اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PMWP MENYANTUNI TAN MIKE FOONG AL-HAFIZ

SELANGOR, 27 JANUARI 2022 – Mufti Care PMWP berteraskan Kefatwaan, Keilmuan, Dakwah dan Kemasyarakatan kali ini menyantuni saudara muallaf berbangsa Cina dan orang kurang upaya (OKU) penglihatan iaitu saudara Tan Mike Foong di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Baru, Selangor. Beliau berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz di Darul Quran Jabatan Agama Islam (JAKIM) dan kini sedang berada di Semester Akhir Diploma Tahfiz Al-Quran wal Qiraat.
 
Memeluk Islam pada tahun 2015, setelah tertarik dengan laungan azan dan bacaan Al Quran dari masjid yang berhampiran rumahnya setiap kali waktu solat, mendorong anak sulung dari tiga beradik ini mendalami Islam dan mencapai cita-citanya sebagai Ahli Tafsir Al-Quran. Apalagi ibu dan ayah menghormati pilihannya memeluk Islam dan menyokong penuh anaknya mempelajari ilmu Al-Quran setelah tamat persekolahan di SMK Pendidikan Khas Selayang 6 tahun lalu. Sesekali timbul juga di benak hatinya untuk berhenti daripada pengajian kerana bebanan berat menghafaz Al Quran di samping tumpuan kepada beberapa subjek lain. Namun dengan kata-kata semangat dan nasihat dari pensyarah dan rakan-rakannya di Darul Quran, akhirnya membuang jauh perasaan negatif berkenaan. Apalagi dorongan serta pengorbanan ibunya, Puan Ang Bee Cheng dan ayahnya Encik Tan Ang Chong juga telah mendorongnya terus ke hadapan melakar kejayaan.
 
Bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang dan sebagai meraikan kejayaan Saudara Mike al-Hafiz, PMWP melalui SS Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan beberapa pegawai PMWP serta diiringi Ustaz Taufiq pensyarah Darul Quran telah berkunjung ke rumah Mike di Kuala Kubu Bharu. Keluarga Mike menerima kehadiran kami dengan penuh kegembiraan. Semoga kisah perjalanan saudara Tan Mike Foong sebagai muallaf OKU penglihatan ini memberi inspirasi kepada kita untuk terus melangkah ke hadapan menegakkan agama Allah SWT dan berbakti kepada masyarakat.