Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-71: ADAKAH SAMA HUKUM MAKRUH DENGAN KHILAF AL-AULA

 

ADAKAH_SAMA_HUKUM_MAKRUH_DENGAN_KHILAF_AL-AULA.jpg

 

Ringkasan Jawapan:

Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa khilaf al-aula adalah sebahagian daripada hukum taklifi. Namun merujuk kepada pandangan yang rajih iaitu pandangan Imam al-Subki, khlilaf al-aula adalah salah satu cabang daripada hukum makruh dan tidak dikategorikan sebagai hukum taklifi yang lima.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jajak langkah baginda hingga hari kiamat.

Terdapat lima hukum taklifi yang dikenali dalam syariat Islam yang mana hukum-hukum ini terdiri daripada wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Namun terdapat beberapa persoalan yang timbul sama ada khilaf al-aula dengan makruh ini merupakan perkara yang sama atau tidak. Oleh itu, dalam hal ini perlu dilihat dalam beberapa aspek.

Konsep Makruh dan Khilaf al-Aula di sisi Usul Fiqh

Istilah makruh ialah sesuatu perkara yang dituntut oleh syarak untuk meninggalkannya tanpa tuntutan yang jazam.[1] Selain itu, makruh juga ialah perbuatan yang dipuji bagi orang yang meninggalkannya dan tidak dikeji bagi orang yang mengerjakannya berdasarkan takrifan Imam al-Asnawi.[2] 

Manakala istilah khilaf al-aula membawa maksud menyalahi keutamaan (afdaliyyah). Istilah ini juga dikenali sebagai tark al-aula yang membawa maksud meninggalkan perkara yang lebih utama. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Ibn al-Najar berkenaan konsep tark al-aula dalam karyanya: [3]

تَرْكُ مَا فِعْلُهُ رَاجِحٌ" عَلَى تَرْكِهِ "أَوْ عَكْسُهُ" وَهُوَ فِعْلُ مَا تَرْكُهُ رَاجِحٌ عَلَى فِعْلِهِ "وَلَوْ لَمْ يُنْهَ عَنْهُ

Maksudnya: “Meninggalkan sesuatu perbuatan yang jelas dilarang atau sebaliknya iaitu suruhan untuk meninggalkannya adalah lebih baik meskipun tiada sebarang larangan daripada perbuatan tersebut.”

(Rujuk Syarh al-Kaukab al-Munir: 1/420)

Dengan kata lain, khilaf al-aula ini bermaksud meninggalkan perkara-perkara yang dituntut serta sunat di sisi syarak. Sebagai contoh ibadat berpuasa pada hari arafah bagi jemaah haji sebagaimana dalam riwayat Abu Hurairah RA:

أن رسولَ الله -صلَّى الله عليه وسلم- نهى عن صومِ يومِ عرفَةَ بَعَرَفَة

Maksudnya: “Rasulullah SAW menegah daripada berpuasa pada hari Arafah bagi jemaah haji yang berada di Arafah.”

Riwayat Abi Daud: 2440

Mafhum daripada riwayat di atas, larangan tersebut merujuk kepada tuntutan bagi jemaah haji supaya tidak berpuasa pada hari mereka mengerjakan wukuf di Arafah. Namun tidak dihukumkan makruh sekiranya jemaah haji berpuasa pada hari berkenaan sebaliknya ia dihukumkan sebagai khilaf al-aula di sisi Imam al-Subki.[4] 

Hubung kait antara Makruh dengan Khilaf al-Aula

Para ulama berbeza pendapat dalam meletakkan kedudukan khliaf al-aula ini dalam hukum syarak. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada cabang hukum makruh dan sebahagian lain berpendapat bahawa ia adalah terkeluar daripada makruh. Menurut Imam al-Zarkasyi, khilaf al-aula merupakan perantaraan antara sunat dan makruh:

هَذَا النَّوْعُ أَهْمَلَهُ الْأُصُولِيُّونَ، وَإِنَّمَا ذَكَرَهُ الْفُقَهَاءُ وَهُوَ وَاسِطَةٌ بَيْنَ الْكَرَاهَةِ وَالْإِبَاحَةِ

Maksudnya: “Ulama usul fiqh tidak membincangkan bab ini(khilaf al-aula) di dalam kitab. Para fuqaha telah menyebut (khilaf al-aula) ialah di antara hukum makruh dengan sunat.”

