Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-831: HUKUM ‘MAKAN DAHULU, BAYAR KEMUDIAN’

HUKUM_MAKAN_DAHULU_BAYAR_KEMUDIAN_1.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang kedai makan yang mengamalkan kaedah makan dahulu bayar kemudian. Ini kerana dalam banyak situasi kita merasakan bahawa harganya agak mahal dan tidak sama seperti apa yang disangka. Persoalan saya, adakah akad tersebut sah di sisi syarak? Dan apakah hukum bagi peniaga yang sengaja melakukan polisi sedemikian untuk mengambil kesempatan daripada pelanggan?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Akad tersebut adalah sah di sisi syarak namun hendaklah dilaksanakan dengan beberapa syarat bagi menafikan unsur gharar padanya. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

  • Penjual hendaklah meletakkan tanda harga mengikut julat tertentu secara jelas dan tidak mengelirukan bagi setiap makanan. Ini supaya pembeli dapat menentukan kadar yang sesuai dibeli olehnya.
  • Pembeli hendaklah terlebih dahulu memeriksa dan memastikan harga makanan yang diambilnya sebelum memakan makanan tersebut. Ini supaya tidak timbul sebarang pertelingkahan dan rasa tidak puas hati dari pihak pembeli kerana dia membeli dengan kesedaran dan kehendaknya sendiri.
  • Harga yang dibayar hendaklah dipersetujui dan diredai oleh kedua-dua pihak. Hal ini kerana asas kepada suatu jual beli adalah atas dasar persetujuan dan keredaan.

Selain itu, perbuatan penjual sengaja melakukan polisi sedemikian dengan niat untuk mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan secara tidak sah adalah haram dan berdosa.

Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Asas bagi suatu akad jual beli ialah ia hendaklah dipersetujui dan diredai oleh kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual. Di samping itu, mestilah akad jual beli tersebut tidak diniatkan untuk mengambil harta orang yang lain dengan cara yang batil dan menipu. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Surah al-Nisa’ (29)

Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa ia adalah larangan Allah SWT terhadap perbuatan memakan harta orang lain secara haram, berjudi, merompak, mencuri, melakukan khianat dan seumpamanya.[1] Ini merupakan asas utama yang perlu dijaga dan diraikan dalam apa jua akad jual beli yang berlaku agar dapat memelihara kepentingan kedua-dua pihak dan tidak menimbulkan rasa tidak puas hati salah satu pihak daripadanya.

Berkaitan persoalan di atas, para ulama membincangkan tentang beberapa akad atau urus niaga untuk dijual atau dibeli dengan harga yang tidak diketahui. Pada asalnya, urusniaga tanpa harganya tidak ditentukan akan menimbulkan gharar yang membatalkan sesuatu akad jual beli. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa akad atau urusniaga yang diharuskan untuk menjual atau membeli dengan harga yang tidak diketahui, antaranya adalah akad yang disebut sebagai Bay’ al-Istijrar (بيع الاستجرار).[2] Definisi bagi akad ini adalah seperti berikut:

وبيع الاستجرار: أخذ الحوائج من البياع شيئا فشيئا، ودفع ثمنها بعد ذلك.

Maksudnya: Bay’ al-Istijrar ialah suatu transaksi dimana pembeli mengambil barang sedikit demi sedikit berdasarkan keperluan, kemudian membayar harganya selepas daripada itu.[3]

Secara ringkasnya, ia adalah satu akad di mana pembeli mengambil sesuatu barang atau makanan yang diinginkannya tanpa dia mengetahui harga sesuatu barang secara spesifik, kemudian dia menggunakan atau memakannya terlebih dahulu, setelah itu barulah dikira dan dibayar harganya. Contoh gambaran bagi akad ini ialah seorang pembeli mengambil barang atau makanan yang diinginkannya terlebih dahulu, tanpa membayar apa-apa dan tanpa melafazkan akad jual beli tetapi meniatkan untuk membelinya pada harga kebiasaan di pasaran, lalu dia menggunakannya atau memakannya, setelah itu barulah barangan tersebut dikira dan dibayar harganya.[4]

Oleh yang demikian, sekiranya pembeli mengetahui harga kebiasaan sesuatu makanan di sesebuah kedai di sesuatu tempat dengan mengetahui julat harganya yang tertentu, maka diharuskan dan tidak termasuk dalam gharar kerana dia mengetahui harga kebiasaannya walaupun tidak secara spesifik. Hal ini kembali kepada kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الْعَادَةُ مُحَكَمَةٌ

Maksudnya: Adat setempat dijadikan sebagai hukum.

