Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-76: MAKNA FIQH AL-WAQI’ DAN PERBEZAANYA DENGAN FIQH AL-NAWAZIL

MAKNA_FIQH_AL-WAQI_DAN_PERBEZAANYA_DENGAN_FIQH_AL-NAWAZIL.jpg                                       

Soalan

Assalamualaikum. Saya selalu mendengar berkenaan istilah fiqh al-Waqi’. Bolehkah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terangkan apakah yang dimaksudkan dengan fiqh al-Waqi dan perbezaannya dengan fiqh al-Nawazil.

Ringkasan Jawapan

Fiqh al-Waqi ialah istilah yang digunakan oleh ulama usul al-fiqh. Ia merujuk kepada pandangan hukum fiqh yang bersesuaian dengan realiti masa dan tempat. Para ulama zaman berzaman berijtihad mengeluarkan pandangan berdasarkan realiti masa dan tempat yang mereka berada. Fleksibiliti inilah yang menjadikan hukum-hukum Islam sesuai dipraktikkan pada mana-mana zaman.

Manakala fiqh al-Nawazil kebiasaannya merujuk kepada isu-isu kontemporari. Ia juga dikenali sebagai fiqh al-Muasarah. Setiap zaman pasti ada perkara-perkara baharu yang memerlukan kepada pandangan hukum dan fatwa. Untuk memahami isu-isu semasa atau kontemporari ia memerlukan kepada kefahaman terhadap situasi dan keadaan ketika itu atau disebut dengan fiqh al-waqi’. Dengan itu para ulama dapat memberikan jawapan dan fatwa yang sesuai dengan zaman dan tidak bersifat jumud serta ketinggalan zaman.

Huraian Jawapan

i.          Fiqh al-Waqi

Fiqh al-Waqi menurut Husain al-Turturi ialah:

هُوَ الِاجْتِهَادُ فِي تَحْقِيْقِ الـمَنَاطِ، سَوَاءٌ الـمَنَاطُ العَامُ أَوْ الـمَنَاطُ الخَاصُ

Maksudnya: “Ia adalah ijtihad untuk melakukan tahqiq al-manat, sama ada al-manat yang berbentuk umum mahupun al-manat yang berbentuk khas.[1]

Al-manat yang dimaksudkan oleh ulama usul al-fiqh ialah illah[2]. Ia diambil dari perkataan النوط iaitu mengikat. Ini kerana sesuatu hukum terikat dengan illah[3]. Tahqiq al-manat merupakan salah satu perbincangan ulama usul fiqh dalam bab qias. Secara asasnya ia merujuk kepada: proses meneliti, mengkaji, dan mengenalpasti dalam memastikan kewujudan illah yang telah sabit dengan nas, atau ijmak, atau istinbat, pada kejadian atau permasalahan yang tidak terdapat padanya nas yang jelas[4].

Imam al-Syatibi membahagikan tahqiq al-manat kepada dua bahagian:

1.     Tahqiq al-manat al-amm: Mempraktikkan hukum-hakam yang sabit dengan dalil-dalil syara’ daripada al-Quran, Hadis dan lainnya kepada isu-isu semasa dan kontemporari.

2.     Tahqiq al-manat al-khas: Melihat kepada setiap individu muslim berkenaan hukum yang berkait dengan mereka yang dengannya dapat diketahui jalan-jalan penipuan syaitan dan hawa nafsu. Oleh itu seorang mujtahid boleh memberikan beberapa penjagaan untuk menghalang jalan-jalan penipuan tersebut[5].

Sheikh Bin Bayah dalam bukunya Tanbih al-Maraji’ ala Ta’sil Fiqh al-Waqi’ berpendapat bahawa tahqiq al-manat merupakan suatu asas yang lengkap dan ijtihad yang sempurna untuk menggunakan dalil-dalil yang umum dalam memahami makna nas-nas syara’. Beliau kemudian menyimpulkan bahawa tahqiq al-manat ialah melihat kepada keadaan taklif dan mukalaf sama ada secara perseorangan mahupun kelompok untuk diberikan hukum yang sesuai dengan keadaan mereka.

