Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TASHIH AL-MAFAHIM #22: BENARKAH HADIS BARU MUNCUL SETELAH KEWAFATAN NABI MUHAMMAD SAW?

22_TM.png

 

PENDAHULUAN

Baru-baru ini tular semula di media sosial seorang individu memuat naik video yang menyatakan beliau hanya merujuk dan mengikut apa-apa ajaran berkaitan Islam daripada al-Quran. Kata beliau amalan Islam sekarang ini mempunyai banyak penambahan kerana umat Islam merujuk sumber wahyu lain selain al-Quran. Kami berpendapat kenyataan ini menyiratkan kefahaman anti-hadis yang cenderung menolak hadis dan hanya menjadikan al-Quran sebagai sumber hukum.  Justeru kami akan memperjelaskan semula sama ada benarkah dakwaan bahawa hanya al-Quran satu-satunya wahyu dan benarkah dakwaan bahawa hadis hanya menjadi rujukan selepas kewafatan Nabi SAW?

LATAR BELAKANG

Serangan terhadap kedudukan hadis dalam Islam ini banyak dipelopori oleh tokoh-tokoh orientalis seperti Joseph Schacht, Snouck Hugronje, Ignaz Goldziher. Idea tokoh-tokoh orientalis ini telah dikembangkan lagi oleh ilmuwan Islam yang terpengaruh dengan pemikiran mereka seterusnya mempopularkan pemikiran anti-hadis. Antaranya adalah Tawfiq Sidqi seorang tokoh daripada Mesir[1] yang mana idea beliau  kemudiannya telah dikembangkan lagi oleh Rashad Khalifa. Rashad Khalifa dalam bukunya Quran, Hadith and Islam mengatakan :

The “Muslims” have been duped by Satan into uttering the innovation known as “Tashahhud” where they shower praises and glorifications on Muhammad and Abraham.[2]

Maksudnya: "Umat Islam" telah ditipu oleh Syaitan untuk melafazkan bid'ah yang dikenali sebagai "Tashahhud" di mana mereka memuji dan memuliakan Muhammad dan Ibrahim.

It is well known that the first book of Hadith is that of Bukhary, who was born more than 200 years after the death of Muhammad.[3]

Maksudnya: Telah diketahui umum bahawa kitab pertama Hadis adalah buku al-Bukhari, yang dilahirkan lebih daripada 200 tahun selepas kematian Muhammad.

Rashad Khalifa menolak hadis kerana baginya hanya al-Quran satu-satunya wahyu tuhan dan sumber dalam agama Islam.

Dalam konteks Malaysia, Kassim Ahmad merupakan individu awal yang mempopularkan gerakan anti hadis melalui karyanya yang bertajuk “Hadis Satu Penilaian Semula”.

Kassim Ahmad dalam salah satu tulisannya mengatakan;

Masalahnya timbul bila kita telah mendewa-dewakan Nabi. Kita salah anggap bahawa beliau tahu semua. Kita salah anggap beliau tidak ada kelemahan seperti manusia yang lain. Jika beliau bukan seorang manusia biasa, seperti kita, tetapi seorang dewa, bolehkah beliau memimpin kita, dan bolehkah kita meneladani beliau? Tentu tidak boleh, kerana sifat manusia dan sifat dewa berbeza. Oleh yang demikian, mengapakah pencinta-pencinta Hadis melompat bila kita mengatakan Nabi Muhammad tidak mengetahui segala-galanya tentang tafsir? Ini menunjukkan bahawa mereka telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad- satu kesalahan besar.” [4]

 

MELURUSKAN KEFAHAMAN BAHAWA HADIS HANYA MUNCUL SELEPAS KEWAFATAN NABI

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai insan yang paling berautoriti dalam menerangkan al-Quran, firman Allah SWT:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ‎

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Surah Ali-Imran (3: 164)

Tafsiran perkataan al-Hikmah dalam ayat di atas ialah sunnah. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Zamakhsyari dalam tafsirnya, lafaznya seperti berikut:

