Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-41: MENYANTUNI GOLONGAN OKU

 

 

 

MUKADIMAH

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada yang Maha Esa atas pelbagai kurniaan dan nikmat yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda sehingga ke hari pengakhiran.

 

Hari Orang Kurang Upaya Sedunia diisytiharkan oleh PBB pada 19 Oktober 1992 dengan menetapkan setiap 3 Disember adalah hari orang kurang upaya. Kabinet dalam mesyuaratnya pada 12 Oktober 1994 telah mengesahkan 3 Disember setiap tahun sebagai hari orang kurang upaya peringkat kebangsaan. Bersempana dengan Hari OKU Sedunia pada hari ini, kami berasa terpanggil untuk menukilkan sesuatu pada siri Bayan Linnas kali ini. Perkara yang ingin kami nukilkan lebih kepada bagaimana Islam mengajar umatnya agar meraikan dan menyantuni golongan istimewa ini. Semoga dengan pencerahan ini, sedikit sebanyak dapat membuka hati dan minda serta persepsi kita terhadap golongan OKU lantas menjadikan kita golongan yang peduli terhadap kebajikan OKU khususnya di Malaysia.

 

DEFINISI & PENGKELASAN OKU

 

OKU merupakan singkatan kepada Orang Kurang Upaya yang mana istilah ini digunapakai secara meluas bagi merujuk kepada orang kurang upaya. Kini, OKU juga di sebut dengan Orang Kelainan Upaya. Menurut WHO (World Health Organisation), OKU didefinisikan sebagai:

“Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan vokasional”.

OKU berbeza mengikut tahap kecacatan yang mereka alami. Di sini, terdapat tujuh (7) kategori bagi OKU:

 

  1. Kurang Upaya Pendengaran

 

Individu yang tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran. Terdapat 4 tahap yang boleh dikategorikan sebagai OKU pendengaran, iaitu:

  • Minima (Mild)- (20 - < 30 dB) (untuk orang dewasa)
  • Sederhana (Moderate)- (30 - < 60 dB)
  • Teruk (Severe)- (60 - < 90 dB)
  • Sangat Teruk (Profound)- (> 90 dB)

 

  1. Kurang Upaya Penglihatan

Individu yang tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad sama ada di sebelah atau di kedua-dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan sepeti cermin mata atau kanta sentuh. OKU penglihatan yang dimaksudkan boleh dibahagi kepada:

  • Buta (Blind): Penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 10 darjah daripada fixation;
  • Penglihatan Terhad (Low Vision/Partially Sighted): Penglihatan lebih teruk daripada 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang daripada 20 darjah daripada fixation.

 

 

  1. Kurang Upaya Fizikal

 

Seseorang yang mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu anggota di mana-mana bahagian anggota badan termasuklah keadaan anggota yang tidak sempurna yang mana keadaan ini akan menjejaskan keupayaannya. Jenis yang termasuk dalam kategori ini ialah kerdil, kudung tangan atau kaki atau keduanya, kudung ibu jari tangan, lumpuh, spina bifida, muscular dystrophy dan cerebral palsy. Bagi kekurangan (impairment) yang tidak menjejaskan fungsi seperti kudung satu jari, mempunyai 6 jari atau lebih dan tidak ada atau kurang sempurna cuping telinga tidak dikategorikan sebagai kurang upaya fizikal.

 

  1. Masalah Pembelajaran

 

Seseorang yang menghadapi masalah kecerdasan otal yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah lembam, down syndrome, kurang upaya intelektual, autisme, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), masalah pembelajaran spesifik (dyslexia, dyscalculia, dygraphia) dan lewat perkembangan global (global development delay).

 

  1. Kurang Upaya Pertuturan

Individu yang mengalami masalah pertuturan tetapi boleh mendengar.

 

  1. Kurang Upaya Mental

Seseorang yang menghadapi penyakit mental yang teruk yang telah menjalani rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya 2 tahun oleh Pakar Psikiatri. Akibat daripada penyakit yang dialami, mereka masih tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat walaupun setelah menjalani rawatan psikiatri. Antara jenis-jenis penyakit mental tersebut adalah Skizofrenia, Mood Disorder dan Organic Mental Disorder yang serius dan kronik.

 

  1. Kurang Upaya Pelbagai

Individu yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan di bawah mana-mana lima (5) kategori lain yang sedia ada. Contohnya, seorang individu yang mengalami 2 jenis ketidakupayaan dari segi penglihatan dan pendengaran akan didaftarkan dalam kategori kurang upaya pelbagai.

 

SEBAB BERLAKUNYA KECACATAN

 

Secara umumnya boleh kita katakan terdapat tiga (3) faktor utama berlakunya kecacatan kepada seseorang itu. Tiga faktor tersebut ialah biologi, psikologi dan persekitaran. Melalui ketiga-tiga faktor tersebut, dapat kita kembangkan lagi  dengan melihat dari segi:

  • Baka/genetik
  • Jangkitan prenatal, perinatal dan pascanatal
  • Metabolisme
  • Persekitaran
  • Trauma

 

HUKUM-HAKAM BERKAIT DENGAN OKU

 

Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU bahkan terdapat banyak gesaan di dalam Al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan yang kurang upaya. Firman Allah SWT:

لَّيۡسَ عَلَى ٱلۡأَعۡمَىٰ حَرَجٞ وَلَا عَلَى ٱلۡأَعۡرَجِ حَرَجٞ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرِيضِ حَرَجٞۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدۡخِلۡهُ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبۡهُ عَذَابًا أَلِيمٗا ١٧

Maksudnya: Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya. 

