Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-16: PERBEZAAN DI ANTARA WAJIB DAN FARDHU

Soalan:

Apakah terdapat perbezaan di antara lafaz wajib dan juga fardhu ?

 

Jawapan:

Para ulama terbahagi kepada beberapa pendapat di dalam isu ini. Sebahagian mereka tidak membezakan di antara takrif keduanya. Ini bererti fardhu dan wajib adalah suatu yang sama. Manakala sebahagian lain membezakannya dari sudut pentakrifan dengan meletakkan ciri-ciri tertentu di antara keduanya. Berikut kami jelaskan secara lebih terperinci berkenaan hal ini.

 

Definisi Wajib Di Sisi Jumhur

Jumhur fuqaha yang kami maksudkan di sini adalah al-Malikiyyah, al-Syafieyyah, dan al-Hanabilah. Di sisi mereka, wajib dan fardhu adalah merupakan perkara yang sama dan tidak ada beza di antara keduanya dari sudut hukum dan makna. Kedua-duanya membawa maksud: Sesuatu yang mesti untuk dilakukan dan akan dikenakan hukuman terhadap sesiapa yang meninggalkannya.

Imam al-Subki Rahimahullah ketika mendefinisikan wajib berkata: Wajib adalah suatu yang dituntut untuk melakukannya secara jazam. Lihat Al-Ibhaj Syarh al-Minhaj, Al-Subki (1/52).

Manakala Imam al-Baidhawi mentakrifkan wajib sebagai: Sesuatu yang menyebabkan orang yang meninggalkannya secara sengaja akan dicela oleh syarak. Rujuk Al-Ibhaj Syarah al-Minhaj, al-Subki (1/51).

 

Definisi Wajib Di Sisi Hanafiyyah

Para fuqaha bermazhab Hanafi mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendefinisikan wajib. Salah seorang tokoh besar dari kalangan mereka iaitu Imam al-Kamal bin Humam Rahimahullah berkata: Sekiranya sesuatu tuntutan yang jazam itu datang secara zhanni maka ianya adalah wajib.

Ibn Ami Haj al-Hanafi ketika mengulas kenyataan Ibn Humam ini berkata: Ataupun tuntutan yang jazam itu datang secara zhanni dalalahnya dari al-Quran atau zhanni dari sudut tsubutnya daripada Sunnah atau Ijma’ maka itu adalah wajib. Lihat Al-Taqrir wa Al-Tahbir Fi ‘Ilm Al-Usul (2/107).

Berdasarkan kenyataan ini, dapat kita fahami bahawa wajib di sisi hanafiyyah adalah apa-apa yang syarak lazimkan kepada kita untuk melakukannya dan perintah itu datang secara zhanni dalalahnya atau zhanni al-thubut ataupun zhanni kedua-duanya. Iaitu apa-apa yang menyebabkan orang yang meninggalkannya berhak mendapat celaan daripada syarak sekiranya dia meninggalkannya dengan sengaja pada setiap masa.

 

Perbezaan Wajib Di Sisi Jumhur dan Al-Hanafiyyah

Bagi golongan Hanafiyyah, mereka membezakan di antara fardhu dan juga wajib dengan melihat dari sudut dalil datangnya sesuatu perintah. Sebagai contohnya, golongan hanafiyyah mengatakan bahawa hukum sembelihan korban adalah wajib. Ini kerana, perintah melakukannya datang dalam bentuk khabar ahad yang merupakan dalil zhanni.

Manakala, sekiranya perintah melakukan sesuatu perbuatan itu datang dari dalil yang qath’ie, maka amalan tersebut merupakan suatu yang fardhu. Sebagai contohnya, perintah menunaikan solat datang secara qath’ie, maka ia adalah fardhu di sisi mereka.

Maka Hanafiyah meneliti kepada dalil yang melazimkan sesuatu perbuatan. Maka mereka pun membahagikan di antara wajib dan juga fardhu. Manakala Jumhur fuqaha meneliti kepada keadaan perbuatan itu yang merupakan suatu tuntutan lazim kepada mukallaf, tanpa melihat dari sudut dalilnya sama ada ia qath’ie ataupun zhanni.

Berdasarkan perbezaan ini, terdapat athar atau kesannya di sisi Hanafiyyah. Kami nyatakan seperti berikut:

  • Kemestian (luzum) dalam melakukan perbuatan wajib lebih rendah kedudukannya berbanding kemestian melakukan perbuatan fardhu.
  • Hukuman meninggalkan yang fardhu jauh lebih besar berbanding hukuman meninggalkan perbuatan yang wajib.
  • Seseorang yang mengingkari perkara wajib tidak jatuh ke tahap kufur. Manakala sesiapa yang mengingkari perkara fardhu boleh menjadi kufur.

 

Kesimpulan

Akhir kalam, kami berpandangan bahawa khilaf yang berlaku di antara Jumhur dan Al-Hanafiyyah dalam isu ini hanyalah khilaf dari sudut penamaan lafaz dan bukannya khilaf yang hakiki. Satu kaedah masyhur disebutkan oleh para ulama:

لَا مُشَاحَة فِي الِاصْطِلَاحِ

Maksudnya: Tidak perlu saling bercanggahan dalam penamaan sesuatu istilah.

Ini kerana, kedua-duanya iaitu jumhur dan hanafiyyah bersepakat bahawa wajib dan fardhu merupakan tuntutan melakukan sesuatu perbuatan secara jazam dan sesiapa yang meninggalkannya berhak mendapat hukuman dan seksaan.

Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kemudahan kepada kita semua dalam memahami isu ini. Ameen.