Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-42: G25 DAN ISU KHALWAT

 

Mukadimah

Baru-baru ini, sebuah NGO telah menggesa supaya hukuman yang dikenakan kepada pesalah khalwat dimansuhkan. Ini kerana, perbuatan khalwat dianggap sebagai dosa peribadi dan bukannya suatu jenayah. Bahkan menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan tersebut dianggap sebagai mencabuli hak kebebasan individu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum mengupas lebih lanjut isu ini, suka untuk kami jelaskan definisi khalwat itu terlebih dahulu.

 

Definisi Khalwat Dan Hukumnya

Khalwat yang diharamkan dari sudut syarak ialah: Seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang ajnabi jauh dari pandangan mata manusia.

Hukum berdua-duaan seperti ini adalah diharamkan berdasarkan sebuah hadis:

 

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.

Riwayat Muslim (3112)

 

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini: Apabila bersendirian seorang lelaki ajnabi dan seorang perempuan ajnabiah tanpa adanya orang ketiga bersama keduanya maka ia (berdua-duaan) adalah haram dengan kesepakatan para Ulama. Lihat Syarah Sahih Muslim (9/109)  

Setelah kita ketahui hukum perbuatan ini, maka fahamlah kita bahawa ia termasuk dalam perbuatan maksiat. Manakala maksiat wajib diubah sama ada dengan tangan, lisan, mahupun jantung hati.

 

Peranan Amar Makruf Nahi Munkar

Di dalam Islam, tugasan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran adalah salah satu tanggungjawab setiap umatnya. Bahkan kita digelar sebagai sebaik-baik umat dengan melaksanakan amalan tersebut. Tugas ini menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam sebaik sahaja mereka melihat kemungkaran tersebut berdasarkan sebuah hadis :

 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya : Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman.

Riwayat Muslim (184)

 

Berkata al-Imam al-Nawawi dalam syarahnya ke atas hadis ini: Adapun sifat larangan kepada perkara mungkar dan peringkat-peringkatnya, garis panduannya adalah ucapan Nabi (hadis di atas). Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemungkaran dengan setiap bentuk yang dia mampu. Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan nahi munkar mencari-cari  serta melakukan tajassus dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya.

Kata al-Imam al-Mawardi: Sekiranya berat ke atas sangkaan orang yang melakukan hisbah (muhtasib) akan rahsia golongan yang melakukan kemungkaran dengan tanda-tanda dan kesan-kesan yang jelas, seperti dua contoh berikut: Pada perbuatan mungkar itu pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita terlepas pandang. Seperti seseorang diberitahu oleh seorang lelaki yang dipercayai dengan kebenarannya bahawa terdapat seorang lelaki yang sedang berkhalwat dengan lelaki lain untuk dia membunuhnya atau dia berkhalwat dengan seorang perempuan untuk dia berzina dengannya. Maka diharuskan untuk bertajassus dan berusaha mendedahkan serta mengingkari maksiat tersebut. Keduanya: Apa yang lebih kurang dari kedudukan ini, maka tidak boleh padanya untuk melakukan tajassus. Lihat Raudhat al-Thalibin (10/220)

 

Bolehkah Tajassus Dalam Mencegah Kemungkaran ?

Sebelum kita mengulas lebih lanjut, perlu kita ketahui terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan tajassus.Menurut al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah, tajassus dari sudut istilah bermaksud: "Mencari cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia." Lihat Tafsir al-Munir (26/247)

Hukum asal bagi perbuatan ini diharamkan berdasarkan firman Allah:

 

وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا

Maksudnya: Dan janganlah kalian melakukan tajassus serta janganlah kalian saling mengumpat antara satu sama lain.