Walau bagaimanapun, bagi menjelaskan lagi situasi yang menjadikan hukum akad ini sebagai harus dengan menafikan unsur gharar seperti yang dibahaskan di atas, maka ia hendaklah dilaksanakan dengan beberapa syarat berikut:

  • Penjual hendaklah meletakkan tanda harga mengikut julat tertentu secara jelas dan tidak mengelirukan bagi setiap makanan. Ini supaya pembeli dapat menentukan kadar yang sesuai dibeli olehnya.
  • Pembeli hendaklah terlebih dahulu memeriksa dan memastikan harga makanan yang diambilnya sebelum memakan makanan tersebut. Ini supaya tidak timbul sebarang pertelingkahan dan rasa tidak puas hati dari pihak pembeli kerana dia membeli dengan kesedaran dan kehendaknya sendiri.
  • Harga yang dibayar hendaklah dipersetujui dan diredai oleh kedua-dua pihak. Hal ini kerana asas kepada suatu jual beli adalah atas dasar persetujuan dan keredaan.

Di samping itu, perlu ditegaskan juga dalam hal ini bahawa jika peniaga sendiri sengaja melakukannya dengan niat untuk mengaut keuntungan secara tidak sah daripada pelanggan, maka hukumnya adalah haram dan berdosa. Allah SWT mengancam peniaga-peniaga seperti ini dengan ancaman yang amat dahsyat. Firman Allah SWT:

وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ ‎﴿١﴾‏ الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ ‎﴿٢﴾‏ وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ ‎﴿٣﴾‏

Maksudnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Begitu juga hadis Nabi SAW yang mengingatkan kita untuk tidak menipu, sabda Baginda SAW:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukanlah daripada kalangan kami.

Hadith riwayat Muslim (101)

Kesimpulan

  1. Hukum akad ‘makan dahulu, bayar kemudian’ adalah sah dan diharuskan dengan syarat-syarat yang menafikan unsur gharar padanya iaitu penjual mestilah meletakkan tanda harga yang jelas.
  2. Pembeli mestilah memastikan harga makanan yang diambilnya terlebih dahulu sebelum memakannya dan harga yang dibayar itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

[1] Al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husain Ibn Mas’ud, Maa’lim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, (Beirut: Dar Ihya al-Turath, 1420H), 1:602.

[2] Shari’ah Standard (31) Controls on Gharar in Financial Transactions, AAOIFI.

5/2/2 Gharar in the price or rent of the contract's object

Gharar could arise when, for instance, a commodity is sold without mentioning the price, or when the price is left to be determined by one of the two parties of the contract, or by a third party. Another example here is the case of somebody purchasing a commodity for an amount of money in a bundle or in his pocket. A third example is purchasing the commodity by using a currency which the buyer ignores its issuer and has no indication that could help him to know it. In all these cases, Gharar nullifies the sale contract.

However, there are some cases where Gharar in the price is permitted, as - for instance - when the sale contract is concluded at the market price on the day of purchase, or at the price to be set by the market on the day of purchase, or at the price people usually sell at.

Sale with forgivable Gharar in price could also include purchasing commodities through Bay' al-Istjrar, in which the buyer obtains the goods regularly from the seller for a price to be determined subject to the price that people normally sell at, or subject to an index, and even after consumption of the goods in question.

[3] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Beirut: Dar al-Salasil, cetakan kedua, 1404H), 9:43.

[4] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Beirut: Dar al-Salasil, cetakan kedua, 1404H), 9:45.

إحداهما: أن يأخذ الإنسان من البياع ما يحتاجه شيئا فشيئا، ولا يعطيه شيئا، ولا يتلفظان ببيع، بل نويا أخذه بثمنه المعتاد ويحاسبه بعد مدة ويعطيه، كما يفعل كثير من الناس.