PUTRAJAYA, 4 MEI 2021- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah mengadakan Majlis Khatam al-Quran dan Majlis berbuka puasa yang berlangsung di ruang legar Bahagian Khidmat Sokongan (BKS) PMWP.
Majlis bermula pada jam 5.00 petang dimulai dengan Khatam al-Quran oleh seramai 70 orang peserta tadarus PMWP dimulai dengan bacaan surah ad-dhuha sehingga surah terakhir iaitu an-nas dan diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Shairawi bin Mohd Noor.
Setelah selesai slot khatam al-Quran, majlis diteruskan dengan Tausiah Ramadan yang disampaikan oleh SS Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Antara intipati ucapannya adalah berkaitan pengamalan bidaah hasanah khususnya dalam tradisi khatam al-Quran serta kepentingan tabayyun dalam setiap perkhabaran yang diperolehi. Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada ketua unit dan peserta tadarus.
Majlis diakhiri dengan Solat Terawih dan jamuan moreh. Semoga Ramadhan kali ini membawa lebih erti dan bakal memberi seribu rahmat dan pahala buat semua khususnya dengan rahmat dan mukjizat al-Quran disamping mengeratkan silaturrahim dalam kalangan kakitangan PMWP.