(Surah Al-Hujurat : 12)

 

Kata al-Imam al-Maraghi: Tajassus adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah: Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya. Lihat Tafsir al-Maraghi (13/6506)

Berdasarkan pernyataan tersebut, dapatlah kita faham bahawa mencari-cari kesalahan yang tersembunyi merupakan perbuatan yang dilarang dalam ayat tersebut. Sebaliknya, jika kesalahan dan keaiban itu jelas kepada kita maka bolehlah kita mengambil tindakan. Ini dijelaskan lagi dengan kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud R.anhu ketika beliau dibawakan kepadanya seorang lelaki yang terdapat titisan arak di janggutnya. Lalu Abdullah berkata: Sesungguhnya kita telah dilarang dari melakukan tajassus. Akan tetapi, apabila jelas kepada kita sesuatu maka kita mengambil tindakan terhadapnya. Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah (9/86).

 

Tajassus Yang Disyariatkan

Berkata al-Imam al-Ramli yang merupakan tokoh besar dalam mazhab al-Imam al-Syafie: Tidak boleh bagi seseorang untuk mencari-cari kesalahan dan melakukan tajassus serta memecah masuk ke dalam rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Ya, jika berat sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun dengan qarinah (petunjuk) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya maka dibolehkan untuknya melakukan tajassus. Bahkan wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina. Lihat Nihayah al-Muhtaj (4/47-49)

Demikian juga al-Imam al-Qadhi Iyadh menyatakan keharusan untuk melakukan tajassus dalam keadaan apabila kita meningggalkan perbuatan tersebut akan berlakulah pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita akan terlepas pandang akannya. Sebagai contoh, apabila seseorang diberi khabar dari seorang lelaki yang terpercaya bahawa terdapat seorang lelaki yang berkhalwat dengan lelaki lain dengan tujuan untuk membunuhnya atau dengan seorang perempuan yang dia ingin berzina dengannya maka diharuskan baginya dalam keadaan ini untuk melakukan tajassus. Lihat Al-Ahkam al-Sulthaniah. (Hlm. 366)

 

Pandangan Hujjat al-Islam al-Ghazali

Kata al-Imam al-Ghazali Rahimahullah: Maksiat yang sedang berlaku dan pelakunya sedang melakukannya contohnya memakai sutera, memegang ʿoud (diistilahkan juga sebagai qanbūs atau gambus) dan arak. Maka membatalkan (menghalang) maksiat ini adalah wajib dengan segala yang termampu selama tidak membawa kepada maksiat yang lebih keji atau sama dengannya. Dan ini terpakai kepada mana-mana individu dan rakyat.

Demikian juga, Imam al-Ghazali menambah:  Begitu juga duduk berdua-duaan dengan wanita ajnabī (al-khalwah bi al-ajnabiyyah) itu sendiri adalah perbuatan maksiat kerana ia pada sangkaan, akan terjadi maksiat. Dan mendatangkan sesuatu yang menimbulkan sangkaan maksiat itu adalah maksiat.  Kami maksudkan dengan ‘sangkaan’ itu adalah sesuatu yang dilakukan insan pada kebiasaan untuk terjadinya sesuatu maksiat,  yang mana dia tidak ada kemampuan untuk mencegahnya. Maka, hakikatnya  itu hisbah adalah pada maksiat yang sedang terjadi, tidak berlaku kepada maksiat yang masih dalam jangkaan (boleh jadi berlaku atau tidak). Lihat Ihya’ Ulum al-Din (2/382-384)

 

Beberapa Dalil Dan Perbincangannya

Antaranya:

  • Apa yang diriwayatkan daripada Abd al-Rahman Bin Auf katanya:

حَرَسْتُ لَيلَةً مَعَ عُمَرَ بنُ الخَطَّابِ بالمَدِينَةِ إِذ تَبَيَّن لَنَا سِرَاجٌ فِي بَيتِ بَابِهِ مُجافَى عَلَى قَومٍ لهُم أَصْوَاتٌ مُرتَفِعَةٌ ولَغَط. فَقَالَ عُمَرُ: هَذَا بَيت رَبِيعَة بنُ أُمَيَّة بنُ خَلَف وَهُم الآَن شَرَب فَمَا تَرَى، قُلتُ: أَرَى أَنَّا قَدْ أَتَينَا مَا نَهَى اللهُ عَنهُ وَلَا تَجَسَّسُوا وَقَد تَجَسَّسْنَا، فَانْصَرَفَ عُمَرُ وَتَرَكَهُم