(Al-Fath: 17)

 

Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya (Al-Fath, ayat ke -16) menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dikalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang. Lantaran dari soalan tersebut, maka turunlah ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini dengan tidak menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. [Tafsir al-Qurtubi. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 16/273]

 

KEWAJIBAN MENYANTUNI GOLONGAN OKU

 

Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan OKU adalah melibatkan persekitaran dan juga sikap mentaliti sesetengah masyarakat umum. Dari aspek persekitaraan, dapat kita lihat kebanyakan insfrastruktur dan kemudahan yang sedia ada masih lagi kurang mesra OKU. Golongan OKU tidak dapat mengakses kebanyakan kemudahan yang sedia ada dan ini menyebabkan keterbatasan mereka dalam melakukan aktiviti harian dan bersosial.

Seharusnya pihak berwajib perlulah menambah baik segala insfrastruktur serta kemudahan sedia ada agar lebih mesra OKU bagi memudahkan kehidupan seharian mereka.

Mentaliti atau sikap sesetengah masyarakat umum yang menganggap OKU ini sebagai satu bebanan hidup bagi mereka juga menjadikan perjalanan hidup OKU itu sendiri satu cabaran yang perlu mereka atasi. Sikap masyarakat umum yang normal ini amatlah tidak wajar. Sebagai seorang muslim yang beriman, mereka akan melihat konteks OKU ini sebagai ladang untuk menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka.

 

Islam mengajar kita agar tolong menolong ke arah kebaikan dan tanpa syak lagi bahawa membantu dan menyantuni golongan OKU ini termasuk di dalam kebaikan yang perlu disegerakan. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). 

(Al-Maaidah: 2)

 

Islam juga mengajarkan agar bersikap adil terhadap semua. Islam sama sekali tidak menyetujui jika terdapat sesetengah golongan dinafikan haknya, ditindas dan tidak diendahkan. Lihatlah ketika mana Rasulullah SAW sedang sibuk berdakwah kepada golongan bangsawan Quraisy dan pada waktu itu telah datang Abdullah bin Umm Maktum ingin bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW telah memalingkan mukanya dari Abdullah bin Umm Maktum. Allah SWT telah menegur Baginda SAW melalui firman-Nya di dalam Surah ‘Abasa rentetan dari sikap Rasulullah SAW tersebut.

 

Justeru, teguran ALLAH ini sebagai satu isyarat golongan OKU ini perlu dilayani dengan saksama dan tidak boleh dinafikan hak mereka dalam urusan agama, ilmu dan seumpamanya. Apatah lagi jika berkaitan dengan urusan-urusan menyambung kehidupan kerana mereka juga berhak hidup sebagaimana mereka berhak dilahirkan dan dibesarkan dengan adil.

 

PENUTUP

 

Kami berharap dengan adanya sambutan Hari Orang Kurang Upaya ini, ianya dapat memberikan pencerahan serta kesedaran buat masyarakat umum mengenai tanggungjawab kita terhadap golongan OKU terutamanya di Malaysia.

 

Kita perlulah memupuk rasa syukur di dalam jiwa kita di atas segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ ٧

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". 

(Ibrahim: 7)

 

Rasa syukur yang ada itu akan menjadikan kita lebih tawadhu’ dan tidak bermegah diri dengan apa yang kita ada. Boleh jadi nikmat yang sedia ada itu akan ditarik kembali oleh Allah SWT, maka seharusnya apa yang ada pada kita sekarang ini wajiblah disyukuri kerana janji Allah SWT bagi orang yang bersyukur itu pasti akan ditambah lagi akan nikmat tersebut.

 

OKU adalah sebahagian dari masyarakat kita. Sebagaimana mereka merupakan ujian Allah kepada kedua orangtua dan keluarga mereka, mereka juga adalah ujian kepada kita. Dengan segala kekurangan yang mereka miliki serta kelebihan yang ada pada kita, bagaimanakah kita berinteraksi dengan mereka? Apakah kita menggunakan kelebihan-kelebihan kita untuk memudahkan mereka atau apakah kelebihan-kelebihan kita itu mengaburkan mata hati kita terhadap keperluan-keperluan mereka lantas menafikan hak-hak mereka terhadap kita? Bukankah nikmat-nikmat yang kita miliki ini juga merupakan ujian Allah SWT buat kita?

 

Semoga Allah SWT menggolongkan kita ke dalam golongan hamba-Nya yang sentiasa berbuat kebaikan serta dapat memberikan manfaat buat manusia yang lain. Sekian, wassalam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan.

 

3 Disember 2015 bersamaan 21 Safar 1437