Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

KAEDAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Ada orang sebut semua wasilah menjadi perantaraan untuk mencapai sesuatu tujuan. Adakah ini kata Nabi SAW atau kaedah dan apakah maksudnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ia adalah kaedah feqah yang masyhur iaitu:

الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya: Semua wasilah atau cara, baginya berdasarkan hukum yang hendak dicapai

Kaedah ini memberi maksud segala cara atau jalan mempunyai hukum-hukum yang dimaksudkan. Jika sekiranya maksud yang hendak dicapai adalah buruk dan jahat, maka sebarang bentuk cara dan wasilah adalah ditegah. Begitu juga hendaklah difahami sebarang bentuk maksud dan tujuan sekalipun baik tetapi tidak harus digunakan untuk mencapai ke arah itu kecuali dengan cara-cara harus.

Apa-apa yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram seumpamanya. Contohnya menjual anggur adalah harus pada asal. Tetapi jika diketahui bahawa pembeli mahu membeli bagi memproses menjadikannya arak, maka jualan kepadanya adalah haram. Sama juga dalam isu menjual senjata, pada asalnya hukumnya harus, tetapi jika dijual senjata kepada seseorang atau kumpulan yang mahu merompak, maka hukumnya adalah haram. Inilah yang dimaksudkan dengan: (الوسائل لها أحكام المقاصد).

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah: 2)

Syeikh al-Sobuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)

Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama' dan fuqaha' antaranya adalah Imam al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq. Kata beliau: Kaedah ini iaitu “الوسائل تتبع المقاصد في أحكامها” (Segala wasilah atau cara mengikut hukum maksud atau tujuan). Dan cara ini hendaklah difahami, jika ianya haram maka hukumnya haram dan jika wasilahnya wajib, maka hukumnya wajib. Begitulah baki pada hukum-hukum yang lain. (Lihat al-Furuq, 3/111-112)

Imam al-Tufi pula menyebut bahawa ia termasuk dalam kaedah kulliy iaitu yang umum bukan bersifat cabang. (Lihat Mukhtasar al-Raudhah oleh al-Tufi, 3/89)

al-Imam al-Syafi'ie pula menyebut dalam kitabnya: Segala bentuk zara'i' yang membawa kepada yang halal dan haram adalah seumpama yang membawa kepada makna-makna yang halal dan haram" (Lihat al-Umm, 4/57)

Adapun kaedah yang seringkali kita dengar iaitu “الغاية تبرر الوسيلة” (matlamat menghalalkan cara) dengan maksud – jika matlamatnya baik, maka tidak ditegah daripada mencapai ke arah itu walaupun dengan pelbagai cara yang diharamkan, – maka kaedah ini adalah menyimpang daripada kebenaran. Kaedah seperti ini bercanggah dengan agama Islam yang mulia.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan syariat Islam dengan sebaiknya. Amin.