setiap proses pengendalian jenazah bermula daripada selepas kematian sehingga selesai pengebumian. Selain itu, salah satu langkah bijak dan praktikal bagi menyokong kelancaran pengurusan jenazah adalah dengan mendaftar dan menyumbang ke dalam tabung khairat kematian di kariah masing-masing.

Dalam pada itu, umat Islam dinasihatkan agar tidak sesekali mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain dengan mengaut keuntungan berlebihan daripada kos pengurusan jenazah sehingga membebankan waris. Perbuatan sebegini wajib dihentikan kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan prinsip memuliakan insan, malah boleh dikategorikan sebagai menzalimi saudara seagama.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum Pengurusan Jenazah

Antara kewajipan yang dituntut ke atas orang Islam selepas berlakunya kematian adalah pengurusan jenazah. Terdapat empat perkara yang perlu dilakukan dengan segera setelah berlaku kematian iaitu memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, melakukan solat jenazah dan mengebumikannya. Kewajipan ini berbentuk fardu kifayah menurut kesepakatan ulama kecuali dalam hal-hal tertentu seperti jenazah yang mati syahid dan sebagainya. Tuntutan ini juga diwajibkan kepada orang yang mengetahui tentang berita kematian jenazah tersebut sama ada ahli keluarga terdekat atau selainnya.[1]

Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ

Maksudnya: Apabila matinya salah seorang dari kamu maka janganlah kalian mengurungnya (melewatkan pengebumiannya) dan segerakanlah membawanya ke kuburnya.

(Riwayat al-Baihaqi)

Oleh yang demikian, tanggungjawab menguruskan jenazah wajib dipikul bersama oleh ahli waris serta masyarakat setempat. Waris keluarga memegang tanggungjawab utama untuk menguruskan jenazah sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan sebagai tanda penghormatan terakhir dan bagi memenuhi amanah si mati. Walau bagaimanapun, sekiranya ahli waris tidak berkemampuan atau memerlukan bantuan, maka masyarakat sekeliling seperti ahli kariah masjid berkewajipan untuk membantu menyempurnakan pengurusan jenazah dengan kadar segera.

Kos Pengurusan Jenazah

Kos pengurusan jenazah pada asasnya ditanggung menggunakan harta pusaka si mati sendiri.[2] Hal ini turut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam turutan pengurusan harta peninggalan si mati seperti berikut:

  1. Menguruskan pembiayaan kelengkapan dan pengurusan jenazahnya
  2. Menyelesaikan hutang-hutangnya
  3. Melaksanakan wasiatnya yang tertakluk pada satu pertiga daripada baki harta
  4. Membahagikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak.[3]

Namun begitu, terdapat beberapa situasi pengurusan jenazah yang dibiayai oleh orang lain atau bukan daripada wang si mati apabila si mati seorang yang fakir dan sebatang kara. Oleh yang demikian, kos pengurusannya wajib dipikul oleh individu yang menyaranya semasa hidup seperti tanggungjawab bapa kepada anak atau suami kepada isteri. Jika penanggung nafkah tersebut tiada, belanja pengurusan akan diambil daripada Baitulmal. Sekiranya tiada juga, ia menjadi kewajipan bersama umat Islam yang kaya dan mampu. Hal ini selaras dengan pandangan Dr Muhammad al-Zuhaili:

فإن تعذر فعلى أغنياء المسلمين وأهل الخير، احتراما لإنسانيته، وتكافلاً وتضامناً معه.[4]

Maksudnya: "Sekiranya tiada kemampuan, maka menjadi kewajipan orang Islam yang kaya dan ahli kebajikan (untuk membiayainya), demi menghormati nilai kemanusiaan si mati, serta sebagai lambang solidariti dan tolong-menolong sesama Islam."

