اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TAUSIAH SYAHRI KALI KE-4

KAJANG, 7 MEI 2025 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Program Tausiah Syahri Bil. 4/2025 Rabu lalu. Program ini merupakan inisiatif bulanan yang bertujuan bagi memperkukuh nilai-nilai kerohanian serta menyemai budaya kerja yang berteraskan prinsip Islam dalam kalangan warga kerja jabatan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebagai simbol kesyukuran dan permohonan keberkatan kepada Allah SWT.

Majlis diteruskan dengan penyampaian tausiah khas oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan keikhlasan dalam melaksanakan amanah, pembudayaan integriti dalam perkhidmatan, serta peranan akhlak sebagai asas kecemerlangan kerja. Beliau turut menyeru agar semua kakitangan menjadikan setiap tugasan harian sebagai satu bentuk ibadah yang memberi manfaat bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat.

Penganjuran program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama warga jabatan, mempertingkat pemahaman terhadap nilai-nilai Islam dalam kerangka tugas profesional, serta memupuk semangat kebersamaan dan tanggungjawab kolektif dalam kalangan penjawat awam Islam. Kehadiran Ketua Penolong Mufti dan Penolong Mufti Kanan serta warga kerja jabatan turut menyerikan majlis, mencerminkan komitmen kepimpinan jabatan dalam mendukung usaha pembangunan sahsiah dan profesionalisme melalui pendekatan berasaskan ilmu dan nilai-nilai murni Islam.