(Rujuk al-Bahr al-Muhit: 1/400)

Dari sudut yang lain pula, khilaf al-aula ini adalah sama hukumnya dengan makruh yang mana kedua-duanya dipuji di sisi syarak jika ditinggalkan tetapi tidak dicemuh jika ia dilakukan. Selain itu, kedua-dua perkara ini juga dituntut untuk ditinggalkan pada asalnya dengan tuntutan yang tidak mencapai hukum haram.[5]

Perbezaan antara Makruh dengan Khilaf al-Aula

Sebahagian ulama menyatakan bahawa khilaf al-aula dengan makruh merupakan perkara yang sama dari beberapa sudut namun terdapat beberapa pandangan yang membezakannya. Menurut Imam al-Subki dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazoir, hukum makruh merupakan hukum yang terdapat dalam nas sepertimana galakan menunaikan solat sunat dua rakaat ketika masuk ke dalam masjid yang berbunyi:[6]

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dalam kalangan kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk sehingga dia mengerjakan solat dua rakaat.”

 (Riwayat Ahmad: 22652)

 Adapun khilaf al-aula ialah perkara yang tidak terdapat larangan secara khusus dalam nas berkenaan dengan hukumnya.

Begitu juga apa yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari, sesuatu hukum yang dibuktikan dengan tuntutan syarak dinamakan sebagai makruh manakala khilaf al-aula pula hukum yang dibuktikan dengan sesuatu hukum yang tidak dikhususkan yang dinamakan sebagai khilaf al-aula.[7]

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kedua-dua istilah ini terdapat persamaan dan perbezaan melalui beberapa sudut. Namun para ulama tidak meletakkanya dalam hukum taklifi sebaliknya ia hanyalah salah satu daripada cabang bagi hukum makruh.

Kesimpulan

Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa khilaf al-aula adalah sebahagian daripada hukum taklifi. Namun merujuk kepada pandangan yang rajih iaitu pandangan Imam al-Subki, khlilaf al-aula adalah salah satu cabang daripada hukum makruh dan tidak dikategorikan sebagai hukum taklifi yang lima.

Wallahu A’lam..

 

Rujukan: 

[1] Al-Zuhaili, Wahbah. (1986). Usul al-Fiqh al-Islami. Ed 1, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu‘asir. Jld 1, hlm:89.

المكروه: هو ما طلب الشارع تركه لا على وجه الحتم والإلزام. وتعريفه بالخواص أو بالحكم.

[2] Ibid,

[3] Ibn al-Najar, Muhammad bin Ahmad bin Abdel Aziz. (1997). Syarh al-Kaukab al-Munir. Tahkik: Muhammad al-Zuhaili & Nazih Hamad. Ed 2, Maktabah al-‘Abikan. 

[4] Al-Asybah wa al-Nazoir. Jld 2, hlm 79.

صوم يوم عرفة للحجاج خلاف الأولى

[5] Al-Qalyubi, Abu ‘Abdul Rahman al-Mustafa. (2014). Al-Makruh Yasqut Fadhilat al-Jamaah. Editor: ‘Abdul Fattah Idris. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah.

نحى جماهير علماء الأصول الخاصة المتقدمين منهم منهم إلى عد خلاف الأولى معنى مرادفا للمكروه أو نوعا من أنواعه بجامع اشتراكهما:

1-كونهما مما يمدح تاركه ولا يذم فاعله.

2- كون الحث على تركهما أصالة أو ضمنا حثا غير جازما

[6] Al-Subki, Taj al-Din ‘Abdul Wahab bin Taqiyuddin. (1991). Al-Asybah wa Al-Nazoir. Ed 1, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. Jld 2 hlm 78.

وافترق خلاف الأولى مع المكروه اختلاف الخاصين، فالمكروه ما ورد فيه نهي مخصوص مثل: "إذا دخل أحدكم المسجد فلا يجلس حتى يصلي ركعتين"

[7] Al-‘Itar, Hasan bin Muhammad. (T.T). Hasyiat al-‘Ita ‘ala Syarh al-Jalal al-Muhali ‘ala Jam‘u al-Jawami‘. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah. Jld 1, hlm 113-114.

(فَكَرَاهَةٌ) أَيْ فَالْخِطَابُ الْمَدْلُولُ عَلَيْهِ بِالْمَخْصُوصِ يُسَمَّى كَرَاهَةً وَلَا يَخْرُجُ عَنْ الْمَخْصُوصِ دَلِيلُ الْمَكْرُوهِ إجْمَاعًا أَوْ قِيَاسًا

(فَخِلَافُ الْأَوْلَى) أَيْ فَالْخِطَابُ الْمَدْلُولُ عَلَيْهِ بِغَيْرِ الْمَخْصُوصِ يُسَمَّى خِلَافَ الْأَوْلَى