وقيل: ويأخذ منهم الزكاة وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتابَ وَالْحِكْمَةَ القرآن والسنة بعد ما كانوا أجهل الناس وأبعدهم من دراسة العلوم وَإِنْ كانُوا مِنْ قَبْلُ من قبل بعثة الرسول لَفِي ضَلالٍ إن هي المخففة من الثقيلة

Maksudnya: dan ada yang mentafsirkan dengan: mengambil zakat daripada mereka, mengajarkan mereka al-Kitab dan hikmah iaitu al-Quran dan sunnah di mana sebelum ini mereka adalah manusia paling jahil dan jauh daripada ilmu-ilmu. Sedangkan mereka sebelum diutuskan Rasulullah SAW berada dalam kesesatan.[5]

Oleh yang demikian, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah mengurniakan kepada umat manusia seorang Rasul lalu diajarkan kepadanya al-Quran dan Sunnah untuk diajarkan kepada umatnya.

Sekiranya golongan anti hadis ini mengatakan bahawa memadai al-Quran sebagai sumber yang perlu diikuti, lalu mengapa mereka tidak beriman dengan ayat daripada surah Ali-Imran ini? Adakah mereka hanya beriman dengan sebahagian ayat al-Quran lalu menolak sebahagian yang lain? Inilah suatu pemikiran yang ganjil dan pelik.

Dalam al-Quran menyebutkan bahawa tugas Nabi Muhammad SAW bukan sahaja menyampaikan al-Quran kepada umat Islam tetapi lebih daripada itu. Firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: "Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Surah Al-Baqarah (2: 129)

Hadis juga merupakan wahyu Allah SWT melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Muhammad Abu Zahwi dalam karyanya al-Hadis wa al-Muhaddisun:

السنة النبوية بالمعنى السابق ما أضيف إلى النبي صلى الله عليه وسلم، من قول أو فعل أو تقرير هي أحد قسمي الوحي الإلهي، الذي نزل به جبريل الأمين على النبي الكريم صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sunnah Nabawiyah sepertimana yang telah disebutkan ialah apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan atau perakuan merupakan salah satu daripada wahyu Allah yang diturunkan melalui Jibril al-Amin ke atas Nabi yang mulia SAW.[6]

Pada peringkat awal hadis tersebar melalui hafalan dan amalan para sahabat dan masyarakat arab ketika itu. Hal ini kerana Nabi SAW masih hidup dan bersama mereka. Bangsa Arab merupakan suatu bangsa yang buta huruf(Ummah Ummiyyah) dan Nabi SAW diutuskan ke atas bangsa tersebut. Walaupun begitu, bangsa Arab mempunyai ingatan yang kuat dan luar biasa.[7] Maka para sahabat menghafaz setiap perkataan yang keluar dari mulut Baginda SAW sama ada secara lafaz mahupun makna dan berusaha untuk memahaminya. Kemudian hadis tersebut terus dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan mereka.[8]

Terdapat sebahagian dalam kalangan sahabat mendengar perkataan-perkataan(aqwal) Nabi SAW, manakala sebahagian yang lain pula ada yang melihat perbuatan(afʻal) Nabi SAW. Oleh itu, jika ada situasi dan keadaan yang mereka tidak fahami maka mereka akan terus bertanya secara langsung kepada Nabi SAW.[9]

Pada zaman Nabi SAW juga terdapat arahan atau perintah daripada Nabi SAW untuk menulis hadis. Sejarah Islam menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah memerintahkan sahabat untuk menuliskan hadis kepada seseorang lelaki daripada Yaman iaitu Abu Syah. Rasulullah SAW bersabda:

اكْتُبُوا لِأَبِي شَاهٍ

Maksudnya: Tulislah untuk Abu Syah.