Maksudnya: “Aku pernah satu malam bersama Umar bin al-Khattab membuat rondaan di kota Madinah kemudian kami dapati sebuah rumah adanya pelita yang dipasang dan terdapat satu pintu yang sedikit jauh daripada orang lain. Terdapat padanya beberapa orang yang suaranya kuat dan bising. Maka Umar berkata: “Ini rumah Rabiah Bin Umayyah Bin Khalaf, mereka sekarang minum arak, apa pendapatmu: “jawabku: Aku berpendapat sebenarnya kita telah datang apa yang Allah larang daripadanya iaitu jangan mengintip sedangkan kita mengintip, lantas Umar berpaling dan meninggalkan mereka.”

Riwayat al-Tabarani 1806, al-Hakim 4/419, dan al-Baihaqi 18080. Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh Syaikhan. Imam al-Zahabi bersetuju dengan kesahihan hadis ini

  • Dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh Imam al-Qurtubi (16/333), Abu Qilabah berkata:

حَدَث عُمرُ أَنَّ أبَا محجَن الثَّقَفِي يَشرَبُ الخَمْرَ مَعَ أَصحَابٍ لَهُ فِي بَيتِهِ فَانطَلَقَ عُمَرُ حَتَّى دَخَلَ عَلَيهِ فَإِذَا لَيسَ عِنْدَهُ إِلَّا رَجُل فَقَالَ أبُو محجَن: إِنَّ هَذَا لَا يَحلُّ لَكَ قَد نَهَاكَ اللهُ عَنِ التَّجَسُّس ِفَخَرَجَ عُمَرُ وَتَرَكَه

Maksudnya: Umar menceritakan bahawa Abu Mihjan al-Thaqafi minum arak bersama para sahabatnya di rumahnya, lantas Umar menuju ke rumah tersebut dan masuk, didapati tiada di sisinya kecuali seorang lelaki, lantas berkata Abu Mihjan: “Sesungguhnya ini tidak halal bagi kamu dan Allah melarangmu daripada Tajassus (mengintip), maka Umar keluar dan meninggalkannya.”

Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10/232)

Komentar dan Ulasan

Sesungguhnya dua peristiwa di atas jelas menunjukkan kepada kita betapa sifat pemimpin prihatin dan cakna kepada rakyat. Justeru, amar makruf dan nahi mungkar adalah digalakkan tetapi ditegah melakukan tajassus kecuali dalam beberapa keadaan. Ini bertujuan memelihara hak masing-masing yang perlu dihormati. Antara hak tersebut ialah:

  • Hak ke atas tempat tinggalnya.
  • Ruang kebebasan peribadi.

Begitu juga kadangkala pengintip menghalalkan cara yang haram bertujuan sampai kepada matlamat, perkara seperti ini juga perlu diambil kira.

 

Cadangan Garis Panduan Operasi Tangkap Khalwat

Berikut merupakan beberapa cadanga dhawabith (garis panduan) yang kami kira perlu diambil cakna oleh pihak yang terlibat dalam operasi penangkapan khalwat:

1- Tidaklah serbuan dilakukan semata-mata berdasarkan sangkaan. Bahkan ia dilakukan berdasarkan laporan yang diterima dari individu yang diyakini kebenarannya sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Mawardi dan al-Imam al-Ramli. Manakala sekiranya laporan yang disampaikan itu datangnya dari golongan fasiq, hendaklah dilakukan proses tabayyun (selidik) terlebih dahulu pada laporannya.

2- Hendaklah penguatkuasa meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu sebelum memulakan serbuan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡر لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kalian memasuki rumah-rumah selain rumah kalian sehinggalah kalian meminta izin dan memberi salam kepada ahli rumahnya. Yang demikian itu lebih baik untuk kalian mudah-mudahan kalian mendapat peringatan.

(Surah Al-Nuur : 27)

 

Berdasarkan ayat ini, rumah-rumah yang dimaksudkan itu adalah premis-premis kediaman peribadi seseorang yang kita dilarang menceroboh masuk ke dalamnya tanpa izin.

