Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 40 : PERTEMBUNGAN ANTARA DUA MAFSADAH

IUF40

 

Soalan :

Bolehkah ustaz jelaskan tentang kaedah yang bermaksud ‘’Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan atau kerosakan), maka kita melakukan mafsadah yang lebih ringan’’. Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kaedah di atas merupakan antara kaedah yang diterima pakai serta disebutkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Nujaim:

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya : Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.

Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76)

Syeikh Mustafa Al-Zarqa berkata: (Yang dimaksudkan dengan) meraikan yang paling berat dari keduanya adalah dengan cara membuangnya (meninggalkannya). Ini kerana, mafsadah-mafsadah diraikan dengan dinafikan seperti mana maslahah-maslahah diraikan dengan mengisbatkan (melakukannya). Rujuk Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, Syeikh Mustafa Al-Zarqa (Hlm. 201).

Secara asasnya, kaedah ini ada sandarannya daripada nas syarak iaitu berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Maksudnya: Adapun perahu itu merupakan milik orang-orang miskin yang berkerja di laut. Maka aku bertujuan merosakkannya kerana terdapat seorang raja yang ingin merampas kesemua perahu.

Surah Al-Kahf (79)

Berdasarkan ayat di atas, kita dapat melihat beberapa perkara penting yang kami ringkaskan dalam bentuk poin seperti berikut:

  • Perahu atau sampan tersebut dimiliki oleh orang miskin dan bukannya orang kaya.
  • Orang miskin tersebut pula berkerja di lautan dan bukannya di daratan. Justeru, keadaan ini menggambarkan betapa penting peranan sampan untuk digunakan dalam pekerjaan menampung kehidupan seharian.
  • Ia dirosakkan kerana terdapatnya seorang raja yang mahu merampas perahu-perahu yang berada dalam keadaan baik dan elok. Justeru, apabila dilihat perahu-perahu yang rosak, maka ia ditinggalkan dan tidak dirampas.
  • Merosakkan perahu adalah satu keburukan. Namun dirampasnya perahu mendatangkan keburukan yang lebih berat. Rosaknya perahu boleh dibaiki, manakala dirampasnya perahu mendatangkan masalah besar kepada golongan miskin untuk membeli perahu yang baharu.
  • Justeru ini adalah contoh pertembungan antara dua keburukan, lalu dipilih keburukan yang lebih ringan.

Oleh kerana itu, Imam Al-Qurthubi dalam tafsirannya kepada ayat Al-Quran di atas menyatakan:

ففي هذا من الفقه ... جواز إصلاح كل المال بإفساد بعضه

Maksudnya : Dalam isu ini antara feqh (yang dapat diambil adalah) keharusan memperbaiki keseluruhan harta dengan merosakkan sebahagian darinya. Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (10/407).

Ini seperti yang disebutkan oleh Nabi Khidir A.S seperti yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 فَإِذَا جَاءَ الَّذِي يُسَخِّرُهَا وَجَدَهَا مُنْخَرِقَةً فَتَجَاوَزَهَا فَأَصْلَحُوهَا بِخَشَبَةٍ

Maksudnya : Apabila dia (raja yang zalim) yang ingin merampas (perahu) tersebut mendapatinya dalam keadaan telah rosak, maka dia akan meninggalkannya (tidak mengambilnya) lalu mereka (golongan miskin) tersebut dapat membaikinya dengan menggunakan kayu.

Riwayat Muslim (2380)

Dalam menghuraikan kaedah tersebut, Ibn Nujaim menukilkan kata-kata Imam Al-Zaila’ie yang menyebut:

أَنَّ مَنْ اُبْتُلِيَ بِبَلِيَّتَيْنِ، وَهُمَا مُتَسَاوِيَتَانِ يَأْخُذُ بِأَيَّتِهِمَا شَاءَ، وَإِنْ اخْتَلَفَا يَخْتَارُ أَهْوَنَهُمَا

Maksudnya : Sesiapa yang diuji dengan dua bala (musibah) dan kedua-duanya selari (dari sudut keburukan) maka dia boleh memilih untuk melakukan salah satu mengikut kehendaknya. Namun sekiranya keduanya berbeza (dari sudut salah satu lebih besar keburukan berbanding satu yang lain) maka dia memilih (keburukan) yang paling ringan antara keduanya.

Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76)

Aplikasi Kaedah

Berikut kami kongsikan beberapa contoh pengaplikasian bagi kaedah di atas. Antaranya :

  • Sekiranya seseorang itu mempunyai luka (pada anggota badan) melaksanakan solat, yang mana sekiranya dia sujud akan menyebabkan lukanya mengalir, manakala jika dia tidak sujud maka lukanya tidak mengalir, maka dalam keadaan ini dia mendirikan solat secara duduk dan melakukan ruku’ serta sujud secara isyarat. Ini kerana, antara dua keadaan tersebut yang lebih ringan adalah meninggalkan sujud berbanding solat dalam keadaan berhadas.

Keadaan ini adalah sama seperti seseorang yang menghidap penyakit salis al-baul (kencing tidak lawas) yang mana sekiranya dia solat berdiri air kencing akan mengalir, namun jika dia solat secara duduk maka air kencingnya tidak mengalir. Kerana meninggalkan qiyam (berdiri tegak) lebih ringan berbanding solat berserta hadas.

  • Begitu juga seseorang yang cuma memiliki dua helai baju, yang mana terdapat najis darah pada kedua-duanya. Maka dia perlu melihat, sekiranya darah pada salah satu pakaian itu dengan kadar ¼ baju dan darah pada pakaian lagi satu lebih kurang berbanding yang pertama, maka dia memilih untuk menggunakan pakaian yang paling kurang kuantiti atau kadar darahnya.
  • Demikian juga dalam keadaan dharurat, sekiranya di sisi seseorang itu ada bangkai dan juga harta milik orang lain, maka dia memilih untuk makan bangkai. Meskipun keduanya adalah buruk, namun dia memilih keburukan yang lebih ringan kerana bangkai bukan kepunyaan sesiapa manakala harta adalah kepunyaan orang lain.
  • Contoh lain, seseorang itu memilih untuk mendiamkan diri ke atas kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya apabila kesan tegurannya itu dikhuatiri akan membawa kepada keburukan yang lebih besar.
  • Dalam isu menggugurkan janin dalam kandungan sekiranya berlaku keadaan kecacatan pada bayi atau komplikasi dalaman yang membahayakan nyawa ibu yang mengandung, maka dibolehkah menggugurkan bayi setelah mendapat kelulusan dari pakar-pakar perubatan yang berautoriti. Kami telah mengulas isu tersebut dalam Al-Kafi Li Al-Fatawi Siri Ke- 1145 : Adakah Dibolehkan Untuk Mengugurkan Kandungan Yang Berusia 4 Bulan ? menerusi pautan berikut https://bit.ly/2MU6ZtU

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa kaedah ‘’Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan atau kerosakan), maka kita melakukan mafsadah yang lebih ringan’’ adalah kaedah yang muktabar yang diterima dan diguna pakai oleh para ulama Islam. Perlu dijelaskan bahawa mafsadah yang dipilih untuk dilakukan hanyalah apabila berlakunya pertembungan antara dua mafsadah yang mana salah satunya lebih ringan dari satu yang lain dengan melakukan yang paling ringan dari keduanya.

Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama menerusi pencerahan ini. Ameen.