Riwayat al-Bukhari

Walaupun terdapat hadis yang melarang untuk para sahabat menulis hadis tetapi larangan tersebut hanya dikhususkan ketika proses penurunan al-Quran sedang berlaku. Bahkan, larangan itu juga dikhususkan sekiranya ditulis selain al-Quran bersama al-Quran dalam satu lembaran yang sama, akan tetapi keizinan diberikan oleh Nabi SAW sekiranya menulis selain al-Quran dalam lembaran yang berbeza dan selamat daripada bercampur aduk dengan penulisan al-Quran.[10]

Bahkan, semenjak dari zaman sahabat lagi pembukuan hadis telah dilakukan dalam bentuk yang tidak rasmi. Buktinya, para ulama selepas zaman sahabat dan tabiʻin meriwayatkan hadis daripada suhuf(lembaran bertulis) yang ditulis pada masa sahabat dan tabiʻin.[11] Antara suhuf yang pernah ditulis dalam kalangan sahabat ialah al-Sahifah al-Sadiqah yang ditulis oleh ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As[12], manakala daripada kalangan tabiʻin pula ialah Sahifah Sahihah yang ditulis oleh Hammam bin Munabbih.[13] Justeru, perkara ini menunjukkan bahawa pandangan yang mengatakan hadis baru muncul setelah kewafatan Nabi SAW adalah satu pandangan yang salah dan tidak bertepatan dengan turath keilmuwan Islam.

Peranan Hadis dalam Menentukan Makna Ayat-ayat Suci al-Quran

Tanpa hadis umat Islam tidak akan dapat memahami ayat-ayat al-Quran yang bersifat mujmal(tidak terperinci) atau umum.[14] Firman Allah SWT:

بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Surah al-Nahl (16: 44)

Imam Ibn Hazm berkata:

فصح أنه عليه السلام مأمور ببيان القرآن للناس وفي القرآن مجمل كثير كالصلاة والزكاة والحج وغير ذلك مما لا نعلم ما ألزمنا الله تعالى فيه بلفظه لكن ببيان رسول الله صلى الله عليه وسلم فإذا كان بيانه عليه السلام لذلك المجمل غير محفوظ ولا مضمون سلامته مما ليس منه فقد بطل الانتفاع بنص القرآن فبطلت أكثر الشرائع المفترضة علينا فيه فإذا لم ندر صحيح مراد الله تعالى منها فما أخطأ فيه المخطىء أو تعمد فيه الكذب الكاذب ومعاذ الله من هذا

Maksudnya: Maka jelaslah bahawa Nabi SAW diperintahkan untuk menerangkan al-Quran kepada manusia dan dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat mujmal(tidak terperinci) seperti ayat solat, ayat zakat, ayat haji dan lain-lain. Ayat-ayat tersebut tidak kita ketahui apa yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita dengan lafaznya melainkan dengan penerangan Rasulullah SAW. Apabila penerangan Rasulullah SAW terhadap ayat-ayat mujmal(tidak terperinci) tidak terpelihara dan tidak terjamin kesahihannya daripada apa yang bukan daripadanya maka terbatallah segala manfaat ayat al-Quran, lalu terbatallah juga banyak syariat yang difardukan ke atas kita. Apabila kita tidak mengetahui kehendak Allah SWT yang sebenar daripada ayat al-Quran itu maka tidak salahlah orang yang melakukan kesalahan atau tidak berdusta dengan sengajalah si pendusta, moga Allah memelihara kita daripada perkara ini.[15]

Justeru, peranan hadis itu sendiri ialah sebagai penjelas kepada ayat al-Quran sama ada menjelaskan dengan memperincikan yang umum, menjelaskan ayat-ayat yang samar dan seumpamanya. Sebagai contoh, cara pelaksanaan solat, jika dicari dalam al-Quran tidak akan ditemui ayat al-Quran yang menyebutkan bagaimana tatacara solat itu dilaksanakan secara terperinci. Tetapi hanya Allah SWT hanya menyebutkan “wa aqimu al-salah” yang bermaksud dirikanlah solat. Namun, apabila ayat al-Quran bersifat umum seperti ini maka datangnya hadis Nabi SAW menerangkan perincian solat iaitu Nabi SAW bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.[16]

Riwayat al-Bukhari

Dalam contoh yang lain, firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

Maksudnya: dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.