3- Memastikan semua pegawai yang dihantar untuk melakukan operasi tersebut merupakan individu yang terlatih dan mempunyai ilmu pengetahuan terhadap tugasan yang dilakukan.

4- Hendaklah serbuan tersebut dilakukan setelah ada tanda-tanda yang jelas akan berlakunya maksiat yang mana sekiranya kita tidak melakukan serbuan tersebut akan berlakulah maksiat. Ini berdasarkan athar daripada Ibn Mas’ud yang mengatakan:

 

إِن يَظْهَر لَنَا شَيء نَأخُذ بِهِ

Maksudnya: Sekiranya telah jelas kepada kita sesuatu, maka kita mengambil tindakan terhadapnya.

Musannaf Ibn Abi Syaibah (9/86)

 

Dalam konteks kita di Malaysia, tanda-tanda yang jelas ini termasuklah apabila kelihatan dua pasangan yang memang diketahui belum berkahwin tetapi bersekedudukan di dalam rumah atau bilik, maka perlunya maklumat ini disampaikan kepada pihak berkuasa supaya larangan kepada perkara mungkar dapat dilakukan.

Sebahagian pihak mengkritik beberapa tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa semasa melakukan operasi serbuan. Seperti perbuatan menceroboh masuk tanpa izin dan bersikap kasar, menceroboh masuk ke dalam bilik pasangan yang sudah berkahwin, serta beberapa kes lain. Teguran-teguran sebegini tidak dinafikan dalam usaha memastikan operasi pencegahan maksiat tidak menjadi fitnah terhadap agama Islam. Akan tetapi, kaedah fiqah ada menyebut:

 

العِبرَةُ لِلغَالِبِ الشَّائِعِ لا لِلقَلِيلِ النَّادِرِ

Maksudnya: Yang diambil kira itu adalah pada kebiasaan yang meluas, bukannya pada sedikit yang jarang berlaku.

 

Memahami Teks Agama Berdasarkan Rasional Akal

Dewasa kini, terdapat beberapa individu atau golongan yang cuba memahami dan menafsirkan nas-nas agama berdasarkan rasional akal mereka. Bahkan mereka hanya menggunapakai serta berhujah dengan nas-nas yang menepati hawa nafsu mereka dan meninggalkan nas-nas yang dirasakan kurang sesuai. Ini bercanggah dengan prinsip asas kita yang memahami agama berdasarkan wahyu. Kata Saidina Ali R.anhu:

 

لَو كَانَ الدِّينُ بِالرَّأيِ لَكَانَ أَسْفَلَ الخُفِّ أَولَى بِالمَسْحِ مِن أَعلَاه

Maksudnya: Sekiranya agama ini berdasarkan ra’yi (rasional akal) nescayalah bahagian bawah khuf itu lebih utama untuk disapu berbanding bahagian atasnya.

Riwayat Abu Dawud (162)

 

Athar ini tidaklah menafikan peranan akal sebagaimana yang disangka oleh sebahagian pihak. Akan tetapi, athar ini jelas menunjukkan bahawa akal yang sahih dan sejahtera adalah yang bertepatan dengan petunjuk wahyu. Justeru, akal yang sejahtera akan berpandangan bahawa sapuan khuf di bahagian atasnya itu adalah perbuatan yang tepat kerana ia bertepatan dengan pandangan syarak.

Bahkan penggunaan lafaz يَنْظُرُونَ ، يَعْقِلُونَ ، يَتَفَكَّرُونَ  di dalam al-Quran, kesemuanya ini mengisyaratkan agar kita menggunakan akal akan tetapi diselaraskan dengan timbangan syarak. Inilah pendapat yang sebenarnya.

 

Meraikan Uruf Dan Adat Setempat

Di dalam konteks di Malaysia, hendaklah setiap individu menghormati uruf dan adat masyarakat setempat. Ini berdasarkan sebuah kaedah fikah yang masyhur: Al ‘Aadah Muhakkamah. Di sisi masyarakat kita, berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah merupakan satu keaiban yang memalukan. Ia bukan sahaja menimbulkan sangka buruk orang lain terhadap kita bahkan menimbulkan fitnah ke atas maruah diri dan juga keluarga.

