Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Waktu Solat

1. Soalan: Bagaimana penentuan waktu solat dibuat?

Jawapan: Penetapan waktu solat adalah berdasarkan kepada sumber asal iaitu al-Quran dan al-Hadith. Berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, para fuqaha’ (ahli feqah) telah membuat tafsiran supaya waktu solat dapat diamalkan oleh masyarakat dengan lebih mudah. Kemudian tafsiran fuqaha’ disesuaikan dengan ilmu astronomi (falak) supaya boleh ditentukan dengan kaedah kiraan (hisab).

Waktu Matahari Istiwa

Matahari istiwa (rembang/transit) adalah ketika pusat matahari melintasi satah Meridian Samawi Tempatan. Meridian Samawi Tempatan adalah unjuran Longitud Stesen Tempatan. Waktu istiwa boleh ditentukan secara fizikal dengan melihat pergerakan bayang-bayang sesuatu tiang yang tegak.

Ketika istiwa, bayang tiang berada pada ukuran paling pendek. Sebelum bayang tiang ini berpindah ke sebelah timur adalah menandakan waktu istiwa. Stesen rujukan di bumi adalah ditetapkan berdasarkan satu sistem koordinat geografi yang parameternya ialah latitud (garis lintang) dan longitud (garis bujur).

Waktu Solat Zohor

Masuk waktu solat Zohor adalah ketika matahari gelincir ke arah barat daripada kita iaitu ketika pinggir timur matahari melintasi Meridian Samawi Tempatan.

Waktu Solat Asar

Mengikut Mazhab Shafie, masuknya waktu solat Asar adalah apabila panjang bayang sesuatu tiang melebihi panjang tiang tersebut. Secara fizikal, waktu Asar boleh ditentukan dengan menggunakan tiang tegak yang sama dengan yang digunakan pada waktu istiwa.

Waktu Asar bermula apabila panjang bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak melebihi ukuran tiang itu sendiri dan dicampurkan dengan panjang bayang sewaktu istiwa.

Waktu Solat Maghrib

Mengikut hukum fekah, masuknya waktu solat Maghrib adalah apabila semua badan matahari terbenam di bawah ufuk barat.

Waktu Solat Isyak

Menurut syarak, masuknya waktu solat Isyak adalah apabila mega merah di ufuk barat hilang.

Waktu Solat Subuh

Awal waktu solat Subuh mengikut syarak adalah bila fajar benar (sadiq) terbit di ufuk timur.

 

2. Soalan: Siapakah pihak yang berautoriti mengeluarkan takwim waktu solat?

Jawapan: Di Wilayah Persekutuan pihak yang berautoriti mengeluarkan takwim waktu solat adalah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Takwim waktu solat yang dkeluarkan adalah mengambil kira kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Hitungan yang digunakan adalah berpandukan kepada Almanak Falak Syarie dan perisian yang telah disediakan oleh pihak Jakim. Waktu solat juga dihitung berasaskan kepada konsep zon waktu solat. Waktu solat akan disemak dan diperakui oleh Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah Persekutuan sebelum edaran dibuat.

 

3. Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan zon waktu solat?

Jawapan: Konsep Zon Waktu Solat telah diperkenalkan bertujuan bagi menyelaraskan pengiraan waktu solat di setiap negeri berdasarkan titik rujukan tertentu. Titik rujukan ini dipilih merujuk kepada kedudukan titik yang paling barat di dalam zon tersebut. Ini adalah mengikut kriteria yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti mana yang telah dipersetujui oleh semua Jabatan Agama Negeri-negeri di Malaysia. Selain itu, turut dititikberatkan dalam pembahagian zon adalah perbezaan waktu solat di antara titik rujukan yang paling timur dan barat mestilah tidak lebih dua minit. Manakala bagi kawasan tanah tinggi dan pulau, ia akan membentuk zon waktu solat yang berasingan. (Mohamad Saupi Che Awang, 2001).

Di Wilayah Persekutuan Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan pada 21 Oktober 2015 telah bersetuju bahawa titik rujuk zon waktu solat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah seperti berikut :-

Zon 1: Kuala Lumpur dan Putrajaya
            Kg. Gedangsa 
            Latitud : U 3˚ 44΄
            Longitud: T 101˚ 23
            (Waktu Syuruk : Keramat AU KL)
            Latitud : U 03˚ 11΄ 24’
            Longitud: T 101˚ 45΄ 30’

Zon 2: Labuan
            (Pulau Kuraman) 
            Latitud : U 5˚ 14΄ 53’
            Longitud: T 115˚ 08΄ 23’
            (Waktu Syuruk : Pulau Daat)
            Latitud : U 5˚ 17΄ 23’
            Longitud: T 115˚ 20΄ 34'

4. Soalan : Bagaimana proses permohonan waktu solat?

Jawapan: Permohonan waktu solat boleh dipohon melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. @ juga boleh diperolehi di portal PMWP https://muftiwp.gov.my/ms/falak/taqwim/jadual-waktu-solat-wilayah-persekutuan-kuala-lumpur-putrajaya-labuan.