Surah al-Baqarah (2: 187)

Maka Rasulullah SAW menerangkan maksud bagi kalimah “الْخَيْطُ الأَبْيَضُ” dan juga “الْخَيْطِ الأَسْوَدِ” ialah bermaksud cerah di siang hari dan gelap di malam hari.[17]

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa hadis itu berperanan sebagai penjelas kepada ayat-ayat al-Quran sama ada menjelaskan yang samar, umum dan lain-lain. Bahkan, membuktikan bahawa hadis Nabi SAW ini telah lama wujud semenjak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA dan ia bukanlah sesuatu yang baharu muncul.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penelitian di atas, mereka yang menyebutkan bahawa hadis baru muncul setelah Nabi SAW wafat adalah pandangan yang batil dan bertentangan dengan turath keilmuwan Islam. Sedangkan, penulisan hadis telah bermula semenjak zaman Nabi Muhammad SAW dengan mendapat keizinan daripada Baginda SAW. Kemudian, penulisan tersebut dibukukan oleh ulama terkemudian dengan lebih sistematik bagi menjaga khazanah ilmu. Maka hendaklah berhati-hati dengan pemikiran anti hadis ini kerana bimbang akan merosakkan akidah dan pegangan umat Islam.

[1] Abur Hamdi Usman dan Norhazimah Gasmin, “Golongan Quraniyyun: Implikasi Terhadap Pemikiran Masyarakat Islam” (e-proceeding, 3rd  INHAD International Muzakarah & Mutamar on Hadith (IMAM 2018), International Islamic University College Selangor, 27 Disember 2018), 34.

[2] Rashad Khalifa, Quran, Hadith and Islam (Islamic Production, 2009), 38.

[3] Ibid., 39.

[4] Muhammad Azizan Sabjan dan Noor Shakirah Mat Akhir, “Reaksi Terhadap Pemikiran Anti Hadis Berdasarkan Karya Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik”, Jurnal Afkar 18 (Special Issue), 2016, 78.

[5] Abu al-Qasim al-Zamakhsyari, al-Kasyyaf ʻan Haqa’iq Ghawamid al-Tanzil (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Arabi, 1407), 1: 436. Rujuk juga Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti, Tasfir al-Jalalain (Kaherah: Dar al-Hadis, t.t.), 90.

[6] Muhammad Abu Zahwi, al-Hadis wa al-Muhaddisun (Beirut: Dar al-Fikr, 1378), 11.

[7] Shahril Nizam Zulkipli dan Ishak Suliaman, Autoriti Hadis di Internet (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2015), 2.

[8] Muhammad Abu Syahbah, Difaʻ ʻan al-Sunnah (Kaherah: Maktabah al-Sunnah, 1989), 18.

[9] Ibid.

[10] Muhammad Abu Zahwi, al-Hadis wa al-Muhaddisun, 124.

[11] Muhammad bin Matar al-Zahrani, Tadwin al-Sunnah al-Nabawiyyah, ter. Muhammad Rum et al (Jakarta: Darul Haq, 2012), 76.

[12] Al-Zahabi, Siyar Aʻlam al-Nubala’, ed. Majmuʻah al-Muhaqqiqin (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1985), 3: 89.

[13] Ibid., 5: 311.

[14] Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, al-Sunnah Qabla al-tadwin (t.tp: Maktabah Wahbah, 1988), 23-24.

[15] Ibn Hazm al-Andalusi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, ed. Ahmad Muhammad Syakir (Beirut: Dar al-Afaq al-Jadidah, t.t.), 1: 122.

[16] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (Dar Tuq al-Najah, 1422), no. hadis 631, 1: 128.

[17] Ibid., no. hadis 4511, 6: 26.