Soalan: Isteri saya terkena sihir. Bagaimanakah untuk mengubatinya?
Jawapan: Untuk tujuan pengubatan sihir, terdapat beberapa kaedah yang ditunjukkan dalam hadis Nabi SAW. Kami cuma menukilkan daripada hadis-hadis dan selebihnya hendaklah bertanya kepada mereka yang pakar yang diiktiraf seperti Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa'), Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dan lain-lain.
Secara asasnya, antara kaedah yang boleh dilakukan bagi merawat sihir adalah:
- Membaca Surah al-Fatihah dan mengulang-ulanginya.[1]
- Membaca Ayat al-Kursi[2]
- Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas
- Mengusap ke bahagian sakit dengan tangan sambil membaca [3]
أَذْهِبِ البَاسَ رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
- Membaca doa berikut sebanyak 3 kali [4]
بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ، أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
- Doa dan ayat al-Qur’an di atas boleh dibacakan pada air dan dipercikkan kepada pesakit. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW kepada Thabit bin Qais.[5]
Selain itu, boleh juga membaca ayat-ayat al-Qur’an lain yang diketahui boleh mengubati sihir seperti
مَا جِئْتُمْ بِهِ السِّحْرُ إِنَّ اللَّهَ سَيُبْطِلُهُ إِنَّ اللَّهَ لا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ
Al-Qur’an itu sendiri sifatnya adalah penyembuh dan apa-apa sahaja ayat al-Qur’an yang sesuai selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, boleh digunakan untuk rawatan sebagaimana fatwa Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Jibrin yang turut sependapat dengan fatwa Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Ibn Uthaimin, Syeikh Abd al-Muhsin Abikan dan lain-lain dalam hal ini.[6] Pada pandangan kami, rujuklah mereka yang berkeahlian dalam bidang ini untuk mendapatkan ayat-ayat yang sesuai dibaca
Setelah sembuh, pesakit hendaklah dinasihatkan supaya menjaga beberapa perkara yang berkaitan hubungan dengan Allah SWT:
- Solat berjemaah
- Mentaati kedua ibu bapa
- Memperbanyakkan solat sunat
- Puasa
- Membaca al-Qur’an[7]
_______________________________________
[1] Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5736
[2] Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4723
[3] Ini berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5750
[4] Ini berdasarkan hadis Riwayat Ibn Majah, no. 3523
[5] Ini berdasarkan hadis Riwayat Abu Daud, no. 3885
[6] http://www.ibn-jebreen.com/fatwa/vmasal-10072-.html
[7] Kaifa Tu’alij Maridhaka bi al-Ruqyah al-Syar’iyyah, hal.27