Oleh itu waki’(keadaan) boleh diumpamakan sebagai tempat untuk dipraktikkan tahqiq al-manat bagi memastikan sesuatu hukum itu benar-benar menepati kehendak semasa. Manakala Abdul Fattah al-Dakhmisi beliau memberikan definisi bagi fiqh al-waqi’ yang lebih jelas dengan katanya:

هُوَ العِلْمُ بِالأَحْكَامِ الشَرْعِيَّةِ العَمَلِيَّةِ، وَتَطْبِيْقُهَا بِأَدِلَّتِهَا عَلَى الوَقَائِعِ وَالنَوَازِلِ، وَاعْتِبَارُهُ لِمَآلَاتِ أَفْعَالِ الـمُكَلَّفِيْنَ

Maksudnya: “Ia adalah ilmu berkait hukum hakam syara’ yang berbentuk praktikal dan memperaktikkannya berdasarkan dalil-dalilnya kepada peristiwa dan keadaan semasa. Disamping mengambil kira perkara mendatang bagi setiap tindakan mukalaf.[6]

Daripada kenyataan ini dapat difahami bahawa fiqh al-Waqi ialah mengaplikasikan feqah dalam bentuk yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

Ibn Qayim al-Jauziyyah menyebutkan bahawa seorang mufti atau hakim tidak akan menjadi seorang yang benar-benar mahir dan memberikan pandangan yang tepat selagi mana tidak menggunakan dua bentuk kefahaman iaitu:

  • Memahami situasi dan keadaan dan mengeluarkan maklumat berdasarkan qarinah, tanda dan alamat.
  • Memahami kewajiban daripada sesuatu situasi. Iaitu memahami hukum Allah daripada al-Quran dan hadis terhadap situasi tersebut.

Kemudian setelah dia memahami kedua-duanya dia perlu mempraktikkan satu dengan yang lainnya. Siapa yang melakukan perkara tersebut dengan penuh kesungguhan dia pasti akan memeperolehi sama ada dua atau satu pahala dari ijtihadnya tersebut[7]. Dalam menjelaskan berkenaan kepentingan memahami waqi’ dalam mengeluarkan sesuatu pandangan hukum Imam al-Qarafi menyebut:

وَلَا تُجَمِّدْ عَلَى الـمَسْطُوْرِ فِي الكُتُبِ طُوْلَ عُمْرِكَ بَلْ إِذَا جَاءَكَ رَجُلٌ مِنْ غَيْرِ أَهْلِ إِقْلِيْمِكَ يَسْتَفْتِيْكَ لَا تَجْرِهِ عَلَى عُرْفِ بَلَدِكَ وَاسْأَلْهُ عَنْ عُرْفِ بَلَدِهِ وَاجْرِهِ عَلَيْهِ وَأَفْتِهِ بِهِ دُوْنَ عُرْفِ بَلَدِكَ وَالـمُقَرَّرِ فِي كُتُبِكَ فَهَذَا هُوَ الحَقُّ الوَاضِحُ

Maksudnya: “Janganlah kamu berlaku jumud terhadap apa yang terdapat dalam buku-buku sepanjang umur kamu. Jika datang kepada kamu seorang lelaki bukan dari iklim kamu dan dia bertanya kepada kamu maka janganlah kamu memperlakukannya berdasarkan uruf(keadaan) negara kamu. Berilah kepadanya fatwa tanpa melihat kepada uruf negara kamu atau apa yang ada dalam buku-buku kamu. Inilah suatu kebenaran yang jelas[8].”

Imam al-Qarafi mengatakan bahawa fatwa perlulah diberikan sesuai dengan keadaan dan situasi. Memberikan fatwa tanpa melihat kepada realiti yang berlaku akan menyebabkan fatwa yang diberikan ialah fatwa yang berbentuk jumud.

ii.         Fiqh al-Nawazil

Adapun berkenaan fiqh al-Nawazil ia adalah fiqh yang menjelaskan berkenaan hukum bagi perkara-perkara baharu yang tidak pernah wujud di zaman ulama silam.

Salam al-Jazairi mendefinisikan fiqh al-Nawazil sebagai: memahami hukum hakam yang berkaitan dengan isu-isu baharu yang memerlukan pandangan hukum syara’[9]

Perkataan al-Nawazil sudah digunakan semenjak zaman ulama silam lagi. Antaranya ialah Imam Ibn hajar al-Asqalani ketika menerangkan faedah yang boleh diambil dari kisah Saidina Abu Bakar RA memerangi kelompok yang enggan mengeluarkan zakat beliau menyebut:

وَفِي هَذَا الحَدِيْثِ مِنَ الفَوَائِدِ غَيْرِ مَا تَقَدَّمَ فِي كِتَابِ الإِيْمَانِ الِاجْتِهَادُ فِي النَوَازِلِ وَرَدُّهَا إِلَى الأُصُوْلِ

Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat faedah lain dari yang disebutkan pada kitab Iman (yang lalu) iaitu ijtihad pada perkara yang berlaku pada ketika itu(al-nawazil) dan mereka mengembalikannya kepada usul agama.[10]

Menyelesaikan isu-isu yang berlaku pada setiap zaman merupakan tanggungjawab para ulama. Bahkan ia telah dilakukan semenjak zaman sahabat lagi.