Justeru, setiap pihak baik dari kalangan NGO atau mana-mana agensi diharapkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecahkan keharmonian uruf dan adat setempat di negara kita ini.

Begitu juga kita hendaklah memahami antara prinsip rukun negara ialah menghormati kesopanan dan kesusilaan yang merentasi agama, bangsa dan rakyat yang bernaung sebagai warganegara Malaysia.

 

Dosa Peribadi Dan Perbahasannya

Sebahagian pihak mendakwa, khalwat dan zina termasuk dalam dosa-dosa peribadi yang hanya melibatkan pelaku maksiat dengan Tuhannya. Justeru, kita tidak boleh masuk campur menjatuhkan hukuman kepada pesalah tersebut. Benarkah dakwaan ini ?

Kita katakan bahawa perbuatan ini secara hakikatnya telah mencemarkan dharuriyyat al-khamsah itu sendiri iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga maruah, dan menjaga harta.

Hujah yang sering digunakan ialah sebuah athar dari Saidina Umar bin al-Khattab R.anhu yang mendapati ada seseorang yang meminum arak di dalam rumahnya. Kemudian mereka turut mengaitkan sama keadaannya dengan golongan yang berkhalwat dan berzina di dalam rumah-rumah mereka.

Kita katakan, benarkah khalwat dan zina itu termasuk dalam dosa peribadi ?

Menjawab persoalan ini, kita pecahkan kepada beberapa isi penting:

  • Khalwat hukumnya haram. Ia merupakan wasilah (jalan) ke arah berlakunya zina. Kaedah fikah ada menyebut: Apa-apa yang membawa kepada perkara haram maka ia juga turut haram.
  • Kedua, berdua-duaan akan menjatuhkan maruah individu yang terlibat dan kedua-kedua keluarga pasangan yang berkhalwat. Nama baik keluarga akan tercemar dengan perbuatan ini.
  • Membenarkan khalwat berlaku dengan alasan tidak mahu masuk campur dalam dosa peribadi hanyalah menggalakkan percambahan berlakunya kes zina dalam kalangan masyarakat. Ketika berlakunya zina, akan timbul kes pembuangan dan pembunuhan anak yang akan membawa kepada pencerobohan ke atas maqasid Islam iaitu hifz al-nafs (penjagaan nyawa). Bahkan penzinaan juga akan menyebabkan rosaknya maqasid Islam yang ke empat iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan)

Setelah kita jelas berkenaan perkara-perkara di atas, ketahuilah kita bahawa dakwaan khalwat merupakan dosa peribadi adalah tidak tepat. Bahkan ia merupakan dosa yang melibatkan dua pihak bahkan lebih besar apabila melibatkan kerosakan kepada masyarakat. Justeru, menjadi kewajipan bagi penguatkuasa agama untuk mencegah kemungkaran ini.

 

Perkembangan Idelogi Liberalisme

Kami cukup bimbang akan pengaruh liberalisme yang kelihatan semakin menular dalam kalangan rakyat di negara kita. Fahaman ini telah pun dianggap menyeleweng dari fahaman Islam yang sebenar. Antara ciri fahaman ini ialah:

