Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-195 : HUKUM MENCUCUK UMPAN HIDUP DI MATA KAIL DAN KAITANNYA DENGAN ANAK SUMBING

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Berkenaan hukum memancing dengan menggunakan umpan hidup seperti memancing ikan dan menggunakan umpan udang yang masih hidup disangkutkan pada mata kail atau menggunakan cacing. Apakah hukum tersebut dan pendapat mengenai seorang suami memancing dalam keadaan isteri sedang sarat mengandung. Sering dikaitkan oleh masyarakat bahawa anak dalam kandungan selalunya dilahirkan dalam keadaan sumbing mulut akibat memancing. Boleh ustaz beri pandangan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan isu ini, suka kami nyatakan bahawa manusia perlu bersikap ihsan kepada semua yang wujud selainnya. Inilah kesempurnaan iman dan Islam.  Daripada Abu Hurairah RA bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: “Wahai Rasululah, apakah kita mendapat pahala (bila berbuat baik) pada binatang?” Beliau bersabda: “Pada setiap yang bernyawa, ada pahalanya.”

Riwayat Bukhari (2363) dan Muslim (2244).

 Daripada Syaddad RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Tajamkanlan alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan”.

Riwayat Muslim (1955)

Imam al-Nawawi (w.676) Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini menyebut:

“Sabda Nabi SAW tentang ‘maka bersikap ihsanlah ketika membunuh’ adalah umum meliputi setiap jenis benda hidup yang dimatikan sama ada binatang sembelihan atau bunuh balas akibat qisas, dan dalam hudud, dan perkara yang seumpamanya. Hadis ini adalah hadis daripada hadis-hadis yang merangkumi kaedah-kaedah asas Islam.”

Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (13/106)

Justeru, tanggungjawab manusia selaku khalifah di atas muka bumi ini adalah membunuh dengan baik dengan meminimumkan penderitaan haiwan yang disembelih atau dibunuh. Bahkan jika bunuhnya itu untuk hiburan atau sia-sia, maka hukumnya haram dan dilaknat.

Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا بِغَيْرِ حَقِّهِ سَأَلَهُ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Barangsiapa membunuh burung-burung kecil tanpa hak, Allah akan meminta dia bertanggungjawab tentang itu di Hari Kiamat.

Riwayat Ahmad (6551)

Dari Ibnu Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَتَّخِذُوا شَيْئًا فِيهِ الرُّوحُ غَرَضًا

Maksudnya: Janganlah kalian menjadikan makhluk hidup yang bernyawa sebagai sasaran latihan senjata.

Riwayat Muslim (58)

Ini merupakan peringatan keras kepada mereka yang gemar berburu bukan untuk tujuan makan, atau menghilangkan mudarat, sebaliknya seronok menyiksa dan terhibur membunuh seperti mana yang menjadi adat di sebahagian tempat.

Adapun soalan yang diajukan, yakni menggunakan umpan hidup daripada haiwan  yang tidak haram dibunuh,  seperti katak yang haram dibunuh berdasarkan nas, tetapi menggunakan udang atau ikan hidup, atau cacing, maka ini memerlukan perincian.

Dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/131) ada menyebut:

“Jika diambil ikan itu secara hidup-hidup tidak boleh memakannya sehingga ia mati atau dimatikan, seperti mana yang disebut oleh Hanafiyyah dan Hanabilah. Dan dimakruhkan jika dimakan hidup-hidup kerana hal itu mengazab tanpa keperluan kerana ia mati dengan cepat justeru elok ditunggu sehingga mati dengan sendiri.”

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu` (9/73):

“Kalau seseorang menelan seekor ikan hidup-hidup atau memotong sebahagian daripadanya kemudian memakannya maka terdapat dua wajah. Wajah yang asah ialah ianya makruh dan tidak haram, manakala pandangan yang kedua adalah haram sepertimana yang diputuskan oleh Abu Hamid (Imam al-Ghazali).”

Berdasarkan keterangan ini, diqiyaskan bahawa tidak haram menggunakan umpan udang hidup, atau cacing, tetapi makruh kerana demikian membuatnya mati dengan lambat namun atas keperluan yang betul yakni memburu ikan bagi tujuan makan atau tujuan lain yang halal. Ini kerana manusia adalah makhluk yang lebih mulia dan haiwan-haiwan lain diciptakan untuk kegunaan manusia jua. Firman Allah Taala:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

Surah al-Jathiah, (45:13)

Firman Allah Taala:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

Surah al-Baqarah, (2:29)

Sebaiknya dibunuh dahulu udang atau cacing itu dengan cara yang ihsan seperti memotong pada bahagian yang kritikal, melemaskannya dan sebagainya.

Manakala kaitan guna umpan hidup dapat anak mulut sumbing adalah khurafat dan kepercayaan bidaah yang haram dipercayai dan wajib ditinggalkan.

Wallahua’lam.