اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MESYUARAT YB TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI HAL EHWAL AGAMA BERSAMA MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

PUTRAJAYA, 2 JUN 2025 – Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menghadiri satu mesyuarat bersama YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pejabat Timbalan Menteri, Putrajaya yang bertujuan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan hal ehwal Islam serta pembangunan institusi keagamaan di Wilayah Persekutuan.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk usaha memperkukuh institusi fatwa, pelaksanaan program pendidikan agama berteraskan maqasid syariah, serta inisiatif memperluas peranan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam menjawab isu-isu semasa masyarakat. Sahibus Samahah turut menyampaikan beberapa syor berkenaan pendekatan dakwah kontemporari yang perlu dirangka dengan hikmah, ilmu dan kefahaman mendalam terhadap realiti masyarakat bandar.

Mesyuarat ini turut menzahirkan komitmen bersama antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk terus memperkukuh kerjasama strategik demi memartabatkan syiar Islam secara berkesan dan menyeluruh. Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan berharap agar segala perbincangan dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang memberi manfaat langsung kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan khususnya, dan Malaysia amnya.