Ibn Qayim al-Jauziyah mengatakan bahawa:

وَقَدْ كَانَ أَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ يَجْتَهِدُوْنَ فِي النَوَازِلِ

Maksudnya: “Adalah sahabat Rasulullah SAW berijtihad dalam perkara baharu(al-Nawazil).[11]

Kesimpulan

  1. Tuntasnya dapat difahami bahawa fiqh al-Waqi ialah suatu kaedah dalam menyesuaikan hukum-hukum yang ada dengan keadaan semasa.
  2. Manakala fiqh al-Nawazil pula ialah hukum-hakam yang berkait dengan isu-isu semasa yang belum pernah dibincangkan oleh ulama silam.
  3. Maka untuk memahami fiqh al-Nawazil perlu merujuk kepada kaedah tahqiq al-manat atau disebut dengan fiqh al-waqi bagi memastikan fatwa atau hukum yang dikeluarkan sesuai dengan keadaan semasa.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Husain al-Tarturi, Fiqh al-Waqi’ Dirasah Usuliyah, Majallah al-Buhus al-Fiqhiyah al-Muasarah, bil. 34, 1998, hlm. 71.

[2] Illah bermaksud: Suatu ciri yang meliputi hikmah yang membawa kepada pensyariatan sesuatu hukum. Rujuk Majmuah al-Fawaid al-Bahiyyah (1/112).

[3] Sheikh Bin Bayah, Tambih al-Maraji’ ala Ta’sil Fiqh al-Waqi’, Tt.p: al-Muwata’ li al-Nasyr (2016), hlm. 90.

[4] Lihat perbincangan lanjut mengenai tanqih al-manat dalam artikel Irsyad Usul Al-Fiqh Siri Ke-14: Tanqih Al-Manath, Takhrij Al-Manath, Dan Tahqiq Al-Manath.

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/1392-irsyad-usul-al-fiqh-siri-14-tanqih-al-manath-takhrij-al-manath-dan-tahqiq-al-manath

[5] Imam al-Syatibi, al-Muwafaqat, Kaherah: Dar al-Fadilah li al-Nasyr wa al-Tauzi’ (2010), jld. 4, hlm. 105.

أما تحقيق المناط العام: فهو تطبيق الأحكام الثابتة بأدلتها الشرعية من الكتاب أو السنة أو غيرهما من الأدلة على الوقائع والنوازل

فتحقيق المناط الخاص نظر في كل مكلف بالنسبة إلى ما وقع عليه من الدلائل التكليفية، بحيث يتعرف منه مداخل الشيطان، ومداخل الهوى والحظوظ العاجلة، حتى يلقيها1 هذا المجتهد على ذلك المكلف مقيدة بقيود التحرز من تلك المداخل،

[6] Abd al-Fattah al-Dakhmisi, Fiqh al-Waqi Dirasah Usuliyah, Kaherah: Muasasah Qurtubah li al-Nasyr wa al-Tauzi’ (1998), hlm. 66.

[7] Ibn Qayim al-Jawziyah, I’lam al-Muwaqi’in, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1991), jld. 1, hlm. 69.

ولا يتمكن المفتي ولا الحاكم من الفتوى والحكم بالحق إلا بنوعين من الفهم: أحدهما: ‌فهم ‌الواقع والفقه فيه واستنباط علم حقيقة ما وقع بالقرائن والأمارات والعلامات حتى يحيط به علما. النوع الثاني: فهم الواجب في الواقع، وهو فهم حكم الله الذي حكم به في كتابه أو على لسان قوله في هذا الواقع، ثم يطبق أحدهما على الآخر؛ فمن بذل جهده واستفرغ وسعه في ذلك لم يعدم أجرين أو أجرا؛

[8] Imam al-Qarafi, al-Furuq, Tt.p: Alam al-Kutub (t.t), jld. 1, hlm. 69.

[9] Khalid bin Ali al-Musyaiqih, Fiqh al-Nawazil fi al-Ibadat, Tt.p: 1426H, Diambil dari pengajian beliau di Jami’ al-Rajihi.

[10] Ibn Hajar al-Asqallani, fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Makrifah (1379H), jld.12, hlm. 279.

[11] Imam Ibn Qayim al-Jawziyah, I’lam al-Muwaqi’in, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1991), jld. 1, hlm. 203.