Antara kaedah lain bagi melancarkan proses pengurusan jenazah adalah dengan mewujudkan tabung khairat kematian. Secara umumnya, tabung khairat kematian ialah dana sumbangan yang dikumpul untuk kebajikan ahli apabila berlaku kematian seperti membiayai kos kelengkapan jenazah, upah tukang mandi dan penggali kubur. Melalui konsep ini, setiap ahli atau keluarga yang berdaftar akan membayar caruman sama ada secara bulanan atau tahunan. Tabung ini dilihat sebagai salah satu bentuk ta'awun (tolong-menolong) yang bijak. Sehubungan dengan itu, salah satu langkah praktikal bagi menyokong kelancaran pengurusan jenazah adalah dengan mendaftar dan menyumbang ke dalam tabung khairat kematian di kariah masing-masing. Melalui caruman berkala yang kecil, tabung kariah masjid ini bukan sahaja melindungi waris daripada beban kos jenazah yang tinggi ketika berdukacita, malah memastikan urusan pengebumian dikendalikan secara pantas serta sistematik demi memenuhi tuntutan fardu kifayah setempat.

Keperluan Merujuk Pihak Autoriti

Dalam konteks pengurusan jenazah di Malaysia, masyarakat amat disarankan untuk merujuk kepada pihak berautoriti bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar dan mematuhi syarak. Rujukan utama di peringkat tempatan ialah masjid kariah masing-masing. Selain itu, masyarakat juga boleh mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah daripada Badan Pengurusan Jenazah Malaysia yang berdaftar secara rasmi bagi kes-kes tertentu.

Selain itu, segala proses pengendalian hendaklah berpandukan garis panduan pengurusan jenazah yang telah ditetapkan oleh agensi agama negeri seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Kesimpulan

Pengurusan jenazah yang terbaik merupakan tanggungjawab utama ahli keluarga dan waris. Umat Islam sewajarnya mengelakkan sebarang perbalahan dalam melaksanakan urusan berkaitan kewajipan fardu kifayah ini. Dalam situasi begini, prinsip mengutamakan perkara yang paling penting (fiqh awlawiyat) perlulah dipraktikkan agar pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan harmoni dan lancar. Ahli waris juga perlu cakna dengan proses pengurusan jenazah di tempat masing-masing dan merujuk kepada pihak berautoriti dalam setiap proses pengendalian jenazah bermula daripada selepas kematian sehingga selesai pengebumian.

Dalam pada itu, umat Islam dinasihatkan agar tidak sesekali mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain dengan mengaut keuntungan berlebihan daripada kos pengurusan jenazah sehingga membebankan waris. Perbuatan sebegini wajib dihentikan kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan prinsip memuliakan insan, malah boleh dikategorikan sebagai menzalimi saudara seagama. Penjelasan lanjut berkenaan isu kartel pengurusan jenazah boleh dirujuk dalam artikel Irsyad Hukum Siri Ke-878: Pandangan Berkenaan Kewujudan Kartel Pengurusan Jenazah.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Beirut: Dar al-Qalam, 2011). 1/604.

يجب تجهيز الميت، وتجب أربعة أمور عقب الموت مباشرة وهي: الغسل والتكفين والصلاة عليه والدفن وهي فروض كفاية بالإجماع إلا ما يستثنى منها لسبب كالشهيد كما سيأتي تفصيله…ويخاطب بفرض الكفاية كل من علم بموته من قريب أو غيره

[2] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Beirut: Dar al-Qalam, 2011). 1:611.

ويكون الكفن من تركة اليت، لقوله صلى الله عليه وسلم في المحرم الذي خر من بعيره: ((كفنوه في ثوبيه))، ويقدم التكفين من تركته على الدين ، كما تقدم كسوة المفلس على ديون غرمانه ، ولو طلب بعض الورثة أن يكفنه من ماله ، ورفض الآخرون . فيكفن من التركية ، حتى لا تلحقهم منة في تكفيبن الوارث من ماله

[3] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj Al-Talibin wa ‘Umdah Al-Muftin fi Al-Fiqh. (T.tp: Da al-Fikr, 2005). Hlm. 180.

يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه ثم تقضى ديونه ثم وصاياه من ثلث الباقي ثم يقسم الباقي بين الورقة

[4] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i. (Beirut: Dar al-Qalam, 2011). 4/346