  • Merelakan nama suci Allah disalahgunakan kepada sembahan bukan Islam.
  • Menyamaratakan kesemua agama atau kepercayaan. Menyamaratakan agama-agama lain dengan agama Islam dan menafikan ketinggian Islam sebagai Agama Negara (Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan)
  • Menganggap kesemua agama adalah benar – Pluralisme Agama.
  • Menganggap perbuatan murtad sebagai hak asasi manusia atau kebebasan dalam beragama.
  • Membela dan mempertahankan ajaran sesat sebagai hak kebebasan berfikir. Manakala institusi fatwa dianggap sebagai penghalang bagi pemilikan dan pelaksanaan hak tersebut.
  • Menuntut hak supaya kanak-kanak yang dilahirkan, tidak ditentukan agama mereka sehinggalah mencapai usia 18 tahun.
  • Memperjuangkan hak kebebasan berfikir sehingga mengetepikan perintah Allah SWT dan ajaran Nabi SAW.
  • Memperjuangkan hak kebebasan asasi sehingga menuntut penghapusan undang-undang syariah di negeri-negeri dan kewajipan amar makruf nahi mungkar.
  • Menuntut hak dan kebebasan bagi pengamal orientasi seks LGBT, meskipun jelas cercaan Allah SWT. Sementara undang-undang negara iaitu Kanun Keseksaan yang memperuntukkan perlakuan seks songsang sebagai kesalahan.
  • Menuntut penghapusan semua bentuk hukuman yang disifatkan sebagai capital punishment, termasuk hukuman mati dan sebat.
  • Menuntut supaya orang bukan Islam diberikan hak dan peluang untuk menyebarkan agama mereka kepada orang Islam meskipun tuntutan tersebut bercanggah dengan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.
  • Bertekad menggugat keutuhan akidah dan syariat Islam kononnya mengikut jejak Reformed Jews dan Reformed Christian.
  • Membela kekufuran dan penyelewengan akidah dalam buku-buku pemikiran semasa. Ini termasuklah buku-buku pendukung pemikiran liberal tersohor dari Indonesia dan negara-negara lain seperti “Allah, Kebebasan dan Cinta” tulisan Irshad Manji. Lihat Agenda DIAN 16.

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami merasakan amat penting untuk kita sama-sama memuhasabah diri dengan menekuni ilmu terutamanya ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam. Iaitu dengan melihat kepada neraca Islam yang sebenar melalui dua sumber al-Quran dan al-Hadis yang difahami teks dan mafhumnya melalui kaedah usuliah yang dikemukakan oleh lisan para ulama dengan perasaan penuh takut kepada Allah SWT. Mereka sekali-kali tidak akan menggadaikan prinsip dalam menafsirkan nas ilahi dan hady al-nabawi (petunjuk Nabi). Akan tetapi, mereka lakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Oleh itu, isu yang dibangkitkan bukan semata-mata dilihat berdasarkan perspektif logik akal atau atas nama hak kebebasan dan hak asasi manusia.

Berkata Syeikh Abdullah bin Bayyah: Slogan hak asasi manusia adalah slogan yang amat menarik dan mempersonakan ramai pihak. Ia digunakan oleh pihak yang benar dan juga pihak yang batil. Justeru, fahamilah kenyataan tersebut dengan kaedah yang sebenarnya yang diterima pakai dalam Islam.

Seringkali kita terkeliru dengan istilah hasil daripada kekaburan dalam menafsirkan istilah tersebut. Makanya, tidak pelik apabila kita tersalah dalam memaksudkan kehendak kita dengan menggunakan istilah yang disalah fahami. Oleh itu, bertanyalah kepada orang yang tahu selaras dengan firman Allah SWT:

 

فَسۡئَ‍َٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: Maka bertanyalah kalian kepada ahl al-zikr (ahli ilmu) sekiranya kalian tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl : 43)

 

Begitu juga dalam membicarakan sesuatu hukum perlulah dirujuk kepada pelbagai bentuk sama ada dari segi teks nas, mafhum nas dan juga fahm al-dalil (memahami dalil) yang sebenar di samping memahami kehendak dalil seperti yang telah dikatakan oleh al-Imam al-Qarafi.

Ingatlah pesanan Saidina Umar bin al-Khattab R.anhu yang mengatakan:

الرُّجُوعُ إِلَى الحَقِّ خَيرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي البَاطِلِ

Maksudnya: Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan berada di dalam kebathilan.

Marilah kita sama-sama kembali kepada Islam yang sebenar melalui kefahaman yang sahih tanpa sebarang keraguan tetapi ia benar dari Tuhan Rabb al-‘Aalamin. Saya berdoa kepada Allah supaya Allah tautkan hati-hati kita untuk bersatu dalam membela agama Islam dengan penuh hikmah dan disulami dengan tatasusila yang tinggi serta akhlak yang terpuji.

 

Akhukum Fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

18 Disember 2015 bersamaan 6 Rabiul Awal 1437 H