Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #557: BAGAIMANA MERAWAT ISTERI DISIHIR?

Soalan: Isteri saya terkena sihir. Bagaimanakah untuk mengubatinya?

Jawapan: Untuk tujuan pengubatan sihir, terdapat beberapa kaedah yang ditunjukkan dalam hadis Nabi SAW. Kami cuma menukilkan daripada hadis-hadis dan selebihnya hendaklah bertanya kepada mereka yang pakar yang diiktiraf seperti Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa'), Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dan lain-lain.

Secara asasnya, antara kaedah yang boleh dilakukan bagi merawat sihir adalah:

  • Membaca Surah al-Fatihah dan mengulang-ulanginya.[1]
  • Membaca Ayat al-Kursi[2]
  • Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas
  • Mengusap ke bahagian sakit dengan tangan sambil membaca [3]

أَذْهِبِ البَاسَ رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

  • Membaca doa berikut sebanyak 3 kali [4]

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ، أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

  • Doa dan ayat al-Qur’an di atas boleh dibacakan pada air dan dipercikkan kepada pesakit. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW kepada Thabit bin Qais.[5]

Selain itu, boleh juga membaca ayat-ayat al-Qur’an lain yang diketahui boleh mengubati sihir seperti

مَا جِئْتُمْ بِهِ السِّحْرُ إِنَّ اللَّهَ سَيُبْطِلُهُ إِنَّ اللَّهَ لا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ

Al-Qur’an itu sendiri sifatnya adalah penyembuh dan apa-apa sahaja ayat al-Qur’an yang sesuai selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, boleh digunakan untuk rawatan sebagaimana fatwa Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Jibrin yang turut sependapat dengan fatwa Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Ibn Uthaimin, Syeikh Abd al-Muhsin Abikan dan lain-lain dalam hal ini.[6] Pada pandangan kami, rujuklah mereka yang berkeahlian dalam bidang ini untuk mendapatkan ayat-ayat yang sesuai dibaca

Setelah sembuh, pesakit hendaklah dinasihatkan supaya menjaga beberapa perkara yang berkaitan hubungan dengan Allah SWT:

  1. Solat berjemaah
  2. Mentaati kedua ibu bapa
  3. Memperbanyakkan solat sunat
  4. Puasa
  5. Membaca al-Qur’an[7]

_______________________________________

[1] Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5736

[2] Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4723

[3] Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5750

[4] Ini berdasarkan hadis Riwayat Ibn Majah, no. 3523

[5] Ini berdasarkan hadis Riwayat Abu Daud, no. 3885

[6] http://www.ibn-jebreen.com/fatwa/vmasal-10072-.html

[7] Kaifa Tu’alij Maridhaka bi al-Ruqyah al-Syar’iyyah, hal.27